AKPK Bantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Terkesan Covid-19

Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menyarankan peminjam mengambil langkah proaktif dalam menilai kedudukan kewangan mereka terutama ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengurus AKPK Cawangan Kota Bharu, Mohd Rizauddin Noor berkata, pihaknya sedar akan kesukaran yang dialami sebahagian peminjam, samada individu atau sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang terjejas akibat pandemik Covid-19 yang berpanjangan.

“Memahami keadaan pelanggan yang berhadapan kesukaran untuk membayar semula pinjaman dengan institusi kewangan, pihak kami membantu mereka menyediakan penyusunan atau penjadualan semula pinjaman melalui Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SPPK).

“Melalui skim ini secara tidak langsung membantu memulihkan akaun perniagaan yang bermasalah menerusi penyusunan atau penjadualan semula pinjaman sedia ada serta menyediakan akses untuk pinjaman baharu sekiranya perlu dan benar-benar layak.

“SPPK adalah platform yang membolehkan institusi kewangan dan PKS mencari jalan penyelesaian dalam pemulihan hutang secara damai dan kolektif tanpa menggunakan saluran undang-undang, sebaliknya memberi fokus pada usaha untuk membangunkan semula perniagaan mereka,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Rizauddin berkata, individu atau PKS yang membuat permohonan terlebih dahulu akan dirujuk kepada SPPK dan dinilai secara objektif.

Tambah beliau, dalam situasi pandemik Covid-19, pelanggan juga boleh mendapatkan nasihat dan bantuan daripada AKPK sekiranya cadangan dari pihak bank tidak memenuhi komitmen kewangan mereka secara menyeluruh ataupun mereka sudah pun mempunyai beberapa pinjaman dari bank.

“Selain itu, AKPK juga ada menyediakan khidmat kaunseling dan pendidikan dalam pengurusan kewangan secara berhemat. Perkhidmatan AKPK kepada individu adalah percuma dan tidak melantik sebarang ejen atau pihak ketiga.

“Khidmat yang disediakan ini akan membantu pelanggan untuk meningkatkan produktiviti mereka di tempat kerja dan dan seterusnya memberikan ketenangan minda apabila situasi kewangan terkawal,” katanya.

Katanya, jika dilihat pada hari ini, 98.5 peratus perniagaan yang ditubuhkan di negara kita adalah PKS dan menyumbang 38.9 peratus atau RM552.3 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) selain menyediakan sebanyak 7.3 juta peluang pekerjaan kepada rakyat.

“PKS adalah salah satu sektor penting kepada ekonomi negara dan kami di AKPK akan terus menyokong serta membantu PKS yang sedang menghadapi cabaran pandemik Covid-19 supaya kembali pulih seperti sediakala,” katanya.

AKPK juga tidak terlepas menjadi modal golongan tidak bertanggungjawab. AKPK seringkali menerima aduan tentang adanya pihak ketiga atau ejen yang mengaku mewakili AKPK dan mengenakan caj atau bayaran perkhidmatan. 

AKPK tidak pernah melantik ejen atau pihak ketiga dan perkhidmatan AKPK adalah percuma kepada semua individu dan PKS. Peminjam dinasihatkan untuk terus berhubung terus dengan AKPK atau insititusi kewangan dan badan autoriti yang sah bagi mendapatkan perkhidmatan atau nasihat kewangan agar tidak mudah ditipu. 

AKPK menyediakan perkhidmatannya secara dalam talian secara holistik dan menyeluruh kepada individu dan PKS. Individu dan PKS yang ingin mendapatkan perkhidmatan AKPK boleh melayari https://services.akpk.org.my dan menghantar borang dalam talian yang telah dilengkapkan untuk dihubungi oleh penasihat kewangan AKPK. Selain itu, AKPK juga menyediakan panduan kewangan melalui modul-modul pendidikan kewangan di https://power.akpk.org.my

AKPK juga menggunakan media sosial rasminya iaitu @AKPKofficial di Facebook, Instagram dan Twitter untuk menyampaikan maklumat tentang pengurusan kewangan termasuklah panduan dan pautan kepada perkhidmatan yang disediakan. Orang ramai bolehlah menggunakan medium yang telah disediakan termasuk berhubung terus secara dalam talian dengan penasihat kewangan AKPK sekiranya berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang perkhidmatan AKPK.  

#AKPK For All. #AKPK Sahabat Kewangan Anda.

Previous ArticleNext Article

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.