Trump Tangguh Kenakan Tarif Lebih Tinggi Ke Atas Perabot Import

WASHINGTON: Presiden Donald Trump menangguhkan tarif Amerika Syarikat (AS) yang lebih tinggi ke atas beberapa barangan perabot import selama setahun, dengan mengarahkan penangguhan itu tidak lama sebelum ia dijadualkan berkuat kuasa hari ini.

Kenaikan itu telah dirancang di bawah satu tranche terdahulu tarif khusus sektor yang dikenakan oleh Trump, sebahagian daripada rangkaian duti yang telah diperkenalkannya sejak kembali ke Rumah Putih.

Namun, ketika isi rumah di AS berdepan tekanan kos sara hidup yang tinggi, Trump pada lewat semalam telah menangguhkan tarif yang dirancang, iaitu 30 peratus ke atas perabot berlapik tertentu dan 50 peratus ke atas kabinet dapur serta kabinet sinki kepada 1 Januari 2027.

“Memandangkan rundingan produktif yang sedang berjalan berhubung import produk kayu, Presiden menangguhkan kenaikan tarif bagi membolehkan rundingan lanjut diteruskan dengan negara-negara lain,” kata Rumah Putih dalam satu kenyataan yang mengumumkan langkah berkenaan.

Tarif Trump pada 2025 menjejaskan barangan daripada keluli hingga automotif, dan lebih banyak siasatan, yang boleh membawa kepada duti baharu, sedang dijalankan.

Pada Oktober lalu, duti 10 peratus ke atas kayu lembut dan kayu balak import telah berkuat kuasa, bersama duti 25 peratus ke atas perabot berlapik tertentu dan kabinet dapur.

Tarif terbabit dipertahankan oleh pentadbiran Trump sebagai langkah untuk merangsang industri AS dan melindungi keselamatan negara.

Kadar yang lebih tinggi yang pada asalnya dijadualkan berkuat kuasa hari ini akan memberi kesan kepada import dari negara seperti Vietnam dan China, yang merupakan pembekal utama perabot import ke AS.

Mahkamah Agung dijadualkan untuk membuat keputusan mengenai kesahihan tarif menyeluruh mengikut negara, yang dikenakan di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa.

-AFP (Berita Harian)

Previous ArticleNext Article

Kerajaan Sedang Kaji Perluas Guna QR SARA Ke Pasar Tamu, Pasar Tani –  MOF

KUALA LUMPUR — Kerajaan sedang mengkaji pelaksanaan penggunaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menerusi pembayaran kod respons pantas (QR) di Pasar Tamu dan Pasar Tani dan keputusan mengenainya dijangka diumumkan dalam Belanjawan 2027 jika didapati mampan.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan kerajaan telah meningkatkan penglibatan kedai runcit kecil sebagai Rakan Niaga SARA kepada lebih 6,000 premis.

Selain itu, jumlah keseluruhan Rakan Niaga SARA telah mencecah lebih 13,700 kedai di seluruh negara setakat 15 Julai 2026 berbanding 700 buah kedai pada 2024 manakala terdapat 140,000 produk atau barangan yang boleh diperolehi di bawah pelaksanaan SARA.

“Sekiranya Rakan Niaga SARA berkenaan turut terlibat sebagai peniaga di Pasar Tamu/Pasar Tani, penerima SARA boleh menggunakan kredit SARA berkenaan bagi pembelian kategori barangan SARA sahaja.

“Namun, bagi keseluruhan penggunaan SARA melalui kaedah pembayaran kod QR di Pasar Tamu/Pasar Tani, ianya masih dalam peringkat kajian dan penelitian oleh kerajaan. Sekiranya didapati mampan, ini akan diumumkan dalam Belanjawan 2027 kelak,” menurut kementerian menerusi jawapan bertulis Dewan Negara disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Kenyataan itu sebagai menjawab soalan Senator Larry Anak Asap mengenai peluasan skop perbelanjaan SARA di pasar tamu bagi memberikan manfaat kepada golongan penjaja dan peniaga kecil.

— Bernama