Boost Menambahkan Lazada Malaysia dan McDonald’s ke Portfolio Rakan Digital

E-dompet tempatan Boost hari ini mengumumkan kerjasama baharu dengan Lazada Malaysia dan McDonald’s. Kerjasama baharu ini merupakan penerusan usaha Boost untuk menggalakkan penggunaan serentak dan lancar sesama penyedia perkhidmatan digital, bagi memperluaskan perkhidmatan dalam dan luar talian, serta membina ekosistem tanpa tunai dan digital negara yang mampan. 

Bermula hari ini, pengguna Boost yang membeli-belah di Lazada Malaysia boleh membayar dengan mudah ketika check-out dengan log masuk menggunakan nombor telefon bimbit berdaftar dan PIN 6-digit akaun Boost mereka. Di McDonald’s pula, pengguna boleh menggunakan Boost untuk pembayaran dalam talian dan di restoran.  

Mohd Khairil Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Boost berkata, “Memandangkan perbelanjaan pengguna serta operasi perniagaan telah beralih ke dalam talian, platform dalam talian ialah sektor pertumbuhan utama untuk kami tahun ini.  Kami akan menumpukan usaha kepada menambahkan perkhidmatan yang ditawarkan melalui kerjasama dengan rakan digital bagi menggalakkan penggunaan lebih tinggi dalam perkhidmatan dan solusi digital. Hakikatnya, masyarakat tanpa tunai memerlukan usaha kolektif.   

“Ini sebahagian matlamat kami tahun ini untuk menerajui peralihan ke ‘Norma Sekarang’, iaitu dunia digital dan tanpa kontak, dengan menjadikan Boost keperluan asas untuk memperoleh segala yang diperlukan di dalam dan luar talian, melalui platform e-dompet omni-saluran kami. Bersama dengan rakan digital, kami berikhtiar memperkenalkan ciri-ciri inovatif baharu untuk pengguna dan perniagaan, bagi membolehkan akses lebih mudah dan segera kepada keperluan harian dengan hanya mengetik skrin. Pada masa yang sama, kami berusaha meningkatkan keterangkuman digital dan kewangan dalam zamannorma sekarang,” tambah Khairil. 

Untuk meraikan kerjasama yang baru diumumkan, pengguna Boost boleh menikmati diskaun RM11 dengan perbelanjaan minimum RM100 pada hari ini di aplikasi Lazada Malaysia dengan membayar menggunakan Boost. Bermula 19 sehingga 28 Februari pula, pengguna boleh menerima diskaun RM5 dengan perbelanjaan minimum RM50.

“Dalam usaha berterusan kami untuk menjadi destinasi gaya hidup pilihan serata Malaysia, Lazada terus menginovasi produk yang menawarkan pengalaman berbelanja yang mengganjarkan dan mengujakan sambil menikmati tawaran terhebat. Kerjasama dengan Boost kelak menjadi pilihan utama pengguna yang tidak gentar mengamalkan solusi gaya hidup digital dan tanpa tunai, serta menginginkan pembelian yang membawa nilai. Kami teruja dengan kerjasama bersama Boost untuk menawarkan solusi ini kepada pelanggan,” kata Diana Boo, Ketua Pegawai Pemasaran, Lazada Malaysia.

Selain itu, pengguna yang menggunakan Boost untuk membayar dalam talian untuk pesanan McDelivery akan menerima rebat tunai bernilai RM5, dengan perbelanjaan minimum RM25. Rebat tunai ini boleh digunakan di mana-mana cawang McDonald’s atau dalam talian melalui McDelivery.

“Sejak beberpa tahun lalu, McDonald’s telah memerintis ke arah digital. Kami memperkenalkan cara memesan dan membayar tanpa kontak di semua restoran pada 2017. Dengan kemudahan ini, kami berbesar hati memulakan kerjasama dengan e-dompet tempatan Boost. Bersama-sama, kami dapat menambah baik pengalaman pengguna melalui perkhidmatan pembayaran digital di restoran kami, supaya mereka dapat menikmati hidangan McDonald’s kegemaran dengan mudah dan pantas,” kata Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia.

Selain itu, bersempena kerjasama baharu dengan Lazada Malaysia dan McDonald’s, Boost akan mengadakan ‘Pesta Online’ sehingga 31 Mac. ‘Pesta Online’ ialah sebahagian kempen #BoostGotYou yang dilancarkan pada Mac lalu, ketika warga Malaysia mula mempelajari cara untuk kekal selamat sambil mengharungi pandemik.  

Sepanjang enam minggu yang akan datang, pengguna Boost boleh menikmati banyak ganjaran hebat dan penjimatan.

  • Peluang memenangi iPhone 12 setiap minggu, dengan perbelanjaan minimum RM80 di mana-mana kedai dalam talian, dibayar menggunakan Boost. Setiap minggu, 2 iPhone 12 bersedia menjadi rebutan. Jika pengguna berbelanja di rakan kerja terpilih berikut, mereka akan menerima 3x bilangan penyertaan.  
  • Nikmati wang kembali sehingga 28% sehingga 28 Februari, dengan Boost Partner Wallet di rakan dagang dalam talian termasuk pembelian keperluan harian di Potboy, JOCOM dan MyCookingStory; pesanan penghantaran makanan dari EASI dan McDonald’s; serta hiasan rumah dan kesihatan di Bloomspace.co, Mr. Speedy dan Watsons Online. 

Untuk maklumat lanjut, pengguna boleh mengikuti rangkaian media sosial rasmi Boost di Facebook (facebook.com/myboostapp) dan Instagram (instagram.com/myboostapp) serta laman sesawang rasmi di www.myboost.com.my. Boost boleh dimuat turun di Google Play, App Store atau HUAWEI AppGallery.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.