Shopee Memperkukuhkan Infrastruktur Logistik Untuk Menyokong Permintaan E-Dagang Yang Meningkat

Shopee memantapkan usahanya untuk mempercepatkan penghantaran bagi para penjual dan pembeli di Malaysia demi memenuhi kebergantungan yang semakin meningkat pada e-dagang dan keperluan untuk penghantaran yang lebih pantas.

Inisiatif-inisiatif ini termasuk pengenalan 10 lokasi drop-off baharu bagi Shopee Xpress, dan kerjasama bersama Parcelhub dan MBE, meningkatkan jumlah keseluruhan lokasi drop-off kepada lebih daripada 300 di seluruh negara.

Penambahan lokasi drop-off terutamanya di kawasan yang mudah diakses dan mempunyai bilangan penjual yang tinggi dijangka dapat memendekkan masa perjalanan bagi para penjual, lalu mengurangkan tempoh antara waktu pembelian dan penerimaan barangan bagi pembeli.

Selain itu, Shopee telah memperluaskan rangkaian gudang, hab dan pusat pengasingan atau sorting centres di lebih daripada 50 lokasi strategik di seluruh negara termasuk kawasan seperti Senawang, Bagan Serai, Batu Pahat, Simpang Ampat dan Bayan Lepas demi menambah baik kecekapan penghantaran termasuk ke bandar-bandar kecil.

Usaha Shopee adalah lanjutan daripada laporan daripada Parcel Monitor dan iPrice Group yang mendapati bahawa kawalan pergerakan ekoran Covid-19 memberi kesan kepada aspek penghantaran logistik kepada pengguna atau final mile logistics, iaitu menambah masa penghantaran sebanyak 119 peratus bagi negara ini[1]. Malah pada tahun 2019, Parcel Perform dan iPrice Group telah melaporkan bahawa penduduk negara Malaysia menghadapi masa menunggu paling lama untuk penghantaran pesanan atas talian mereka di rantau Asia Tenggara[2].

Ian Ho, Pengarah Urusan Serantau Shopee berkata, “Kami bertungkus-lumus bekerja bersama rakan-rakan logistik dan meluaskan rangkaian logistik kami dengan menggunakan data besar dan unjuran yang lebih baik demi memperbaiki masa penghantaran di Malaysia sejak penubuhan kami pada tahun 2015. Penghantaran yang sebelum ini mengambil masa hingga 10 hari, malah lebih lama di Malaysia Timur, hari ini telah dicepatkan menjadi satu hingga empat hari. Kini, kami mengukuhkan lagi infrastruktur ini melalui Shopee Xpress dan kerjasama strategik bersama pemain logistik supaya para pembeli dan perniagaan-perniagaan di luar sana dapat menikmati perkhidmatan penghantaran yang lebih baik.”

Menerusi rangkaian logistiknya yang telah diperluas, Shopee akan memperkenalkan penghantaran hari berikutnya di Semenanjung Malaysia (kecuali di negeri Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu) melalui Shopee Xpress, bersempena kempen 3.3 Jualan Pasar Raya mereka. Pengguna yang melakukan pembelian sebelum jam 12 tengah hari untuk barangan yang bertanda “Penghantaran Hari Berikutnya” atau “Next-Day Delivery” di Shopee Mart akan menikmati perkhidmatan penghantaran pada hari berikutnya (tidak termasuk Cuti Umum). Shopee Mart ialah sebuah portal dalam aplikasi yang menawarkan lebih daripada 11,000 produk termasuk barangan runcit dan keperluan rumah daripada jenama yang dipercayai seperti Nestlé, Munchy’s, Top, Sunlight dan Drypers.

Sekiranya pesanan yang layak tidak dihantar pada hari berikutnya, pengguna tersebut akan menerima baucar Penghantaran Percuma untuk digunakan semasa pembelian Shopee Mart mereka yang seterusnya. Tertakluk pada terma dan syarat.

“Perkhidmatan penghantaran hari berikutnya merupakan satu lagi inisiatif di mana Shopee menggunakan teknologi untuk berkhidmat kepada pengguna dan penjual kami secara lebih baik. Ekosistem e-dagang kami yang kukuh dimantapkan menerusi perkhidmatan logistik kami, beserta sistem pembayaran bersepadu seperti dompet mudah alih kami iaitu ShopeePay dan ciri dalam aplikasi seperti Shopee Live dan Shopee Chat yang meningkatkan pengalaman membeli-belah. Kami akan terus memacu pendigitalisasi di Malaysia dan menambah baik kehidupan rakyat Malaysia melalui e-dagang,” rumus Ho.

Pelanggan yang mengunjungi Shopee semasa 3.3 Jualan Pasar Raya dapat menikmati penghantaran percuma dengan pembelanjaan minimum RM10, tawaran potongan harga 50% setiap hari serta tawaran daripada serendah 33 sen.

Saluran penstriman langsung platform e-dagang tersebut, Shopee Live, turut bekerjasama dengan TV3 untuk membawakan pengalaman membeli-belah TV yang terbaik menerusi 3.3 Supermarket Show. Rancangan ini yang akan menghiburkan rakyat Malaysia dan menampilkan tawaran menarik akan ditayangkan pada 3 Mac, pada pukul 9 malam.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai 3.3 Jualan Pasar Raya, layari https://shopee.com.my/m/3-3


[1] Sumber: https://iprice.my/trends/insights/how-malaysias-delivery-industry-counters-covid-19-pressure/

[2] Sumber: https://iprice.my/trends/insights/consumers-are-still-not-happy-with-their-e-commerce-delivery-experience-a-new-survey-by-parcel-perform-and-iprice-group-reveals/

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.