Rizab Antarabangsa Malaysia Berjumlah US$110.1 Bilion 29 Sept, 2023 – BNM

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) — Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah US$110.1 bilion (US$1=RM4.72) pada 29 Sept, 2023 berbanding US$112.46 bilion pada akhir Ogos 2023.

Bank pusat berkata dalam satu kenyataan hari ini bahawa paras rizab adalah mencukupi untuk membiayai 5.1 bulan import barangan dan perkhidmatan dan satu kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.

Komponen utama rizab antarabangsa ialah rizab mata wang asing (US$98.0 bilion), paras rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (US$1.4 bilion), hak pengeluaran khas (SDR) (US$5.7 bilion), emas (US$2.3 bilion) dan aset rizab lain (US$2.7 bilion).

Jumlah aset berjumlah RM620.97 bilion, terdiri daripada emas dan pertukaran asing dan rizab lain, termasuk SDR (RM517.14 bilion), kertas kerajaan Malaysia (RM12.76 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM23.87 bilion), tanah dan bangunan (RM4.14 bilion) dan aset-aset lain (RM63.06 bilion).

BNM berkata modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM170.61 bilion), mata wang dalam edaran (RM158.20 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM184.83 bilion), deposit kerajaan persekutuan (RM9. 21 bilion), deposit lain (RM37.23 bilion), kertas Bank Negara (RM26.09 bilion), peruntukan SDR (RM29.85 bilion) dan liabiliti-liabiliti lain (RM4.85 bilion).

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Kerajaan Sedang Kaji Perluas Guna QR SARA Ke Pasar Tamu, Pasar Tani –  MOF

KUALA LUMPUR — Kerajaan sedang mengkaji pelaksanaan penggunaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menerusi pembayaran kod respons pantas (QR) di Pasar Tamu dan Pasar Tani dan keputusan mengenainya dijangka diumumkan dalam Belanjawan 2027 jika didapati mampan.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan kerajaan telah meningkatkan penglibatan kedai runcit kecil sebagai Rakan Niaga SARA kepada lebih 6,000 premis.

Selain itu, jumlah keseluruhan Rakan Niaga SARA telah mencecah lebih 13,700 kedai di seluruh negara setakat 15 Julai 2026 berbanding 700 buah kedai pada 2024 manakala terdapat 140,000 produk atau barangan yang boleh diperolehi di bawah pelaksanaan SARA.

“Sekiranya Rakan Niaga SARA berkenaan turut terlibat sebagai peniaga di Pasar Tamu/Pasar Tani, penerima SARA boleh menggunakan kredit SARA berkenaan bagi pembelian kategori barangan SARA sahaja.

“Namun, bagi keseluruhan penggunaan SARA melalui kaedah pembayaran kod QR di Pasar Tamu/Pasar Tani, ianya masih dalam peringkat kajian dan penelitian oleh kerajaan. Sekiranya didapati mampan, ini akan diumumkan dalam Belanjawan 2027 kelak,” menurut kementerian menerusi jawapan bertulis Dewan Negara disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Kenyataan itu sebagai menjawab soalan Senator Larry Anak Asap mengenai peluasan skop perbelanjaan SARA di pasar tamu bagi memberikan manfaat kepada golongan penjaja dan peniaga kecil.

— Bernama