CEO KWSP Amir Hamzah Dilantik Sebagai Menteri Kewangan II

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) — Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilantik sebagai Menteri Kewangan II susulan rombakan Kabinet pada Selasa.

Pelantikan itu diumumkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pejabat Perdana Menteri pada 11 pagi.

Terdahulu, Amir Hamzah mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Parlimen.

Kini, beliau merupakan teknokrat kedua di Kementerian Kewangan yang mempunyai latar belakang korporat selepas bekas Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang pernah berkhidmat sebagai CEO Kumpulan dan Pengarah Eksekutif CIMB Group Holdings Bhd dari 27 Feb, 2015 hingga 9 Mac, 2020.

Amir Hamzah menyertai KWSP — dana pencen terbesar negara dari segi pengurusan aset — sebagai CEO pada Mac 2021.

Sebelum bersama KWSP, beliau ialah Presiden dan CEO Tenaga Nasional Bhd (TNB) dari April, 2019 hingga Februari, 2021.

Kerjaya Amir Hamzah bermula dengan Shell Group of Companies selama 10 tahun dengan pelbagai kapasiti di Malaysia, Singapura dan United Kingdom.

Beliau menyertai MISC Bhd pada 2000, dan memegang beberapa portfolio pengurusan kanan sebelum dilantik sebagai Presiden dan CEO pada Januari 2009.

Pada Jun 2010, beliau dilantik sebagai Pengarah Urusan dan CEO Petronas Dagangan Bhd.

Pada Ogos 2012, Amir Hamzah menyertai Petronas Lubricants International sebagai Pengarah Urusan dan CEO Kumpulan, serta pada masa sama berkhidmat sebagai Naib Presiden (VP) bagi Pemasaran Hiliran, dan seterusnya sebagai Naib Presiden Minyak Pelincir bagi Petronas Group.

Pada Mac 2016, beliau menyertai Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) untuk mengemudi syarikat penerima pelaburan, Icon Offshore Bhd sebagai Pengarah Urusan dan CEO.

Amir Hamzah kemudian dilantik sebagai CEO Themed Attractions Resorts and Hotel Sdn Bhd, anak syarikat Khazanah Nasional Bhd, sebelum menyertai TNB pada April 2019.

Kini, beliau juga Pengerusi Bukan Eksekutif Malaysian Resources Corporation Bhd, dan juga menganggotai lembaga pengarah Sime Darby Plantation Bhd dan Sime Darby Oils International Ltd.

Amir Hamzah memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Pengurusan (pengkhususan dalam Kewangan dan Ekonomi) dari Syracuse University, New York, Amerika Syarikat.

Beliau juga telah menyertai Program Eksekutif Stanford di Stanford University dan Program Kelas Malam Kewangan Korporat di London Business School.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Powerwell Catat Rekod Untung Bersih Tertinggi RM24.1 Juta, Sasar Lonjakan Melalui Sektor Pusat Data

KUALA LUMPUR: Pakar pengedaran kuasa tempatan, Powerwell Holdings Berhad (“Powerwell”) berjaya menamatkan tahun kewangan 2026 (“FY26”) dengan prestasi luar biasa selepas mencatatkan keuntungan bersih tertinggi dalam sejarah syarikat berjumlah RM24.1 juta.

Pencapaian memberangsangkan ini menyaksikan keuntungan bersih kumpulan melepasi ambang RM20 juta buat kali pertama , melonjak daripada RM18.7 juta yang direkodkan pada tahun kewangan sebelumnya.

Prestasi Kewangan Sumbangan Pasaran Luar Negara

Bagi keseluruhan FY26, perolehan Powerwell melonjak 15.6% tahun-ke-tahun (YoY) kepada RM159.0 million berbanding RM137.5 juta pada tahun lalu. Pertumbuhan mampan ini dipacu terutamanya oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada operasi kumpulan di Bangladesh dan Indonesia.

Bagaimanapun, bagi suku keempat berakhir 31 Mac 2026 (4QFY26), perolehan kumpulan mencatatkan penurunan kepada RM41.4 juta berbanding RM47.7 juta sebelum ini disebabkan oleh penghantaran produk yang lebih rendah.

Meskipun begitu, margin keuntungan kasar bagi suku tersebut melonjak kepada 39.8% (daripada 35.1% pada suku sama tahun lepas) hasil daripada pemuktamadan akaun untuk sebuah projek pusat data (data centre) serta projek loji hidro. Keadaan ini, ditambah pula dengan pembalikan kemerosotan nilai penghutang perdagangan dan perbelanjaan pentadbiran yang lebih rendah, telah melonjakkan untung bersih 4QFY26 sebanyak 6.9% YoY kepada RM7.7 juta.

Sebagai ganjaran kepada para pemegang saham, Powerwell mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 1.0 sen sesaham bagi suku di bawah tinjauan. Ini menjadikan jumlah keseluruhan dividen bagi FY26 sebanyak 1.5 sen sesaham, yang mewakili nisbah pembayaran sebanyak 36.1% (anggaran RM8.7 juta).

Projek Mega & Pasaran Borneo

Tahun kewangan 2026 turut melakar sejarah tersendiri apabila Powerwell berjaya mengukuhkan kedudukannya dalam ekosistem teknologi tinggi selepas meraih projek pusat data tunggal terbesar bernilai RM68.5 juta.

Bagi meluaskan lagi empayar perniagaannya, kumpulan sedang aktif mengembangkan ruang pembuatan di Malaysia dan Indonesia. Di samping itu, Powerwell telah memuktamadkan pengambilalihan 49% kepentingan dalam Tenaga Kenari pada 1 April 2026. Langkah strategik ini memberikan akses segera bagi kumpulan untuk menembusi pasaran Sarawak dan Sabah (Timur Malaysia), sekali gus membuka peluang rantaian pelanggan baharu dalam industri semikonduktor, utiliti, dan tenaga boleh diperbaharui.

Prospek Cerah

Sehingga akhir Mac 2026, nilai tempahan (order book) Powerwell kekal sihat pada paras RM150.8 juta, sekali gus memberikan pendapatan yang stabil untuk tempoh akan datang.

Melihat ke hadapan, pihak pengurusan Powerwell optimis terhadap prospek perniagaan syarikat yang disokong oleh saluran tender (tender pipeline) yang sangat aktif. Kumpulan sedia merebut peluang luas dalam segmen-segmen pesat membangun termasuk pusat data, tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor, dan infrastruktur.

Walau bagaimanapun, memandangkan keadaan pasaran global yang dinamik, Powerwell menegaskan akan terus mengamalkan pendekatan berhati-hati dengan memantau rapat ketidaktentuan pasaran, perkembangan geopolitik, dan keadaan makroekonomi yang boleh memberi kesan kepada landskap perniagaan.