Boost Bersama CelcomDigi Melancar Kad Prabayar Antarabangsa Pertama Di Malaysia Dengan Fungsi PayLater, Dengan Hasil Kerjasama Mastercard

  • Ini adalah kad prabayar dua-dalam-satu pertama di Malaysia yang menawarkan pembayaran menerusi baki Boost wallet anda atau kredit PayLater.
  • Pelanggan CelcomDigi terpilih akan menjadi yang pertama memohon secara eksklusif menerusi aplikasi Boost bermula 9 Oktober.
  • Kad ini diterima di peringkat global merentasi lebih 100 juta peniaga Mastercard dan menjadi kad pertama menawarkan Ganjaran Pelancongan Mastercard di Malaysia dan Asia Tenggara.
  • Dikenali sebagai Beyond Card oleh CelcomDigi dan Boost, kad inovatif ini dilengkapi dengan pilihan pembayaran fleksibel berpatuhan Shariah PayLater, iaitu Boost PayFlexTM.

KUALA LUMPUR, 5 OKTOBER 2023 – Boost, peneraju teknologi kewangan (fintech) serantau, memperkenalkan Beyond Card, hasil kerjasama dengan CelcomDigi melalui rangkaian Mastercard. Kad inovatif ini merupakan kad antarabangsa dua-dalam-satu pertama di Malaysia, membolehkan pelanggan mengakses dana daripada baki Boost wallet dan menggunakan talian kredit pra-kelulusan. Ia menjadi kad pertama di Malaysia dengan fungsi unik, selain diterima secara meluas di seluruh rangkaian lebih 100 juta peniaga Mastercard di seluruh dunia. 

Pelanggan terpilih akan dijemput untuk memohon kad berkenaan mulai 9 Oktober 2023, dengan pengguna Celcom menikmati akses untuk mengemukakan permohonan menerusi aplikasi Boost, diikuti pengguna Digi dalam masa terdekat.

Beyond Card oleh CelcomDigi dan Boost menawarkan pembayaran fleksibel berpatuhan Shariah menerusi kemudahan kredit dengan cara lebih bertanggungjawab, menggunakan teknik pemarkahan mantap bagi memastikan pelanggan yang ditawarkan talian kredit memiliki keupayaan untuk pembayaran balik. Ia juga menangani jurang kewangan membabitkan sasaran pelanggan tanpa kad atau hanya memiliki kad asas dengan tawaran pengalaman premium. Selain itu, kad itu juga merupakan yang pertama di Malaysia dan Asia Tenggara yang menawarkan Ganjaran Pelancongan Mastercard, dengan pelanggan yang layak boleh menikmati ganjaran menarik seperti Pulangan Tunai 12% daripada Lazada, diskaun 15% untuk tempahan penerbangan MAS, selain penjimatan sehingga 10%, hadiah percuma dan diskaun 10% bebas cukai di Mitsui Outlet Park. 

Sheyantha Abeykoon, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Boost, berkata: “Adalah sesuatu yang istimewa bagi saya untuk dapat melancarkan produk pertama dalam pasaran bersama-sama syarikat sekutu, CelcomDigi dan membolehkan kami menawarkan pengalaman kad peringkat 1 kepada segmen besar gabungan pangkalan pelanggan kami. Pelancaran produk ini merupakan gabungan kejayaan inovasi kewangan inklusif, ditambah dengan nilai sinergi yang dimiliki oleh dua syarikat utama Malaysia dalam Kumpulan Axiata. Ia juga mengukuhkan lagi perkongsian kami dengan Mastercard yang dijalin di bawah objektif bersama untuk membawa inovasi baharu kepada landskap kewangan di Malaysia.” 

T Kugan, Ketua Pegawai Inovasi CelcomDigi, berkata: “Perkongsian ini menandakan satu langkah penting ke arah keterangkuman kewangan bersama-sama dengan produk dan perkhidmatan telekomunikasi, memberikan kemudahan dan pengalaman yang bermanfaat kepada pengguna Malaysia yang secara beransur-ansur beralih kepada pendekatan mengutamakan digital untuk banyak gaya hidup harian. Kami kekal komited untuk bekerjasama dengan peneraju industri dan memacu inovasi digital merentasi ekosistem digital Malaysia, seterusnya menyokong agenda digital negara.”

Beena Pothen, Pengurus Negara Mastercard bagi Malaysia & Brunei, berkata: “Dengan Beyond Card, rakyat Malaysia boleh meneroka pengalaman pelancongan tiada tandingan dalam pelbagai segmen merangkumi makanan terbaik, beli-belah, hiburan dan banyak lagi. Penyelidikan daripada Institut Ekonomi Mastercard menekankan penilaian orang ramai berhubung pengalaman melebihi kebendaan, menjadikan integrasi Ganjaran Pelancongan Mastercard disesuaikan secara semula jadi dengan trend ini. Kerjasama dengan Boost dan CelcomDigi merupakan peristiwa penting dalam industri, mencerminkan dedikasi bersama dalam mengutamakan minat pengguna, terutamanya dalam perkara membabitkan pelancongan.” 

Menerusi pilihan pembayaran berpatuhan Shariah PayLater, dikenali sebagai Boost PayFlexTM, pengguna boleh melanjutkan tempoh ansuran pembayaran sehingga 3 bulan**. Pengguna juga boleh mendapatkan sehingga 3x Boost Stars untuk setiap ringgit yang dibelanjakan melalui Boost PayFlexTM, yang mana boleh ditebus menerusi Program Kesetiaan BoostUP*. Tiada sebarang yuran dikenakan untuk transaksi tempatan dan pemotongan terus dilakukan menerusi Beyond Card

Setiap transaksi dilindungi kata laluan, dan pembekuan kad segera boleh dilakukan jika berlaku kecemasan. Untuk memohon Beyond Card, pelanggan Celcom yang layak boleh memuat turun aplikasi Boost dan mencipta akaun Premium Wallet secara percuma. Pelanggan kemudiannya boleh menekan butang ‘Beyond Card’ pada halaman utama aplikasi Boost dan melengkapkan proses permohonan yang diperlukan. Sebaik sahaja berjaya di peringkat pra-kelulusan, pengguna dengan segera akan dapat melihat kad maya mereka pada aplikasi, yang mana ia boleh digunakan untuk membuat transaksi dalam talian. 

Bagi pengguna luar talian, permintaan kad fizikal tersedia di laman Beyond Card, dengan caj RM20 dikenakan meliputi caj penghantaran dan SST. Sebagai pertukaran untuk aplikasi kad fizikal lengkap, pengguna dapat menebus ganjaran bernilai RM100, daripada Lazada, Agoda, Gong Cha, Google Play Store, Viu serta The Alley, dan banyak lagi**. 

Untuk maklumat lanjut mengenai Beyond Card, sila layari:  https://myboost.co/boost-beyond-card.

Previous ArticleNext Article

Pengurusan Kesihatan Mental Untuk Usahawanita Moden

usahawanita moden
  • Rutin pengurusan kesihatan mental untuk usahawanita moden
  • Usahawan wanita yang mengurus perniagaan sambil memikul tanggungjawab peribadi
  • Kehidupan moden yang pantas dan kompetitif menyebabkan wanita mudah kemurungan
  • Kesihatan mental yang baik membantu wanita urus tekanan & kekalkan produktiviti kerja

Wanita hari ini bukan lagi sekadar berada di belakang tabir dalam dunia perniagaan. Mereka menjadi pengasas syarikat, pelabur, profesional, pemilik SME dan peneraju pelbagai industri.

Namun, kejayaan tersebut datang bersama tekanan yang mungkin tidak kelihatan.

Bagi sesetengah wanita, selepas tamat waktu pejabat, tanggungjawab belum selesai. Masih ada anak yang perlu diurus, pasangan, keluarga, rumah dan pelbagai keputusan yang perlu dibuat.

Sebab itu kesihatan mental wanita tidak boleh dilihat sebagai isu sampingan.

Baca : Wanita Malaysia Jana Lebih RM176 Juta Pada 2022 Sebagai Hos – Airbnb

Data Kementerian Kesihatan Malaysia melalui NHMS 2023 menunjukkan kira-kira satu daripada lapan rakyat Malaysia berusia 15 tahun ke atas mengalami kemurungan, dan prevalens kemurungan meningkat dua kali ganda berbanding 2019.

Lebih menarik untuk konteks usahawan, satu kajian terhadap rakyat Malaysia mendapati pemilik perniagaan menunjukkan simptom kemurungan yang lebih tinggi, manakala tekanan menjadi antara faktor penting yang berkait dengan simptom tersebut.

“Kajian terhadap 728 orang dewasa di Malaysia mendapati pemilik perniagaan menunjukkan tahap simptom kemurungan lebih tinggi, dengan tekanan & status sebagai pemilik perniagaan menjadi antara peramal signifikan simptom kemurungan.”National Library of Medicine

Baca : Pelaburan Bantu Wanita Boleh Wujud Kesan Beriak Bawa Pelbagai Manfaat

Ini bukan bermaksud menjadi usahawan menyebabkan kemurungan. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa tekanan keusahawanan dan kesihatan mental wajar diberi perhatian.

Jadi, apakah rutin yang boleh membantu usahawanita moden menjaga kesihatan mental mereka?

1. Rutin Bersenam

Senaman bukan hanya untuk menurunkan berat badan.

Bagi usahawanita yang menghabiskan sebahagian besar hari di hadapan komputer, dalam mesyuarat atau mengurus operasi perniagaan, aktiviti fizikal boleh menjadi ruang untuk keluar seketika daripada tekanan kerja.

rutin bersenam wanita

Tidak semestinya perlu melakukan senaman berat.

Berjalan kaki, berenang, berlari, berbasikal atau melakukan latihan kekuatan secara konsisten sudah boleh menjadi sebahagian daripada rutin.

Yang penting ialah konsistensi, bukan intensiti semata-mata.

Bahkan, menjadikan senaman sebagai rutin mingguan boleh memberikan satu bentuk struktur kepada kehidupan yang mungkin dipenuhi jadual kerja yang tidak menentu.

2. Rutin Penjagaan Diri

Ada satu perkara yang sering berlaku kepada wanita yang terlalu sibuk.

Mereka menjaga semua orang kecuali diri sendiri.

rutin penjagaan diri wanita

Bagi sebahagian wanita, rawatan kecantikan bukan sekadar mahu kelihatan lebih muda atau cantik. Ia juga boleh menjadi masa untuk berhenti seketika daripada rutin kerja.

Namun, penting untuk membezakan self-care daripada tekanan untuk sentiasa kelihatan sempurna.

Penjagaan diri sepatutnya membantu seseorang berasa lebih baik tentang dirinya, bukan menambahkan tekanan untuk memenuhi standard kecantikan tertentu.

3. Rutin Tidur Awal

Usahawan mungkin terkenal dengan bekerja sehingga lewat malam.

Laptop dibuka selepas anak tidur. Telefon masih berbunyi dengan WhatsApp pelanggan. E-mel masih masuk. Idea perniagaan pula datang ketika semua orang sudah tidur.

rutin tidur awal

Masalahnya, otak juga memerlukan masa untuk berehat.

Rutin tidur yang konsisten boleh menjadi salah satu bentuk pengurusan diri yang paling mudah tetapi sering diabaikan.

Sebelum tidur, usahakan untuk mengurangkan penggunaan skrin dan cahaya terang, khususnya apabila ia menyebabkan kita terus terangsang dengan kerja, media sosial atau notifikasi.

Kadangkala masalahnya bukan kita tidak mempunyai masa untuk tidur.

Kita tidak pernah benar-benar berhenti bekerja.

4. Rutin Travel dan Melihat Dunia

Travel juga boleh menjadi satu bentuk “reset” daripada rutin.

Bagi usahawanita yang sentiasa membuat keputusan untuk syarikat, pekerja dan keluarga, perjalanan seorang diri boleh memberikan ruang untuk membuat keputusan berdasarkan diri sendiri.

Tidak perlu sentiasa memilih destinasi popular.

rutin melancong wanita

Asia Tengah, misalnya, menawarkan pengalaman yang berbeza, Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan dan negara-negara lain mempunyai sejarah, budaya dan landskap yang jauh berbeza daripada destinasi pelancongan biasa.

Solo travel juga tidak semestinya bermaksud melarikan diri daripada kehidupan.

Kadangkala ia sekadar memberikan seseorang ruang untuk melihat kehidupan dari perspektif yang berbeza.

Namun, perjalanan perlu dirancang mengikut kemampuan kewangan, keselamatan dan keadaan diri. Travel yang menambahkan hutang atau tekanan bukanlah self-care.

5. Rutin Beribadah & Kebajikan

Bagi wanita Muslim, pengurusan kehidupan tidak semestinya berhenti pada aspek fizikal dan psikologi.

Ia juga mempunyai dimensi spiritual.

rutin beribadah wanita

Solat, membaca al-Quran, menghadiri kelas ilmu, melakukan amal jariah, menunaikan umrah atau haji boleh menjadi sebahagian daripada rutin kehidupan yang memberikan ruang untuk seseorang kembali mengingati tujuan hidup yang lebih besar daripada pekerjaan.

Ini juga memberikan perspektif kepada dunia keusahawanan.

Syarikat boleh berkembang. Duit boleh bertambah. Jawatan boleh berubah. Tetapi kehidupan tetap mempunyai dimensi yang lebih luas daripada keuntungan.

Baca : Perangai Wanita Malaysia Selepas Dapat Gaji

Bagi sesetengah usahawanita, amal jariah juga menjadi cara untuk menukar sebahagian daripada kejayaan material kepada sesuatu yang memberi manfaat kepada orang lain.

Alhasil

Menjadi usahawanita moden bukan sekadar tentang membina syarikat dan mencapai keuntungan.

Ia juga tentang kemampuan untuk terus berfungsi sebagai seorang individu, sebagai wanita, ibu, isteri, anak, pemimpin dan manusia yang mempunyai keperluan emosi serta fizikal sendiri.

Sebab itu rutin kecantikan, senaman, tidur, travel dan ibadah tidak sepatutnya dilihat sebagai aktiviti yang membuang masa daripada pekerjaan.

Sebaliknya, ia boleh menjadi sebahagian daripada cara seseorang membina kehidupan yang lebih seimbang.

Pada akhirnya, perniagaan yang berjaya memerlukan seorang pemimpin yang mampu bertahan dalam jangka panjang.

Baca : Kisah Emas Dan Wanita Kelantan

Usahawanita tidak perlu memilih antara kejayaan dan kesejahteraan diri. Yang lebih penting ialah belajar mengurus kedua-duanya.