Vantage Berpangkalan Di AS Akan Labur US$3 Bilion Lagi Di Cyberjaya

CYBERJAYA, 16 Mei (Bernama) — Penyedia pusat data hiperskala yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Vantage Data Centers (Vantage), akan melabur sebanyak US$3 bilion (US$1=RM4.50) bagi 10 tahun akan datang untuk pembangunan kampus pusat data kedua (KUL2) di sini.

Pelaburan itu secara rasmi disusuli pemeteraian perjanjian dengan Cyberview Sdn Bhd selaku pemaju hab teknologi di Cyberjaya dan disaksikan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil serta Duta AS di Malaysia, Brian D McFeeters.

Pemangku Pengarah Urusan Cyberview, Dr Mohd Hafiz Ibrahim berkata perjanjian dengan Vantage akan mengetengahkan Cyberjaya sebagai lokasi ideal bagi penyedia pusat data hiperskala.

“Pada masa ini, 90 peratus daripada penyedia ‘colocation’ di Malaysia adalah berpangkalan di Cyberjaya, memanfaatkan infrastruktur berkelas dunia dengan kesambungan gentian yang belum lagi digunakan oleh penyedia perkhidmatan,” katanya selepas majlis pemeteraian perjanjian itu di sini, pada Selasa.

‘Colocation’ adalah amalan menyewakan ruang untuk pelayan dan perkakasan pengkomputeran lain di kemudahan pusat data pembekal pihak ketiga.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Operasi Perniagaan Asia-Pasifik Vantage, Giles Proctor serta Naib Presiden Pemilihan Tapak dan Pembangunan Tapak Baharu Vantage, Paul Gilsenan manakala Cyberview diwakili Mohd Hafiz dan Ketua Pegawai Kewangan, Izatul Arini Mohd Ariff Albakri.

KUL2 akan terletak bersebelahan dengan kampus pusat data semasa Vantage (KUL1) dan terdiri daripada 10 pusat data dengan kapasiti Teknologi Maklumat (IT) 256 megawatt (MW) untuk memenuhi permintaan terhadap perkhidmatan pusat data hiperskala.

Pada majlis itu, Cyberview juga menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Leave a Nest Malaysia (LVNS), anak syarikat firma teroka sains yang berpangkalan di Jepun, Leave a Nest Co Ltd, sebagai sebahagian usaha berterusan untuk menambah baik ekosistem teknologi dan inovasi di Cyberjaya.

Mohd Hafiz berkata kerjasama Cyberview dengan Leave a Nest Malaysia akan memperkukuh budaya pemupukan inovasi di Cyberjaya.

“Perkongsian ini bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti permula niaga malah juga akan menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan keseluruhan ekosistem teknologi dan inovasi,” katanya.

Menerusi sokongan Cyberview dan 18 peserta tempatan, LVNS menyasar untuk menjana RM100 juta dari segi impak ekonomi melalui program pembangunannya yang termasuk beberapa inisiatif utama di Cyberjaya seperti Centre of Garage Malaysia, inisiatif pembangunan teknologi berasaskan pengetahuan yang bertujuan menyokong syarikat pemula niaga di Malaysia dan juga rantau ini.

Sementara itu, Fahmi berkata komitmen Vantage dan LVSN memberikan petanda terbaik bahawa pelabur asing tetap memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan.

“Kita sedar pusat pemprosesan data merupakan pelaburan jangka panjang dan ia membuktikan bahawa beberapa ikhtiar dan keputusan kerajaan adalah tepat, serta membuktikan akan menjadi petanda bahawa pertumbuhan ekonomi negara dipacu dengan lebih positif,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis itu.

Mengenai ekonomi digital yang dijangka menyumbang 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menjelang 2025, beliau turut optimis angka itu dapat dicapai lebih awal dengan kemasukan pelbagai pelabur asing.

“Saya difahamkan dalam beberapa bulan lagi kita akan mendengar lebih banyak berita tentang pelaburan masuk ke dalam negara, meliputi pusat data dan ekonomi digital,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Banyak Keistimewaan Jadi Miskin di Malaysia?

Jangan salah faham. Menjadi miskin bukanlah satu keistimewaan. Tetapi di Malaysia, golongan berpendapatan rendah dan keluarga yang benar-benar memerlukan memang mempunyai akses kepada pelbagai bentuk bantuan kerajaan.

Antaranya:

1. STR – Sumbangan Tunai Rahmah
Bantuan tunai kepada golongan yang memenuhi syarat pendapatan dan kategori ditetapkan.

2. SARA – Sumbangan Asas Rahmah
Bantuan untuk membeli barangan keperluan asas menggunakan MyKad.

Penerima STR 2026 yang telah disahkan daripada data Miskin Tegar dan Miskin eKasih layak SARA 2026 berjumlah RM200 / RM150 / RM100 setiap bulan bagi tempoh 12 bulan (Januari 2026 – Disember 2026).

3. Bantuan perumahan
Ada skim seperti Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Mesra Rakyat (RMR), selain skim sewaan atau subsidi tertentu untuk keluarga berpendapatan rendah.

Keluarga berpendapatan kasar isi rumah sehingga RM3,000, belum memiliki rumah dan memenuhi syarat boleh memohon PPR.

4. Rumah Mesra Rakyat (RMR)

Ini berbeza dengan PPR.

Contoh:
Keluarga berpendapatan rendah mempunyai tanah sendiri tetapi belum mempunyai rumah yang sesuai boleh melihat kelayakan RMR.

Antara syarat yang dinyatakan SPNB ialah pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,000 dan pemohon/pasangan tidak mempunyai rumah sendiri atau mempunyai rumah yang usang/tidak sempurna. Tanah yang sesuai juga diperlukan.

Cara mohon:
Permohonan dibuat melalui SPNB dan dokumen berkaitan tanah, pendapatan serta maklumat keluarga perlu disediakan.

5. Bantuan JKM
Ini antara yang ramai tak tahu sebab bantuan JKM bukan satu jenis sahaja.

Contohnya terdapat bantuan berkaitan kanak-kanak, warga emas, OKU, penjagaan dan keadaan keluarga tertentu.

Cara mohon:
Permohonan boleh dibuat melalui sistem eBantuan JKM bagi negeri yang menyokong permohonan dalam talian, kemudian pemohon perlu hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah bersama dokumen sokongan.

Terdapat pelbagai skim mengikut keadaan penerima, termasuk bantuan kanak-kanak, warga emas dan bantuan am.

6. Bantuan Kesihatan – mySalam

Skim Perlindungan B40 merupakan Skim Perlindungan Takaful PERCUMA yang disediakan oleh kerajaan kepada komuniti B40 di Malaysia. Skim ini bernaung di bawah kelolaan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) melalui Tabung Amanah mySalam dan diuruskan sepenuhnya oleh Syarikat Great Eastern Takaful Berhad.

Bagi penerima yang layak pada 2026, mySalam menyediakan manfaat seperti hospitalisasi sehingga RM700 setahun dan RM8,000 untuk penyakit kritikal yang dilindungi, tertakluk kepada syarat skim.

Cara mohon:
Semak kelayakan di Portal mySalam. Jika layak dan berlaku kejadian yang dilindungi, tuntutan dibuat secara dalam talian dengan memuat naik dokumen seperti nota discaj atau borang doktor.

7. Bantuan pendidikan
Bantuan yuran, tuisyen, biasiswa dan pelbagai bentuk sokongan pendidikan disediakan secara bersasar untuk keluarga yang memerlukan.

  • BAP (Bantuan Awal Persekolahan) → bantuan tunai RM150 seorang murid untuk murid yang layak.
  • RMT (Rancangan Makanan Tambahan) → murid yang layak mendapat makanan pada setiap hari persekolahan; KPM menetapkan sehingga 190 hari setahun.
  • KWAPM (Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin) → bantuan khusus untuk membantu murid miskin supaya tidak tercicir daripada persekolahan.
  • BKP (Biasiswa Kecil Persekutuan) → antara bantuan kewangan pendidikan yang disenaraikan KPM untuk murid yang memenuhi syarat.
  • Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (EMBPK) → bantuan khusus untuk murid yang memenuhi syarat berkaitan pendidikan khas.

8. Bantuan zakat
Bagi orang Islam yang layak, boleh memohon bantuan daripada institusi zakat negeri masing-masing.

Contohnya bantuan boleh melibatkan:

  • sara hidup
  • pendidikan
  • perubatan
  • sewa/rumah
  • bantuan kecemasan
  • modal perniagaan

Cara mohon:
Bergantung kepada negeri. Contohnya di Selangor, permohonan dibuat melalui saluran rasmi institusi zakat negeri dan biasanya memerlukan dokumen pendapatan, tanggungan, tempat tinggal dan dokumen sokongan berkaitan.

9. Bantuan pekerjaan & latihan
Kerajaan juga menyediakan program pekerjaan dan latihan kemahiran untuk membantu golongan berpendapatan rendah meningkatkan pendapatan.

MYFutureJobs
Portal pekerjaan nasional yang dikendalikan PERKESO. Boleh cari kekosongan kerja, daftar sebagai pencari kerja dan dapatkan khidmat padanan pekerjaan.

TVET
Kalau nak belajar kemahiran seperti automotif, elektrik, kimpalan, penyelenggaraan, teknologi dan sebagainya, boleh semak institusi TVET kerajaan dan permohonan melalui UP_TVET.

HRD Corp
Terdapat pelbagai program peningkatan kemahiran dan latihan pekerjaan, bergantung kepada program serta kelayakan peserta.

Program penempatan pekerjaan PERKESO
PERKESO juga menjalankan program padanan pekerjaan, karnival kerjaya dan penempatan pencari kerja dengan majikan.

10. Bantuan membaiki atau membina rumah
Program bantuan perumahan turut merangkumi pembinaan baharu dan baik pulih rumah, khususnya bagi isi rumah miskin tegar.

Contoh 1 : Program Baik Pulih Rumah Daif di Bandar

KPKT ada Program Baik Pulih Rumah Daif di Bandar untuk isi rumah yang memenuhi syarat kemiskinan, termasuk yang disahkan dalam eKasih.

Contohnya rumah mengalami:

  • bumbung rosak
  • kerosakan akibat banjir/ribut/kebakaran
  • kerosakan kecil kerana faktor usia
  • keadaan rumah yang tidak lagi selesa tetapi masih ekonomik untuk dibaiki

Kadar bantuan maksimum yang dinyatakan KPKT ialah RM13,000 di Semenanjung dan RM15,000 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

11. Bantuan / inisiatif sewa rumah mengikut negeri

  • Selangor → Skim Smart Sewa – sewa pada kadar berpatutan + 30% bayaran sewa boleh dikumpulkan untuk membantu pemilikan rumah.
  • Johor → Bantuan Sewa Rumah Perumahan Kasih Johor – bantuan RM2,500 kepada penerima yang layak. Antara penambahbaikan yang diperluaskan bagi Bantuan Sewa Rumah ialah syarat kelayakan dengan membuka peluang kepada pelajar IPTA/IPTS di Negeri Johor untuk memohon.
  • Sarawak → Skim Bantuan Sewa Rumah (SRAS) – bantuan sewa untuk isi rumah yang memenuhi syarat.
  • Perak → Skim Bantuan Sewa Rumah MAIPk – bantuan sewa sehingga RM500 sebulan untuk asnaf yang layak.

12. Nak berniaga tetapi perlukan bantuan

Contohnya di Selangor:

  • Dana Usahawan Madani Selangor menyediakan bantuan dalam bentuk mesin dan peralatan perniagaan sehingga RM30,000, tertakluk kepada syarat kelayakan. Ini geran bukan pinjaman. Tetapi setiap program ada syarat, kategori penerima dan tempoh permohonan tersendiri.
  • Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor menyediakan bantuan berbentuk mesin dan peralatan kepada usahawan kecil bernilai sehingga RM10,000. Program ini merupakan salah satu usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk meningkatkan taraf ekonomi peniaga kecil melalui pemberian bantuan peralatan atau mesin berdasarkan perniagaan yang sedang dijalankan.

Jadi, betul ke “banyak keistimewaan jadi miskin”?

Banyak bantuan disediakan untuk mereka yang berada dalam keadaan miskin atau berpendapatan rendah. Dan bantuan ini bukan bermaksud hidup mereka lebih mudah.

Sebab di sebalik setiap bantuan itu ada satu perkara yang kita selalu terlupa:

Miskin tetap bermaksud mempunyai sumber kewangan yang terhad.

Bantuan kerajaan mungkin meringankan beban, tetapi tidak semestinya mengubah kehidupan seseorang menjadi senang.

Bantuan ialah jaring keselamatan. Bukan tiket untuk hidup mewah.

Bantuan ini diwujudkan untuk membantu mereka yang layak. Gunakan bantuan sebagai ruang untuk meringankan beban, bukan untuk mengambil kesempatan.

Dan jangan lupa, Islam juga mengajar kita untuk berusaha mencari rezeki.

Rasulullah SAW bersabda:

“Tidaklah seseorang makan makanan yang lebih baik daripada hasil kerja tangannya sendiri.”
— Riwayat al-Bukhari