MOF Yakin KWAP Dapat Kembang Dana Kepada RM200 Bln, Tingkat Lebih 30 Aset Harta Menjelang 2025 – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) — Kementerian Kewangan yakin Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) yang melancarkan inisiatif TERAS 5 hari ini dapat mengembangkan saiz dana secara mampan dengan jumlah dana kasar sebanyak RM200 bilion menjelang 2025.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata KWAP turut menyasarkan peningkatan jumlah aset harta kepada lebih 30 daripada 17 serta mempunyai lebih 35 subsidiari dalam tempoh yang sama.

“KWAP telah berkembang maju sebagai sekumpulan syarikat yang telah meluaskan portfolio pelaburannya sebanyak tiga kali ganda dari dana bernilai RM41.9 bilion pada 2007 kepada sekitar RM159 bilion pada hari ini,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Pelan Transformasi KWAP di sini, hari ini.

Tengku Zafrul berkata sebagai pemain dan pelabur utama, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) merupakan tunjang penting kepada asas ekonomi Malaysia dan menyumbang kira-kira RM445 bilion atau 25 peratus pasaran Bursa Malaysia serta memberi peluang pekerjaan kepada lebih 500,000 Keluarga Malaysia.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif KWAP Nik Amlizan Mohamed berkata pelancaran TERAS 5 membuktikan komitmen KWAP sebagai pemacu hala tuju pertumbuhan yang mampan bagi organisasi ini dan juga ekosistem pencen di Malaysia.

“Pada ketika ini, terdapat 17 syarikat yang bernaung di bawah KWAP termasuk 14 syarikat khas dan dua anak syarikat,” katanya pada majlis berkenaan.

Nik Amlizan turut menjelaskan KWAP telah merekodkan pendapatan bersih tertinggi yang berjumlah RM10 bilion.

TERAS 5 merupakan sebahagian daripada pelan dasar jangka panjang bagi menambah saiz dana dengan lebih berkesan dan kekal mampan yang melibatkan pemerkasaan lima pemboleh utama iaitu struktur, tadbir urus, modal insan, proses dan digital. 

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/mof-yakin-kwap-dapat-kembang-dana-kepada-rm200-bln-tingkat-lebih-30-aset-harta-menjelang-2025-tengku-zafrul/

Previous ArticleNext Article

BMI Unjur Pertumbuhan Pinjaman Akan Perlahan Pada Separuh Kedua 2026

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) — BMI, sebuah unit Fitch Solutions, menjangkakan pertumbuhan pinjaman akan perlahan pada separuh kedua 2026, memandangkan momentum yang lebih kukuh daripada jangkaan setakat ini.

Susulan itu, firma penyelidikan itu menyemak semula unjuran pertumbuhan pinjaman Malaysia kepada 5.0 peratus menjelang akhir 2026, berbanding 4.6 peratus sebelum ini.

Dalam satu kenyataan, ia memaklumkan bahawa pertumbuhan pinjaman bank meningkat sejak beberapa bulan lepas, daripada 4.7 peratus pada Januari kepada 5.7 peratus pada Mei.

Menurut BMI, pertumbuhan ekonomi Malaysia yang perlahan akan menjejaskan pertumbuhan kredit bagi beberapa suku tahun akan datang, dengan mengunjurkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebenar menyusut kepada 4.3 peratus pada 2026 daripada 5.2 peratus pada 2025, ia akan berada di paras bawah unjuran semakan kerajaan sebanyak 4.0-5.0 peratus.

Pada masa sama, konflik berterusan antara Amerika Syarikat dan Iran menimbulkan risiko penurunan terhadap pandangan (unjuran) ini.

“Pasukan global kami baru-baru ini menyemak semula unjuran mereka untuk pertumbuhan global kepada 2.4 peratus pada 2026, berbanding 2.8 peratus sebelum ini.

“Sehubungan itu, kami mengingatkan bahawa kelembapan pertumbuhan dalam rakan dagang utama Malaysia boleh mengatasi daya tahan permintaan domestik, sektor pembinaan akan menerima kesan paling teruk,” menurut BMI.

Bagaimanapun, menurut firma penyelidikan itu, bagi Malaysia, kelembapan dalam pertumbuhan kredit mungkin bukan satu perkembangan yang negatif sepenuhnya, terutamanya untuk isi rumah Malaysia yang merangkumi 60 peratus daripada jumlah keseluruhan pinjaman.

Data daripada Bank of International Settlements menunjukkan kredit kepada isi rumah berada pada paras 69.8 peratus daripada KDNK pada suku keempat 2025, manakala nisbah khidmat hutang mencecah paras tertinggi dalam tempoh empat tahun iaitu 15.5 peratus setakat suku keempat 2025, menurut BMI.

Sementara itu, pinjaman isi rumah dijangka terus perlahan pada 2026, disokong oleh jangkaan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus sehingga 2027, sekali gus membayangkan kadar pinjaman akan kekal tinggi untuk beberapa suku tahun kelak.

“Dalam persekitaran ini, kami percaya risiko kestabilan kewangan kekal rendah. Selain itu, BNM mengumumkan kemudahan bantuan kestabilan bernilai RM5 bilion untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebagai persediaan menghadapi kemungkinan konflik di Asia Barat akan membawa kepada lonjakan ‘pinjaman lapuk’ (pinjaman tidak berbayar) dalam kalangan bank tempatan.

“Bagaimanapun, buat masa ini, kebanyakan petunjuk menunjukkan sektor perbankan kekal berada dalam keadaan yang sihat,” menurut kenyataan itu.

Setakat suku pertama 2026, nisbah modal agregat sistem perbankan berada pada paras 18.1 peratus – jauh lebih tinggi daripada syarat minimum kawal selia sebanyak 10.5 peratus (8.0 peratus daripada jumlah nisbah modal dan 2.5 peratus penampan modal).

“Walaupun nisbah Ekuiti Biasa Tahap 1 dan nisbah Modal Tahap 1 menyusut sedikit pada 2025, ia kekal berada di atas keperluan Basel III, masing-masing ditetapkan pada 4.5 peratus dan 6.0 peratus,” menurut BMI.

— BERNAMA