MPOC Jana Potensi Jualan Minyak Sawit Bernilai RM66 Juta Di Kazakhstan, Uzbezkistan

KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) — Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) berjaya menjana potensi jualan bernilai RM66 juta dalam lawatan perdagangan dan jaringannya ke Kazakhstan dan Uzbekistan, baru-baru ini.

Dalam kenyataan hari ini, MPOC berkata misi pertama kali yang disertai oleh 11 wakil industri daripada tujuh syarikat minyak sawit itu turut merangkumi kunjungan ke dua kilang di Almaty, Kazakhstan serta empat yang lain di Tashkent, Uzbekistan.

Program tersebut juga disifatkan sebagai berjaya membuka peluang bagi lokasi pengembangan baharu selain meningkatkan pembelian minyak sawit di rantau tersebut.

“MPOC mengatur mesyuarat industri bagi menghubungkan pembeli sedia ada dan berpotensi bagi minyak sawit di Almaty dan Tashkent.

“Beberapa siri mesyuarat tersebut membincangkan aspek seperti potensi dan cabaran pasaran selain cadangan penyelesaian bagi penggiat industri minyak sawit Malaysia bagi memberi perkhidmatan berkesan untuk pasaran Asia Tengah,” katanya.

MPOC berkata masing-masing sebanyak 17 syarikat Kazakhstan and 38 firma Uzbekistan menyertai sesi padanan perniagaan khusus bagi menarik prospek jualan minyak sawit dan produk berasaskannya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MPOC Belvinder Sron berkata Asia Tengah merupakan pasaran yang berpotensi dengan jumlah permintaan tinggi bagi minyak sayuran.

“Uzbekistan adalah pasaran terbesar dari segi ekonomi dan penduduk di rantau itu manakala Kazakhstan merupakan pasaran kedua terbesar.

“Kedua-dua negara itu boleh menarik potensi import kira-kira 100,000 tan minyak sawit serta produk berasaskannya setiap tahun,” katanya.

Malah, kata Belvinder, Uzbekistan dan Kazakhstan mengimport minyak sawit dan produknya yang masing-masing bernilai RM160 juta dan RM211 juta pada 2022.

“MPOC juga teruja dalam usaha mengembangkan pasaran berkenaan bagi minyak sawit lestari Malaysia dan akan terus menawarkan industri minyak sawit dengan lebih banyak program di pasaran bernilai tinggi,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

TH Tidak Sepatutnya Isytihar Hibah 2017 RM2.75 Bilion, Amal Perakaunan Kreatif

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Lembaga Tabung Haji (TH) tidak sepatutnya mengisytiharkan agihan keuntungan (hibah) tahunan sebanyak 4.50 peratus dan agihan keuntungan (hibah) haji 1.75 peratus yang menelan perbelanjaan sehingga RM2.75 bilion bagi tahun kewangan 2017, menurut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Dalam Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi ‘TH dari 2014 hingga 2020 yang diterbitkan malam ini, keghairahan TH untuk membayar agihan keuntungan (hibah) yang tinggi sejak 2014 hingga 2017 sehingga melampaui kemampuan kewangan antara faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan.

Menurut RCI, pengurusan TH telah membuat amalan perakaunan kreatif bagi pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang tinggi.

Suruhanjaya mendapati penyata kewangan “TH dari 2014 hingga 2017 telah diberi Sijil Audit Bersih walaupun laporan audit untuk tahun kewangan 2017 ada menyebutkan mengenai “Emphasis of Matter”.

Berkaitan pengauditan Penyata Kewangan TH 2017, RCI menjelaskan Jabatan Audit Negara (JAN) tidak sepatutnya mengeluarkan Sijil Audit Bersih bagi tahun kewangan berkenaan kerana perkara yang dinyatakan sebagai ‘Emphasis of Matter’ sepatutnya dinyatakan sebagai ketidakpatuhan.

Penjelasan mengenai “Emphasis of Matter” itu menunjukkan Ketua Audit Negara (KAN) telah mempertimbangkan perkara di luar skop audit dalam penemuannya ketika mengaudit Penyata Kewangan TH 2017, dan jelas JAN tidak tegas dalam pengauditan penyata kewangan ‘TH.

Jabatan Audit Negara Gagal Tegur

Menurut RCI, ketidaktegasan JAN juga dilihat apabila agensi berkenaan gagal menegur ‘TH berkaitan pemberian keuntungan (hibah) yang tinggi sepanjang 2014 hingga 2017.

Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi yang dibuat sebelum 2018 telah menyebabkan rizab ‘TH menyusut, tambah RCI.

“Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi ini telah menarik para pendeposit yang mencari pulangan yang tinggi. Dalam memenuhi jangkaan pendeposit ini menyebabkan TH tergelincir daripada matlamat penubuhannya.

“Ini mendedahkan “TH kepada risiko pendeposit besar yang berpotensi mengeluarkan deposit mereka (bank run) sekiranya agihan keuntungan (hibah) yang diberi oleh TH adalah terlalu rendah,” tambah RCI.

Menurut RCI, perkara itu berlaku pada 2019 selepas pengumuman agihan keuntungan (hibah) pada kadar 1.25 peratus bahawa terdapat pengecutan dalam deposit.

“Saiz deposit ‘TH menurun daripada kira-kira RM 73 bilion sebelum pengumuman agihan keuntungan (hibah) kepada RM69 bilion pada akhir 2019. TH bernasib baik kerana jumlah pengeluaran deposit dan kesannya adalah lebih kecil daripada apa yang dikhuatiri,” tambah RCI.

Menurut RCI, JAN seharusnya membuat teguran mengenai pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang terlalu tinggi yang bertentangan dengan kemampuan kewangan ‘TH.

— BERNAMA