Sektor Automotif Melonjak Pada 2023, TIV Bakal Pecah Rekod Tahun Lepas

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) — Landskap industri automotif Malaysia 2023 menyaksikan peningkatan yang pesat, dipacu oleh penjualan kukuh kenderaan bermotor jenis baharu, serta usaha kerajaan melabur dalam teknologi tinggi, bagi meningkatkan penggunaan kenderaan elektrik yang cekap tenaga, selaras dengan matlamat pelepasan karbon sifar bersih kerajaan.

Penganalisis dan pakar-pakar dalam industri percaya jumlah keseluruhan industri (TIV) tahun ini dijangka mengatasi angka tahun lepas, sekali gus mencipta rekod paras tertinggi sepanjang masa tahun kedua berturut-turut.

Pemacu pertumbuhan utama sektor itu tahun ini termasuk kejayaan penyerahan tempahan yang diterima dalam tempoh pengecualian cukai jualan Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek (Penjana) tahun lepas dan jualan kempen yang agresif terutamanya oleh pengeluar kereta nasional, membawa kepada permintaan yang berterusan serta jumlah pesanan tertunggak yang tinggi.

Persekitaran ekonomi domestik yang berdaya tahan pada separuh pertama (H1) 2023, pelancaran model baharu dan situasi rantaian bekalan industri yang lebih baik turut membantu peningkatan jualan kenderaan bermotor baharu.

TIV 2023 Yang Kukuh

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) melaporkan penjualan kenderaan bermotor baharu berkembang dengan kukuh pada H1 2023, dengan TIV meningkat 10.3 peratus kepada 366,037 unit daripada 331,746 unit pada H1 2022.

Pengeluar kereta nasional mencatatkan prestasi cemerlang dengan jualan berjumlah 220,702 unit, mewakili kenaikan 19 peratus tahun ke tahun.

Pada tempoh H1 2023, jumlah pengeluaran keseluruhan industri meningkat 14 peratus kepada 362,535 unit berbanding 317,933 unit pada tempoh yang sama tahun lepas.

Jumlah jualan tahun setakat Oktober 2023 melonjak 12 peratus kepada 646,840 unit berbanding 578,917 unit yang dicatatkan dalam tempoh yang pada tahun sebelumnya.

Presiden MAA Mohd Shamsor Mohd Zain berkata pemulihan dalam industri automotif tempatan semakin kukuh dalam dua tahun ini, dengan TIV melepasi paras ketika sebelum COVID-19.

Beliau berkata insentif yang menggalakkan daripada kerajaan pada awal pemulihan selepas pandemik dilihat membantu memacu permintaan kenderaan. 

Momentum yang kukuh ini dijangka kekal pada November dan Disember, dan TIV tahun ini berkemungkinan melebihi paras tertinggi sepanjang masa tahun lepas iaitu 720,658 unit.

“TIV 2023 akan menjadi satu lagi rekod tertinggi sepanjang masa bagi industri automotif tempatan, pencapaian kali kedua berturut-turut TIV tahunan melepasi 700,000 unit,” katanya kepada  Bernama.

Pelaburan dan Pengembangan 

Industri automotif boleh dianggap sebagai antara industri yang terkemuka dan cergas pada 2023, ini boleh dilihat menerusi pengenalan pelbagai dasar kerajaan, suntikan pelaburan berbilion ringgit baharu daripada kedua-dua pelabur domestik dan asing, serta pengembangan perniagaan yang agresif.

Kerajaan telah melancarkan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) bagi mengubah Malaysia menjadi sebuah negara perindustrian berteknologi tinggi dengan industri pertumbuhan tinggi seperti elektronik, kimia dan pembuatan automotif di barisan hadapan rancangan strategik jangka panjang bernilai RM95 bilion.

Di bawah NIMP 2030, kerajaan mengenal pasti sektor kenderaan elektrik (EV) sebagai sub-sektor berimpak tinggi dan dasar berkaitan sektor itu akan disemak setiap beberapa bulan bagi menyokong pertumbuhannya.

Bagi sektor swasta, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan pada Julai bahawa pembuat kereta China, Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) akan melabur US$10 bilion (RM46.7 bilion) untuk menjadikan Tanjung Malim di Perak sebagai bandar automotif terbesar di rantau ini. 

Selaras dengan itu, satu perjanjian kerjasama induk antara DRB-Hicom Bhd dengan Geely telah dimeterai bagi melaksanakan pembangunan bandar automotif itu yang dikenali sebagai Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV) Tanjung Malim.

“Tumpuan AHTV bukan sahaja pada pengeluaran kereta daripada pelbagai pengeluar kereta tetapi juga pembuatan komponen dan alat ganti berteknologi tinggi untuk kenderaan tenaga boleh baharu.

“Pembangunan bandar ini juga akan mengembangkan lagi keupayaan vendor tempatan ke arah pengkhususan dalam pembuatan teknologi tinggi,” kata DRB-Hicom.

Sementara itu, seperti dilaporkan Bernama pada 24 Ogos, Sime Darby Bhd mengumumkan bahawa ia akan mengambil alih 61.2 peratus kepentingan dalam UMW Holdings Bhd daripada Permodalan Nasional Bhd dengan wang tunai RM3.57 bilion untuk meningkatkan lagi dan mengukuhkan penyertaanya dalam sektor automotif Malaysia.

Urus niaga itu, merupakan salah satu perjanjian penggabungan dan pengambilalihan terbesar di Malaysia, akan menjadikan Sime Darby secara strategik sebagai pemain automotif terkemuka di negara ini dengan penambahan jenama pasaran besar-besaran bervolum tinggi, Toyota dan Perodua, menguasai sehingga 60 peratus daripada TIV automotif domestik.

Potensi EV Yang Luas

Selaku hab pembuatan elektrik dan elektronik utama di Asia Tenggara, pengeluar kereta dan pelabur automotif di Malaysia perlu mengambil peluang dengan memanfaatkan kelebihan itu bagi menjamin rantaian bekalan mereka bagi mengembangkan pengeluaran kenderaan generasi akan datang, EV dan kenderaan cekap tenaga mereka.

Di peringkat kerajaan pula, ia giat mempromosikan secara agresif ekosistem EV yang kondusif di Malaysia, meningkatkan usaha untuk mengembangkan dan meningkatkan infrastruktur pengecasan EV negara.

Putrajaya berkata ia menyasarkan untuk menyediakan 10,000 stesen pengecas EV menjelang 2025. Sehingga 1 Nov, sejumlah 1,246 stesen pengecasan telah dipasang di seluruh negara.

Pada 2023, industri automotif tempatan juga semakin ‘meriah’ dengan kemunculan pemain baharu, terutamanya dalam pasaran EV, seperti jenama automotif terkenal dunia Tesla dari Amerika Syarikat serta BYD dan Neta dari China, mewujudkan saingan yang lebih hebat dalam pasaran tempatan.

Tesla Malaysia, secara rasmi membuka ibu pejabatnya di Cyberjaya pada 2 Oktober dengan matlamat memberikan pengalaman ‘semua dalam satu’ kepada pelanggan.

Mohd Shamsor berkata kemasukan jenama baharu ini telah menambahkan keterujaan kepada pasaran, merangsang lebih banyak minat dalam kalangan pengguna, secara semula jadi menyediakan lebih banyak pilihan dan perkhidmatan keseluruhan yang lebih baik di tengah-tengah peningkatan daya saing.

‘Keterujaan’ itu dicerminkan menerusi peningkatkan bilangan EV berdaftar kepada lebih 3,400 unit pada 2022 dan melepasi 7,500 unit pada September 2023, berbanding purata 300 unit pada tahun-tahun sebelumnya.

BMI, sebuah syarikat Fitch Solutions, pula mengunjurkan jualan EV Malaysia meningkat empat kali ganda tahun ini, walaupun kadar penembusan EV di negara ini akan berada pada 1.8 peratus sahaja.

ICE Kekal Dominan 

Meskipun pasaran EV mula mendapat perhatian dalam industri automotif tempatan,  MAA berkata jumlah EV yang dijual di Malaysia masih sangat kecil, kerana kira-kira 10,000 unit EV berkemungkinan didaftarkan tahun ini (termasuk jualan ahli MAA dan bukan ahli), membentuk kurang daripada 2.0 peratus daripada TIV tahunan.

Mohd Shamsor berkata walaupun pertumbuhan perlahan dalam pasaran EV di seluruh dunia disebabkan penilaian semula perjalanan sifar bersih ekonomi, kenderaan ICE (enjin pembakaran dalam) akan kekal dominan di Malaysia untuk jangka masa yang lama.

Beliau berkata di negara seperti Malaysia, dengan persekitaran infrastruktur pengecasan EV yang masih di peringkat awal dan campuran tenaga dijana daripada sumber tradisional dan tidak boleh diperbaharui, kenderaan ICE akan kekal sebagai pilihan yang lebih berpatutan dan pragmatik untuk beberapa tahun akan datang.

“Sebagai sebuah industri, kami terus berwaspada dan bersedia untuk ‘apa-seterusnya’ (senario) bagi memastikan rakyat Malaysia mempunyai pilihan yang paling berdaya maju, mampu milik dan praktikal dari segi teknologi hijau.

“Salah satu contoh ialah kenderaan elektrik hibrid (HEV) sebagai batu loncatan segera untuk menyumbang dan menyokong merealisasikan matlamat pelepasan karbon sifar bersih untuk negara,” katanya.

Menurut Mohd Shamsor, pendekatan langkah demi langkah yang bermula daripada HEV ialah cara ideal untuk menghentikan penggunaan kenderaan ICE konvensional sedia ada secara berperingkat.

Sebagai langkah pertama ke arah penggunaan besar-besaran kenderaan elektrik, HEV akan merapatkan jurang antara ICE dan EV bagi mencapai matlamat karbon neutral yang lebih cepat untuk negara, katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

TP-Link Dan UiTM Bekerjasama Tangani Jurang Bakat Rangkaian Enterprise

SHAH ALAM – TP-Link Distribution Malaysia Sdn. Bhd. (“TP-Link Malaysia”) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) strategik bagi melengkapkan pelajar dengan kemahiran rangkaian yang relevan dengan industri, pengalaman praktikal enterprise serta pensijilan bertaraf global.

Kerjasama selama tiga tahun ini direka untuk merapatkan jurang antara pembelajaran akademik dan keperluan sebenar industri, membolehkan pelajar UiTM menamatkan pengajian dengan keupayaan praktikal yang selari dengan keperluan semasa enterprise, sekali gus mengukuhkan kolaborasi antara industri dan institusi pendidikan.

Di teras kerjasama ini ialah pelaksanaan penyelesaian rangkaian enterprise Omada oleh TP-Link di makmal UiTM, yang memberikan pendedahan langsung kepada pelajar terhadap infrastruktur yang sama digunakan dalam persekitaran perniagaan. Inisiatif ini turut disokong dengan program latihan berstruktur, bengkel teknikal serta akses kepada laluan pensijilan Omada Certified Network Administrator (OCNA).

Pelajar juga akan mendapat manfaat daripada peluang latihan industri dan praktikal bersama TP-Link, sekali gus membuka laluan yang lebih jelas daripada universiti ke alam pekerjaan dalam ekonomi digital Malaysia yang semakin berkembang.

Inisiatif ini membina kerjasama terdahulu TP-Link Malaysia dengan Universiti Malaya, di mana lebih 500 pelajar telah menyertai program pensijilan pada tahun 2025, menunjukkan permintaan tinggi terhadap kemahiran rangkaian dan pensijilan yang selari dengan kehendak industri.

Hugo Cai, Pengarah Serantau TP-Link Distribution Malaysia Sdn. Bhd. berkata, “Dalam pelbagai industri, organisasi sedang memperluaskan infrastruktur digital mereka, namun ketersediaan profesional dengan kepakaran rangkaian enterprise tidak berkembang seiring. Kerjasama ini bertujuan merapatkan jurang tersebut dengan melengkapkan pelajar dengan kemahiran praktikal yang disokong pensijilan dan relevan dengan keperluan industri sejak hari pertama.”

“Memastikan graduan kami dilengkapi dengan pengetahuan akademik serta kemahiran praktikal yang relevan dengan industri adalah sangat penting dalam landskap digital yang berkembang pesat hari ini. Kerjasama seperti ini membolehkan kami menyelaraskan program dengan lebih dekat kepada kemajuan teknologi dan jangkaan industri,” tambah Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, Naib Canselor Universiti Teknologi MARA.

Selain pembangunan bakat, kedua-dua organisasi juga akan meneroka inisiatif bersama dalam penyelidikan, perundingan dan perkongsian ilmu, sekali gus mengukuhkan kerjasama antara jurutera TP-Link dan tenaga pengajar UiTM.

Seiring Malaysia terus memperkukuh aspirasi ekonomi digital, inisiatif yang menghubungkan pendidikan dengan keperluan industri secara langsung akan memainkan peranan penting dalam memastikan negara kekal kompetitif dalam membangunkan serta mengekalkan infrastruktur digital moden.

Untuk maklumat lanjut mengenai penyelesaian rangkaian enterprise Omada oleh TP-Link, sila layari:
https://www.omadanetworks.com/us/business-networking/consult/