Skim Buy Now Pay Later Adalah Haram Di Sisi Islam?

Ramai antara kita yang gembira dengan beberapa penyedia platform yang menyediakan kemudahan untuk membuat pembelian dahulu, kemudian bayarannya kemudian. Ada yang boleh dibuat sebagai ansuran bulanan. Mudah kan? Tanpa ada duit, anda juga boleh membeli atau memiliki barang-barang yang dijual dengan menggunakan kemudahan ini.

Namun, adakah perkara ini bagus kepada kita sebagai pengguna? Bagaimana pula dengan sudut pandang Islam dalam perkara ini?

Jom sama-sama kita ikuti perkongsian oleh Tuan Hanif Yahaya melalui catatan beliau di Facebook.

Ada beberapa sahabat Facebook saya seperti Prof Madya Dr Mohammad Jais Atan meminta saya berkongsikan isi temu bual saya oleh Buletinfm mengenai Skim Buy Now Pay Later atau Skim Pinjaman menerusi aplikasi mudah alih telefon bimbit.

Pertama sekali, maaf saya hampir terlupa nak kongsikan. Jadi hari ini saya akan kongsikan intipati temu bual

1. Semua skim pinjaman atau bayar kemudian yang ditawarkan ketika ini adalah TAK PATUH SHARIAH. Ini diakui sendiri dalam kenyataan media salah satu penyedia skim pinjaman tersebut.

2. Sebagai seorang Muslim, HARAM untuk kita menggunakan pinjaman-pinjaman seperti ini yang jelas menggunakan kontrak pinjaman.

3. Namun dalam kenyataan media tersebut, mereka mengatakan akan menawarkan kemudahan kredit berbentuk pembiayaan islamik yang patuh shariah.

4. Hutang ada 2 jenis iaitu hutang bercagar (secured loan) dan hutang tanpa cagaran (unsecured loan). Umumnya, semua pinjaman/pembiayaan berbentuk tanpa cagaran adalah tinggi kadar faedah/keuntungan.

5. Buy Now Pay Later adalah salah satu pinjaman tanpa cagaran. Sebab itu caj mereka bermula serendah 1.25% sebulan (nampak macam rendah) tetapi secara nominal nya setahun setinggi 15%. Itu pun tak tukar lagi daripada kadar nominal kepada kadar efektif lagiManakala, skim pinjaman (aplikasi lain) pula menawarkan kadar faedah setinggi 3% sebulan yang menjadikannya secara nominal 36% setahun.

6. Cuba anda bayangkan, jika anda melabur ke dalam pasaran Saham Amanah (Unit Trust). Saya ambil contoh Saham Amanah sebab ini adalah pasaran pelaburan paling besar di Malaysia.

Nak dapat pulangan pelaburan setinggi 10% setahun (Compound Annual Growth Rate, CAGR) secara konsisten dalam jangka masa panjang adalah amat sukar sekaliJadi sekiranya anda ambil pinjaman/pembiayaan seperti ini, ia hanya akan mengurangkan nilai kekayaan anda dan mengikis duit anda tanpa anda sedari.

7. Nasihat saya, hanya gunakan apa-apa fasiliti kredit pada kadar anda mampu bayar habis pada akhir tempoh. Kegagalan bayar habis akan menyebabkan anda kena bayar faedah yang tinggi dikemudian hari.

8. Jangan sesekali berbelanja menggunakan fasiliti kredit melebihi kadar anda mampu bayar. Ini kerana, jika tak mampu bayar bermakna anda sebenarnya memang tak mampu memiliki barang itu pada ketika itu.

9. Ada yang melabel skim-skim pinjaman ini sebagai ah long moden kerana kadar faedah setinggi 36% setahun. Bagi saya itu label yang salah. Mereka bukan ah long tetapi menyediakan alternatif kepada anda daripada meminjam daripada Ah Long.

injam dari Ah Long lagi tinggi kadar faedah dan risiko keselamatan anda terancam. Nyawa anda dan keluarga boleh hilang.

10. Kadar 36% itu juga bukanlah satu kadar yang luar biasa. Dalam pengurusan korporat syarikat, perkhidmatan fasiliti kredit jangka pendek seperti ‘factoring’ memang mengenakan kadar setinggi 3% sebulan bersamaan 36% setahun. Cuma bagi individu, mungkin kelihatan agak luar biasa.

Jarang atau mungkin anda tak pernah dengar pun bank atau apa-apa penyedia perkhidmatan fasiliti kredit mengenakan kadar setinggi 36% setahun

Kesimpulannya, usah terjebak dengan Skim Buy Now Pay Later atau pinjaman dalam aplikasi mudah alih sekiranya anda tak mampu bayar habis dalam tempoh (free interest rate period) walaupun pada masa akan datang penyedia-penyedia fasiliti kredit di aplikasi mudah alih ini akan keluarkan dalam bentuk kontrak patuh syariah.

Ianya akan menyusutkan nilai kekayaan anda dan menyusahkan diri anda dikemudian hari. Ingat, di saat anda tak mampu bayar habis pada akhir (free interest rate period), saat itulah anda perlu sedar yang anda belum mampu lagi beli barang tersebut

Nota: Mungkin ada sedikit pertambahan dari apa saya cakap di Buletin FM sebab masa temu bual agak pendek dan saya hanya ringkaskan poin-poin utama. Moga-moga ia memberi manfaat kepada anda semua.

Nota tambahan: 1. Dapat info dari Zulfitri Muhamad yang ada aplikasi Buy Now Pay Later yang patuh Shariah seperti Split di mana Masryef adalah penasihat syariah mereka. Malah mereka benarkan 3 bulan pembayaran balik tanpa sebarang kadar keuntungan 0%2. Info dari Sulong Mcda, Aira Pay juga patuh shariah dan penasihat syariah mereka juga adalah Masryef.

Artikel ini merupakan perkongsian di Facebook Tuan Hanif Yahaya. Beliau merupakan Ahli Malaysian Association of Muslim Finance Professionals

Previous ArticleNext Article

Malaysia Cadang Perluas Pengiktirafan Sijil Halal JAKIM Ke Lebih Banyak Negara — Ahmad Zahid


KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) — Malaysia bercadang untuk memperluaskan pengiktirafan sijil Halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ke lebih banyak negara menerusi kerjasama diplomasi Halal.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata setakat ini di peringkat global terdapat 88 buah negara yang telah mengiktiraf sijil Halal JAKIM.

Beliau berkata terdapat juga cadangan daripada beberapa negara-negara untuk menempatkan kilang mereka di Malaysia bagi memperoleh sijil Halal JAKIM dan kemudiannya mengeksport produk mereka ke seluruh dunia.

“Ini akan memberikan lebih keuntungan kepada Malaysia dari segi penambahan nilai eksport, peluang pekerjaan dan pemindahan teknologi daripada syarikat terbabit.

“Terdapat negara-negara yang masih mahukan sijil (Halal) JAKIM, jadi kita menjemput syarikat-syarikat itu untuk membuat pelaburan di Malaysia,” katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan Perniagaan Halal Sedunia (WHBC) 2024 di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata semasa kunjungan beliau ke China baru-baru ini hasil daripada perbincangan meja bulat dengan syarikat-syarikat terdapat permintaan untuk menggunakan logo (Halal) JAKIM sebagai lambang untuk pasaran antarabangsa kerana ia diterima dan dipercayai di seluruh dunia.

“Jadi, Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) perlu berkerjasama dengan JAKIM dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) supaya syarikat-syarikat itu diberikan kemudahan untuk melabur di sini dan mengambil pekerja tempatan menjadi ahli profesional serta teknikal bagi pengeluaran produk berkenaan.

“Saya juga telah mengkoordinasikan dengan kerajaan negeri supaya menyediakan tanah untuk dibeli atau disewa bagi pembinaan kilang,” katanya.

WHBC 2024 yang diadakan bersempena dengan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2024 adalah untuk memupuk dialog dan kerjasama yang akan memacu inovasi dan pertumbuhan dalam ekonomi Halal yang semakin berkembang.  

Pengerusi HDC Khairul Azwan Harun berkata persidangan itu bertujuan untuk mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju pemikiran dalam industri Halal dan mempercepatkan kerjasama yang memberi impak dalam kalangan pemegang kepentingan Halal.

“Kami menjangkakan pertukaran idea dan strategi yang dinamik dengan lebih 500 tetamu terhormat, termasuk duta, pegawai kerajaan, pemimpin perniagaan, persatuan perdagangan dan wakil akademik,” katanya dalam ucapan beliau pada WHBC.

— BERNAMA