BIMB Investment melancarkan Dana Unit Amanah Wakaf

BIMB Investment Management Berhad (BIMB Investment), sebuah anak syarikat milik penuh Bank Islam Malaysia Berhad, hari ini secara rasminya melancarkan Dana Makmur myWakaf (MWF), sebuah dana Unit Amanah Wakaf yang Pertama di bawah Rangka Kerja Dana Bercirikan Wakaf Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang diperkenalkan pada 12 November 2020 dan sebuah Dana Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab di bawah Garis Panduan Dana Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab SC. BIMB Investment merupakan syarikat pengurusan dana yang pertama untuk merancang dan membina sebuah dana unit amanah wakaf, dan dengan itu, memperkenalkan satu dimensi pelaburan baru ke dalam industri pengurusan dana di Malaysia.

Pengerusi BIMB Investment, Mohamed Ridza bin Mohamed Abdulla berkata, “Akhirnya, setelah dua tahun melakukan penyelidikan, BIMB Investment memperkenalkan Dana Makmur myWakaf yang kini telah menjadi kenyataan. Produk ini mempunyai keunikan di dalam ciri-cirinya kerana ia menggabungkan prinsip-prinsip yang berasaskan Shariah untuk kemajuan masyarakat. Selain kewangan sosial, tumpuan dalam penjagaan kesihatan, pendidikan dan pemerkasaan masyarakat sambil memberikan pulangan pelaburan bagi pelabur telah menjadikan dana ini benar-benar inovatif. Kami bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk Bahagian Pasaran Modal Islam Suruhanjaya Sekuriti, Pusat Sosial Kewangan Bank Islam, Bahagian Perhubungan Strategik dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM). Harapan saya adalah agar BIMB Investment terus memperkenalkan produk-produk yang menarik di samping usaha kami untuk mengembangkan lagi Kewangan Islam.”

Dana Makmur myWakaf adalah sesuai bagi pelabur yang ingin menyalurkan sebahagian daripada pulangan mereka untuk tujuan wakaf kepada masyarakat yang kurang bernasib baik di dalam sektor-sektor yang difokuskan di Malaysia. Dana Makmur myWakaf berpotensi untuk mengagihkan pendapatan bulanan, tertakluk kepada ketersediaan pendapatan dan menyalurkan 50% pengagihan pendapatan untuk tujuan wakaf melalui inisiatif myWakaf AIBIM. Laporan Aset Wakaf Pertengahan Tahun akan dipaparkan di dalam laporan interim dan tahunan Dana, di mana Pemegang Unit akan dimaklumkan mengenai pengedaran Aset Wakaf.

Ketua Pegawai Eksekutif BIMB Holdings Berhad dan Bank Islam Malaysia Berhad, Encik Mohd Muazzam Mohamed berkata, “Tahniah diucapkan kepada seluruh kakitangan BIMB Investment di atas dana wakaf yang dinanti-nantikan ini di pasaran. Ini merupakan sebuah bukti hubungan baik komuniti Kewangan Islam dalam mengembangkan sebuah produk inovatif, yang selamanya akan mengubah landskap Kewangan Islam. Pelancaran Dana Makmur myWakaf sejajar dengan visi dan misi Bank Islam di dalam agenda kewangan sosialnya. Kini, dengan Dana Makmur myWakaf, semua rakyat Malaysia mempunyai akses kepada instrumen wakaf di dalam bentuk pelaburan dan pada masa yang sama menyumbang kepada pembangunan sosial dan masyarakat di seluruh negara. Yang paling penting, Dana Makmur myWakaf Fund menawarkan saham akhirat bagi umat Islam. Saya juga anat gembira dengan kerjasama bersama AIBIM di bawah inisiatif myWakaf Bank Negara Malaysia yang telah sama-sama membangunkan Dana Makmur myWakaf. MyWakaf AIBIM sebagai pentadbir dana wakaf akan memberikan pentadbiran yang profesional bagi wakaf untuk kepentingan masyarakat di seluruh negara.”

Ketua Pegawai Eksekutif, BIMB Investment, Najmuddin Mohd Lutfi berkata, “Kami berbesar hati melancarkan Dana Makmur myWakaf, sebuah dana yang sesuai bagi para pelabur yang ingin menggabungkan kewangan sosial ke dalam strategi pelaburan mereka. Sebagai dana unit amanah wakaf yang pertama di bawah Rangka Kerja Dana Bercirikan Wakaf SC, Dana Makmur myWakaf Fund dibina untuk mendorong pertumbuhan segmen kewangan sosial Islam tempatan. Ini sejajar dengan matlamat BIMB Investment untuk meggabungkan objektif sosial ke dalam pelaburan runcit untuk memberikan manfaat kepada masyarakat. Kami percaya bahawa wakaf mempunyai potensi besar dalam membangunkan ekonomi dan menghasilkan kesan positif dan lestari secara keseluruhan terhadap ekonomi, komuniti dan persekitaran Malaysia.”

“Dana Makmur myWakaf adalah sebuah dana dengan pelbagai mata wang, aset campuran global patuh Shariah dan menyokong inisiatif Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC). Dana ini bertujuan untuk menjana pendapatan melalui kepelbagaian portfolio pelaburan patuh Shariah di pelbagai kelas aset di peringkat tempatan dan global. Kesemua sekuriti akan melalui pemeriksaan lestari dan ESG. Dana ini ditawarkan di dalam RM, USD dan AUD dengan harga tawaran awal sebanyak 25 sen/cent seunit dengan pelaburan awal minimum sebanyak RM200, USD200 dan AUD200 sahaja,” tambah Najmuddin.

Dana Makmur myWakaf berkelayakan di bawah Garis Panduan Dana Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab. Dana Makmur myWakaf dibina untuk memberikan pendapatan melalui peruntukan aset yang taktikal dan gabungan daripada pelbagai portfolio patuh Shariah tempatan dan global dengan pengagihan pendapatan bulanan, tertakluk kepada ketersedian pendapatan. Dana ini juga menggunakan pendekatan dari bawah ke atas untuk pembinaan aset yang disaring untuk kelestarian prestasi dan menggabungkan prinsip-prinsip United Nation Global Compact (UNGC) dan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

BIMB Investment adalah satu-satunya Pengurus Aset Islam yang disokong bank di Asia Tenggara yang menjadi pemateri Prinsip Pelaburan Bertanggungjawab yang disokong oleh Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNPRI).

Untuk maklumat lebih lanjut mengenai Dana, sila hubungi 1-800-88-1196 atau layari www.bimbinvestment.com.my

Pernyataan Penafian

Pelabur dinasihatkan untuk membaca dan memahami kandungan Prospektus bagi Dana Maymur myWakaf (“Dana”) bertarikh 3 Mac 2021, Prospektus tambahan (jika ada) dan Halaman Serlahan Produk (PHS) sebelum melabur, yang telah didaftarkan dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang tidak akan bertanggungjawab terhadap kandungannya. Salinan Prospektus dan PHS boleh didapati di Ibu Pejabat BIMB Investment Management Berhad, di laman web www.bimbinvestment.com.my, pejabat agensi yang rasmi dan/atau mana-mana cawangan Bank Islam. Kebenaran SC atau pendaftaran Prospektus tidak boleh diambil kira bahawa SC telah mengesyorkan Dana tersebut. Terdapat yuran dan caj yang dikenakan dan pelabur dinasihatkan untuk membandingkan dan mempertimbangkannya sebelum melabur di dalam Dana. Pelaburan di dalam Dana ini terdedah kepada risiko, sila rujuk kepada Prospektus untuk maklumat terperinci. Pelabur dinasihatkan untuk mempertimbangkan risiko di dalam Dana dan harus membuat penilaian sendiri mengenai risiko dan mendapatkan nasihat professional, jika perlu, sebelum melabur. Pelabur juga perlu ambil perhatian bahawa harga unit dan agihan yang dibayar, jika ada, boleh turun dan naik. Sebarang isu unit yang berkaitan dengan Prospektus hanya akan dibuat setelah penerimaan borang permohonan yang lengkap yang dilampirkan bersama Prospektus, tertakluk kepada terma dan syarat yang terkandung didalamnya.

Mengenai BIMB Investment Management Berhad

BIMB Investment Management Berhad (“BIMB Investment”) adalah sebuah syarikat pengurusan pelaburan Shariah-ESG yang terkemuka di Malaysia. Anak syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Bank Islam Malaysia Berhad, BIMB Investment adalah sebuah syarikat pengurusan dana Islam berlesen yang berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Ditubuhkan pada 14 September 1993 dan memulakan operasinya pada 20 Jun 1994, BIMB Investment beribu pejabat di Malaysia.

Talian bebas tol: 1-800-88-1196

Laman web: www.bimbinvestment.com.my

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.