airasia Super App Lancar Platform e-Dompet Baharu Untuk Pengalaman Pembayaran Dalam Aplikasi Yang Lebih Lancar

KUALA LUMPUR, 17 Jun 2022airasia Super App hari ini mengumumkan satu lagi ciri baharu pada aplikasinya iaitu airasia pocket, satu ciri dompet elektronik (e-dompet) pada aplikasi super tersebut yang membolehkan para penggunanya untuk mengisi semula baki dan membuat pembayaran untuk semua produk dan perkhidmatan yang tersedia pada aplikasi itu di samping berpeluang untuk mendapat ganjaran.

Pengguna airasia pocket berpeluang untuk memperoleh mata ganjaran airasia semasa proses pengaktifan, selain menikmati tambahan 10% diskaun untuk semua tempahan penerbangan AirAsia dan 10x mata ganjaran airasia dengan setiap pesanan melalui airasia food pada hujung minggu. Tempah perkhidmatan e-panggilan airasia ride anda hari ini dan nikmati pengalaman yang lancar dalam aplikasi serta ketika dalam perjalanan dengan ciri e-dompet Super App kami, airasia pocket.

Klik di sini untuk mengaktifkan airasia pocket pada airasia Super App anda sekarang.

airasia pocket kini tersedia untuk semua pengguna airasia Super App di Malaysia dalam mata wang Ringgit Malaysia. Ia boleh diakses dengan mudah melalui aplikasi super tersebut dengan mendaftar untuk akaun airasia pocket melalui beberapa langkah mudah. Terdapat dua jenis akaun airasia pocket iaitu Lite dan Pro. Akaun Lite disyorkan untuk kegunaan harian dengan had saiz dompet sebanyak RM500, manakala untuk akaun Pro pula direka untuk transaksi bernilai tinggi dengan had saiz dompet sehingga RM4,999.

Ciri-ciri pada airasia pocket telah dibangunkan oleh Fass Payment Solutions Sdn Bhd (Fasspay), sebuah pemain industri e-dompet label putih dan penyedia e-wang yang diperakui oleh Bank Negara Malaysia. Platform ini direka bentuk untuk membolehkan rakan kongsinya untuk membina serta menginovasi platform pembayaran tindanan penuh Fasspay dan menawarkan pelbagai perkhidmatan pembayaran serta kewangan kepada para pelanggan mereka.

Mohamad Hafidz Mohd Fadzil, Ketua Pegawai Eksekutif Teknologi Kewangan airasia Super App, berkata “Seiring dengan pembentukan semula landskap kewangan melalui teknologi kewangan dan neobank di Malaysia dan seluruh rantau ASEAN, airasia Super App terus menjadi pengganggu industri dan mengembangkan perkhidmatan teknologi kewangannya melalui pelancaran airasia pocket, di mana ia membolehkan para pengguna aplikasi kami untuk membuat pembayaran untuk semua produk dan perkhidmatan di dalam ekosistem Super App dengan lebih pantas. Ini termasuk pembayaran untuk tempahan penerbangan dan hotel, serta perkhidmatan lain seperti airasia food, airasia grocer, airasia xpress, atau ketika menempah perkhidmatan e-panggilan melalui airasia ride. Ini selaras dengan strategi teknologi kewangan kami untuk memacu pengalaman pengguna yang lancar dan menjadikan pembayaran atas talian lebih mudah. Melalui kerjasama bersama rakan kongsi kami di Fasspay, para pengguna kini boleh menggunakan ciri baharu ini tanpa ragu kerana ia adalah selamat, patuh, dan dilesenkan oleh Bank Negara Malaysia.”

Amanda Woo, Ketua Pegawai Eksekutif airasia Super App, berkata “Ini merupakan langkah terakhir kami dalam memuktamadkan sepenuhnya ekosistem airasia, di mana ia bakal menunjukkan potensi sebenar airasia Super App. airasia pocket merupakan cara yang lebih mudah, pantas serta lebih bermanfaat untuk membayar segalanya di dalam ekosistem airasia. Melalui penyediaan airasia pocket juga dapat memberikan kami pemahaman yang lebih mendalam terhadap tingkah laku pelanggan yang akan membantu kami dalam memberikan nilai yang lebih baik serta perkhidmatan yang lebih berkualiti termasuk proses bayaran balik yang lebih cepat buat para pengguna kami.”

Chris Leong, Ketua Pegawai Eksekutif Fasspay, berkata “Kami berbesar hati untuk menjadi rakan kongsi airasia Super App dalam usaha pembangunan teknologi kewangannya dan kami akan terus menyokong aspirasinya untuk berkembang di peringkat serantau serta global. Misi Fasspay adalah untuk membolehkan rakan kongsi kami, seperti airasia Super App, merealisasikan visi mereka dalam mengembangkan perkhidmatan kewangannya melalui penggunaan dompet-sebagai-servis. Kerjasama ini hanyalah permulaan untuk Fasspay dalam mencapai matlamat utama kami iaitu untuk memanfaatkan platform pembayaran tindanan penuh kepada para pelanggan sama ada kecil dan besar di seluruh dunia.”

Buat masa ini, tambah nilai untuk airasia pocket adalah tersedia melalui Perbankan Dalam Talian (FPX), dengan lebih banyak pilihan akan ditambah pada masa hadapan.

Ikuti perkembangan terkini perkhidmatan e-dagang airasia Super App dengan mengikuti @airasiasuperapp di Instagram dan Facebook! Untuk pengalaman yang lancar dan dipertingkatkan, muat turun aplikasi airasia Super App anda melalui Apple App Store, Google Play Store atau Huawei AppGallery.

Previous ArticleNext Article

UOB Malaysia perkenal nama baharu stesen LRT Bandaraya – UOB

Kuala Lumpur, Malaysia, 3 Oktober 2025 – UOB Malaysia hari ini mengumumkan penjenamaan semula Stesen LRT Bandaraya kepada Stesen LRT Bandaraya – UOB, sekali gus mengukuhkan komitmen Bank untuk membangunkan Kuala Lumpur menjadi lebih hijau dan terhubung. Inisiatif penjenamaan stesen ini menunjukkan wawasan UOB yang progresif dalam menggabungkan  kemampanan dengan mobiliti bandar, sambil meningkatkan keterhubungan harian untuk penduduk bandar yang semakin meningkat.

Dengan lebih satu juta penumpang melalui Stesen LRT Bandaraya – UOB setiap minggu, stesen ini merupakan hab pertukaran penting yang menyediakan akses mudah ke salah satu daerah komersial paling sibuk di Kuala Lumpur.

Majlis pelancaran bersempena penjenamaan semula stesen telah dirasmikan oleh YB Anthony Loke, Menteri Pengangkutan. Turut hadir di majlis tersebut ialah YBhg. Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah binti Mohd Sharif, Datuk Bandar Kuala Lumpur; Encik Wee Ee Cheong, Timbalan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UOB; Puan Ng Wei Wei, Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia; Encik Amir Hamdan, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad; Encik Syed Redza Algadrie, Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Integrated Development Sdn Bhd (PRIDE); dan Encik Nor Azmi Mohd Yusof, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd.

YB Anthony Loke, Menteri Pengangkutan, berkata, “Saya ucapkan tahniah kepada UOB Malaysia atas sokongan mereka terhadap program Hak Penjenamaan Stesen. Penjenamaan semula stesen ini adalah bukti bahawa kerjasama awam-swasta yang erat dapat membuahkan hasil positif bagi rakyat, selain memaksimumkan sumber dan mempertingkat penyampaian perkhidmatan. Penglibatan Bank secara proaktif juga menunjukkan semangat pemilikan dan komitmen teguh dalam meningkatkan landskap pengangkutan awam Kuala Lumpur.”

Puan Ng Wei Wei, Ketua Pegawai Eksekutif, UOB Malaysia, berkata, “Penjenamaan Stesen LRT Bandaraya – UOB bukan sahaja bersifat simbolik, ia melambangkan akar umbi kami di kawasan ini, di mana Menara UOB Kuala Lumpur telah bertapak sejak 1984. Dengan ibu pejabat baharu kami, UOB Plaza 1 KL, hanya beberapa langkah dari stesen, inisiatif ini membolehkan kami memperdalam keterlibatan masyarakat, menyumbang kepada pengalaman bandar raya, selain membantu memajukan pengangkutan awam untuk mengurangkan kesesakan bandar serta menggalakkan kemampanan.”

Encik Syed Redza Algadrie, Ketua Pegawai Eksekutif PRIDE, berkata, “Kami berbesar hati dengan penyertaan UOB Malaysia sebagai rakan kongsi dalam inisiatif Hak Penjenamaan Stesen kami. Melangkaui inisiatif penamaan, penjenamaan stesen adalah pemangkin untuk pewujudan tempat dan juga menjadi kebanggaan masyarakat, di mana hab transit diubah menjadi mercu tanda yang menyerlahkan identiti bandar. Dengan kehadiran UOB Malaysia di Stesen LRT Bandaraya – UOB, kami dapat meningkatkan pengalaman komuter, membuka kunci nilai aset transit kami, dan juga membantu menjadikan Kuala Lumpur lebih bertenaga dan terhubung.”

Stesen LRT Bandaraya – UOB yang dinamakan semula ini menghubungkan kedua-dua Laluan LRT Ampang (Ampang – Sentul Timur) dan Sri Petaling (Sri Petaling – Sentul Timur) dan berintegrasi dengan Laluan LRT Kelana Jaya melalui stesen Masjid Jamek. Ia juga berkhidmat sebagai stesen pertukaran ke Stesen Komuter KTM Bank Negara, menghubungkan penumpang harian ke kedua-dua Laluan KTM Rawang – Seremban dan Sentul – Pelabuhan Klang. Stesen ini juga berdekatan dengan beberapa mercu tanda Kuala Lumpur termasuk Bank Negara Malaysia, Bangunan KWSP, Kompleks Pertama, Menara DBKL, Menara MARA, dan SOGO KL.