Meskipun Ringgit Tidak Menentu, Ekonomi Kekal Kukuh Dan Akses Kepada Kredit Masih Tersedia Meluas

KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) — Malaysia masih berupaya menarik Pelaburan langsung Asing (FDI) manakala asas ekonomi dan prospek jangka panjangnya kekal kukuh dan akses kepada kredit terus tersedia secara meluas untuk membiayai aktiviti ekonomi, meskipun pergerakan ringgit yang tidak menentu, kata seorang ahli ekonomi. 

Ketua Ahli Ekonomi Maybank Investment Bank Suhaimi Ilias berkata lebihan akaun semasa atau perdagangan Malaysia kekal bertahan selama berdekad-dekad meskipun negara mencatatkan defisit belanjawan. 

Beliau berkata defisit belanjawan itu sendiri adalah dalam proses penstabilan, daripada paras tinggi lebih 6.0 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) semasa tempoh pandemik (2020-2021), defisit belanjawan berkurangan kepada 5.6 peratus daripada KDNK pada 2022. 

Defisit belanjawan, kemudiannya disasarkan pada 5.0 peratus daripada KDNK tahun ini, sekali gus menuju ke arah paras mampan sekitar 3.0 peratus hingga 3.5 peratus daripada KDNK yang disasarkan menjelang 2025.

“Selain itu, defisit belanjawan boleh dikatakan dibiayai sepenuhnya oleh hutang dalam negeri dan bukannya hutang luar, mencerminkan tahap sumber kewangan dalaman yang tinggi, hasil daripada kadar simpanan yang tinggi – satu lagi asas ekonomi yang penting,” katanya kepada Bernama ketika ditanya mengenai penurunan nilai ringgit ketika ini.

Dilaporkan bahawa ringgit merosot 5.8 peratus pada separuh pertama 2023, mendahului penurunan dalam kalangan mata wang negara Asia sedang pesat membangun, manakala ekuiti di Malaysia dan Thailand mencatatkan kerugian terbesar dalam pasaran bercampur.

Malaysia juga terus menarik pelaburan langsung asing (FDI) seperti yang ditunjukkan menerusi kelulusan FDI kukuh sejak 2021 yang mana merupakan rekod tertinggi sebanyak RM209 bilion dan kekal kukuh pada RM163 bilion pada 2022, melebihi purata RM58 bilion setahun sepanjang 2010-2019

 Bagi suku pertama 2023, FDI yang diluluskan meningkat sebanyak 52.5 peratus tahun ke tahun kepada RM37 bilion berbanding dengan RM28 bilion bagi tempoh sama pada 2022.

“Ini jelas memaparkan keyakinan terhadap asas-asas negara serta prospek bagi jangka panjang, selain insentif yang ditawarkan bagi menarik FDI berkualiti, nilai tambah tinggi, berimpak tinggi sebagaimana terbukti menerusi pengumuman pelaburan di Malaysia oleh Tesla dan Amazon serta pelan pelaburan jangka panjang lebih awal yang dinyatakan oleh Intel,” kata Suhaimi.

Pada akhirnya kelak, kesemua asas-asas ini akan dicerminkan dalam penarafan kredit berdaulat Malaysia yang kini dalam kategori gred pelaburan tinggi dengan prospek stabil.

Mudah Tunai Bank Masih Tinggi

Sementara itu, Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata walaupun ringgit terus dihimpit ketidaktentuan, akses kepada kredit sebaliknya kekal tersedia secara meluas berikutan keadaan bank-bank yang mempunyai mudah tunai tinggi, modal yang baik serta pengurusan risiko serba mantap.

“Oleh itu, (aspek) pengantaraan dana dapat dilaksanakan secara lancar untuk membiayai aktiviti-aktiviti ekonomi biarpun dalam keadaan ringgit yang tidak menentu. Atas alasan itu, negara ini sewajarnya mendapat kedudukan lebih baik dari segi paras ringgit,” katanya.

Malah, katanya, apa yang harus menjadi tumpuan sekarang adalah “bagaimana kita dapat memastikan nilai ringgit dapat ditingkatkan bagi tempoh jangka panjang serta lebih mampan?”

Bagi menangani keadaan itu, beliau berpendapat ini memerlukan pembaharuan ekonomi yang melibatkan usaha bagi memacu peranan sektor swasta sebagai penggerak atau enjin pertumbuhan negara.

“Sudah pasti, peruntukan sumber perlu dikaji semula untuk mendapat daya saing. Sehubungan itu, perbelanjaan terhadap pendidikan, penjagaan kesihatan dan infrastruktur sepatutnya diberikan lebih perhatian berikutan ini adalah bidang utama yang boleh memastikan Malaysia berdaya saing.

“Sekiranya Malaysia berdaya saing, dana asing akan diterima dan ini akan mewujudkan permintaan kepada ringgit yang seterusnya boleh memacu nilai ringgit yang lebih baik,” katanya.

Pasaran modal Malaysia  memenuhi keperluan pelabur, permintaan baik terhadap bon

“Pasaran modal Malaysia mempunyai pelabur asing yang pelbagai dan memiliki banyak sumber bagi memenuhi keperluan pelabur untuk mempelbagai,” kata Suhaimi.

Dalam persekitaran kadar faedah yang meningkat atau tinggi, walaupun ia secara umumnya negatif kepada ekuiti, bon mempunyai daya tarikan dari perspektif hasil, katanya.

“Oleh itu, terdapat jumlah belian asing bersih bagi ekuiti dan bon Malaysia berjumlah +RM13 bilion. Setakat ini pada tahun ini kita mempunyai aliran masuk modal portfolio bersih,” kata Suhaimi. 

Pelabur asing bersih membeli bon Malaysia sebanyak +RM15.9 bilion dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini berbanding pembelian bersih RM911 juta dalam tempoh sama tahun lepas.

Ini diterajui aliran masuk lebih tinggi daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII), masing-masing berjumlah RM11.9 bilion (5M2022: RM316 juta) dan RM5.4 bilion (5M2022: -RM253 juta). 

“Oleh itu, tidak kesemuanya buruk kepada ringgit kerana permintaan daripada dana asing untuk pasaran bon Malaysia masih baik,” kata Afzanizam.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

TH Tidak Sepatutnya Isytihar Hibah 2017 RM2.75 Bilion, Amal Perakaunan Kreatif

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Lembaga Tabung Haji (TH) tidak sepatutnya mengisytiharkan agihan keuntungan (hibah) tahunan sebanyak 4.50 peratus dan agihan keuntungan (hibah) haji 1.75 peratus yang menelan perbelanjaan sehingga RM2.75 bilion bagi tahun kewangan 2017, menurut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Dalam Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi ‘TH dari 2014 hingga 2020 yang diterbitkan malam ini, keghairahan TH untuk membayar agihan keuntungan (hibah) yang tinggi sejak 2014 hingga 2017 sehingga melampaui kemampuan kewangan antara faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan.

Menurut RCI, pengurusan TH telah membuat amalan perakaunan kreatif bagi pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang tinggi.

Suruhanjaya mendapati penyata kewangan “TH dari 2014 hingga 2017 telah diberi Sijil Audit Bersih walaupun laporan audit untuk tahun kewangan 2017 ada menyebutkan mengenai “Emphasis of Matter”.

Berkaitan pengauditan Penyata Kewangan TH 2017, RCI menjelaskan Jabatan Audit Negara (JAN) tidak sepatutnya mengeluarkan Sijil Audit Bersih bagi tahun kewangan berkenaan kerana perkara yang dinyatakan sebagai ‘Emphasis of Matter’ sepatutnya dinyatakan sebagai ketidakpatuhan.

Penjelasan mengenai “Emphasis of Matter” itu menunjukkan Ketua Audit Negara (KAN) telah mempertimbangkan perkara di luar skop audit dalam penemuannya ketika mengaudit Penyata Kewangan TH 2017, dan jelas JAN tidak tegas dalam pengauditan penyata kewangan ‘TH.

Jabatan Audit Negara Gagal Tegur

Menurut RCI, ketidaktegasan JAN juga dilihat apabila agensi berkenaan gagal menegur ‘TH berkaitan pemberian keuntungan (hibah) yang tinggi sepanjang 2014 hingga 2017.

Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi yang dibuat sebelum 2018 telah menyebabkan rizab ‘TH menyusut, tambah RCI.

“Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi ini telah menarik para pendeposit yang mencari pulangan yang tinggi. Dalam memenuhi jangkaan pendeposit ini menyebabkan TH tergelincir daripada matlamat penubuhannya.

“Ini mendedahkan “TH kepada risiko pendeposit besar yang berpotensi mengeluarkan deposit mereka (bank run) sekiranya agihan keuntungan (hibah) yang diberi oleh TH adalah terlalu rendah,” tambah RCI.

Menurut RCI, perkara itu berlaku pada 2019 selepas pengumuman agihan keuntungan (hibah) pada kadar 1.25 peratus bahawa terdapat pengecutan dalam deposit.

“Saiz deposit ‘TH menurun daripada kira-kira RM 73 bilion sebelum pengumuman agihan keuntungan (hibah) kepada RM69 bilion pada akhir 2019. TH bernasib baik kerana jumlah pengeluaran deposit dan kesannya adalah lebih kecil daripada apa yang dikhuatiri,” tambah RCI.

Menurut RCI, JAN seharusnya membuat teguran mengenai pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang terlalu tinggi yang bertentangan dengan kemampuan kewangan ‘TH.

— BERNAMA