
Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dan Experian Information Services (Malaysia) Sdn. Bhd. memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bagi meneruskan aktiviti penyaluran data Sistem Potongan Gaji ANGKASA ke dalam Sistem Pelaporan Kredit ANGKASA & EXPERIAN (SPeKAR). Majlis Perasmian disempurnakan oleh Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), YBhg. Dato’ Abdul Fattah Abdullah di Tamu Hotel & Suite, Kuala Lumpur hari ini.
Sistem Pelaporan Kredit ANGKASA & EXPERIAN atau SPeKAR merupakan sistem carian maklumat kredit individu yang menggabungkan data potongan gaji yang diuruskan oleh ANGKASA menerusi Sistem Potongan Gaji ANGKASA (atau lebih dikenali sebagai Biro Perkhidmatan ANGKASA), data maklumat kredit bank, maklumat litigasi, status muflis, penyenaraian hitam peminjam tegar yang gagal membuat bayaran dan lain-lain maklumat kredit yang diuruskan oleh Experian Information Services (Malaysia) Sdn. Bhd.
ANGKASA sebagai badan apeks koperasi yang diiktiraf oleh kerajaan telah bekerjasama dengan Experian Information Services (Malaysia) Sdn. Bhd. (yang dahulunya dikenali sebagai RAM Credit Information Sdn. Bhd.) semenjak tahun 2012 dengan tujuan untuk:
i) Membolehkan koperasi melakukan carian kredit dan kebankrapan pada peringkat pra-persetujuan pinjaman dan mempunyai akses menyeluruh mengenai pendedahan kredit peminjam secara keseluruhan yang merangkumi maklumat kredit selain dari Experian;
ii) Membolehkan maklumat pinjaman di bawah koperasi dapat diakses oleh bank dan pelanggan Experian; dan
iii) Menyertakan data CCRIS dan i-SCORE ke dalam sistem SPeKAR.
Melalui data yang dikumpul, penggunaan SPeKAR telah memberi manfaat kepada peminjam dan pemberi pinjaman dalam menguruskan risiko dan liabiliti tahap hutang isi rumah. Data Portfolio i-SCORE yang dilaksanakan sejak lima tahun lalu telah menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan dalam menyokong Garis Panduan Pemberian Pinjaman dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia. Semenjak penubuhannya, pengguna SPeKAR telah meningkat sehingga 241%.
Kolaborasi strategik ANGKASA dan Experian menerusi Memorandum Perjanjian ini akan memberi platform akses data yang terbaik kepada koperasi kredit, pemiutang, agensi kerajaan dan agensi berkaitan kerajaan (GLC) untuk menguruskan proses dan risiko pemberian kredit. Menerusi SPeKAR, koperasi dan pengguna data berpeluang mengakses data kredit perbankan atau bukan perbankan secara menyeluruh.
SPeKAR sebagai sistem semakan maklumat kredit koperasi akan terus membantu sektor koperasi mengurangkan risiko perniagaan mereka melalui pengurangan nisbah “Pinjaman Tidak Berbayar” dan secara tidak langsung dapat meningkatkan kestabilan kewangan peminjam dan juga integriti koperasi kredit sebagai salah satu institusi pembiayaan di
Malaysia.
MENGENAI ANGKASA
ANGKASA adalah Badan Apeks Gerakan Koperasi Malaysia yang diiktiraf oleh Kerajaan untuk menyatukan dan mewakili koperasi di peringkat nasional dan antarabangsa. Selain daripada menjalankan khidmat teras seperti menyediakan khidmat potongan gaji kepada kakitangan kerajaan, badan berkanun, kelab, koperasi, dan kesatuan.
ANGKASA melaksanakan program transformasi perniagaan dan keusahawanan koperasi dalam sektor perniagaan yang berimpak tinggi seperti Kewangan, Pertanian dan Industri Asas Tani, Pemborongan dan Peruncitan, Pelancongan, Penjagaan Diri dan Kesihatan, Perladangan, Hartanah dan Industri Binaan, Inovasi dan Teknologi serta Pembangunan
Komuniti.
Sehingga bulan Disember 2019, ANGKASA menaungi kira-kira 14,625 buah koperasi di seluruh negara dengan keanggotaan individu kira-kira 6.1 juta orang, modal syer/ yuran sebanyak RM15.4 bilion, jumlah aset RM146.8 bilion dan perolehan sebanyak RM45.8 bilion. (Sumber statistik: Suruhanjaya Koperasi Malaysia).
ANGKASA telah menerima pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti (ISO 9001:2015), Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISO/IEC 27001:2013) dan Sistem Pengurusan Anti-Bribery (ISO37001:2016). ANGKASA juga telah dianugerahkan Cyber Security Organization of The Year di bawah kategori Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISMS ISO 27001:2013) pada tahun 2015.
Untuk maklumat lanjut mengenai ANGKASA, sila hubungi talian Khidmat Pelanggan di talian +603 78007800 atau e-mel kepada [email protected]. Anda juga boleh melawati laman web kami di www.angkasa.coop dan berinteraksi dengan kami di akaun rasmi Facebook atau Twitter di @ANGKASACoop