Malaysia Bakal Tarik Lebih Banyak Syarikat China Pacu Sektor Automotif

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) — Kerajaan Malaysia akan terus terlibat dalam kerjasama ekonomi kerajaan dengan kerajaan serta menarik lebih banyak syarikat China untuk melabur dalam sektor automotif tempatan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pada masa yang sama, sektor automotif juga perlu memastikan ekosistemnya memenuhi matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, yang mencerminkan keperluan pada masa depan.

“Pengasas dan Pengerusi Geely Holding Group, Eric Li telah memaklumkan kepada saya tentang inisiatif segera untuk melaksanakan peralihan termasuk mempunyai kenderaan elektrik (EV) serta (kenderaan berkuasa) petroleum dan gas.

“(Ini) akan memudahkan peralihan (kepada EV) dan melihat secara pragmatik kepada perubahan itu dan pelaksanaannya,” katanya ketika melancarkan model kenderaan elektrik hibrid ringan (MHEV) pertama Proton Holdings Bhd (Proton), Proton X90 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia di sini hari ini.

Anwar juga menggesa agar Proton untuk bergerak maju ke hadapan dan mendapatkan semula kedudukannya sebagai syarikat automotif terkemuka, menjadikan Malaysia sebagai hab eksport.

Beliau berkata, berdasarkan perbincangannya dengan Li, bagi memastikan Proton-Geely mencapai kecemerlangan, tumpuan perlu diberikan kepada latihan berkualiti dalam bidang yang mungkin tidak diketahui oleh rakyat Malaysia.

“Geely juga bersedia untuk menyokong program latihan utama untuk rakyat Malaysia di Proton untuk cemerlang dan meningkatkan kebolehan mereka,” katanya.

Pada Februari 2020, kerajaan melancarkan Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020 untuk membangunkan Malaysia sebagai hab automotif serantau untuk kenderaan cekap tenaga (EEV), termasuk EV.

NAP menggariskan strategi dan inisiatif khusus untuk meningkatkan pelaksanaan ekosistem EEV dan EV, memacu pemindahan teknologi dan membangunkan pengetahuan bagi industri automotif tempatan terus berkembang maju.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Pos Malaysia Laksana Pelan Transformasi Kurangkan Kerugian

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia) di bawah DRB-HICOM Bhd (DRB-HICOM) akan melaksanakan pelan transformasi bagi mengurangkan kerugiannya, antaranya dengan memberi tumpuan kepada rasionalisasi rangkaian, pengembangan saluran digital dan pengurusan berhemat.

Menurut Kementerian Komunikasi, setakat ini Pos Malaysia telah mencatatkan peningkatan prestasi kewangan apabila merekodkan pengurangan kerugian bersih sebanyak RM19.5 juta bagi suku pertama 2026 berbanding RM41.5 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

“Pengurangan ini merupakan kerugian suku tahunan terendah dalam tempoh empat tahun, disokong oleh peningkatan hasil daripada perkhidmatan sijil digital dan percetakan, prestasi segmen penerbangan yang lebih kukuh serta pengurangan kerugian dalam segmen perkhidmatan pos,” jelasnya dalam jawapan bertulis yang disiarkan dalam laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian Komunikasi berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Robert Lau Hui Yew mengenai sama ada kerajaan akan memberikan bantuan kewangan kepada Pos Malaysia memandangkan rekod kerugian syarikat tersebut di bawah DRB-HICOM.

Pada masa sama, kementerian berkata kerajaan amat menggalakkan usaha transformasi dan pemodenan operasi yang dilaksanakan oleh Pos Malaysia.

“Sebarang bentuk sokongan kerajaan akan dipertimbangkan berdasarkan dasar semasa, kedudukan kewangan kerajaan, keperluan penyediaan perkhidmatan sejagat dan kerangka kawal selia yang berkuat kuasa,” katanya.

Selain itu, tambahnya, kerajaan menganggap bantuan kewangan secara langsung kepada Pos Malaysia bukan satu langkah utama, sebaliknya akan mewujudkan mekanisme pembiayaan yang lebih mampan bagi menampung kos penyediaan perkhidmatan.

Sehubungan itu, jelasnya, kerajaan sedang meneliti penubuhan Kumpulan Wang Perkhidmatan Pos sebagai mekanisme jangka panjang bagi menyokong penyediaan perkhidmatan pos di kawasan yang kurang berdaya maju secara komersial, tanpa menjejaskan kemampanan industri secara keseluruhan.

–BERNAMA