Fintech Bantu Malaysia Pulih Dengan Lebih Baik

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini berkata teknologi kewangan (fintech) boleh menjadi pemboleh utama dalam membina semula ekonomi Malaysia ketika negara pulih daripada impak pandemik. Pengawal selia tersebut juga berkata ia akan berusaha untuk memacu penggunaan keupayaan digital yang lebih luas untuk meningkatkan kecekapan pengumpulan modal dan meningkatkan penyertaan pelabur dalam pasaran modal.

Dalam ucapan pembukaannya di persidangan tahunan fintech SCxSC kelapan, Pengerusi SC Datuk Syed Zaid Albar menekankan kepentingan teknologi dan fintech dalam membentuk ekosistem pasaran modal. “Teknologi sebenarnya merupakan salah satu teras utama Pelan Induk Pasaran Modal 3, di mana kami menjangkakan penggunaan keupayaan digital yang lebih meluas untuk memudahcarakan pengumpulan dana bagi semua jenis syarikat di samping menggalakkan inovasi pasaran dan keterangkuman kewangan.”

“Kita telah menyaksikan banyak perniagaan kecil terjejas teruk susulan impak pandemik di peringkat global. Tahun lalu, KDNK Perusahaan Kecil dan Sederhana susut sebanyak 7.3%, lebih rendah daripada KDNK Malaysia dan bukan PKS yang masing-masing menyusut sebanyak 5.6% dan 4.6%. Ini merupakan kali pertama KDNK PKS adalah lebih rendah daripada KDNK Malaysia,” menurut Datuk Syed Zaid.

Bagaimana pun, semasa pandemik, SC menyaksikan perkembangan yang menggalakkan di mana platform pendanaan ramai berasaskan ekuiti (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara (P2P), terus memenuhi dan menyokong keperluan pembiayaan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Setakat ini, terdapat 21 platform ECF dan P2P yang berdaftar dengan SC, yang secara kolektif telah mengumpul lebih RM2.2 bilion kepada hampir 4,000 PMKS sejak platform ini dimulakan. Walaupun pada awalnya terdapat pengurangan dalam aktiviti pengumpulan dana berikutan perintah kawalan pergerakan pada suku pertama 2020, SC menyatakan bahawa platform alternatif ini telah membantu PMKS mengumpul lebih RM1.3 bilion pada 2020. Pada separuh tahun pertama 2021 sahaja, sebanyak RM625 juta telah dikumpulkan melalui ECF dan P2P, masing-masing meningkat sebanyak 151% dan 220%, berbanding tempoh yang sama pada 2020. ECF dan P2P menarik pelabur muda dengan hampir 60% peserta adalah berumur di bawah 35 tahun.

Bursa-bursa aset digital di Malaysia juga terus berkembang maju, dengan lebih 300,000 akaun baharu dibuka pada tahun ini. Sejak diperkenalkan pada 2019, jumlah aset digital yang didagangkan telah melepasi satu bilion, dengan nilai melebihi RM16 bilion pada September 2021.

Kemasukan baharu pengurusan pelaburan digital (DIM) juga telah menyumbang kepada pertumbuhan aset bawah pengurusan dalam pasaran modal. Sehingga Julai 2021, lapan pengendali DIM berlesen telah menyaksikan peningkatan sebanyak 90% dalam pembukaan akaun baharu berbanding 2020, dengan hampir 75% pemegang akaun berumur di bawah umur 35 tahun. Sementara itu, permintaan berterusan terhadap perkhidmatan pembrokeran dalam talian menghasilkan peningkatan sebanyak 35% dalam pembukaan akaun baharu dalam tempoh yang sama.

Persidangan fintech SCxSC merupakan acara utama SC untuk memacu perbincangan mengenai fintech dan pendigitan dalam pasaran modal. Buat pertama kalinya, acara 3 hari itu akan diadakan secara dwisiaran, yang membolehkan persidangan itu merangkumi lebih banyak topik dan isu untuk dibincangkan. Persidangan itu turut memperkenalkan ‘Village of Solutions’ yang akan mengetengahkan rangkaian penyelesaian daripada rakan-rakan acara dan pempamer SCxSC.

SCxSC 2021 akan bertumpu pada fintech Islam dan Regtech. “Kami percaya bahawa memupuk keupayaan digital kewangan Islam adalah penting untuk memacu pertumbuhan pelaburan Syariah dan menarik peserta baharu ke dalam pasaran modal Islam Malaysia,” tambah Datuk Syed Zaid. Pada tahun ini, para peserta juga berpeluang untuk mengalami sendiri pameran FIKRA dan pelbagai penyelesaian yang ditawarkan. FIKRA, program pemacu fintech Islam pertama SC yang diterajui oleh pengawal selia tersebut, telah dilancarkan pada awal tahun ini untuk mengenal pasti dan mempertimbangkan penyelesaian fintech Islam yang berkaitan bagi menyokong pertumbuhan syarikat peringkat permulaan yang inovatif.

Antara lain, topik-topik yang dibincangkan di SCxSC termasuk kemunculan kewangan bersepadu, Token Tak Boleh Ditukar Ganti (non-fungible) (NFT) sebagai simpanan berharga masa depan dan pengkomputeran kuantum dalam kewangan.

SCxSC dikendalikan secara maya dari 26 hingga 28 Oktober 2021. Orang ramai boleh mendaftar secara percuma dan mengikuti siaran langsung di scxsc.my

Mengenai Suruhanjaya Sekuriti Malaysia:

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), sebuah badan berkanun yang melapor kepada Menteri Kewangan, ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. Ia merupakan agensi kawal selia tunggal bagi pengawalseliaan dan pembangunan pasaran modal. SC mempunyai tanggungjawab langsung untuk menyelia dan memantau aktiviti institusi pasaran, termasuk bursa dan rumah penjelasan, dan mengawal selia semua individu yang dilesenkan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. Maklumat lanjut mengenai SC boleh didapati di laman sesawangnya di www.sc.com.my. Ikuti SC di twitter di @SecComMy untuk perkembangan terkini.

Previous ArticleNext Article

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.