Malaysia Catat Kemajuan Dalam Peralihan Tenaga, Permudah Urusan Perniagaan – PM Anwar

ABU DHABI, 6 Okt (Bernama) — Malaysia telah mencatat kemajuan dalam usaha peralihan tenaga selain bertindak memudahcara aspek menjalankan perniagaan di negara ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika berkongsi usaha itu dengan kumpulan pemimpin industri pada sesi meja bulat di Emiriah Arab Bersatu (UAE) di sini pada Khamis, beliau turut menekankan komitmen Malaysia untuk melaksanakan dasar lebih baik serta jelas berkaitan aspek tenaga boleh baharu (TBB) dan kemajuan teknologi.

Malah, Perdana Menteri berkata Malaysia muncul antara negara terawal di rantau Asia Tenggara yang menggerakkan usaha TBB dengan Sarawak sebagai hab tenaga utama dan membekalkan tenaga kepada ibu negara baharu Indonesia di Kalimantan.

Pada masa sama, Malaysia turut terbabit dalam perdagangan tenaga rentas sempadan pertama di rantau Asean di bawah Projek Integrasi Tenaga Laos-Thailand-Malaysia-Singapura untuk mengukuhkan Grid Tenaga Asean.

“Kapasitinya sebegitu besar berikutan pelaburan baharu yang bergantung kepada grid dan tenaga boleh baharu ini,” kata beliau yang dalam rangka lawatan kerja selama dua hari ke UAE mulai semalam.

Pada sesi itu, Perdana Menteri turut menyakinkan pemimpin industri itu bahawa Malaysia adalah sebuah negara mesra perniagaan, termasuk langkah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melancarkan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

“NIMP membentangkan hala tuju jelas mengenai apa yang perlu dilaksanakan dan kejelasan sedemikian adalah wajar untuk kemudahan menjalankan perniagaan. Ini penting bagi memastikan kita kekal kompetitif,” kata beliau.

Anwar berkata Malaysia merupakan peneraju dari segi teknologi baharu dalam industri mikrocip serta semikonduktor membabitkan kalangan negara-negara sedang pesat membangun.

Ini termasuk langkah pengeluar semikonduktor terbesar Jerman, Infineon Technologies AG membuat pelaburan tambahan sehingga lima bilion euro untuk membina loji fabrikasi kuasa silikon karbida (SiC) 200 milimeter (mm) terbesar dunia di Malaysia.

Dalam pada itu, Perdana Menteri juga berkongsi rasa optimis bahawa Malaysia kini di landasan tepat untuk mengulangi pencapaian ekonomi yang mantap sepertimana pada 90-an, bersama-sama dengan negara-negara Asean.

“Ini bermakna, kita perlu melakukan apa yang sewajarnya untuk berdaya saing agar ekonomi dan rakyat kita mendapat manfaat daripada dasar serta inisiatif berkenaan.

“Apabila ke Malaysia, anda boleh saksikan sendiri perubahan berbanding pada lima, tiga atau dua tahun lepas.

“Saya juga ingin tegaskan satu perkara — keadaan sekarang jauh lebih baik serta mudah untuk menjalankan perniagaan kerana wujudnya keazaman lebih jelas dan kepimpinan yang efektif bagi memastikan kita dapat berfungsi berkesan,” kata beliau.

Hadir sama pada sesi itu adalah Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Perdagangan Luar UAE Dr Thani Ahmed Al Zeyoudi.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Bank Dunia Turunkan Unjuran Pertumbuhan Global 2026 Kepada 2.5 Peratus

Bank Dunia menurunkan unjuran pertumbuhan global kepada 2.5 peratus bagi 2026 pada Khamis, daripada 2.9 peratus pada 2025, sekali gus mencatatkan kadar terendah sejak akhir 2019, lapor Agensi Berita Xinhua.

Laporan Prospek Ekonomi Global separuh tahun bank itu memetik faktor kenaikan harga tenaga, inflasi yang lebih tinggi dan peningkatan kos pinjaman di tengah-tengah konflik Asia Barat sebagai punca kepada pengurangan unjuran pertumbuhan berkenaan.

Laporan itu turut memberi amaran bahawa risiko kemerosotan adalah signifikan. Pertumbuhan global boleh terus menyederhana kepada 2.1 peratus jika gangguan bekalan tenaga berlarutan lebih lama dan harga minyak secara purata mencecah US$115 setong tahun ini, yang akan memacu inflasi kepada 4.4 peratus.

Laporan berkenaan menurunkan unjuran pertumbuhan bagi dua pertiga negara berbanding laporan Januari tahun ini, dengan negara-negara Teluk mencatatkan pengurangan paling besar daripada 3.9 peratus pada 2025 kepada hampir sifar pada 2026.

Asia Selatan pula dijangka mencatatkan pertumbuhan paling kukuh berbanding mana-mana wilayah lain pada kadar 6.3 peratus bagi tahun 2026, walaupun angka itu menunjukkan penurunan berbanding tujuh peratus pada 2025.

Selain itu, laporan berkenaan mengekalkan unjuran pertumbuhan sebanyak 2.2 peratus bagi ekonomi Amerika Syarikat (AS) pada 2026, biarpun ia menarik perhatian bahawa angka terbabit boleh menyusut kepada 2.1 peratus pada 2027 dan dua peratus pada 2028.

Ekonomi di zon euro pula dijangka berkembang pada kadar 0.8 peratus pada 2026, turun daripada 1.4 peratus pada 2025. Bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Jepun, ia diunjurkan berkembang 0.7 peratus pada 2026 berbanding 1.1 peratus pada 2025.

Bank Dunia menjangkakan pertumbuhan global kembali meningkat kepada 2.8 peratus pada 2027, namun kadar itu kekal 0.4 mata peratusan di bawah purata yang direkodkan pada dekad 2010-an.

Walaupun risiko terus memihak kepada kemerosotan ekoran peningkatan permusuhan, gangguan pasaran komoditi dan ketegangan geopolitik yang bertambah, pihak bank menegaskan bahawa tindakan dasar adalah sangat kritikal.

Pada peringkat global, Bank Dunia menggesa negara-negara terbabit untuk melindungi keselamatan tenaga dan makanan serta memajukan peralihan tenaga. Bagi peringkat domestik pula, semua negara digesa mengawal inflasi, memperkukuh kemampanan fiskal dan menyokong pewujudan peluang pekerjaan.

–BERNAMA