Malaysia Tidak Akan Tunduk Kepada Tekanan Luar Yang Jejaskan Dasar Negara – PM Anwar

PUTRAJAYA, 21 Julai (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia tidak akan tunduk kepada tekanan yang akan menjejaskan dasar negara termasuk rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) berkaitan tarif.

Beliau berkata walaupun pelaburan dan perdagangan dengan AS adalah tinggi, Malaysia mempunyai ‘redline’ dalam rundingan iaitu dasar bumiputera tidak boleh diganggu meskipun dianggap ‘diskriminatif’ oleh pihak luar.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata peluang kepada syarikat tempatan juga perlu dipertahankan dalam rundingan dengan AS.

Beliau turut menegaskan pendekatan Malaysia lebih teliti dan tegas demi memastikan kepentingan negara terjaga dan hubungan perdagangan dengan negara lain termasuk China dan ASEAN terus diperkukuh sebagai langkah memperluas pasaran.

“Itu ‘redline’ kita dalam rundingan (tarif) dan sebab itu, rundingan kita lebih teliti dan tegas. Kita terus berdagang dengan semua negara tetapi tiada negara yang boleh meletakkan syarat yang menekan kita,” kata beliau pada majlis perjumpaan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.

Anwar berkata hubungan erat beliau dengan pemimpin dunia terutamanya Brazil dan Mesir telah membuka peluang ekonomi strategik kepada Malaysia bagi memperkukuh daya tahan ekonomi negara.

Beliau berkata hubungan baik dengan Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva telah menjana hasil apabila Petronas dijemput untuk terlibat dalam penerokaan dan pengeluaran minyak di negara tersebut manakala syarikat Yinson Holdings dalam pembinaan kapal minyak dan gas untuk pasaran Brazil dan Peru.

“Hubungan syarikat Malaysia itu mudah kerana persahabatan kita. Selain peningkatan perdagangan dengan negara BRICS (gabungan ekonomi Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan), Malaysia membuka jaringan baharu untuk kelangsungan negara dan (kita) tidak boleh bergantung pada satu negara sahaja,” kata beliau.

Di Mesir, Anwar berkata hubungan dengan Presiden Abdel Fattah el-Sisi juga membuahkan hasil apabila kerajaan Mesir memberi laluan kepada Proton untuk menjadikan negara itu sebagai hab pengeluaran bagi pasaran Afrika Utara.

Beliau berkata langkah ini telah menyumbang kepada peningkatan 34 peratus dalam perdagangan dengan Mesir dalam tempoh setahun.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

OPR Dijangka Kekal 2.75 Peratus Pada 2026 Susulan Kekuatan Permintaan Domestik – Kenanga IB

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) — Ketahanan permintaan domestik serta tekanan inflasi yang masih terkawal dijangka membolehkan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras semasa 2.75 peratus sepanjang 2026, menurut Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB).

Dalam nota penyelidikannya, bank pelaburan itu berkata inflasi keseluruhan kekal sederhana, namun gangguan berterusan di sekitar Selat Hormuz masih berpotensi menimbulkan risiko kenaikan inflasi menerusi peningkatan kos bahan api import, baja dan logistik

“Penstabilan dasar monetari dijangka terus menjadi objektif utama, manakala ketidaktentuan luaran yang semakin meningkat serta kedudukan ringgit yang agak kukuh memberi ruang yang mencukupi kepada bank pusat untuk mengekalkan kadar faedah semasa,” katanya.

Bagi unjuran kadar pertukaran dolar Amerika Syarikat (AS)-ringgit pada akhir tahun, Kenanga IB mengekalkan sasaran pada RM3.95 berbanding dolar AS, yang didorong bukan semata-mata oleh bilangan pengurangan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS, sebaliknya oleh jangkaan kelemahan struktur mata wang dolar AS yang lebih meluas.

Unjuran itu turut disokong oleh kepelbagaian rizab antarabangsa, pengagihan semula portfolio pelaburan serta kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kemampanan fiskal AS.

Bank pelaburan itu berkata asas ekonomi domestik kekal menyokong, dengan deposit mata wang asing mencecah paras tertinggi baharu sebanyak RM305.8 bilion pada April, sekali gus mencerminkan potensi besar penukaran kepada ringgit dalam tempoh jangka panjang.

“Bagaimanapun, risiko kini dilihat lebih seimbang. Meskipun ketegangan geopolitik di Asia Barat boleh menyebabkan harga minyak, jangkaan inflasi dan permintaan terhadap dolar AS kekal tinggi untuk tempoh lebih lama, kami berpandangan perkembangan politik domestik semakin menjadi faktor penting yang mempengaruhi sentimen pasaran,” katanya.

— BERNAMA