Pelarasan Sementara Kuota BUDI95 Isyarat Kewangan Negara Diurus Berhemat – Penganalisis

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan melaksanakan pelarasan sementara kuota subsidi BUDI95 memberi isyarat jelas kepada pasaran bahawa kerajaan komited mengurus kewangan negara secara berhemat, khususnya dalam suasana ketidaktentuan geopolitik dan risiko kenaikan harga minyak global.

Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata pelarasan sementara itu membantu mengawal pertumbuhan perbelanjaan subsidi dan mengurangkan ketirisan.

“Dalam suasana ketidaktentuan geopolitik dan risiko kenaikan harga minyak, langkah ini membantu mengekalkan kestabilan fiskal serta memastikan sumber negara dapat diagihkan kepada sektor yang lebih produktif dan berimpak tinggi,” katanya kepada BH.

Beliau menyifatkan pelarasan sementara kuota bulanan BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan adalah munasabah mengambil kira ketidaktentuan harga minyak dunia susulan ketegangan di Asia Barat.

Menurutnya, pendekatan itu mencerminkan usaha rasionalisasi subsidi yang lebih bersasar, tanpa menjejaskan golongan yang benar-benar memerlukan.

“Pada masa sama, keputusan mengekalkan kuota 800 liter bagi pemandu dan penghantar e-hailing adalah wajar kerana golongan ini bergantung kepada petrol sebagai sumber pendapatan harian,” jelasnya.

Ahmed Razman berkata, tanpa pelarasan itu, beban subsidi akan terus meningkat dan memberi tekanan kepada defisit fiskal negara.

Katanya, dalam keadaan harga minyak global yang tinggi, kerajaan mungkin terpaksa menambah peruntukan berbilion ringgit lagi untuk subsidi, sekali gus mengehadkan ruang fiskal bagi perbelanjaan penting seperti kesihatan, pendidikan dan bantuan bersasar.

Bagi pengguna biasa, beliau berpandangan, kuota 200 liter sebulan secara purata mencukupi untuk kegunaan harian, khususnya bagi perjalanan ulang-alik ke tempat kerja.

“Namun, keperluan sebenar bergantung kepada jarak perjalanan dan lokasi. Pengguna boleh mempertimbangkan langkah penjimatan seperti berkongsi kenderaan atau menggunakan pengangkutan awam,” tambahnya.

Sementara itu, Pengarah Pakar Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi Negara IPP Wealth Managers Ltd, Mohd Sedek Jantan melihat pelarasan kuota sebagai instrumen pengurusan permintaan dalam kerangka ekonomi mikro.

Katanya, langkah itu secara teori dapat mengurangkan penggunaan berlebihan akibat harga bersubsidi, sekali gus memberi sedikit kelegaan kepada perbelanjaan fiskal kerajaan.

“Namun, selagi harga tidak mencerminkan kos sebenar, mekanisme pasaran kekal tidak seimbang dan keberkesanan langkah ini adalah terhad,” katanya.

Dari sudut makroekonomi, Mohd Sedek menjelaskan, kesan terhadap inflasi adalah lebih kompleks kerana harga bahan api yang dikekalkan menyebabkan tekanan kos sebenar tidak sepenuhnya dipindahkan kepada pengguna.

“Ini mewujudkan fenomena ‘inflation smoothing’, di mana tekanan harga ditangguhkan dalam jangka pendek. Namun, kos itu tetap akan muncul melalui saluran lain seperti peningkatan hutang kerajaan atau pelarasan harga lebih besar pada masa hadapan,” katanya.

Tambah beliau, keadaan itu juga boleh mengganggu jangkaan inflasi dalam kalangan pengguna dan firma kerana isyarat harga yang tidak tepat.

Previous ArticleNext Article

Krisis Geopolitik Ancam Bekalan Lebih Besar Berbanding Kenaikan Harga

KUALA LUMPUR: Ketegangan geopolitik global dilihat lebih berisiko terhadap rantaian bekalan produk berbanding kenaikan harga, kata Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin), Datuk Dr Ameer Ali Mydin.

Beliau berkata, walaupun cabaran geopolitik ketika ini belum memberi impak besar terhadap ekonomi Malaysia, negara dijangka berdepan gangguan rantaian bekalan yang lebih ketara dalam tempoh akan datang.

“Cabaran sebenar bukan harga. Bagi saya, orang terlalu fikir dan menumpukan harga. Lupakan soal harga, sebaliknya apa yang lebih penting ialah sama ada kita mempunyai bekalan itu atau tidak,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif.

Mengulas trend harga semasa, Ameer Ali berkata tekanan harga global dan perkembangan geopolitik sememangnya memberi kesan kepada harga domestik, namun impaknya di Malaysia masih terkawal buat masa ini.

“Ada item tertentu yang turun harga dan ada juga yang meningkat sekitar tiga hingga lima peratus.

“Namun bagi saya, kesan cabaran geopolitik ini masih belum menyeluruh atau berleluasa terhadap ekonomi Malaysia,” katanya.

Beliau berkata gangguan bekalan susulan perkembangan global semasa berkemungkinan hanya dirasai dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang.

Bagaimanapun, katanya, dunia pernah melalui situasi sama sebelum ini dan banyak negara serta perniagaan kini lebih berpengalaman dalam mengurus gangguan rantaian bekalan.

“Kita telah mengharungi perkara sama berulang kali sebelum ini. Ketika Perang Ukraine misalnya, kita berdepan cabaran kekurangan baja. Tidak kurang juga cabaran ketika pandemik COVID-19,” katanya.

Mengulas cabaran sektor e-dagang terhadap industri runcit, Ameer Ali berkata pemain e-dagang turut berdepan tekanan susulan peningkatan kos logistik.

“Oleh itu, kita sebagai peruncit masih mempunyai beberapa kelebihan. Situasi kali ini tidak sama seperti ketika COVID-19 yang menyaksikan lonjakan e-dagang apabila orang ramai tidak dapat keluar rumah.

“Sekarang orang ramai boleh keluar. Sudah pasti harga petrol dan kos tenaga mungkin meningkat, tetapi bukan pada tahap yang memberi kesan besar terhadap perjalanan di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata pengguna pasar raya lazimnya membeli barangan secara pukal, manakala pengguna e-dagang lebih cenderung membeli item secara individu, sekali gus menjadikan kos penghantaran sebagai komponen lebih besar dalam jumlah keseluruhan kos.

“Sudah tentu, pengguna kadangkala boleh terpengaruh dengan iklan seperti penghantaran percuma dan kupon percuma sehingga menyangka mereka mendapat sesuatu secara percuma.

“Namun ingat, tiada benda yang benar-benar percuma. Jika anda tidak membayarnya, orang lain yang akan membayarnya,” katanya.

Ditanya sama ada Mydin akan mempertimbangkan penyenaraian awam pada masa depan, Ameer Ali berkata syarikat itu masih mengutamakan nilai perniagaan jangka panjang yang berorientasikan masyarakat berbanding memaksimumkan keuntungan untuk pelabur.

“Untuk melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO), anda perlu menunjukkan keuntungan yang tinggi bagi memenuhi kehendak pelabur.

“Anda juga perlu menunjukkan pertumbuhan yang sangat tinggi, yang kadangkala melibatkan kos tertentu,” katanya.

Beliau berkata Mydin mungkin tidak mencatat keuntungan setinggi syarikat lain dalam sektor sama kerana syarikat itu lebih mengutamakan khidmat kepada komuniti serta mengembalikan manfaat kepada pembekal.

“Kami tidak menjana keuntungan terlalu besar. Kenapa? Kerana sebahagian daripada keuntungan itu dikembalikan kepada pembekal,” katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan Mydin kekal komited untuk terus berkhidmat kepada masyarakat tempatan sebagai jenama tempatan.

– BERNAMA