SEREMBAN, 6 Disember 2025 – Pembangunan Berorientasikan Transit Seremban Sentral dijangka dapat menjana hasil perniagaan sehingga RM300 juta setahun dan mencipta kira-kira 2,500 peluang pekerjaan baharu merangkumi sektor kesihatan, peruncitan, logistik, pelancongan dan perkhidmatan sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi Negeri Sembilan ke arah hab bandar moden dan berdaya saing.
Keyakinan ini diperkukuhkan dengan berlangsungnya majlis pecah tanah projek itu hari ini, melibatkan pembangunan di atas tanah seluas 20.8 ekar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM2 bilion.
“Seremban Sentral bukan sekadar projek pembangunan fizikal semata-mata, tetapi simbol kebangkitan baharu yang bakal memperkukuh identiti bandar ini sebagai pusat ekonomi moden dan mampan.
Dengan dukungan Kerajaan Negeri, pihak berkuasa, agensi teknikal serta rakan pemaju, kita bukan sahaja membentuk masa depan Seremban, malah turut mengangkat nilai warisan ke dalam arus kemajuan bagi memastikan pembangunan ini direalisasikan dengan jayanya,” kata YB Loke dalam ucapan perasmiannya pada Majlis Pecah Tanah Pembangunan Berorientasikan Transit Seremban Sentral yang dianjurkan oleh Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan Kumpulan Sunway, selaku pemaju projek ini. Majlis tersebut turut disempurnakan YB Tuan Arul Kumar a/l Jambunathan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan, YBhg. Tan Sri Sir Dr. Jeffrey Cheah KBE OA, Pengasas dan pengerusi Kumpulan Sunway. Turut hadir YBhg. Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah RAC, YBhg. Dato’ Azhar Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif RAC, YBhg. Datuk Mohd Anuar Taib, Timbalan Presiden Kumpulan Sunway serta YBhg. Dato’ Tan Kia Loke, Pengarah Urusan Kanan Kumpulan Sunway.
Fasa Pertama: Tonggak Awal Pembangunan Seremban Sentral
Pelaksanaan komponen Fasa Pertama pembangunan ini akan bermula pada tahun 2026 dan akan memfokuskan kepada komponen–komponen teras seperti berikut:
- Pusat Perubatan Sunway Seremban atau Sunway Medical Centre:
- Sebuah hospital moden berkapasiti lebih daripada 250 katil dengan keluasan 480,000 kaki persegi; dan
- Hospital pertama di negeri ini yang dibina secara langsung bersebelahan Stesen Keretapi Seremban, menjadikannya hab kesihatan paling berhubung di Seremban.
- Pusat Membeli-Belah Baharu
- Pusat beli-belah baharu berkeluasan 1.2 juta kaki persegi;
- Diuruskan oleh Sunway Malls; dan
- Direka sebagai pusat komersial moden dan tarikan gaya hidup moden serta nadi ekonomi baharu bagi kawasan sekitar.
- Menara Pejabat
- Menara pejabat berkeluasan 300,000 kaki persegi; dan
- Menyediakan ruang kerja moden dan fleksibel yang menyokong pertumbuhan perniagaan di Seremban.
Kesemua komponen dalam Fasa Pertama ini dirancang untuk disiapkan menjelang 2030, manakala bagi Fasa Kedua yang melibatkan pembangunan tambahan kediaman, komersial dan kemudahan komuniti (serviced apartment) berkeluasan 3.2 juta kaki persegi akan dibangunkan secara berperingkat dari tahun 2029 hingga 2039.
Manfaat Sosioekonomi Kepada Rakyat
Pembangunan ini dijangka memberi limpahan ekonomi langsung kepada Negeri Sembilan melalui tiga (3) manfaat utama:
- Peningkatan peluang pekerjaan
- Dianggarkan 2,500 peluang pekerjaan baharu akan diwujudkan merangkumi sektor peruncitan, pengurusan hartanah, logistik dan perkhidmatan selaras dengan pembangunan pusat beli-belah dan hospital sekali gus meningkatkan kadar penyertaan tenaga kerja tempatan.
- Lonjakan aktiviti ekonomi tempatan
- Melalui pembangunan ini juga, dianggarkan sehingga RM300 jutahasilperniagaan setahun dapat dijana, termasuk sekurang-kurangnya RM15 juta pendapatan bulanan kepada tenaga kerja tempatan melalui penjanaan aktiviti ekonomi langsung dan rantaian sokongan.
- Peningkatan mobiliti rakyat
- Pembangunan Seremban Sentral ini juga sekaligus menyasarkan sekurang-kurangnya 6,000 pengguna harian yang akan menghubungkan perjalanan antara kerja, kediaman, pusat kesihatan dan gaya hidup dalam lonjakan besar ke arah mobiliti bandar moden.
“Sunway berhasrat menjadi rakan strategik yang kukuh bersama RAC dalam agenda pembangunan berwawasan ini, bagi memacu pertumbuhan ekonomi Negeri Sembilan yang mampan, inklusif dan saksama. Kerjasama jangka panjang ini akan memastikan projek Seremban Sentral bukan sahaja memberi impak ekonomi, malah memberi manfaat sosial dan komuniti secara menyeluruh.” kata YBhg. Tan Sri Sir Dr. Jeffrey Cheah KBE OA, Pengasas dan pengerusi Kumpulan Sunway.
Pengekalan Warisan – Membina Masa Depan Seremban Tanpa Melupakan Akar Budaya
Selaras dengan identiti sejarah Seremban, projek ini turut mengekalkan elemen warisan sedia ada melalui:
- Pemuliharaan dan naik taraf Seremban Yard sebagai bangunan kolonial bersejarah dan mengekalkan pokok-pokok matang di kawasan tersebut sebagai identiti landskap asalnya. Pendekatan ini memastikan nilai warisan Seremban Yard terus terpelihara sambil mewujudkan persekitaran yang lebih lestari, menarik dan berfungsi untuk komuniti; dan
- Penyusunan semula Heritage Market sebagai tarikan budaya disamping mewujudkan ruang dagangan yang tersusun dan lebih menarik.