MYDIN Kurangkan Pekerja Asing Dengan Pusat Agihan Automasi Baharu

KUALA LUMPUR: Sime Darby Property Bhd (SDP) dan Mydin Mohamed Holdings Bhd (MYDIN) memulakan kerja pecah tanah bagi pembangunan Pusat Agihan Automasi MYDIN bernilai RM450 juta di City of Elmina, sekali gus memperkukuh kerjasama strategik meningkatkan keupayaan rantaian bekalan dan logistik negara.

Pengarah Urusan MYDIN, Datuk Ameer Ali Mydin, berkata kemudahan itu yang akan beroperasi dengan 70 peratus operasi, memerlukan hanya 132 pekerja berbanding pusat agihan sedia ada di Shah Alam yang kini mempunyai 350 pekerja.

“Dengan pusat agihan baharu ini, kami menjangkakan untuk mengurangkan dengan ketara kebergantungan kepada pekerja asing memandangkan kemudahan ini dikendalikan sepenuhnya oleh 132 pekerja, berikutan penggunaan Sistem Penyimpanan dan Pengambilan Automatik (ASRS), katanya berucap pada majlis simbolik pecah tanah Pusat Agihan Automasi MYDIN yang diadakan di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Ameer berkata, pelaburan berskala besar ini membolehkan MYDIN memperkukuh transformasi logistik dan meningkatkan ketepatan inventori serta kelajuan memenuhi pesanan seluruh negara.

“Pelaburan ini membolehkan MYDIN berkembang dengan lebih inovatif melalui teknologi terkini, di samping membuka peluang pembangunan bakat dan peningkatan kemahiran,” katanya.

Beliau menambah, kemudahan baharu ini dijangka mengintegrasikan robotik, ASRS, serta analitik data masa nyata, seiring usaha MYDIN memodenkan operasi logistik di seluruh negara.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SDP, Datuk Seri Azmir Merican, berkata kerjasama ini mencerminkan keyakinan pelabur terhadap keupayaan syarikat membangunkan ekosistem industri masa depan, bukan sekadar hartanah.

“Kerjasama ini mencerminkan keyakinan yang semakin meningkat terhadap penawaran industri kami, bukan hanya sebagai pemaju, tetapi untuk pembangunan ekosistem jangka panjang.

“Kami berbesar hati bekerjasama dengan MYDIN untuk merealisasikan kemudahan yang mewakili masa depan perdagangan Malaysia,” katanya.

Amirudin pula projek itu sebagai pemangkin utama kepada landskap ekonomi Selangor, yang kekal sebagai penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sebanyak RM432.1 bilion pada 2024, dan dijangka mencecah RM479 bilion pada 2025 menurut Laporan Tinjauan Ekonomi Selangor 2026.

“Pusat agihan ini bukan sekadar bangunan. Ia komponen kritikal keselamatan rantaian bekalan negara. Automasi dan digitalisasi akan mengurangkan pembaziran, menurunkan kos logistik, dan mempercepat akses barangan keperluan kepada rakyat,” katanya.

Projek seluas 19 ekar dengan keluasan binaan 786,000 kaki persegi itu akan dibangunkan melalui model Bina Mengikut Keperluan untuk Disewa (BTSL), menandakan peralihan daripada hubungan pemaju-penyewa tradisional kepada kerjasama jangka panjang.

Kemudahan itu itu dilengkapi sistem ASRS yang dijangka meningkatkan keupayaan ‘throughput’ sehingga 240 peratus, menambah kapasiti palet sebanyak 36 peratus, dan, mengurangkan keperluan tenaga kerja berkemahiran rendah lebih 50 peratus.

Selain meningkatkan struktur rantaian bekalan negara, projek ini dijangka mendorong permintaan pekerjaan berkemahiran tinggi dalam automasi, analitik data dan teknologi logistik, di samping membuka peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan MYDIN.

SDP menjangkakan pembinaan pusat agihan itu siap pada suku ketiga 2027, memperkukuh kedudukan Elmina sebagai hab strategik bagi logistik dan industri maju.

— Berita Harian

Previous ArticleNext Article

TH Tidak Sepatutnya Isytihar Hibah 2017 RM2.75 Bilion, Amal Perakaunan Kreatif

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Lembaga Tabung Haji (TH) tidak sepatutnya mengisytiharkan agihan keuntungan (hibah) tahunan sebanyak 4.50 peratus dan agihan keuntungan (hibah) haji 1.75 peratus yang menelan perbelanjaan sehingga RM2.75 bilion bagi tahun kewangan 2017, menurut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Dalam Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi ‘TH dari 2014 hingga 2020 yang diterbitkan malam ini, keghairahan TH untuk membayar agihan keuntungan (hibah) yang tinggi sejak 2014 hingga 2017 sehingga melampaui kemampuan kewangan antara faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan.

Menurut RCI, pengurusan TH telah membuat amalan perakaunan kreatif bagi pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang tinggi.

Suruhanjaya mendapati penyata kewangan “TH dari 2014 hingga 2017 telah diberi Sijil Audit Bersih walaupun laporan audit untuk tahun kewangan 2017 ada menyebutkan mengenai “Emphasis of Matter”.

Berkaitan pengauditan Penyata Kewangan TH 2017, RCI menjelaskan Jabatan Audit Negara (JAN) tidak sepatutnya mengeluarkan Sijil Audit Bersih bagi tahun kewangan berkenaan kerana perkara yang dinyatakan sebagai ‘Emphasis of Matter’ sepatutnya dinyatakan sebagai ketidakpatuhan.

Penjelasan mengenai “Emphasis of Matter” itu menunjukkan Ketua Audit Negara (KAN) telah mempertimbangkan perkara di luar skop audit dalam penemuannya ketika mengaudit Penyata Kewangan TH 2017, dan jelas JAN tidak tegas dalam pengauditan penyata kewangan ‘TH.

Jabatan Audit Negara Gagal Tegur

Menurut RCI, ketidaktegasan JAN juga dilihat apabila agensi berkenaan gagal menegur ‘TH berkaitan pemberian keuntungan (hibah) yang tinggi sepanjang 2014 hingga 2017.

Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi yang dibuat sebelum 2018 telah menyebabkan rizab ‘TH menyusut, tambah RCI.

“Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi ini telah menarik para pendeposit yang mencari pulangan yang tinggi. Dalam memenuhi jangkaan pendeposit ini menyebabkan TH tergelincir daripada matlamat penubuhannya.

“Ini mendedahkan “TH kepada risiko pendeposit besar yang berpotensi mengeluarkan deposit mereka (bank run) sekiranya agihan keuntungan (hibah) yang diberi oleh TH adalah terlalu rendah,” tambah RCI.

Menurut RCI, perkara itu berlaku pada 2019 selepas pengumuman agihan keuntungan (hibah) pada kadar 1.25 peratus bahawa terdapat pengecutan dalam deposit.

“Saiz deposit ‘TH menurun daripada kira-kira RM 73 bilion sebelum pengumuman agihan keuntungan (hibah) kepada RM69 bilion pada akhir 2019. TH bernasib baik kerana jumlah pengeluaran deposit dan kesannya adalah lebih kecil daripada apa yang dikhuatiri,” tambah RCI.

Menurut RCI, JAN seharusnya membuat teguran mengenai pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang terlalu tinggi yang bertentangan dengan kemampuan kewangan ‘TH.

— BERNAMA