Boleh Shopping Online Ketika Solat Jumaat?

Soalan

Assalamualaikum pejabat mufti, saya nak tanya, apa hukum berjual beli secara online seperti di Shopee, Lazada, saham dan lain-lain ketika solat Jumaat? Terima kasih.

Berdasarkan kepada IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-683: HUKUM MELAKUKAN JUAL BELI ATAS TALIAN KETIKA SOLAT JUMAAT yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Jawapan Ringkas

Hukum melakukan transaksi jual beli secara atas talian ketika solat jumaat adalah haram kerana ia boleh melalaikan seseorang daripada menumpukan solat Jumaat. Konteks ini juga adalah sama seperti larangan syarak terhadap melakukan transaksi jual beli biasa dan seumpamanya yang boleh melalaikan. Oleh itu, dinasihatkan untuk umat Islam untuk menjauhkan diri daripada kesalahan ini dan melakukan transaksi jual beli tersebut selepas selesai waktu solat Jumaat.

Huraian Jawapan

Pada asasnya hukum berkaitan melakukan jual beli pada hari jumaat adalah diharuskan. Namun begitu, apabila masuknya waktu solat Jumaat, umat Islam perlu segera meninggalkan urusan duniawi dan fokus pada solat Jumaat tersebut. Hal ini dapat dilihat melalui firman Allah SWT berikut:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ ‎

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya)

Surah al-Jumuah (9)

Melalui ayat di atas, Imam Ibn Kathir menerangkan bahawa waktu bermulanya larangan transaksi jual beli dan seumpamanya adalah ketika bermulanya azan kedua bagi solat Jumaat dan imam berada di atas mimbar sebagaimana yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW. (Rujuk Tafsir Ibn Kathir 122/8[1])

Rujuk juga artikel kami yang lepas: Al-Kafi #1382: Waktu Larangan Jual Beli Pada Hari Jumaat

Seterusnya para fuqaha juga berpandangan bahawa ayat tersebut menyatakan pengharaman terhadap melakukan urusan jual beli dan lain-lain seumpamanya (seperti akan nikah dan akad sewa menyewa) setelah dikumandangkan azan kedua solat Jumaat kerana boleh melalaikan daripada menumpukan solat Jumaat. (Rujuk Mausuah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah 223/9[2]Kifayah al-Nabih fi Syarh al-Tanbih 307/18[3]Bidayah al-Muhtaj 391/1[4]Tuhfah al-Muhtaj 480/2[5])

Pada masa kini, transaksi jual beli adalah lebih mudah dengan adanya internet dan aplikasi-aplikasi e-dagang. Sifat jual beli secara atas talian ini adalah sama seperti jual beli konvesional seperti adanya pembeli, penjual dan barang dagangan. Justeru, hukum berkaitan jual beli ketika solat Jumaat adalah terpakai juga kepada kontek jual beli atas talian ini. Tambahan lagi, tidak dapat dinafikan kewujudan laman e-dagang memudahkan manusia untuk berjual beli tidak mengira tempat dan waktu. Namun begitu, adalah diingatkan bahawa perbuatan tersebut juga akan membuatkan seseorang itu lalai daripada menumpukan pada ibadahnya itu.

Kesimpulan

Hukum melakukan transaksi jual beli secara atas talian ketika solat Jumaat adalah haram kerana ia boleh melalaikan seseorang daripada menumpukan solat Jumaat. Konteks ini juga adalah sama seperti larangan syarak terhadap melakukan transaksi jual beli biasa dan seumpamanya yang boleh melalaikan. Oleh itu, dinasihatkan untuk umat Islam untuk menjauhkan diri daripada kesalahan ini dan melakukan transaksi jual beli tersebut selepas selesai waktu solat Jumaat.

Wallahualam.

[1] «وَقَوْلُهُ تَعَالَى: {‌إِذَا ‌نُودِيَ ‌لِلصَّلاةِ} الْمُرَادُ بِهَذَا النِّدَاءِ هُوَ النِّدَاءُ الثَّانِي الَّذِي كَانَ يُفْعَلُ بَيْنَ يَدَيْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا خَرَجَ فَجَلَسَ عَلَى الْمِنْبَرِ، فَإِنَّهُ كَانَ حِينَئِذٍ يُؤَذَّنُ بَيْنَ يَدَيْهِ، فَهَذَا هُوَ الْمُرَادُ»

[2] أَمَرَ الْقُرْآنُ الْكَرِيمُ بِتَرْكِ الْبَيْعِ عِنْدَ النِّدَاءِ (الأَْذَانِ) يَوْمَ الْجُمُعَةِ، فَقَال تَعَالَى: {يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ ‌فَاسْعَوْا ‌إِلَى ‌ذِكْرِ ‌اللَّهِ ‌وَذَرُوا ‌الْبَيْعَ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ} . (1) وَالأَْمْرُ بِتَرْكِ الْبَيْعِ نَهْيٌ عَنْهُ

[3] فكأن معنى نهيه عن البيع أنه تشاغل عن حضور الجمعة؛ فكانت عقود المناكحات والإجارات وسائر الأعمال والصنائع قياساً على البيع؛ لأنه تشاغل عن حضور الجمعة

[4]  (ويحرم على ذي الجمعة) أي: من تلزمه (التشاغل بالبيع وغيره بعد الشروع في الأذان بين يدي الخطيب) لقوله تعالى: {إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ ‌فَاسْعَوْا ‌إِلَى ‌ذِكْرِ ‌اللَّهِ ‌وَذَرُوا ‌الْبَيْعَ}، وقيس على البيع غيره

[5] وَإِنْ كَانَ عِبَادَةً (بَعْدَ الشُّرُوعِ فِي الْأَذَانِ بَيْنَ يَدَيْ الْخَطِيبِ) لِقَوْلِهِ تَعَالَى {إِذَا نُودِيَ لِلصَّلاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ ‌فَاسْعَوْا ‌إِلَى ‌ذِكْرِ ‌اللَّهِ ‌وَذَرُوا ‌الْبَيْعَ}

Baca juga :

Previous ArticleNext Article

Ekonomi Pengemis Moden di Malaysia

Dulu, pengemis duduk di kaki lima.

Hari ini, mereka tidak lagi menghulur tangan. Mereka hanya mengisi borang. Mereka tidak lagi meminta syiling. Mereka memanipulasi sistem.

1. Pengemis Subsidi

Ada segelintir individu yang sebenarnya memiliki rumah sewa, tanah dan aset, tetapi pada masa yang sama masih tersenarai sebagai penerima STR, zakat dan bantuan kebajikan. Caranya mudah: pendapatan sebenar disorok, sewa dikutip secara tunai, perniagaan kecil tidak dilaporkan dan aset diletakkan atas nama orang lain. Di dalam borang mereka nampak miskin, di dalam sistem mereka layak, tetapi dalam dunia sebenar mereka hidup dengan bahagianya.

2. Pengemis Digital

Ini versi moden meminta sedekah. Bukan lagi mengemis dan meminta-minta di kaki lima, tetapi mereka di TikTok, Facebook, Threads dan WhatsApp. Gambar anak, cerita hidup susah, bil hospital dan rumah rosak diakhiri dengan satu QR code. Setiap klik adalah wang. Bagi segelintir individu, ini merupakan sebuah model ‘bisnes’. Semakin sedih ceritanya, semakin deras aliran duitnya.

3. Pengemis Sistem

Ada individu yang faham bagaimana sistem kerajaan berfungsi dan bagaimana ia boleh dimanfaatkan. Mereka tahu apa yang ditanya dalam borang, bagaimana kelayakan dinilai dan di mana ‘lubangnya’. Sebab itu ada yang mengasingkan pendapatan, menggunakan akaun bank orang lain, menukar alamat atau memanipulasi maklumat isi rumah supaya kelihatan layak menerima bantuan.

Gambaran sebenar di Malaysia lebih kurang begini.

Pusat zakat (setiap negeri) ada sistem sendiri untuk:

  • rekod asnaf
  • jenis bantuan
  • amaun agihan

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula ada sistem kebajikan sendiri:

  • e-Kasih

Agensi lain pula ada sistem mereka tersendiri:

  • LHDN (pendapatan & cukai)
  • KWSP
  • JPJ
  • Pejabat tanah

Adakah sistem-sistem ini “bercakap” secara automatik antara satu sama lain?

Setakat yang diketahui umum, kita jarang atau hampir tidak pernah mendengar tentang kewujudan satu sistem integrasi menyeluruh antara pusat zakat, JKM dan agensi kerajaan lain. Jika integrasi itu wujud, ia tidak kelihatan secara terbuka dalam bentuk semakan silang automatik yang boleh menutup ruang manipulasi.

Akibatnya seseorang boleh pada masa yang sama:

  • terima zakat dari lebih 1 pusat zakat
  • terima bantuan JKM
  • terima bantuan NGO
  • terima bantuan kerajaan

Ini yang orang panggil pertindihan bantuan.

Secara dasanyar, semua agensi bantuan (JKM, kementerian, negeri) diwajibkan merujuk sistem e-Kasih apabila memilih penerima bantuan.

e-Kasih menyimpan:

  • profil individu dan isi rumah
  • status miskin / tidak miskin
  • bantuan yang telah diterima
  • keberkesanan program

Yang tidak disebut:
❌ akaun bank
❌ akaun simpanan ASB
❌ akaun simpanan Tabung Haji
❌ akaun saham
❌ akaun e-wallet
❌ pemilikan hartanah
❌ pendapatan sewaan
❌ rekod keluar masuk imigresen
❌ cukai

Sistem e-Kasih ialah database kebajikan, bukan database kekayaan.

Sistem yang hanya melihat pendapatan bulanan, tanpa mengambil kira simpanan dan aset kewangan akan mudah terlepas pandang golongan yang sebenarnya mampu, tetapi memilih untuk kekal dalam kategori “layak”.

4. Pengemis NGO

Derma dikutip atas nama Palestin, bencana dan anak yatim. Orang ramai menyumbang kerana simpati, tetapi wang itu tidak terus sampai kepada mangsa. Ia terlebih dahulu melalui lapisan pengurusan NGO. Di sinilah ia dipotong sebagai kos pentadbiran, elaun, kempen dan perbelanjaan operasi. Masalah timbul apabila tiada audit terbuka dan tiada laporan agihan yang telus. Secara teknikal ia mungkin sah, tetapi secara moral ia sangat ‘kelabu’. Di sinilah simpati bertukar menjadi industri.

NGO didaftarkan di bawah:

  • ROS (pertubuhan)
  • SSM (syarikat berhad menurut jaminan)
  • atau pemegang amanah

Mereka perlu:

  • serah penyata kewangan tahunan
  • ada juruaudit
  • ada lembaga pengarah

Tetapi tiada kewajipan untuk:

  • laporkan transaksi derma secara terperinci kepada penderma
  • paparkan peratus sebenar yang sampai ke mangsa
  • dedahkan kos kempen

Audit ada, tetapi audit itu untuk pematuhan organisasi, bukan untuk ketelusan kepada orang awam.

Walaupun kita sudah hidup di era kereta terbang, industri derma masih beroperasi atas kepercayaan, bukan atas pendedahan data terbuka. Dalam ketiadaan ketelusan, sentiasa wujud risiko dana disalah guna atau dialihkan untuk tujuan lain yang tidak berkaitan dengan misi asal.

Kalau benar-benar telus, sepatutnya:

  • setiap kempen wajibkan dashboard awam
  • berapa duit masuk?
  • berapa duit dibelanja?
  • berapa banyak sampai ke mangsa?

Tanpa semua ini, simpati memang akan sentiasa mudah dieksploitasi (bukan semestinya oleh semua NGO, tetapi cukup oleh segelintir untuk mencemarkan sistem keseluruhannya).

Untuk berlaku adil, tidak semua NGO beroperasi dalam gelap. Ada juga organisasi yang berusaha membina kepercayaan melalui ketelusan dan disiplin kewangan. Salah satu contoh ialah MYCARE (Humanitarian Care Malaysia), sebuah NGO kemanusiaan yang terlibat dalam bantuan kecemasan, termasuk di Gaza dan kawasan bencana lain. MYCARE secara terbuka menerbitkan laporan audit dan ringkasan agihan dana, bagi menunjukkan bagaimana sumbangan orang ramai diurus dan disalurkan kepada misi kemanusiaan. Semua ini meletakkan MyCARE pada tahap ketelusan yang lebih tinggi berbanding banyak NGO lain yang tidak menyiarkan laporan audit atau maklumat kewangan mereka secara jelas kepada umum.


Rakyat yang susah sebenarnya datang dalam pelbagai keadaan. Ada yang sudah berusaha berkali-kali, tetapi masih tersepit disebabkan faktor seperti kesihatan, peluang kerja, lokasi atau tanggungan keluarga. Golongan ini memang wajar dibantu, kerana bantuan boleh menjadi batu loncatan untuk mereka bangkit dan mengubah taraf hidup.

Namun, ada juga segelintir yang terperangkap dalam sistem yang bergantung kepada bantuan. Bukan kerana mereka tidak mampu bekerja, tetapi kerana sistem dan persekitaran menjadikan bantuan lebih mudah daripada berusaha. Apabila bantuan digunakan untuk perkara yang tidak produktif dan bukannya untuk membina masa depan, mereka akhirnya kekal di tempat yang sama. Apabila bantuan dihentikan atau disemak semula, kekecewaan itu kadangkala disalah arahkan kepada agensi yang sebenarnya cuba memastikan keadilan dalam agihan.

Kritikan ini bukan tentang menghukum orang miskin, tetapi tentang memastikan bantuan benar-benar sampai kepada mereka yang mahu bangkit dan bukan sekadar kepada mereka yang paling mahir memohon.

Nota: Perbincangan ini merujuk kepada kelemahan sistem dan risiko, bukan suatu tuduhan terhadap mana-mana individu atau organisasi tertentu. Sebilangan besar NGO dan agensi kebajikan menjalankan amanah dengan jujur dan ikhlas dan merekalah tulang belakang sebenar bantuan kemanusiaan.