Zafrul: Tiga Tumpuan Utama Harungi Kelembapan Ekonomi Global 2023

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) — Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menggariskan tiga keutamaan untuk memulihkan keyakinan pelabur berikutan ekonomi global yang dijangka perlahan pada 2023 antaranya memastikan perdagangan kekal sebagai pemacu pertumbuhan utama.

Beliau berkata keutamaan kedua ialah memulihkan keyakinan pelabur dan meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) dan ketiga;memastikan penggubalan dan/atau pelaksanaan mana-mana perjanjian perdagangan dua hala mahupun pelbagai hala akan memberikan nilai dan kelebihan padu kepada pemain domestik dalam rantaian bekalan Malaysia terutamanya bagi PKS kecil dan mikro.

Dalam kenyataan hari ini beliau berkata peningkatan FDI diperlukan memandangkan ia telah lama menjadi pembina utama daya tahan ekonomi selain merupakan antara sumber tukaran mata wang asing terbesar negara. 

Memanfaatkan pengalamannya di Kementerian Kewangan serta pengalaman korporat sebelum ini, Tengku Zafrul berkata beliau akan memastikan kementerian yang baru diterajuinya itu akan terus menjadi pemacu untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelabur serta antara negara kekal berdaya saing global dari segi perdagangan.

“Melalui Bajet 2023 yang bakal dibentangkan semula di Parlimen, MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) akan mencadangkan pewujudan dana pelaburan khas bagi menarik lebih banyak pelaburan bernilai tambah tinggi yang bakal menjana peluang pekerjaan profesional bergaji lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata antara industri yang menjadi tumpuan ialah industri elektrik dan elektronik (E&E) yang merangkumi pembangunan aplikasi berasaskan teknologi frekuensi radio dan bluetooth bagi industri automotif, penarikan pelabur sektor E&E ke Malaysia dan pembangunan industri peranti perubatan.

Industri berasaskan teknologi lain yang turut diberi perhatian adalah aeroangkasa, kimia dan petrokimia, nanoteknologi, teknologi kesihatan dan pembuatan pintar, katanya.

Beliau berkata usaha tersebut akan disesuaikan dengan langkah-langkah pembangunan modal insan yang bakal menyumbang kepada penstrukturan semula ekosistem perdagangan Malaysia bagi jangka masa sederhana dan panjang.

“Saya juga akan memulakan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan dalam komuniti perdagangan sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa untuk memastikan kita mengekalkan atau menambah baik daya saing ekosistem perdagangan Malaysia,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

REHDA Institute CEO Series 2026: Menerokai Potensi Ekonomi Malaysia & Inovasi Pembangunan Aset Pelancongan Untuk Tahun Melawat Malaysia 2026

Petaling Jaya: Dengan pengaruh global dan serantau yang semakin memberi kesan terhadap keyakinan perniagaan serta aliran pelaburan di ASEAN, Malaysia kini berdepan tekanan untuk memperkukuh ketahanan ekonomi dan kesiapsiagaan tenaga kerja menjelang 2026.

Dengan ini, REHDA Institute akan menganjurkan CEO Series 2026 untuk meneliti bagaimana faktor-faktor serta perkembangan terkini akan membentuk hala tuju ekonomi Malaysia, terutamanya dalam sektor pembinaan dan hartanah.

CEO Series ini akan mengupas implikasi terhadap strategi industri, penggubalan polisi, persediaan jangka panjang tenaga kerja, serta inisiatif-inisiatif nasional seperti Tahun Melawat Malaysia 2026.

Menurut REHDA Institute, CEO Series 2026 akan menghimpunkan barisan penceramah berwibawa yang terdiri daripada pemegang taruh sektor awam, perbankan, kewangan, pembuatan, pembinaan dan hartanah. Dengan kehadiran panel yang berpengalaman ini, para peserta akan disajikan pandangan bernas mengenai prospek ekonomi Malaysia dan ASEAN bagi 2026, termasuk implikasinya terhadap sektor hartanah.

Perbincangan di CEO Series 2026 akan menumpukan tema-tema kritikal seperti usaha menarik pelaburan berkualiti, strategi menjana pendapatan berulang, penerokaan kelas aset alternatif, serta keupayaan pemaju untuk menyesuaikan diri dengan perubahan corak aliran modal dan permintaan pasaran.

Panel pakar turut akan membincangkan konsep-konsep terkini termasuk model penyewaan baharu, pembangunan berteraskan kesihatan, kesejahteraan dan pelancongan, serta prestasi aset jangka panjang yang mengutamakan pengalaman pengguna.

CEO Series 2026 merupakan acara utama tahunan REHDA Institute yang disokong oleh 18 pertubuhan dan akan berlangsung pada 15 Januari 2026 di Hotel Le Méridien Petaling Jaya. Persidangan ini akan dirasmikan oleh Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II.

Persidangan ini merupakan platform awal tahun untuk pemimpin dan peneraju industri menilai suasana ekonomi serta isyarat dasar yang akan mempengaruhi persekitaran perniagaan dan pelaburan di Malaysia sepanjang 2026.

Dato’ Jeffrey Ng Tiong Lip, Pengerusi REHDA Institute, berkata, “Selain sumbangan individu terhadap KDNK Malaysia, kesihatan ekonomi negara serta penjanaan pekerjaan akan dipengaruhi oleh pergerakan dan kitaran ekosistem perindustrian – termasuk pembuatan, perkhidmatan, teknologi, infrastruktur, pembinaan dan hartanah. Paling penting, potensi jaringan nilai ini amat bersangkutpaut dengan pembangunan aset modal insan yang berterusan dan mampan.”

Datuk Ho Hon Sang, Presiden REHDA Malaysia, berkata, “Dengan perubahan corak aliran modal dan permintaan global, daya saing ekosistem serta keupayaan untuk menukar haluan dengan pantas memerlukan pelaburan strategik. Ini merangkumi infrastruktur, teknologi, dan pembangunan sumber manusia (latihan dan pembelajaran sepanjang hayat), yang kesemuanya penting untuk memastikan keutuhan dan ketahanan bila berdepan dengan aliran pasaran.”

Berlandaskan perkara tersebut, perbincangan di persidangan ini akan meneliti bagaimana ramalan ekonomi Malaysia dan ASEAN mencorakkan keputusan merentas pelbagai sektor, khususnya yang berkaitan dengan peruntukan modal, model perniagaan dan keperluan sumber manusia. Sesi-sesi persidangan turut membahaskan bagaimana faktor makroekonomi diterjemahkan kepada cabaran serta peluang dalam sektor hartanah dalam persekitaran yang semakin kompetitif.

Program persidangan turut merangkumi sesi fokus khas mengenai integrasi ekonomi Johor–Singapura dan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ), dengan penekanan terhadap ekosistem industri rentas sempadan, pembangunan berorientasikan transit (TOD), permintaan perumahan serta peranan kesalinghubungan serantau yang semakin penting dalam memacu aliran pelaburan dan aktiviti ekonomi.

Menurut Dato’ Jeffrey Ng, kombinasi dinamik Johor–Singapura mempunyai implikasi penting untuk daya saing Malaysia. “Integrasi rentas sempadan adalah lebih dari geografi atau infrastruktur, maka ia memerlukan kerjasama rapat antara perancangan, polisi, dan pelaburan untuk memastikan kesinambungan dan kemampanan penjanaan kekayaan dan nilai jangka panjang dari integrasi tersebut,” katanya.

Sempena persidangan ini, REHDA Institute juga akan melancarkan REHDA Institute Youth Initiative (RIYI), iaitu satu program bimbingan korporat bagi memperkukuh kesiapsiagaan tenaga kerja melalui pengukuhan hubungan antara akademia dan industri.

RIYI bertujuan memberikan pendedahan awal kepada mahasiswa dan mahasiswi terpilih mengenai kepimpinan serta realiti industri pembinaan dan hartanah, termasuk laluan kerjaya yang berkaitan.

Program RIYI merangkumi bimbingan berstruktur sepanjang 2026, dengan para penasihat terdiri daripada barisan kepimpinan ekosistem pembinaan dan hartanah, termasuk pemaju, institusi kewangan, dan industri berkaitan. Institusi-institusi ini termasuk Avaland Berhad dan tokoh korporat dari pelbagai industri. 

Apollo Bello Tanco, CEO Avaland Berhad berkata,”Kami amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan REHDA Institute untuk RIYI kerana ia merupakan program yang tepat pada masanya yang akan memperkasakan golongan muda dengan kemahiran kritikal yang selari dengan komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami terhadap kesejahteraan masyarakat. Dengan perluasan saringan kesihatan kami untuk tahun ketiga, kami tetap komited untuk meningkatkan kesejahteraan komuniti dan kualiti hidup.”

RIYI akan dilancarkan semasa CEO Series 2026 oleh Anthony Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan.

Dato’ Jeffrey Ng berkata, “Pembangunan tenaga kerja yang efektif mestilah bermula secara proaktif dan awal dalam sistem pendidikan. Adalah agak terlambat apabila cabaran-cabaran tenaga kerja ditangani semasa mereka memulakan kerjaya, kerana jurang kemahiran yang dihadapi ketika itu adalah amat luas.

“Dengan ini, bimbingan awalan berstruktur yang bermula pada peringkat universiti adalah amat penting untuk melahirkan suatu generasi tenaga kerja yang berkemampuan untuk menghadapi dunia yang kian rumit serta persaingan serantau yang makin hangat serta  keperluan modal yang tinggi.”

Menurut REHDA Institute, dalam persaingan serantau yang semakin sengit bagi mendapatkan tenaga kerja mahir dan pelaburan berkualiti, tumpuan serentak terhadap strategi ekonomi dan pembangunan modal insan mencerminkan keperluan kepada pendekatan bersepadu bagi memastikan ketahanan jangka panjang negara.


Mengenai REHDA Institute

REHDA Institute merupakan sebuah perusahaan sosial yang memberi tumpuan kepada latihan, penyelidikan dan pendidikan bagi industri hartanah di Malaysia, yang pada asalnya diasaskan oleh REHDA Malaysia. Institut ini komited dalam menerajui kepimpinan pemikiran, memperkasa pembangunan profesional, serta memudah cara dialog penting dalam kalangan pihak berkepentingan industri bagi menyokong pertumbuhan mampan, inovasi dan kecemerlangan dalam industri hartanah negara. Untuk maklumat lanjut, layari laman LinkedIn kami di “REHDA Institute (Official)” dan laman web rasmi www.rehdainstitute.com.

REHDA Institute bekerjasama dengan universiti dan institusi lain (termasuk Universiti Malaya, Monash University, Sunway University) dalam pelbagai aktiviti, selain daripada menawarkan program Master of Real Estate Development (MRED) bersama Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) sejak 2020.