Semakan Semula SST Perkukuh Kedudukan Fiskal Malaysia – KRI

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) — Langkah kerajaan menaikkan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kepada lapan peratus daripada enam peratus di bawah Belanjawan 2024 akan memperkukuh kedudukan fiskal negara selain mengurangkan kesan kepada isi rumah, menurut Khazanah Research Institute (KRI).

Pengerusinya, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata langkah-langkah rasionalisasi subsidi serta perluasan dasar cukai membolehkan kedudukan fiskal negara kekal kukuh dalam menghadapi ketidakstabilan dan kompleksiti dalam arena antarabangsa pada masa ini.

“KRI yakin bahawa tumpuan kerajaan melalui keutamaan kepada reformasi struktur, terutamanya kepada penekanan langkah-langkah tanggungjawab fiskal dan pertumbuhan yang inklusif, adalah tepat pada masanya dan merupakan instrumen penting dalam pertumbuhan dan pembangunan Malaysia dalam jangka masa panjang.

“Kami menantikan pengumuman kerajaan mengenai mekanisma terperinci terhadap penyusunan subsidi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2024 hari ini berkata kerajaan bercadang untuk menaikkan kadar cukai perkhidmatan kepada 8.0 peratus ketimbang 6.0 peratus dan ini tidak termasuk perkhidmatan seperti makanan dan minuman serta telekomunikasi. 

Nor Mohamed berkata KRI turut menyambut baik langkah-langkah menggerakkan agenda transformasi industri negara yang selari dengan sasaran Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

“Peralihan ke arah insentif berperingkat adalah tepat dan mampu menempatkan Malaysia dalam kedudukan yang baik untuk mencipta kluster ekonomi baharu, memperluas hubungan domestik dan memastikan kelestarian alam sekitar.

“Kami yakin Belanjawan 2024 akan membawa Malaysia ke arah pertumbuhan yang melindungi kesejahteraan rakyat, pada masa yang sama memperkukuh agenda transformasi ekonomi dan industri negara,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

GEAR-uP: KWAP labur RM51 juta dalam Bioscience Nutraceutical

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) melabur RM51 juta dalam Bioscience Nutraceutical Holdings Sdn Bhd, pembekal sehenti dan pemilik jenama nutraseutikal di Malaysia, bagi membangunkan ekosistem pasaran persendirian negara menerusi Dana Pemacu.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam Laporan Kemajuan GEAR-uP yang dikeluarkan hari ini berkata, pelaburan itu dilaksanakan menerusi pengurus dana tempatan Mekar Capital dan pengurus dana global Navis Capital.

Menurut laporan itu, pelaburan berkenaan membuktikan modal institusi mampu memajukan sektor kesihatan bernilai tinggi menerusi inovasi nutraseutikal, pengkomersialan produk serta pembangunan jenama premium.

KWAP turut menyokong pertumbuhan ekonomi menerusi pelaburan bersama sebanyak RM210 juta dalam Fasa 1 bagi pembangunan 9,000 katil.

“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada pembangunan yang lebih luas untuk menyediakan 28,800 katil menerusi empat projek, dengan jumlah nilai pembangunan kasar kira-kira RM600 juta,” menurut laporan itu.

MOF berkata, pelaburan berkenaan bertujuan mewujudkan persekitaran kediaman lebih baik kepada golongan yang menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara.

Laporan itu turut memaklumkan pencapaian setakat Jun 2026 bagi inisiatif Dana Impak Khazanah Nasional Bhd.

Sebanyak 32 syarikat peringkat pertengahan disokong di bawah Mid-Tier Companies Growth Innovation Programme, manakala 21 lagi menerima sokongan menerusi Program ELEVATE 2.0.

Sementara itu, MOF berkata syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) memainkan peranan penting sebagai pelabur asas dan pelabur utama strategik dalam penyenaraian berkualiti di Bursa Malaysia.

Langkah itu melengkapkan konsep larian berganti apabila modal yang dipulangkan kepada pelabur modal teroka dan ekuiti swasta boleh dilaburkan semula dalam generasi baharu firma peringkat awal.

Pendekatan berkenaan membolehkan lebih banyak syarikat berkembang secara berperingkat sehingga mencapai tahap sesuai untuk disenaraikan.

Menurut laporan itu, aliran penyenaraian yang berterusan penting bagi mencapai sasaran Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 untuk meningkatkan permodalan pasaran kepada antara RM5.8 trilion hingga RM6.3 trilion menjelang 2030.

Sokongan kukuh pelabur institusi turut menjadi antara faktor penting bagi memastikan aliran berkenaan kekal mampan.

MOF berkata, GLIC mengurus secara aktif portfolio merangkumi 37 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan sasaran pulangan tahunan 7.5 peratus bagi tempoh 2024 hingga 2028.

Portfolio berkenaan berpotensi menjana nilai sehingga RM100 bilion.

Prestasi pada 2025 melepasi sasaran apabila mencatat pulangan pemegang saham sebanyak 8.0 peratus.

“Memandangkan GLC mewakili kira-kira 27 peratus daripada permodalan Pasaran Utama Bursa Malaysia, keuntungan ini disalurkan semula kepada ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, KWAP, Permodalan Nasional Bhd dan Tabung Haji untuk meningkatkan simpanan persaraan rakyat Malaysia,” menurut MOF.

Menurut laporan itu, GLIC memacu penjanaan nilai portfolio menerusi tiga pendekatan utama, iaitu menyediakan laluan keluar bagi kitaran modal, memperkukuh kredibiliti untuk pasaran lebih luas serta membina asas pemilik jangka panjang yang stabil.