Carsome Pelopor Jual Kereta Terpakai Di Shopee

Carsome, platform dagangan kereta terpakai dalam talian yang terbesar di Asia Tenggara, menyertai ruang e-dagang untuk menjual kereta terpakai secara dalam talian melalui usaha sama dengan Shopee, platform e-dagang nombor satu di Malaysia.

Kini, pengguna yang ingin membeli kereta terpakai mempunyai pilihan premium yang eksklusif di platform Shopee. Semua kereta yang disenaraikan untuk jualan telah diperakui oleh Carsome[1], lengkap dengan maklumat spesifikasi kereta dan gambar dari pelbagai sudut, serta didatangkan dengan waranti setahun dan jaminan pengembalian wang dalam tempoh lima hari. Di samping itu, pengguna Shopee boleh membeli baucar tunai bernilai RM500 pada harga promosi istimewa iaitu RM199 dan menggunakannya untuk menjelaskan bayaran pendahuluan bagi kereta pilihan mereka.

Menurut Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Carsome, Eric Cheng, dengan usaha sama ini, gedung rasmi Carsome di Shopee merupakan kedai dalam talian yang pertama di Malaysia yang menjual kereta terpakai. “Kami berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan Shopee yang menyokong usaha kami untuk membentuk semula dan mempertingkatkan pengalaman membeli kereta terpakai menerusi pendigitalan,” kata Cheng.

Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho berkata, “Kami mengalu-alukan penyertaan Carsome dalam rangkaian jenama dan rakan niaga Shopee. Usaha sama ini membolehkan kami menawarkan pelbagai pilihan kereta terpakai yang berkualiti kepada rakyat Malaysia. Kini, begitu mudah sekali bagi pengguna untuk meninjau dan mencari kenderaan. Pelancaran kedai rasmi Carsome di Shopee juga bertepatan dengan 10.10 Shopee Brands Festival yang bakal berlangsung tidak lama lagi. Aliran pelanggan yang lebih tinggi ke platform kami akan memberikan pendedahan kepada Carsome, dan Carsome boleh mengambil kesempatan ini untuk menunjukkan kepada pengguna bahawa kini terdapat cara baharu untuk membeli kereta terpakai yang berkualiti.”

Pengguna boleh meninjau kereta dari Kedai Rasmi Carsome di Shopee di https://shopee.com.my/carsome.os. Di sampng itu, mereka akan dapat menikmati pelbagai tawaran menerusi promosi pelancaran baharu yang sedang berlangsung, seperti:

  • Barangan eksklusif Carsome bagi 100 pandu uji yang pertama.
  • Program Diskaun Tukar Beli (Trade In): pelanggan yang sebelum ini telah menjual kereta mereka kepada Carsome akan dapat menikmati diskaun sebanyak RM500 apabila mereka membeli kereta dari Carsome.
  • Promosi Rujuk Rakan Anda (Refer-A-Friend): pembeli kereta di Carsome boleh mengajak ahli keluarga dan rakan mereka untuk membeli kereta dari Carsome. Kedua-dua pihak akan mendapat ganjaran tunai yang berjumlah sehingga RM800.

Mengenai Carsome

Carsome merupakan platform dagangan kereta terpakai atas talian yang terbesar di Asia Tenggara dan mempunyai operasi di  Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura. Misi Carsome adalah untuk mendigitalisasikan industri kereta terpakai serantau dengan membentuk semula dan meningkatkan pengalaman jual beli kereta. Carsome adalah pusat sehenti bagi semua penjual dan pembeli kereta, menyediakan rumusan sepenuhnya dari pemeriksaan kereta, pemindahan hak milik kereta hingga ke urusan pembiayaan kereta, dengan janjian servis yang dipercayai, senang dan pantas. Setakat ini, Carsome telah melaksanakan transaksi dengan jumlah lebih daripada 40,000 buah kereta setahun dan lebih daripada AS$600 juta dalam jumlah keseluruhan dari segi nilai transaksi. Untuk maklumat tambahan, sila layari: www.carsome.com.


[1] Semua kereta yang diperakui oleh Carsome telah lulus pemeriksaan 175 poin yang ketat oleh Carsome, tidak pernah terlibat dalam kemalangan yang teruk dan tiada kerosakan struktur atau yang disebabkan oleh banjir.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Powerwell Catat Rekod Untung Bersih Tertinggi RM24.1 Juta, Sasar Lonjakan Melalui Sektor Pusat Data

KUALA LUMPUR: Pakar pengedaran kuasa tempatan, Powerwell Holdings Berhad (“Powerwell”) berjaya menamatkan tahun kewangan 2026 (“FY26”) dengan prestasi luar biasa selepas mencatatkan keuntungan bersih tertinggi dalam sejarah syarikat berjumlah RM24.1 juta.

Pencapaian memberangsangkan ini menyaksikan keuntungan bersih kumpulan melepasi ambang RM20 juta buat kali pertama , melonjak daripada RM18.7 juta yang direkodkan pada tahun kewangan sebelumnya.

Prestasi Kewangan Sumbangan Pasaran Luar Negara

Bagi keseluruhan FY26, perolehan Powerwell melonjak 15.6% tahun-ke-tahun (YoY) kepada RM159.0 million berbanding RM137.5 juta pada tahun lalu. Pertumbuhan mampan ini dipacu terutamanya oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada operasi kumpulan di Bangladesh dan Indonesia.

Bagaimanapun, bagi suku keempat berakhir 31 Mac 2026 (4QFY26), perolehan kumpulan mencatatkan penurunan kepada RM41.4 juta berbanding RM47.7 juta sebelum ini disebabkan oleh penghantaran produk yang lebih rendah.

Meskipun begitu, margin keuntungan kasar bagi suku tersebut melonjak kepada 39.8% (daripada 35.1% pada suku sama tahun lepas) hasil daripada pemuktamadan akaun untuk sebuah projek pusat data (data centre) serta projek loji hidro. Keadaan ini, ditambah pula dengan pembalikan kemerosotan nilai penghutang perdagangan dan perbelanjaan pentadbiran yang lebih rendah, telah melonjakkan untung bersih 4QFY26 sebanyak 6.9% YoY kepada RM7.7 juta.

Sebagai ganjaran kepada para pemegang saham, Powerwell mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 1.0 sen sesaham bagi suku di bawah tinjauan. Ini menjadikan jumlah keseluruhan dividen bagi FY26 sebanyak 1.5 sen sesaham, yang mewakili nisbah pembayaran sebanyak 36.1% (anggaran RM8.7 juta).

Projek Mega & Pasaran Borneo

Tahun kewangan 2026 turut melakar sejarah tersendiri apabila Powerwell berjaya mengukuhkan kedudukannya dalam ekosistem teknologi tinggi selepas meraih projek pusat data tunggal terbesar bernilai RM68.5 juta.

Bagi meluaskan lagi empayar perniagaannya, kumpulan sedang aktif mengembangkan ruang pembuatan di Malaysia dan Indonesia. Di samping itu, Powerwell telah memuktamadkan pengambilalihan 49% kepentingan dalam Tenaga Kenari pada 1 April 2026. Langkah strategik ini memberikan akses segera bagi kumpulan untuk menembusi pasaran Sarawak dan Sabah (Timur Malaysia), sekali gus membuka peluang rantaian pelanggan baharu dalam industri semikonduktor, utiliti, dan tenaga boleh diperbaharui.

Prospek Cerah

Sehingga akhir Mac 2026, nilai tempahan (order book) Powerwell kekal sihat pada paras RM150.8 juta, sekali gus memberikan pendapatan yang stabil untuk tempoh akan datang.

Melihat ke hadapan, pihak pengurusan Powerwell optimis terhadap prospek perniagaan syarikat yang disokong oleh saluran tender (tender pipeline) yang sangat aktif. Kumpulan sedia merebut peluang luas dalam segmen-segmen pesat membangun termasuk pusat data, tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor, dan infrastruktur.

Walau bagaimanapun, memandangkan keadaan pasaran global yang dinamik, Powerwell menegaskan akan terus mengamalkan pendekatan berhati-hati dengan memantau rapat ketidaktentuan pasaran, perkembangan geopolitik, dan keadaan makroekonomi yang boleh memberi kesan kepada landskap perniagaan.