Kerajaan Persekutuan Akan Bermesyuarat Untuk Mempercepatkan Pembentukan JS-SEZ

PUTRAJAYA, 31 Jan (Bernama) — Kerajaan Persekutuan akan mengadakan mesyuarat bersama kerajaan negeri Johor bagi menyelaras beberapa dasar untuk memastikan pembentukan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dapat disegerakan, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata perbincangan tersebut yang akan diadakan dalam masa terdekat akan dikendalikan oleh Kementerian Ekonomi dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi pihak Kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan pusat akan menyelaras beberapa perkara bersama dengan kerajaan negeri Johor dan beberapa mesyuarat akan dimulakan dalam masa terdekat bagi menyelaras beberapa dasar di peringkat pusat dan negeri dan memastikan usaha untuk membentuk zon ekonomi khas ini dapat dipercepat,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Bagaimanapun, Fahmi berkata mesyuarat Kabinet hari ini tidak membincangkan secara spesifik berkenaan lokasi yang akan ditentukan sebagai JS-SEZ.

“Tiada maklumat khusus yang dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet. Ia lebih kepada menetapkan dasar yang akan diatur dan diselaraskan oleh semua kementerian,” katanya.

Awal bulan ini, Malaysia dan Singapura menandatangani memorandum persefahaman (MoU) JS-SEZ dalam usaha mengukuhkan jalinan ekonomi antara kedua-dua negara.

Menerusi MoU itu, Malaysia dan Singapura akan berusaha untuk memudahkan urusan keluar masuk sempadan untuk kesenangan rakyat, sekali gus menambah baik ekosistem dan kerjasama ekonomi.

Kedua-dua negara juga bersetuju untuk bekerja bersama dalam perjanjian JS-SEZ itu dan juga Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-11 yang akan diadakan kelak.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Ekonomi Malaysia 2026 Kekal Berdaya Tahan Dipacu FDI, Pelaburan Infrastruktur Yang Kukuh — HSBC

KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) — Ekonomi Malaysia dijangka kekal berdaya tahan tahun ini dipacu oleh pelaburan langsung asing (FDI) yang berterusan dan pelaburan infrastruktur yang kukuh, kata Ketua Ekonomi Asia HSBC Frederic Neumann.

Beliau berkata Keluaran Negara Kasar (KDNK) negara mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.9 peratus pada 2025, hampir dengan unjuran bank iaitu sekitar 5.0 peratus yang menekankan kekuatan asas ekonomi meskipun terdapat cabaran global yang semakin meningkat.

“Kami menjangka pertumbuhan Malaysia tahun ini pada 4.5 peratus, sedikit menurun berbanding lima peratus tahun lepas.

“Namun ia masih merupakan hasil yang sangat kukuh untuk Malaysia dan sebahagiannya dipacu oleh pelaburan yang berterusan di Malaysia,” katanya semasa taklimat media secara maya mengenai HSBC Asian Outlook 2026 hari ini.

Neumann mengingatkan iaitu pembangunan infrastruktur yang berterusan dan FDI yang stabil terutamanya dalam sektor elektronik, semikonduktor dan pusat data sedang mengembangkan kapasiti produktif Malaysia selain menyokong prospek pertumbuhan jangka sederhana.

“Malaysia kekal sangat kompetitif terutamanya dalam sektor elektronik dan rantaian bekalan semikonduktor apabila negara ini sudah tentunya mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan terhadap elektronik yang sebahagiannya berkait rapat dengan kecerdasan buatan (AI).

“Oleh itu, kami kekal agak optimis mengenainya dan itu bermakna aliran masuk FDI akan terus kukuh untuk Malaysia. Jadi, ini merupakan unjuran yang positif,” katanya.

Memandangkan momentum inflasi yang sederhana, HSBC menurunkan sedikit unjuran inflasi utama kepada 1.4 peratus untuk 2025 tetapi mengekalkan unjuran untuk 2026 pada 1.7 peratus.

Sementara itu, Ketua Strategi Ekuiti untuk Asia-Pasifik Herald van der Linde berkata pasaran ekuiti Malaysia agak positif kerana negara ini menawarkan gabungan ciri-ciri defensif dan potensi peningkatan sederhana yang meletakkannya “di tengah-tengah kelompok dalam kalangan pasaran ekuiti Asia.

“Kadar faedah kekal agak tinggi di seluruh dunia dan ini memberi kesan positif kepada bank termasuk bank-bank di Malaysia. Sekali lagi, ini agak positif untuk pasaran ekuiti memandangkan pendedahan yang dimiliki oleh bank-bank di sana.

“Ketidaktentuan geopolitik tidak mengganggu pasaran ekuiti Asia. Satu daripada pasaran yang paling bertahan di Asia iaitu Malaysia. Sentiasa ada permintaan yang baik untuk membeli di pasaran ini kerana pembelian tempatan,” katanya, sambil menambah risiko penurunan adalah terhad.

Sementara itu, ringgit dijangka kekal disokong tahun ini walaupun kenaikan mungkin berlaku secara beransur-ansur berbanding 2025, kata ketua Penyelidikan FX Asia, Joey Chew.

Beliau berkata ringgit merupakan mata wang dengan prestasi terbaik tahun lepas, dipacu oleh dasar-dasar kerajaan termasuk keperluan untuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terus membawa pulang hasil dolar mereka.

“Sebagai contoh, deposit pertukaran asing (forex) di negara ini meningkat dengan ketara dan kita juga dapat melihat sebahagiannya ditukar kerana terdapat data perolehan forex dari Bank Negara Malaysia yang menunjukkan peningkatan jumlah urus niaga.

“Sebahagian besar daripada ini bukan sahaja dibawa pulang, tetapi juga ditukar kepada ringgit,” kata Chew.
Selain itu, beliau berkata, sektor swasta memberikan sokongan dengan Malaysia menyaksikan peningkatan ketara dalam FDI terutamanya dalam pembangunan pusat data.

Namun, Chew turut memberi peringatan iaitu ringgit mungkin berdepan cabaran tahun ini termasuk dari segi pandangan umum dolar dan perjanjian perdagangan Amerika Syarikat (AS)-Malaysia yang memerlukan Malaysia mengimport lebih banyak daripada AS dan juga melabur di sana.

Menurut HSBC Global Investment Research, ringgit dijangka mencapai 4.10 berbanding dolar AS menjelang hujung tahun 2026.

Mengenai dasar monetari global, Neumann berkata HSBC tidak menjangka Rizab Persekutuan AS (Fed) akan menurunkan kadar faedah.

“Berdasarkan unjuran kami, kami melihat ekonomi AS sebenarnya menunjukkan sedikit peningkatan tahun ini dengan pertumbuhan 2.3 peratus untuk 2026, meningkat daripada 2.2 peratus pada tahun lepas.

“Terdapat banyak faktor sokongan untuk ekonomi AS dari segi penurunan cukai, Al, harga ekuiti yang tinggi. Bahkan kadar pinjaman rumah juga menurun. Jadi bagi kami, tidak jelas Fed mempunyai justifikasi makroekonomi yang kukuh untuk menurunkan kadar faedah secara agresif tahun ini,” katanya.
— BERNAMA