MITI Optimistik 2024 Tahun Lebih Positif Bagi FDI Ke Dalam Malaysia

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) — Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) optimistik 2024 akan menjadi tahun yang lebih positif bagi pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam Malaysia, memanfaatkan perancangan yang telah dirangka.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, Malaysia merekodkan pelaburan bernilai RM132.6 bilion, kira-kira 60 peratus daripada sasaran pelaburan bagi 2023, yang melepasi sedikit sasaran itu.

“Berita baik adalah hampir separuh daripada itu sebenarnya merupakan pelaburan langsung domestik (DDI) dan bakinya FDI. Kita berharap momentum ini akan berterusan,” katanya kepada pemberita selepas perbincangan meja bulat mengenai Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, anjuran MIDF di sini, pada Isnin.

Beliau berkata penting untuk menekankan DDI memandangkan terdapat hubung kait positif di antara FDI dengan DDI,

Peningkatan FDI berkait rapat secara positif dengan peningkatan DDI kerana akan mewujudkan limpahan, katanya.

“Meneliti sebab untuk kita perlu menarik FDI, terdapat tiga sebab utama iaitu FDI mencipta pekerjaan. Jadi, akan berlaku limpahan penting. Kedua, kita mahu memastikan FDI mewujudkan limpahan kepada industri kita, sama ada sektor pembinaan atau dari segi bekalan.

“Yang terakhir, untuk memastikan kita meningkatkan kekompleksan ekonomi sebagai sebuah negara pengeksport. Perdagangan kita kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lepas adalah 160 peratus,” katanya.

Tengku Zafrul berkata dalam Belanjawan 2024, sebanyak RM200 juta diperuntukkan untuk inisiatif NIMP 2030 yang meliputi pelbagai sektor utama dengan tumpuan kepada empat misi utama.

Antara misi utama itu adalah untuk memajukan kekompleksan ekonomi dan antara tumpuannya untuk memperluas kepada aktiviti nilai tambah tinggi dalam rantaian nilai di samping membangunkan keseluruhan ekosistem untuk menyokong aktiviti nilai tambah tinggi.

“Kita perlu membangunkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan yang kukuh dalam pembuatan dan perkhidmatan berkaitan untuk menyokong peneraju industri serta menyepadukan rantaian nilai.

“Jadi, bagi industri yang sedang meningkatkan rantaian nilai, mereka memerlukan sokongan. Mereka layak mendapat pelaburan seperti ini daripada peruntukan belanjawan RM200 juta. Namun, ini daripada pihak kerajaan. Terdapat juga sokongan daripada pihak swasta, terutama daripada institusi kewangan dan pasaran modal,” katanya.

Ketika ditanya mengenai keputusan kerajaan untuk menaikkan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) daripada enam peratus kepada lapan peratus seperti yang diumumkan semasa pembentangan Belanjawa 2024, beliau berkata ia tidak akan memberi banyak kesan kepada industri namun masih perlu untuk memantau perkara yang berlaku daripada keputusan itu.

Beliau berkata industri perlu memahami keperluan kerajaan, dan sebagai penggubal dasar, kerajaan akan meneliti kebaikan dan keburukan dalam mencapai keseimbangan yang betul.

“Kita mempunyai tanggungjawab fiskal, dan juga bertanggungjawabab kepada Parlimen dan kepada rakyat untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif kepada semua.

“Jadi bagi industri, sebarang bentuk cukai dasar fiskal juga akan menjadi sesuatu yang perlu syarikat rangkumkan sebagai sebahagian daripada rancangan perniagaan pada masa hadapan,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Signature Memperkasa Pusat Kechara Soup Kitchen Di Jalan Imbi Untuk Memperluas Impak Komuniti

KUALA LUMPUR: Signature International Berhad (“Signature”) hari ini memperkenalkan Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1 yang pertama seumpamanya diterajui oleh korporat, hasil kerjasama bersama Kechara Soup Kitchen (KSK).

Inisiatif ini menyaksikan pusat KSK di Jalan Imbi dinaik taraf menjadi sebuah kemudahan khusus yang menggabungkan pengagihan makanan dengan pemerkasaan komuniti.

Inisiatif ini mencerminkan kepercayaan Signature bahawa perniagaan mampu mewujudkan impak sosial yang lebih besar dengan menerapkan kepakaran yang telah dibangunkan selama bertahun-tahun.

Bagi Signature, yang telah memberi tumpuan kepada penyediaan ruang kediaman berfungsi selama lebih tiga dekad, projek ini memberi peluang untuk menyumbangkan keupayaan dalam reka bentuk, pembuatan, pemasangan serta pengurusan projek bagi menyokong keperluan KSK yang terus berkembang.

Dilaksanakan menerusi Signature Cares, platform tanggungjawab korporat jangka panjang Kumpulan, inisiatif ini memperluaskan kepakaran Signature melangkaui ruang kediaman dan ke dalam komuniti.

Signature mereka bentuk semula pusat Jalan Imbi berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut, di samping mewujudkan ruang yang mampu menyokong program pemerkasaan pada masa hadapan.

Selama hampir dua dekad, pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi telah menjadi salah satu hab komuniti utama organisasi tersebut, menyediakan makanan, bantuan kebajikan serta sokongan kepada individu dan keluarga yang berdepan kesukaran.

Seiring dengan perkembangan usaha jangkauan komuniti, keperluan terhadap sebuah kemudahan yang mampu menyokong pengagihan makanan secara lebih cekap serta program yang melengkapkan penerima manfaat dengan kemahiran praktikal untuk mencapai kebergantungan diri yang lebih tinggi turut meningkat.

Dengan pengalaman lebih 30 tahun sebagai penyedia penyelesaian Total Home & Living terkemuka di Malaysia, Signature telah mereka bentuk semula dan menaik taraf keseluruhan pusat tersebut berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut bagi menambah baik aliran kerja, fungsi ruang serta pengalaman sukarelawan, kakitangan dan penerima manfaat.

Teras utama usaha pemerkasaan ini ialah Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1, sebuah konsep inovatif yang membolehkan ruang khusus yang sama menjalankan dua fungsi saling melengkapi. Dalam operasi harian, pusat ini menyokong penyediaan dan pengagihan makanan secara lebih cekap kepada komuniti yang memerlukan.

Selain perkhidmatan penyediaan makanan, ruang ini turut berfungsi sebagai pusat pemerkasaan yang membolehkan program memasak, membakar serta pembangunan kemahiran lain dijalankan bagi melengkapkan penerima manfaat dengan kebolehan praktikal, meningkatkan keyakinan diri dan membuka laluan ke arah kehidupan yang lebih berdikari dalam
jangka panjang.

Reka bentuk fleksibel ini membolehkan KSK memaksimumkan penggunaan satu kemudahan sepanjang hari, memenuhi keperluan komuniti semasa sambil mewujudkan peluang untuk pelaksanaan program pemerkasaan jangka panjang dalam ruang yang sama.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Signature, Encik Lau Kock Sang, berkata projek ini menunjukkan bagaimana perniagaan boleh mencipta perubahan bermakna dengan memanfaatkan kepakaran yang dimiliki.

“Apabila kami pertama kali mengunjungi pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi, kami melihat sebuah organisasi yang telah berkhidmat kepada rakyat Malaysia yang memerlukan dengan penuh dedikasi selama lebih 20 tahun.

Persoalan bagi kami bukanlah sama ada kami perlu membantu, tetapi bagaimana kami boleh menyumbang dengan cara yang paling bermakna menggunakan kepakaran yang telah kami bina selama lebih tiga dekad.

“Kepercayaan tersebut menjadi asas kepada Signature Cares. Setiap perniagaan memiliki keupayaan yang melangkaui produk atau perkhidmatan yang ditawarkan. Apabila keupayaan tersebut dimanfaatkan untuk memenuhi keperluan komuniti sebenar, ia mampu mencipta nilai berpanjangan yang jauh melangkaui satu-satu projek,” katanya.

Pengurus Besar Kechara Soup Kitchen, Encik Justin Cheah Kok Leong, berkata kemudahan yang telah dinaik taraf ini merupakan pencapaian penting dalam usaha berterusan organisasi tersebut untuk membantu komuniti yang memerlukan.

“Pusat yang telah dinaik taraf ini membolehkan kami menyediakan dan mengagihkan makanan dengan lebih cekap, di samping menyediakan persekitaran khusus untuk program yang membantu penerima manfaat membina kemahiran praktikal serta keyakinan diri. Ia memberikan kami fleksibiliti yang lebih besar untuk memenuhi keperluan semasa sambil melabur dalam usaha pemerkasaan jangka panjang,” jelasnya.

Sebagai sebahagian daripada Inisiatif Sumbangan Bank Makanan Signature (Signature Food Bank Donation Initiative), para Signatorians turut bersama-sama menyumbangkan barangan makanan kering asas berdasarkan senarai keperluan yang disediakan oleh Kechara Soup Kitchen.

Barangan yang dikumpulkan akan diserahkan kepada Kechara Soup Kitchen bagi menyokong usaha berterusan organisasi tersebut dalam membantu komuniti yang memerlukan.

Kerjasama ini menandakan permulaan kepada perkongsian jangka panjang antara Signature dan Kechara Soup Kitchen, dengan kedua-dua organisasi meneroka peluang bagi inisiatif sukarelawan, aktiviti penglibatan komuniti serta program pemerkasaan pada masa hadapan di bawah Signature Cares.