Airbnb Dan Malaysian Green Technology And Climate Change Corporation Mengumumkan Memorandum Persefahaman Untuk Memacu Pelancongan Hijau Di Malaysia

Kuala Lumpur, 26 Julai 2022 — Hari ini, Airbnb dan Malaysian Green Technology & Climate Change Corporation (MGTC) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk bersama-sama memacu agenda pertumbuhan hijau negara melalui beberapa siri inisiatif. Sebagaimana perlancongan telah dibenarkan semula, kerjasama MoU ini bertujuan untuk membantu menggiatkan semula perjalanan pasca wabak COVID-19, dan menyokong sasaran Malaysia untuk menjadi negara neutral karbon menjelang 2050 seperti yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

Secara khususnya, Airbnb dan MGTC akan berusaha untuk mendidik komuniti Hos Airbnb di Malaysia tentang cara menggabungkan amalan lestari ke dalam operasi dan tawaran hospitaliti harian mereka. Kedua-dua pihak juga akan berusaha untuk memperkasakan rakyat Malaysia untuk mengurangkan jejak karbon mereka dan mengamalkan tabiat perlancongan yang lebih lestari.

Antara bidang kerjasama utama termasuk mengendalikan bengkel kelestarian untuk penyedia penginapan dan Hos Airbnb di Malaysia, mencipta bersama panduan penjimatan tenaga untuk penyenaraian Airbnb di Malaysia, dan bekerjasama dengan MGTC untuk menjayakan acara perdana International Greentech & Eco Products Exhibition & Conference Malaysia (IGEM) – satu acara perdagangan terbesar di Asia Tenggara untuk teknologi hijau dan penyelesaian eko.

Amanpreet Bajaj, Pengurus Besar Airbnb untuk Asia Tenggara, India, Hong Kong dan Taiwan, berkata, “Tahun lepas, Airbnb melancarkan Green Stays Awards yang pertama untuk meraikan dan memacu perkembangan pelbagai jenis penginapan pelancongan yang inovatif yang  mementingkan kesedaran alam sekitar di Malaysia. Hari ini, kami teruja untuk meneruskan kerjasama ini melalui MoU dengan MGTC. Rakyat Malaysia semakin cakna mengenai keutamaan dalam perlancongan; dan kami komited untuk bekerjasama dengan MGTC untuk membangunkan kecekapan hijau dalam industri pelancongan dan memperkasakan Hos dan para tetamu kami untuk menerapkan gaya hidup hijau dalam kehidupan harian, pengehosan serta perlancongan mereka.”

Ts. Shamsul Bahar Mohd Nor, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MGTC, berkata, “Ini merupakan MoU pertama kami dengan platform hospitaliti antarabangsa Airbnb, yang menandakan batu loncatan untuk kerjasama awam dan swasta untuk memajukan agenda pertumbuhan hijau di Malaysia. Untuk menjadikan gaya hidup hijau satu realiti di Malaysia, kita perlu bermula dengan komuniti kita. Kami tidak sabar untuk jalinan kerjasama dengan Airbnb bagi mendidik rakyat Malaysia dan para perniaga tentang langkah kecil yang mereka boleh ambil ke arah mengurangkan pelepasan karbon mereka, dan untuk memupuk gaya hidup yang lebih hijau dan tabiat perlancongan yang lestari.”

Dari Ekopelancongan kepada Setiap Hari

Bersempena dengan kerjasama itu, Airbnb telah menganjurkan panel perbincangan bertajuk “Dari Ekopelancongan kepada Setiap Hari: Trend yang Berkembang di Landskap Pelancongan Hijau Malaysia” bersama Amanpreet Bajaj, Pengurus Besar untuk Asia Tenggara, India, Hong Kong dan Taiwan, Airbnb; Ts. Shamsul Bahar Mohd Nor, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Green Technology And Climate Change Corporation (MGTC); dan Siti Norasiah dan Affan Nasaruddin, Hos bersama Airbnb Malaysia yang memenangi anugerah yang menukar bas universiti lama yang tidak digunakan menjadi sebuah penginapan  Airbnb yang direka dengan teliti menggunakan peralatan penjimatan tenaga dan sistem pengumpulan dan penapisan air hujan.

Ahli panel membincangkan bagaimana pelancongan hijau mengubah landskap pelancongan di Malaysia, cabaran utama yang dihadapi dalam memupuk pelancongan hijau, dan cara untuk membantu menjadikan kehidupan hijau lebih mudah diakses oleh rakyat Malaysia setiap hari.

Siti Norasiah Abd. Kadir dan Affan Nasaruddin, Hos bersama Airbnb dan Pemenang Perak 2021 Airbnb Green Stays Awards, berkongsi: “Kami berbangga kerana projek kami untuk menukar bas kepada Penginapan Airbnb telah memberi kesan positif. Hasil penginapan tempahan kami membantu membiayai inisiatif-inisiatif kelestarian Universiti Malaya, dan kami sentiasa menggalakkan tetamu kami untuk mengamalkan lebih banyak tabiat hijau, bermula dengan mereka bermalam di dalam bas kami! Kami berharap dapat melihat lebih ramai rakyat Malaysia setiap hari menerima amalan hidup hijau dan mempraktikkannya. Sama ada sebagai Hos atau tetamu, kita semua boleh melakukan peranan kita untuk menerima gaya hidup yang lebih mesra alam .”

Pada 2021, Airbnb melancarkan Green Stays Awards dengan kerjasama Global Sustainable Tourism Council (GSTC), Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) and the Ecotourism dan Conservation Society of Malaysia (ECOMY). Anugerah ini bertujuan untuk memacu perlancongan yang mesra alam di seluruh negara dengan meraikan hos penginapan perlancongan kecil yang komited untuk memastikan operasi harian yang lestari. Untuk melihat 12 penginapan Airbnb tempatan yang memenangi anugerah, lawati airbnb.com/ malaysiagreenstayswinners .

Previous ArticleNext Article

Pengurusan Kesihatan Mental Untuk Usahawanita Moden

usahawanita moden
  • Rutin pengurusan kesihatan mental untuk usahawanita moden
  • Usahawan wanita yang mengurus perniagaan sambil memikul tanggungjawab peribadi
  • Kehidupan moden yang pantas dan kompetitif menyebabkan wanita mudah kemurungan
  • Kesihatan mental yang baik membantu wanita urus tekanan & kekalkan produktiviti kerja

Wanita hari ini bukan lagi sekadar berada di belakang tabir dalam dunia perniagaan. Mereka menjadi pengasas syarikat, pelabur, profesional, pemilik SME dan peneraju pelbagai industri.

Namun, kejayaan tersebut datang bersama tekanan yang mungkin tidak kelihatan.

Bagi sesetengah wanita, selepas tamat waktu pejabat, tanggungjawab belum selesai. Masih ada anak yang perlu diurus, pasangan, keluarga, rumah dan pelbagai keputusan yang perlu dibuat.

Sebab itu kesihatan mental wanita tidak boleh dilihat sebagai isu sampingan.

Baca : Wanita Malaysia Jana Lebih RM176 Juta Pada 2022 Sebagai Hos – Airbnb

Data Kementerian Kesihatan Malaysia melalui NHMS 2023 menunjukkan kira-kira satu daripada lapan rakyat Malaysia berusia 15 tahun ke atas mengalami kemurungan, dan prevalens kemurungan meningkat dua kali ganda berbanding 2019.

Lebih menarik untuk konteks usahawan, satu kajian terhadap rakyat Malaysia mendapati pemilik perniagaan menunjukkan simptom kemurungan yang lebih tinggi, manakala tekanan menjadi antara faktor penting yang berkait dengan simptom tersebut.

“Kajian terhadap 728 orang dewasa di Malaysia mendapati pemilik perniagaan menunjukkan tahap simptom kemurungan lebih tinggi, dengan tekanan & status sebagai pemilik perniagaan menjadi antara peramal signifikan simptom kemurungan.”National Library of Medicine

Baca : Pelaburan Bantu Wanita Boleh Wujud Kesan Beriak Bawa Pelbagai Manfaat

Ini bukan bermaksud menjadi usahawan menyebabkan kemurungan. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa tekanan keusahawanan dan kesihatan mental wajar diberi perhatian.

Jadi, apakah rutin yang boleh membantu usahawanita moden menjaga kesihatan mental mereka?

1. Rutin Bersenam

Senaman bukan hanya untuk menurunkan berat badan.

Bagi usahawanita yang menghabiskan sebahagian besar hari di hadapan komputer, dalam mesyuarat atau mengurus operasi perniagaan, aktiviti fizikal boleh menjadi ruang untuk keluar seketika daripada tekanan kerja.

rutin bersenam wanita

Tidak semestinya perlu melakukan senaman berat.

Berjalan kaki, berenang, berlari, berbasikal atau melakukan latihan kekuatan secara konsisten sudah boleh menjadi sebahagian daripada rutin.

Yang penting ialah konsistensi, bukan intensiti semata-mata.

Bahkan, menjadikan senaman sebagai rutin mingguan boleh memberikan satu bentuk struktur kepada kehidupan yang mungkin dipenuhi jadual kerja yang tidak menentu.

2. Rutin Penjagaan Diri

Ada satu perkara yang sering berlaku kepada wanita yang terlalu sibuk.

Mereka menjaga semua orang kecuali diri sendiri.

rutin penjagaan diri wanita

Bagi sebahagian wanita, rawatan kecantikan bukan sekadar mahu kelihatan lebih muda atau cantik. Ia juga boleh menjadi masa untuk berhenti seketika daripada rutin kerja.

Namun, penting untuk membezakan self-care daripada tekanan untuk sentiasa kelihatan sempurna.

Penjagaan diri sepatutnya membantu seseorang berasa lebih baik tentang dirinya, bukan menambahkan tekanan untuk memenuhi standard kecantikan tertentu.

3. Rutin Tidur Awal

Usahawan mungkin terkenal dengan bekerja sehingga lewat malam.

Laptop dibuka selepas anak tidur. Telefon masih berbunyi dengan WhatsApp pelanggan. E-mel masih masuk. Idea perniagaan pula datang ketika semua orang sudah tidur.

rutin tidur awal

Masalahnya, otak juga memerlukan masa untuk berehat.

Rutin tidur yang konsisten boleh menjadi salah satu bentuk pengurusan diri yang paling mudah tetapi sering diabaikan.

Sebelum tidur, usahakan untuk mengurangkan penggunaan skrin dan cahaya terang, khususnya apabila ia menyebabkan kita terus terangsang dengan kerja, media sosial atau notifikasi.

Kadangkala masalahnya bukan kita tidak mempunyai masa untuk tidur.

Kita tidak pernah benar-benar berhenti bekerja.

4. Rutin Travel dan Melihat Dunia

Travel juga boleh menjadi satu bentuk “reset” daripada rutin.

Bagi usahawanita yang sentiasa membuat keputusan untuk syarikat, pekerja dan keluarga, perjalanan seorang diri boleh memberikan ruang untuk membuat keputusan berdasarkan diri sendiri.

Tidak perlu sentiasa memilih destinasi popular.

rutin melancong wanita

Asia Tengah, misalnya, menawarkan pengalaman yang berbeza, Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan dan negara-negara lain mempunyai sejarah, budaya dan landskap yang jauh berbeza daripada destinasi pelancongan biasa.

Solo travel juga tidak semestinya bermaksud melarikan diri daripada kehidupan.

Kadangkala ia sekadar memberikan seseorang ruang untuk melihat kehidupan dari perspektif yang berbeza.

Namun, perjalanan perlu dirancang mengikut kemampuan kewangan, keselamatan dan keadaan diri. Travel yang menambahkan hutang atau tekanan bukanlah self-care.

5. Rutin Beribadah & Kebajikan

Bagi wanita Muslim, pengurusan kehidupan tidak semestinya berhenti pada aspek fizikal dan psikologi.

Ia juga mempunyai dimensi spiritual.

rutin beribadah wanita

Solat, membaca al-Quran, menghadiri kelas ilmu, melakukan amal jariah, menunaikan umrah atau haji boleh menjadi sebahagian daripada rutin kehidupan yang memberikan ruang untuk seseorang kembali mengingati tujuan hidup yang lebih besar daripada pekerjaan.

Ini juga memberikan perspektif kepada dunia keusahawanan.

Syarikat boleh berkembang. Duit boleh bertambah. Jawatan boleh berubah. Tetapi kehidupan tetap mempunyai dimensi yang lebih luas daripada keuntungan.

Baca : Perangai Wanita Malaysia Selepas Dapat Gaji

Bagi sesetengah usahawanita, amal jariah juga menjadi cara untuk menukar sebahagian daripada kejayaan material kepada sesuatu yang memberi manfaat kepada orang lain.

Alhasil

Menjadi usahawanita moden bukan sekadar tentang membina syarikat dan mencapai keuntungan.

Ia juga tentang kemampuan untuk terus berfungsi sebagai seorang individu, sebagai wanita, ibu, isteri, anak, pemimpin dan manusia yang mempunyai keperluan emosi serta fizikal sendiri.

Sebab itu rutin kecantikan, senaman, tidur, travel dan ibadah tidak sepatutnya dilihat sebagai aktiviti yang membuang masa daripada pekerjaan.

Sebaliknya, ia boleh menjadi sebahagian daripada cara seseorang membina kehidupan yang lebih seimbang.

Pada akhirnya, perniagaan yang berjaya memerlukan seorang pemimpin yang mampu bertahan dalam jangka panjang.

Baca : Kisah Emas Dan Wanita Kelantan

Usahawanita tidak perlu memilih antara kejayaan dan kesejahteraan diri. Yang lebih penting ialah belajar mengurus kedua-duanya.