Petronas Antara Peneraju 10 Projek Flagship NETR – Rafizi

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) — Petronas antara peneraju 10 projek flagship peralihan tenaga di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau berkata syarikat lain termasuklah Prasarana, Khazanah Nasional Bhd, Tenaga Nasional Bhd, Sime Darby Property dan KPK Malakoff. 

Katanya kerajaan telah membuka penyertaan bagi 10 projek flagship tersebut untuk peneraju mengemukakan projek peralihan tenaga yang sedang diusahakan kerana kerajaan tidak mahu ia menjadi projek yang melibatkan peruntukan awam dan ia mestilah projek swasta.

“Keseluruhan pelaksanaan dan tatakelola NETR serta kemajuan projek flagship ini akan dipantau Majlis Tenaga Negara yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.  

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Wira Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) yang ingin mengetahui tentang kemajuan NETR setakat ini sejak dilancarkan pada Ogos lepas dan kementerian yang akan menerajuinya serta sama ada Petronas menjadi antara pihak berkepentingan pertama dalam NETR. 

Rafizi berkata kementerian yang akan menjadi peneraju sebenarnya bergantung kepada bidang dan projek atau pembolehdaya tertentu.

Mengenai kemajuan sebahagian daripada projek tersebut, beliau berkata sebenarnya ia telah melepasi daya maju dan memasuki perjanjian komersial. 

“Kalau kita lihat pengumuman NETR tempoh hari, ia melibatkan pengumuman pelaburan daripada pelabur asing melibatkan Khazanah dan rakan kongsi mereka.

“Justeru, sementara kemajuan projek ini akan dipantau di peringkat Majlis Tenaga Negara tetapi ini adalah projek-projek komersial yang diusahakan oleh Petronas, Khazanah, Sime Darby Property dan sebagainya.

“Saya pasti ia sebenarnya demi kepentingan komersial terbaik mereka untuk melaksanakannya secepat mungkin kerana kita sedia maklum bahawa dari segi minat pelabur dan pengurus dana, mereka selalunya akan membeli kaunter yang menunjukkan prestasi tenaga boleh baharu yang baik,” katanya. 

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

GEAR-uP: KWAP labur RM51 juta dalam Bioscience Nutraceutical

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) melabur RM51 juta dalam Bioscience Nutraceutical Holdings Sdn Bhd, pembekal sehenti dan pemilik jenama nutraseutikal di Malaysia, bagi membangunkan ekosistem pasaran persendirian negara menerusi Dana Pemacu.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam Laporan Kemajuan GEAR-uP yang dikeluarkan hari ini berkata, pelaburan itu dilaksanakan menerusi pengurus dana tempatan Mekar Capital dan pengurus dana global Navis Capital.

Menurut laporan itu, pelaburan berkenaan membuktikan modal institusi mampu memajukan sektor kesihatan bernilai tinggi menerusi inovasi nutraseutikal, pengkomersialan produk serta pembangunan jenama premium.

KWAP turut menyokong pertumbuhan ekonomi menerusi pelaburan bersama sebanyak RM210 juta dalam Fasa 1 bagi pembangunan 9,000 katil.

“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada pembangunan yang lebih luas untuk menyediakan 28,800 katil menerusi empat projek, dengan jumlah nilai pembangunan kasar kira-kira RM600 juta,” menurut laporan itu.

MOF berkata, pelaburan berkenaan bertujuan mewujudkan persekitaran kediaman lebih baik kepada golongan yang menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara.

Laporan itu turut memaklumkan pencapaian setakat Jun 2026 bagi inisiatif Dana Impak Khazanah Nasional Bhd.

Sebanyak 32 syarikat peringkat pertengahan disokong di bawah Mid-Tier Companies Growth Innovation Programme, manakala 21 lagi menerima sokongan menerusi Program ELEVATE 2.0.

Sementara itu, MOF berkata syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) memainkan peranan penting sebagai pelabur asas dan pelabur utama strategik dalam penyenaraian berkualiti di Bursa Malaysia.

Langkah itu melengkapkan konsep larian berganti apabila modal yang dipulangkan kepada pelabur modal teroka dan ekuiti swasta boleh dilaburkan semula dalam generasi baharu firma peringkat awal.

Pendekatan berkenaan membolehkan lebih banyak syarikat berkembang secara berperingkat sehingga mencapai tahap sesuai untuk disenaraikan.

Menurut laporan itu, aliran penyenaraian yang berterusan penting bagi mencapai sasaran Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 untuk meningkatkan permodalan pasaran kepada antara RM5.8 trilion hingga RM6.3 trilion menjelang 2030.

Sokongan kukuh pelabur institusi turut menjadi antara faktor penting bagi memastikan aliran berkenaan kekal mampan.

MOF berkata, GLIC mengurus secara aktif portfolio merangkumi 37 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan sasaran pulangan tahunan 7.5 peratus bagi tempoh 2024 hingga 2028.

Portfolio berkenaan berpotensi menjana nilai sehingga RM100 bilion.

Prestasi pada 2025 melepasi sasaran apabila mencatat pulangan pemegang saham sebanyak 8.0 peratus.

“Memandangkan GLC mewakili kira-kira 27 peratus daripada permodalan Pasaran Utama Bursa Malaysia, keuntungan ini disalurkan semula kepada ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, KWAP, Permodalan Nasional Bhd dan Tabung Haji untuk meningkatkan simpanan persaraan rakyat Malaysia,” menurut MOF.

Menurut laporan itu, GLIC memacu penjanaan nilai portfolio menerusi tiga pendekatan utama, iaitu menyediakan laluan keluar bagi kitaran modal, memperkukuh kredibiliti untuk pasaran lebih luas serta membina asas pemilik jangka panjang yang stabil.