LKAN: 24 Syarikat Subsidiari Lima Agensi Persekutuan Rugi Tiga Tahun Berturut-turut

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) — Sebanyak 24 daripada 42 syarikat subsidiari bagi lima Agensi Persekutuan telah merekodkan kerugian tiga tahun berturut-turut dari 2022 hingga 2024, menurut Laporan Ketua Audit Negara 1/2026 yang dikeluarkan hari ini.

“Pada 2024, sebanyak 24 syarikat subsidiari merekodkan kerugian berjumlah RM466.57 juta yang terdiri daripada 10 syarikat subsidiari yang beroperasi dalam negara manakala 14 syarikat subsidiari beroperasi luar negara,” kata laporan itu.

Berdasarkan penyata kewangan beraudit syarikat subsidiari bagi tahun kewangan 2024, kerugian yang dilaporkan mengambil kira penjejasan nilai atau rosot nilai dan bayaran faedah kepada agensi induk selaras dengan piawaian perakaunan yang diterima pakai.

Antara syarikat subsidiari Agensi Persekutuan yang melaporkan kerugian termasuklah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Lembaga Tabung Haji (LTH) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Laporan berkenaan turut memaklumkan sebanyak 80 (37.9 peratus) daripada 211 syarikat subsidiari pada 2024 membayar dividen berjumlah RM2.634 bilion kepada 30 Agensi Persekutuan.

Dalam pada itu sebanyak sembilan (11.3 peratus) daripada 80 syarikat subsidiari membayar dividen berjumlah RM0.936 bilion kepada empat Agensi Persekutuan walaupun merekodkan kerugian.

“Analisis Audit mendapati 45 syarikat subsidiari telah membayar dividen tertinggi kepada lima Agensi Persekutuan berjumlah RM2.539 bilion,” kata laporan itu lagi.

Menurut laporan berkenaan, setakat 31 Dis, 2024, pinjaman dan amaun terhutang diberikan oleh 46 Agensi Persekutuan kepada 118 syarikat subsidiari adalah berjumlah RM15.322 bilion.

Jumlah tersebut terdiri daripada pinjaman kepada 15 syarikat subsidiari berjumlah RM2.841 bilion dan amaun terhutang daripada 103 syarikat subsidiari berjumlah RM12.481 bilion.

Sementara itu, sebanyak 105 Agensi Persekutuan pada 2024 mencatatkan lebihan semasa selepas cukai dan zakat berjumlah RM87.213 bilion manakala sebanyak 38 Agensi Persekutuan merekodkan kurangan semasa selepas cukai dan zakat berjumlah RM1.248 bilion.

“Secara keseluruhannya, lebihan semasa Agensi Persekutuan disumbangkan daripada janaan pendapatan aktiviti utama dan penambahan atau pelunasan geran Kerajaan Persekutuan serta hasil daripada faedah pelaburan.

“Manakala kurangan semasa disebabkan oleh penurunan hasil, peningkatan perbelanjaan operasi dan penjejasan nilai pelaburan,” kata laporan itu.

Laporan berkenaan mengesyorkan agar mempergiat usaha dalam meningkatkan penjanaan hasil secara berkesan bagi memastikan Agensi Persekutuan dapat meneruskan operasi berdasarkan usaha berterusan dan berupaya menjelaskan komitmen bayaran balik pinjaman tanpa sokongan kewangan berterusan daripada Kerajaan Persekutuan.

Selain itu, kementerian juga perlu mengkaji semula hala tuju dan pelan perniagaan syarikat subsidiari yang mengalami kerugian selama tiga tahun berturut-turut dan tidak memberikan pulangan yang sewajarnya serta menilai dan mempertimbangkan penutupan syarikat subsidiari yang berstatus dorman atau tidak aktif melebihi lima tahun.
— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Pos Malaysia Laksana Pelan Transformasi Kurangkan Kerugian

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia) di bawah DRB-HICOM Bhd (DRB-HICOM) akan melaksanakan pelan transformasi bagi mengurangkan kerugiannya, antaranya dengan memberi tumpuan kepada rasionalisasi rangkaian, pengembangan saluran digital dan pengurusan berhemat.

Menurut Kementerian Komunikasi, setakat ini Pos Malaysia telah mencatatkan peningkatan prestasi kewangan apabila merekodkan pengurangan kerugian bersih sebanyak RM19.5 juta bagi suku pertama 2026 berbanding RM41.5 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

“Pengurangan ini merupakan kerugian suku tahunan terendah dalam tempoh empat tahun, disokong oleh peningkatan hasil daripada perkhidmatan sijil digital dan percetakan, prestasi segmen penerbangan yang lebih kukuh serta pengurangan kerugian dalam segmen perkhidmatan pos,” jelasnya dalam jawapan bertulis yang disiarkan dalam laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian Komunikasi berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Robert Lau Hui Yew mengenai sama ada kerajaan akan memberikan bantuan kewangan kepada Pos Malaysia memandangkan rekod kerugian syarikat tersebut di bawah DRB-HICOM.

Pada masa sama, kementerian berkata kerajaan amat menggalakkan usaha transformasi dan pemodenan operasi yang dilaksanakan oleh Pos Malaysia.

“Sebarang bentuk sokongan kerajaan akan dipertimbangkan berdasarkan dasar semasa, kedudukan kewangan kerajaan, keperluan penyediaan perkhidmatan sejagat dan kerangka kawal selia yang berkuat kuasa,” katanya.

Selain itu, tambahnya, kerajaan menganggap bantuan kewangan secara langsung kepada Pos Malaysia bukan satu langkah utama, sebaliknya akan mewujudkan mekanisme pembiayaan yang lebih mampan bagi menampung kos penyediaan perkhidmatan.

Sehubungan itu, jelasnya, kerajaan sedang meneliti penubuhan Kumpulan Wang Perkhidmatan Pos sebagai mekanisme jangka panjang bagi menyokong penyediaan perkhidmatan pos di kawasan yang kurang berdaya maju secara komersial, tanpa menjejaskan kemampanan industri secara keseluruhan.

–BERNAMA