Dagangan Malaysia Cecah RM2.64 Trilion Pada 2023 – MITI

KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) — Prestasi perdagangan Malaysia melepasi aras RM2 trilion bagi tahun ketiga berturut-turut apabila mencecah RM2.64 trilion pada 2023, meskipun berdepan landskap ekonomi global yang tidak menentu, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Pencapaian itu juga mengekalkan trend lebihan dagangan untuk tahun ke-26 berturut-turut sejak 1998 yang berjumlah RM214.1 bilion.

Dalam kenyataannya hari ini, MITI berkata di sebalik lebihan itu, penurunan perdagangan tahun ke tahun sebanyak 7.3 peratus berbanding 2022 adalah sejajar dengan pengurangan dalam permintaan global, harga komoditi lebih rendah, ketegangan geopolitik berpanjangan, kadar inflasi tinggi, penyusutan dalam kitaran semikonduktor dunia serta kesan asas tinggi direkodkan pada tahun lepas.

“Harga komoditi lebih rendah terus memberi kesan kepada prestasi perdagangan, khususnya minyak sawit mentah, petroleum mentah serta gas asli cecair (LNG).

“Ketegangan geopolitik seperti konflik Amerika Syarikat (AS)-China, Rusia-Ukraine serta di Timur Tengah turut menjejaskan ekonomi global dan mempengaruhi permintaan terhadap barangan eksport Malaysia manakala inflasi global tinggi telah mengurangkan kuasa beli dalam kalangan pengguna di negara pengimport,” katanya.

Menjelaskan selanjutnya, MITI berkata eksport negara menguncup sebanyak lapan peratus tahun ke tahun kepada RM1.426 trilion pada 2023 — melebihi nilai RM1 trilion bagi tiga tahun berturut-turut dan mencapai 82.4 peratus daripada unjuran eksport pada 2025 di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12).

Eksport Malaysia pada tahun lepas telah didominasi oleh barangan elektrik dan elektronik (E&E) yang merangkumi 40.4 peratus daripada jumlah eksport yang juga pengurangan berbanding pada 2022.

Walaupun susut, kata MITI, eksport negara bagi peranti semikonduktor dan litar bersepadu elektronik (IC) sebaliknya telah mencatat pertumbuhan yang positif.

Produk petroleum turun 11 peratus kepada RM143.49 bilion; kimia dan bahan kimia susut 11.3 peratus kepada RM71.46 bilion; jentera, kelengkapan dan peralatan berkurangan 5.2 peratus kepada RM57.28 bilion dan barangan perkilangan logam menguncup 11.4 peratus kepada RM56.33 bilion.

MITI berkata jumlah import pada 2023 melepasi paras RM1 trilion untuk kali kedua dan susut sebanyak 6.4 peratus kepada RM1.21 trilion berbanding setahun lepas.

Tiga kategori utama import mengikut penggunaan akhir adalah masing-masing barangan pengantara bernilai RM620.87 bilion, barangan modal (RM128.83 bilion) dan barangan penggunaan (RM104.1 bilion) yang menyumbang 70.5 peratus daripada jumlah import.

Rakan dagang utama Malaysia bagi 2023 adalah ASEAN, China, AS, Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun yang mewakili 67.7 peratus bahagian daripada jumlah perdagangan Malaysia.

“Walaupun prestasi eksport lemah pada 2023, kenaikan eksport ketara telah direkodkan ke beberapa pasaran baharu seperti Kenya, Brazil, Nigeria, Tanzania, Yaman, Maghribi, Puerto Rico, Namibia dan Kyrgyzstan.

“Eksport ke beberapa pasaran perjanjian perdagangan bebas (FTA) turut mencatat pertumbuhan terutamanya ke Korea Selatan, Australia, Mexico, Turkiye dan New Zealand meskipun eksport keseluruhan ke negara rakan dagang  FTA menyusut,” katanya.

Di samping pemulihan perdagangan global, MITI berkata FTA khususnya Perkongsian Komprehensif Ekonomi Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dijangka memperluaskan lagi prospek positif bagi perdagangan luar Malaysia.

Pada masa sama, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) turut memberi penekanan kepada peningkatan dalam penggunaan FTA dalam kalangan pengeksport Malaysia.

Menurut MITI, bagi kemajuan masa depan, kerajaan akan terus memperkasa aktiviti promosi perdagangan antarabangsa agar dapat memperkukuh daya tahan perniagaan, seterusnya mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi.

Ini akan turut disokong oleh inisiatif di bawah Kajian Separuh Penggal RMK12, Pelan Tindakan Perdagangan Nasional (NTBp) dan NIMP 2030.

“Prestasi perdagangan Malaysia dijangka pulih pada 2024, sejajar dengan unjuran oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) bahawa jumlah perdagangan global berkembang sebanyak 3.3 peratus.

“Pada 2024, perdagangan Malaysia diunjur berkembang sebanyak 5.0 peratus manakala eksport dan import masing-masing dianggarkan meningkat sebanyak 5.1 peratus dan 4.9 peratus sebagaimana menurut Tinjauan Ekonomi 2024 dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan.

Selain itu, MITI berkata permintaan berterusan bagi barangan E&E yang disokong oleh peningkatan kitaran dalam sektor tersebut manakala penggunaan FTA khasnya RCEP dan CPTPP dilihat penting dalam membantu barangan Malaysia meneroka ke pasaran yang lebih luas.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

BMI Unjur Pertumbuhan Pinjaman Akan Perlahan Pada Separuh Kedua 2026

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) — BMI, sebuah unit Fitch Solutions, menjangkakan pertumbuhan pinjaman akan perlahan pada separuh kedua 2026, memandangkan momentum yang lebih kukuh daripada jangkaan setakat ini.

Susulan itu, firma penyelidikan itu menyemak semula unjuran pertumbuhan pinjaman Malaysia kepada 5.0 peratus menjelang akhir 2026, berbanding 4.6 peratus sebelum ini.

Dalam satu kenyataan, ia memaklumkan bahawa pertumbuhan pinjaman bank meningkat sejak beberapa bulan lepas, daripada 4.7 peratus pada Januari kepada 5.7 peratus pada Mei.

Menurut BMI, pertumbuhan ekonomi Malaysia yang perlahan akan menjejaskan pertumbuhan kredit bagi beberapa suku tahun akan datang, dengan mengunjurkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebenar menyusut kepada 4.3 peratus pada 2026 daripada 5.2 peratus pada 2025, ia akan berada di paras bawah unjuran semakan kerajaan sebanyak 4.0-5.0 peratus.

Pada masa sama, konflik berterusan antara Amerika Syarikat dan Iran menimbulkan risiko penurunan terhadap pandangan (unjuran) ini.

“Pasukan global kami baru-baru ini menyemak semula unjuran mereka untuk pertumbuhan global kepada 2.4 peratus pada 2026, berbanding 2.8 peratus sebelum ini.

“Sehubungan itu, kami mengingatkan bahawa kelembapan pertumbuhan dalam rakan dagang utama Malaysia boleh mengatasi daya tahan permintaan domestik, sektor pembinaan akan menerima kesan paling teruk,” menurut BMI.

Bagaimanapun, menurut firma penyelidikan itu, bagi Malaysia, kelembapan dalam pertumbuhan kredit mungkin bukan satu perkembangan yang negatif sepenuhnya, terutamanya untuk isi rumah Malaysia yang merangkumi 60 peratus daripada jumlah keseluruhan pinjaman.

Data daripada Bank of International Settlements menunjukkan kredit kepada isi rumah berada pada paras 69.8 peratus daripada KDNK pada suku keempat 2025, manakala nisbah khidmat hutang mencecah paras tertinggi dalam tempoh empat tahun iaitu 15.5 peratus setakat suku keempat 2025, menurut BMI.

Sementara itu, pinjaman isi rumah dijangka terus perlahan pada 2026, disokong oleh jangkaan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus sehingga 2027, sekali gus membayangkan kadar pinjaman akan kekal tinggi untuk beberapa suku tahun kelak.

“Dalam persekitaran ini, kami percaya risiko kestabilan kewangan kekal rendah. Selain itu, BNM mengumumkan kemudahan bantuan kestabilan bernilai RM5 bilion untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebagai persediaan menghadapi kemungkinan konflik di Asia Barat akan membawa kepada lonjakan ‘pinjaman lapuk’ (pinjaman tidak berbayar) dalam kalangan bank tempatan.

“Bagaimanapun, buat masa ini, kebanyakan petunjuk menunjukkan sektor perbankan kekal berada dalam keadaan yang sihat,” menurut kenyataan itu.

Setakat suku pertama 2026, nisbah modal agregat sistem perbankan berada pada paras 18.1 peratus – jauh lebih tinggi daripada syarat minimum kawal selia sebanyak 10.5 peratus (8.0 peratus daripada jumlah nisbah modal dan 2.5 peratus penampan modal).

“Walaupun nisbah Ekuiti Biasa Tahap 1 dan nisbah Modal Tahap 1 menyusut sedikit pada 2025, ia kekal berada di atas keperluan Basel III, masing-masing ditetapkan pada 4.5 peratus dan 6.0 peratus,” menurut BMI.

— BERNAMA