Grab Lancar Pusat Kecemerlangan Serantau Baharu di Malaysia

  • Pusat Kecemerlangan Serantau akan menempatkan strategi perniagaan teras dan fungsi operasi Grab termasuk undang-undang, pengalaman pelanggan, perkhidmatan kewangan dan perkhidmatan kreatif
  • Pusat R&D yang baru dilancarkan akan menumpu untuk membangunkan penyelesaian dan keupayaan kepercayaan & keselamatan untuk terus menunjukkan komitmen Safer Everyday (Lebih Selamat Setiap Hari) Grab untuk Asia Tenggara
  • Pelaburan kukuh oleh Grab sokong rangka tindakan Industri 4.0 dan cita-cita ekonomi digital Malaysia, mencipta sekurang-kurangnya 400 pekerjaan bernilai tinggi baharu kepada rakyat Malaysia dalam tempoh jangka pendek

PETALING JAYA, Malaysia, 31 Januari 2019 /PRNewswire/ — Grab, platform Dalam Talian-kepada-Luar-Talian (O2O) yang terkemuka di Asia Tenggara, melancarkan Pusat Kecemerlangan Serantau (RCoE) baharunya di ruang pejabatnya berkeluasan 54,000 kaki persegi yang baru diperluas di sini hari ini. Pusat Kecemerlangan akan menempatkan strategi perniagaan teras dan fungsi-fungsi operasi Grab, termasuk undang-undang, pengalaman pelanggan, perkhidmatan kewangan dan perkhidmatan kreatif. Ini merupakan usaha kedua yang menunjukkan pelaburan kukuh Grab dalam menyumbang kembali kepada negara di mana ia bermula, dengan usaha pertama merupakan pelancaran Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) di Malaysia bulan lalu, jejak R&D global Grab ke-7 bagi tujuan memupuk bakat teknologi mendalam Malaysia. Pelancaran ruang pejabat yang baru diperluas ini dirasmikan oleh YB Datuk Ignatius Darell Leiking, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Dengan melancarkan Pusat Kecemerlangan Serantau dan Pusat R&D di Malaysia, Grab serta merta akan mencipta sekurang-kurangnya 400 pekerjaan bernilai tinggi baharu, menjadikan jumlah kakitangan di Malaysia kepada 1,000 orang. RCoE akan menerajui pembangunan himpunan dalaman ahli-ahli profesional berkemahiran tinggi yang pakar dalam bidang masing-masing. Dengan kehadiran Grab di 336 bandar merentas 8 negara, mereka akan diberi peluang untuk melihat dari lensa serantau dalam menawarkan penyelesaian dan melaksanakan projek-projek.

Pasukan undang-undang akan memberi khidmat nasihat tentang isu-isu peraturan, dasar dan undang-undang yang memberi kesan kepada seluruh rantau; pasukan pengalaman pelanggan akan memberi sokongan pelanggan yang berkualiti kepada beberapa negara; pasukan kreatif dan reka bentuk akan membangunkan aset-aset kreatif untuk kempen dan projek pemasaran serantau; dan pasukan perkhidmatan kewangan akan melaksanakan dasar pengurusan kewangan, perolehan dan risiko di seluruh negara di mana Grab beroperasi di rantau ini.

Pasukan teknologi dan kejuruteraan di Pusat R&D Malaysia akan menumpu untuk membangunkan penyelesaian dan keupayaan kepercayaan dan keselamatan yang bukan sahaja dapat menyelesaikan isu-isu keselamatan buat rakyat Malaysia, tetapi juga di seluruh Asia Tenggara. Tatkala Grab mengukuhkan pelaburan globalnya dalam teknologi yang lebih maju, sains data, kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin untuk menjadikan tunggangan harian, pesanan penghantaran harian, urus niaga kewangan harian yang berlaku pada platform kami lebih selamat dan lebih terjamin berbanding sebelum ini, pasukan teknologi dan kejuruteraan Malaysia akan memainkan peranan penting dalam menetapkan piawaian tinggi untuk standard keselamatan di Asia Tenggara dan mencapai matlamat utama kami iaitu sifar kejadian yang boleh dicegah pada platform kami.

Malaysia berbangga kerana ia menjadi lokasi bermulanya syarikat unikorn teknologi seperti Grab. Grab mewakili inovasi, kekukuhan, kreativiti dan minat tinggi terhadap perniagaan dan kerja keras – nilai-nilai yang disasarkan oleh Kerajaan untuk dipupuk dalam syarikat-syarikat teknologi Malaysia. Kami berasa gembira melihat Grab dapat menyumbang kembali kepada Malaysia dan menyatakan komitmen untuk memupuk bakat-bakat teknologi tempatan dan memudahkan pemindahan ilmu pengetahuan melalui pusat R&Dnya. Sebagai aplikasi super harian untuk rakyat Malaysia, Grab bukan sahaja memenuhi keperluan pengangkutan melalui tawaran e-panggilannya, tetapi turut memainkan peranan penting dalam memperkasa perniagaan-perniagaan tempata melalui platform penyerahan dan pembayarannya,” kata Datuk Darell Leiking, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam majlis pelancaran tersebut. “Inilah yang benar-benar diperlukan oleh Malaysia untuk melangkah ke hadapan menuju matlamat ekonomi digital kami — lebih banyak syarikat Malaysiayang telah berjaya di persada global untuk menyahut seruan jelas pihak Kementerian dalam membuat pelaburan berkualiti di tanahair demi memajukan negara, dengan mencipta peluang pekerjaan bernilai tinggi dan memupuk generasi usahawan Malaysia akan datang.”

Beliau menambah, “Sememangnya pihak Kerajaan akan terus merangka transformasi digital Malaysia ke arah mencapai keteguhan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat yang lebih hebat. Dalam konteks ini, Dasar Kebangsaan Industri 4.0 (Industry4WRD) dan Pelan Induk Strategik e-Dagang Kebangsaan (NeSR) merupakan rangka tindakan utama untuk ‘menarik, mencipta dan mengubah’. Khususnya, ini memerlukan usaha untuk menarik teknologi-teknologi penggerak utama bagi mencipta ekosistem digital terbaik; mengubah sektor-sektor pembuatan dan perkhidmatan menjadi ‘sektor-sektor tangkas’ dan membolehkan usahawan-usahawan Malaysia menjadi ‘sedia untuk e-dagang’. Oleh itu, pihak Kerajaan menggalakkan kolaborasi yang berterusan antara sektor-sektor awam dan swasta demi merealisasikan pelan tindakan yang dinyatakan dalam kedua-dua rangka tindakan, demi manfaat kita bersama.”

“Pelaburan kukuh kami dalam menubuhkan Pusat Kecemerlangan Serantau dan Pusat R&D terkini kami di Malaysia adalah respons kami kepada gesaan kerajaan Malaysia terhadap perkongsian awam-swasta bagi membantu mendorong rangka tindakan Industri 4.0 dan cita-cita ekonomi digital Malaysia. Kami komited untuk membantu Malaysia memperoleh keuntungan ekonomi yang lebih besar dengan mencipta peluang pekerjaan bernilai tinggi, memupuk bakat teknologi mendalam dan menarik lebih ramai rakyat Malaysia di luar negara untuk pulang ke tanahair. Kami sentiasa mengingati asal usul kami memandangkan Malaysia menjadi lokasi kami menubuhkan Grab hampir tujuh tahun lalu dengan matlamat mudah untuk menyelesaikan masalah keselamatan pengangkutan. Kini, memandangkan kami telah berkembang melangkaui panggilan tunggangan untuk menjadi aplikasi super harian yang terkemuka di Asia Tenggara, adalah wajar untuk kami menyumbang kembali kepada negara di mana kami bermula,” kata Sean Goh, Ketua Negara untuk Grab Malaysia.

“Pelaburan ini adalah melangkaui misi berterusan kami untuk menjadikan pengangkutan lebih mudah diakses dan lebih selamat buat semua, dan dalam masa yang sama, mencipta peluang menjana pendapatan yang lebih baik untuk pemandu kami dan rakan kongsi penyerahan kami dan membolehkan perniagaan tempatan untuk memanfaatkan kumpulan pelanggan serta jaringan pengedaran kami bagi memperoleh hasil perniagaan yang lebih tinggi. Banyak yang dapat kami lakukan untuk menambah baik kehidupan harian rakyat Malaysia dan kami ingin bekerjasama erat dengan kerajaan Malaysia untuk mewujudkan peraturan dan dasar yang saling menguntungkan yang membolehkan inovasi berkembang maju dan memberi manfaat dengan paling baik kepada penduduk Malaysia yang lebih luas,” tambah Sean.

Grab komited untuk menyumbang kepada rangka tindakan Industri 4.0 Malaysia dalam segmen-segmen berikut:

  1. Penyelesaian mobiliti Berkongsi, Lancar dan Pintar buat semua: Grab akan menjadikan pengangkutan lebih mudah diakses buat semua rakyat Malaysia. Dengan rangkaian perkhidmatan pengangkutan paling luas yang telahpun tersedia melalui platform kami, Grab akan bekerjasama erat dengan pihak kerajaan, penyedia pengangkutan awam dan swasta untuk memenuhi keperluan pengangkutan dari awal hinggalah ke destinasi rakyat Malaysia.
  2. Mata pencarian yang lebih baik dan peluang menjana pendapatan untuk rakan kongsi pemandu: 86% daripada rakan kongsi pemandu Grab menambah pendapatan sambilan mereka dengan Grab. Rakan kongsi pemandu ini memperoleh 37% lebih banyak pendapatan tambahan mereka dengan Grab, selain pekerjaan harian mereka. Rakan kongsi pemandu GrabTaxi juga memperoleh 10% lebih banyak pendapatan harian berbanding sebelum ini tatkala mereka hanya dapat bergantung pada panggilan teksi di jalan raya dan tempahan teksi biasa. Grab akan terus menambah baik mata pencarian rakan kongsi pemandu dan menawarkan peningkatan peluang menjana pendapatan, sokongan kewangan yang lebih luas, alatan teknologi dan latihan kemahiran yang lebih baik serta aktiviti kemasyarakatan yang lebih banyak buat mereka dan insan tersayang.
  3. Muka kedai digital untuk rakan-rakan niaga GrabFood, GrabRewards dan GrabPay: Grab akan memperkasa usahawan mikro dan perniagaan bersaiz kecil dan sederhana untuk mewujudkan kehadiran digital mereka pada aplikasi Grab dan memanfaatkan kumpulan pengguna dan jaringan pengedaran kami untuk memperoleh hasil perniagaan yang lebih tinggi.
  4. Akses kepada GrabPlatform untuk membantu syarikat-syarikat baharu dan rakan-rakan kongsi sealiran meluaskan perniagaan mereka: Rakan-rakan kongsi berpeluang sama ada untuk membangunkan perkhidmatan mereka pada GrabPlatform atau menggabungkan suit teknologi dan produk Grab kepada laman sesawang atau aplikasi mereka sendiri, sebagai contoh GrabPay untuk pembayaran mudah alih, GrabExpress untuk logistik, atau GrabProfiles untuk pengesahan pengguna. Ini akan memberikan rakan kongsi dengan akses langsung kepada pengguna Grab dan membantu meluaskan perniagaan mereka dengan lebih pantas.

Latar Belakang Grab

Grab ialah salah satu platform mudah alih O2O yang paling kerap digunakan di Asia Tenggara, menyediakan perkhidmatan harian yang paling penting buat pengguna. Berulang alik, menjamu selera, menghantar barangan beli belah dan membayar menggunakan satu e-dompet. Grab percaya bahawa setiap penduduk Asia Tenggara seharusnya mendapat manfaat daripada ekonomi digital dan syarikat ini menyediakan akses kepada pengangkutan, penyerahan makanan dan pakej, pembayaran mudah alih dan perkhidmatan kewangan yang selamat serta berpatutan. Kini, Grab menawarkan perkhidmatan di Singapura, Indonesia, Filipina, Malaysia, Thailand, Vietnam, Myanmar dan Kemboja. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.grab.com.

Sumber: Grab
Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.