Kerjasama antara U Mobile dan Funding Societies Tawarkan Pembiayaan Perniagaan antara Rakan Setara (P2P) kepada PKS

U Mobile, syarikat telekomunikasi berpusatkan data yang memenangi pelbagai anugerah, mengumumkan jalinan kerjasama dengan Funding Societies, sebuah platform pembiayaan dalam talian antara rakan setara (P2P) yang terbesar di Asia Tenggara, untuk menawarkan penyelesaian pembiayaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) serta pelanggan pejabat kecil/pejabat rumah (SOHO) di Malaysia menerusi penyelesaian penerimaan pembayaran digitalnya, GoBiz.

Menerusi kerjasama dengan Funding Societies, U Mobile bertujuan memperkasakan perusahaan mikro dan PKS tempatan serta pemilik perniagaan SOHO di Malaysia dengan memenuhi satu keperluan umum, iaitu kekurangan modal kerja untuk mengembangkan perniagaan.

Menerusi laman web GoBiz, www.gobiz.com.my pelanggan U Mobile dan GoBiz dapat mengakses platform bantuan pembiayaan P2P Funding Societies yang mampu menyokong pertumbuhan pendapatan, serta menampung jurang aliran tunai jangka pendek dan turun naik pendapatan, lebih-lebih lagi dalam tempoh ekonomi yang mencabar ini.

Di samping itu, mereka juga dapat menikmati fleksibiliti dari segi nilai pinjaman kerana Funding Societies menawarkan saiz pinjaman dari RM3,000 hingga RM1 juta.

Permohonannya sangat mudah kerana pemohon dapat menjalankan segala proses dalam talian menerusi laman web GoBiz. Malahan, pemohon yang merupakan pelanggan U Mobile atau GoBiz tidak perlu memberikan cagaran atau jumlah tahanan wang. Setelah menyerahkan semua dokumen yang berkenaan, pemohon akan mendapat notifikasi pantas dalam dua hari bekerja sahaja mengenai status permohonan mereka.

Selain itu, pelanggan GoBiz juga dapat menikmati satu keistimewaan, iaitu mereka tidak perlu mengemukakan dokumen tambahan bagi membuktikan pendapatan sekiranya mereka mempunyai sekurang-kurangnya 6 bulan transaksi bulanan aktif dengan GoBiz.

Jasmine Lee, Ketua Pegawai Pemasaran U Mobile, berkongsi bahawa kerjasama dengan Funding Societies ini selari dengan komitmen U Mobile untuk merealisasikan potensi sebenar pelanggan mereka. “Menerusi kerjasama dengan Funding Societies, U Mobile menawarkan akses pembiayaan kepada pemilik perusahaan mikro, PKS dan SOHO di Malaysia. Pembiayaan ini bukan sahaja sangat bermanfaat bagi perniagaan yang menghadapi kesukaran mendapat pinjaman bank konvensional, malah relevan dalam tempoh pandemik global yang tidak menentu ini. Tambahan pula, perkhidmatan baharu ini sangat mudah, kerana segala proses dapat dijalankan dalam talian menerusi laman web GoBiz kami dalam masa kurang seminit! Kami berharap perkhidmatan ini dapat membantu PKS dan pemilik perniagaan SOHO Malaysia untuk meringankan tugasan pentadbiran supaya mereka mempunyai lebih masa dan sumber untuk mengembangkan perniagaan.”

Wong Kah Meng, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Funding Societies Malaysia, menegaskan pembiayaan digital semakin mendapat sambutan dalam beberapa tahun ini. Antaranya ialah pembiayaan P2P yang dapat membantu menampung jurang pembiayaan PKS dengan menyediakan sumber modal yang menarik untuk membiayai pengembangan PKS tempatan, serta memenuhi keperluan kewangan yang lain.

“Walaupun PKS memberikan sumbangan penting kepada ekonomi negara, sebilangan besar PKS masih menghadapi kesukaran mendapat perkhidmatan daripada institusi kewangan tradisional. Justeru, misi kami adalah untuk membantu PKS ini berkembang menerusi pembiayaan perniagaan. Kerjasama kami dengan U Mobile akan meningkatkan akses pelanggannya kepada pelbagai pilihan pembiayaan menerusi platform GoBiz, dengan memanfaatkan infrastruktur teknologi proprietari kami untuk berhubung dengan U Mobile secara lancar. Ini dapat mendigitalkan dan meringkaskan proses permohonan PKS, seterusnya meningkatkan akses mereka kepada pembiayaan. Menerusi kerjasama ini, kami menyediakan peluang lebih besar kepada perniagaan yang sukar mendapat pembiayaan untuk memperoleh produk-produk pembiayaan kami yang disesuaikan dengan keperluan mereka.”

Perniagaan yang berkelayakan boleh menyerahkan permohonan menerusi platform GoBiz untuk menikmati manfaat-manfaat berikut daripada Funding Societies:

  • Jumlah pembiayaan sehingga RM100,000 untuk Pembiayaan Mikro dan sehingga RM1 juta untuk Pembiayaan Jangka Masa Perniagaan
  • Pembayaran balik yang pantas dengan kelulusan secepat 2 hari bekerja
  • Tempoh pinjaman fleksibel antara 3 hingga 18 bulan
  • Keperluan dokumentasi yang minimum
  • Syarat jumlah tahanan (wang) dikecualikan
  • Kadar faedah yang kompetitif
  • Tiada syarat cagaran

Untuk permohonan atau maklumat lanjut, sila layari http://gobiz.com.my/p2p

Mengenai GoBiz

GoBiz merupakan penyelesaian penerimaan pembayaran digital yang dihasilkan untuk pelbagai perniagaan. Kami membolehkan perniagaan secara besar-besaran mahupun kecil-kecilan untuk menjalankan pendigitalan serta mewujudkan peluang pertumbuhan baharu. Untuk maklumat lanjut mengenai produk dan perkhidmatan GoBiz, sila layari www.gobiz.com.my atau hubungi talian perkhidmatan pelanggan GoBiz di +6018 388 2929.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Powerwell Catat Rekod Untung Bersih Tertinggi RM24.1 Juta, Sasar Lonjakan Melalui Sektor Pusat Data

KUALA LUMPUR: Pakar pengedaran kuasa tempatan, Powerwell Holdings Berhad (“Powerwell”) berjaya menamatkan tahun kewangan 2026 (“FY26”) dengan prestasi luar biasa selepas mencatatkan keuntungan bersih tertinggi dalam sejarah syarikat berjumlah RM24.1 juta.

Pencapaian memberangsangkan ini menyaksikan keuntungan bersih kumpulan melepasi ambang RM20 juta buat kali pertama , melonjak daripada RM18.7 juta yang direkodkan pada tahun kewangan sebelumnya.

Prestasi Kewangan Sumbangan Pasaran Luar Negara

Bagi keseluruhan FY26, perolehan Powerwell melonjak 15.6% tahun-ke-tahun (YoY) kepada RM159.0 million berbanding RM137.5 juta pada tahun lalu. Pertumbuhan mampan ini dipacu terutamanya oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada operasi kumpulan di Bangladesh dan Indonesia.

Bagaimanapun, bagi suku keempat berakhir 31 Mac 2026 (4QFY26), perolehan kumpulan mencatatkan penurunan kepada RM41.4 juta berbanding RM47.7 juta sebelum ini disebabkan oleh penghantaran produk yang lebih rendah.

Meskipun begitu, margin keuntungan kasar bagi suku tersebut melonjak kepada 39.8% (daripada 35.1% pada suku sama tahun lepas) hasil daripada pemuktamadan akaun untuk sebuah projek pusat data (data centre) serta projek loji hidro. Keadaan ini, ditambah pula dengan pembalikan kemerosotan nilai penghutang perdagangan dan perbelanjaan pentadbiran yang lebih rendah, telah melonjakkan untung bersih 4QFY26 sebanyak 6.9% YoY kepada RM7.7 juta.

Sebagai ganjaran kepada para pemegang saham, Powerwell mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 1.0 sen sesaham bagi suku di bawah tinjauan. Ini menjadikan jumlah keseluruhan dividen bagi FY26 sebanyak 1.5 sen sesaham, yang mewakili nisbah pembayaran sebanyak 36.1% (anggaran RM8.7 juta).

Projek Mega & Pasaran Borneo

Tahun kewangan 2026 turut melakar sejarah tersendiri apabila Powerwell berjaya mengukuhkan kedudukannya dalam ekosistem teknologi tinggi selepas meraih projek pusat data tunggal terbesar bernilai RM68.5 juta.

Bagi meluaskan lagi empayar perniagaannya, kumpulan sedang aktif mengembangkan ruang pembuatan di Malaysia dan Indonesia. Di samping itu, Powerwell telah memuktamadkan pengambilalihan 49% kepentingan dalam Tenaga Kenari pada 1 April 2026. Langkah strategik ini memberikan akses segera bagi kumpulan untuk menembusi pasaran Sarawak dan Sabah (Timur Malaysia), sekali gus membuka peluang rantaian pelanggan baharu dalam industri semikonduktor, utiliti, dan tenaga boleh diperbaharui.

Prospek Cerah

Sehingga akhir Mac 2026, nilai tempahan (order book) Powerwell kekal sihat pada paras RM150.8 juta, sekali gus memberikan pendapatan yang stabil untuk tempoh akan datang.

Melihat ke hadapan, pihak pengurusan Powerwell optimis terhadap prospek perniagaan syarikat yang disokong oleh saluran tender (tender pipeline) yang sangat aktif. Kumpulan sedia merebut peluang luas dalam segmen-segmen pesat membangun termasuk pusat data, tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor, dan infrastruktur.

Walau bagaimanapun, memandangkan keadaan pasaran global yang dinamik, Powerwell menegaskan akan terus mengamalkan pendekatan berhati-hati dengan memantau rapat ketidaktentuan pasaran, perkembangan geopolitik, dan keadaan makroekonomi yang boleh memberi kesan kepada landskap perniagaan.