PowerChina, Semarak Meterai Perjanjian Projek Hidrogen Hijau RM1.88 Bilion Di Perak

KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) — China Hydropower (Malaysia) Co Ltd yang juga anak syarikat PowerChina, telah memeterai perjanjian bernilai RM1.883 bilion dengan Semarak Renewable Energy Sdn Bhd bagi melaksanakan projek hidrogen hijau di Perak.

Projek itu merangkumi usaha pengeluaran dan penyimpanan hidrogen hijau menerusi kemudahan penjanaan tenaga menggunakan ladang fotovoltan terapung.

Timbalan Pengurus Besar Ibu Pejabat Wilayah Asia Pasifik PowerChina Ye Haoliang berkata projek berkenaan adalah seiring dengan hala tuju berkaitan keutamaan ekologi dan pembangunan hijau.

Inisiatif itu meliputi pembangunan sekunder serta penggunaan lombong bijih timah terbiar dan turut menandakan sumbangan bermakna bagi transformasi hijau dan karbon rendah Malaysia, katanya dalam kenyataan bersama hari ini.

Projek itu menumpukan aspek reka bentuk, pemerolehan dan pembinaan masing-masing unit fotovoltan terapung, unit pengeluaran serta penyimpanan hidrogen.

Usaha berkenaan akan menjadi projek pengeluaran hidrogen berskala hijau besar berskala besar yang pertama seumpamanya di Malaysia dan menggunakan penjanaan tenaga fotovoltan secara terapung, kata kenyataan itu.

Kontrak berkaitan kejuruteraan, pemerolehan dan pembinaannya telah dimeterai oleh Ye dan Pengerusi Semarak, Mohammad Shahil Ishak, baru-baru ini.

PowerChina yang memanfaatkan kekuatannya dalam sektor tenaga baharu, telah berikrar untuk mempercepat  aspek perancangan dan pembangunan projek itu dengan menekankan komitmen membantu Semarak untuk muncul sebagai perintis dalam industri hidrogen hijau Malaysia.

Sejak memasuki pasaran Malaysia pada 1993, PowerChina telah berjaya melaksanakan lebih daripada 150 projek dengan nilai keseluruhan projek melebihi US$7 bilion (US$1=RM4.71).

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Cabaran Ekonomi Global Tuntut Usahawan Lebih Bersedia Dan Strategik

KUALA LUMPUR, Malaysia – Program Seven Mega Growth Strategies 2026 hari ini menghimpunkan tokoh korporat, usahawan, pemain industri, wakil diplomatik, media serta komuniti perniagaan tempatan dan antarabangsa dalam membincangkan strategi pertumbuhan perniagaan dan daya tahan usahawan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global semasa. 

Program tersebut telah dirasmikan oleh YB Senator Datuk Dr. Fuziah Salleh, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dan turut dihadiri barisan duta, wakil kedutaan asing di Malaysia, tokoh korporat, usahawan serta rakan strategik daripada pelbagai sektor industri. 

Turut hadir ialah Datuk Seri Dr. Zurainah Musa, Pengerusi KNKV Group, Prof. (Adjung.) Hj. Adam Richman, Ketua Pegawai Eksekutif KNKV Group serta Datuk Wan Azmir Wan Majid daripada Hafarizam Wan & Aisha Mubarak. 

Dalam ucapannya, YB Senator Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata dunia perniagaan hari ini sedang berhadapan dengan cabaran ekonomi global yang semakin kompleks melibatkan tekanan inflasi, ketidaktentuan geopolitik, perubahan teknologi yang pesat serta peningkatan kos operasi yang memberi kesan langsung kepada usahawan dan perusahaan tempatan. 

Beliau berkata usahawan hari ini perlu lebih bersedia bukan sahaja dari aspek operasi dan jualan, malah perlu memperkukuh strategi pemasaran, positioning, pengurusan risiko serta kesiapsiagaan perundangan bagi memastikan perniagaan kekal relevan dan mampan dalam pasaran yang semakin kompetitif.

“Dalam dunia yang terlalu kompetitif hari ini, visibility adalah survival. Jenama yang terus relevan dan dilihat akan terus dipercayai pengguna. Sebab itu usahawan perlu memahami kepentingan pemasaran strategik, jaringan kolaborasi dan perlindungan asas perniagaan mereka,” – YB Senator Datuk Dr. Fuziah Salleh, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus komited memperkasa ekosistem perdagangan domestik serta membantu rakyat menangani cabaran kos sara hidup. Menurut beliau, bagi tahun 2025, KPDN mensasarkan pelaksanaan Program Jualan RAHMAH MADANI di seluruh 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negara ini dengan kekerapan minimum dua kali sebulan sebagai usaha berterusan membantu rakyat mendapatkan akses kepada barangan keperluan pada harga lebih berpatutan. 

Dalam masa yang sama, beliau turut menyambut baik platform yang menghimpunkan pemain industri, usahawan dan komuniti antarabangsa bagi membuka ruang perkongsian ilmu, jaringan strategik dan kerjasama rentas sempadan yang mampu memperkukuh daya tahan ekonomi negara. 

Sementara itu, Datuk Seri Dr. Zurainah Musa berkata platform seperti ini penting dalam membantu memperluaskan jaringan strategik serta membuka peluang kerjasama antara pemain industri, komuniti perniagaan dan rakan antarabangsa. Menurut beliau, dunia perniagaan hari ini memerlukan lebih banyak ruang perkongsian ilmu dan networking berkualiti bagi membantu syarikat tempatan terus berkembang secara mampan. 

Prof. (Adjung.) Hj. Adam Richman pula berkata syarikat dan usahawan hari ini perlu memahami bahawa pemasaran strategik, positioning dan visibility merupakan antara elemen penting dalam memastikan sesebuah jenama kekal relevan dalam pasaran yang semakin kompetitif. 

Program ini turut menampilkan sesi perkongsian berkaitan pemasaran strategik, pengembangan perniagaan, pengukuhan jenama, kerjasama antarabangsa serta kesiapsiagaan undang-undang dalam perniagaan melibatkan penyertaan tokoh industri dan pakar profesional. 

Penganjuran program ini dilihat sebagai antara usaha memperkukuh hubungan strategik antara sektor swasta, komuniti antarabangsa dan agensi kerajaan dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi negara serta membantu melahirkan lebih ramai usahawan yang berdaya tahan dan kompetitif di peringkat global.