Luno: Tinjauan Tabiat dan Matlamat Jangka Panjang Kewangan Rakyat Malaysia

Luno, bursa aset digital yang dikawal selia terkemuka di Malaysia, mengumumkan tinjauan dalam talian yang diadakan di seluruh negara bertujuan untuk memahami tabiat pengurusan kewangan rakyat Malaysia. Dikendalikan oleh YouGov[1], data tinjauan tersebut telah dikumpul daripada lebih seribu rakyat Malaysia dewasa untuk memastikan bahawa ia dapat memberikan gambaran yang tepat secara statistik mengenai strategi simpanan dan pelaburan masyarakat umum. 

Tinjauan ini mendapati bahawa rakyat Malaysia kebanyakannya melihat kekayaan sebagai salah satu pemangkin utama dalam mencapai kebebasan kewangan untuk diri dan keluarga mereka. Majoriti responden (60%) menyatakan bahawa memiliki wang adalah sangat penting untuk mereka menjamin kesejahteraan keluarga mereka dari segi kewangan. Selain daripada itu, 58% responden menyatakan bahawa mencapai gaya hidup yang fleksibel dari segi kewangan di masa depan adalah penting juga.

Menurut tinjauan itu, 64% daripada keseluruhan sampel populasi menyatakan bahawa mereka kerap menyimpan wang. Data itu turut menunjukkan bahawa responden berusia 18 hingga 34 tahun lebih cenderung untuk berada dalam kumpulan yang membuat simpanan secara kerap (66%); berbanding hanya 55% rakyat berusia 55 tahun ke atas. Ini menunjukkan bahawa generasi muda Malaysia cenderung untuk bersikap lebih proaktif dalam simpanan mereka berbanding generasi yang lebih berusia.

Dari segi di mana golongan yang kerap menyimpan itu selalunya meletakkan simpanan mereka, tinjauan mendapati bahawa 46% dan 41% daripada mereka lebih suka meletakkan simpanan mereka dalam aset unit amanah seperti ASNB dan skim persaraan seperti KWSP dan PRS. Ini mungkin disebabkan oleh kedua-dua dana tersebut adalah mapan dan memberikan pulangan pelaburan yang baik, dan nilainya akan berganda mengikut masa. Turut menarik adalah 26% daripada para penyimpan menyatakan bahawa mereka akan melaburkan simpanan mereka dalam emas sebagai simpanan nilai; mungkin sebagai salah satu cara untuk berlindung daripada kesan inflasi.

Melihat kepada proses membuat keputusan untuk melabur, hasil tinjauan menunjukkan bahawa responden lebih cenderung untuk dipengaruhi oleh ahli keluarga dan rakan-rakan (31%) berbanding penasihat kewangan profesional atau syarikat perkhidmatan kewangan (19%). Perkara ini boleh dikaitkan dengan hakikat bahawa rakyat Malaysia, terutamanya golongan muda, secara tradisionalnya bergantung kepada ahli keluarga yang lebih tua untuk mendapatkan bimbingan dalam kehidupan. Oleh itu, rakyat Malaysia cenderung untuk mengguna pakai amalan pengurusan kewangan peribadi yang telah pun diuji dan dibuktikan oleh ahli keluarga mereka sebelum ini. Menurut data tersebut, kebanyakan responden (34%) cenderung untuk mendapatkan nasihat mengenai strategi simpanan dan pelaburan jangka panjang, manakala nasihat kewangan mengenai perbelanjaan, perancangan kewangan, dan pengurusan hutang kurang diberikan perhatian (24%).

Tambahan lagi, tinjauan menunjukkan bahawa para pelabur Malaysia lebih yakin dengan idea menggunakan kriptowang sebagai kaedah yang sesuai untuk mencapai dan mengekalkan kekayaan dalam jangka panjang. 62% daripada pelabur semasa menyatakan bahawa mereka akan mempertimbangkan untuk melabur dalam aset alternatif seperti kriptowang sebagai salah satu cara untuk mempelbagaikan portfolio mereka. Selanjutnya, 37% responden menyatakan bahawa keupayaan kriptowang untuk tujuan pelaburan jangka panjang adalah salah satu daripada ciri utama yang ditawarkan oleh aset digital. Pada masa sama, 40% responden menyatakan bahawa penggunaan kriptowang sebagai simpanan nilai alternatif adalah antara ciri menarik yang turut dimiliki oleh aset digital itu.

Rakyat Malaysia secara amnya mengetahui dan menyedari tentang pengurusan risiko apabila melabur dalam kriptowang. Sebagai contoh, tinjauan menunjukkan bahawa 42% daripada pelabur kriptowang menyatakan bahawa mereka hanya membeli kriptowang daripada bursa aset digital yang diiktiraf dan dipercayai. Manakala, kira-kira 43% daripada responden berkenaan akan memastikan bahawa mereka telah membuat kajian yang teliti dan terperinci sebelum melakukan transaksi. Bagi menghadkan risiko kewangan terhadap kriptowang, 57% daripada responden menyatakan bahawa mereka hanya melaburkan apa yang mereka sanggup rugi.

Penyertaan dalam pelaburan kriptowang akan terus meningkat jika pihak kerajaan atau industri meningkatkan usaha untuk menggalakkan inisiatif pendidikan kewangan bagi mendidik masyarakat dengan lebih baik mengenai aset alternatif. Menurut tinjauan, 34% daripada mereka yang tidak melabur pada ketika ini menyatakan bahawa mereka akan mula melabur dalam kriptowang jika ada pendidikan kewangan yang lebih baik tentang bagaimana untuk berdagang aset digital dengan betul. Sementara itu, 46% daripada kumpulan yang sama berharap bahawa bursa aset digital yang dikawal selia tempatan akan turut menampilkan lebih banyak lagi sumber pendidikan kewangan yang mudah difahami.

Mengulas mengenai tinjauan tersebut, Aaron Tang, Pengurus Negara Luno Malaysia, berkata, “Tinjauan ini telah menunjukkan dengan jelas bahawa ada banyak lagi kerja yang perlu dilakukan oleh kedua-dua pihak pengawal selia dan industri, bagi mempersiapkan para pelabur runcit dengan lebih baik untuk pasaran kriptowang. Walaupun ianya adalah satu petanda yang baik bahawa kebanyakan pelabur runcit memahami risiko yang berkaitan dengan perdagangan kriptowang dan cuba untuk menanganinya sebaik mungkin, kami merasakan bahawa jumlah pelabur yang benar-benar menjalani langkah penting tersebut adalah masih rendah. Memandangkan semakin ramai pelabur runcit mula menunjukkan minat dalam aset digital, kami yakin bahawa ianya adalah sangat penting pada ketika ini untuk meningkatkan usaha dalam menggalakkan inisiatif celik kewangan bagi mendidik masyarakat mengenai potensi kegunaan kriptowang dengan lebih baik, serta strategi yang boleh digunakan untuk mengurangkan pendedahan risiko.”

Hann Liew CFP, CFA, Pengasas Bersama & Pengarah Jirnexu, berkata, “Kaji selidik yang dijalankan oleh Luno menyoroti tabiat kewangan peribadi rakyat Malaysia, terutamanya mengenai kebergantungan yang tinggi terhadap nasihat kewangan tidak formal. Budaya berorientasikan keluarga yang sangat kuat di kalangan rakyat Malaysia bermakna bukanlah sesuatu yang luar biasa untuk mereka mendapatkan pendidikan kewangan yang pertama daripada ahli keluarga. Malangnya, itulah yang menghalang ilmu kewangan mereka daripada terus berkembang.

Justeru, adalah penting untuk menambah lagi ilmu apabila kita meningkat dewasa. Sebagai contoh, perancang kewangan berlesen profesional mempunyai kepakaran yang dipercayai untuk memberikan nasihat yang sesuai dengan matlamat kewangan dan kemampuan risiko anda. Terdapat pelbagai inisiatif pendidikan kewangan awam (seperti PIDM, AKPK dan FEN) dan sektor swasta (seperti RinggitPlus) yang boleh dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia untuk menguruskan kewangan mereka dan membuat keputusan yang lebih bijak.”

Mengenai Luno

Luno adalah bursa aset digital yang dikawal selia yang pertama dan terkemuka di Malaysia, dengan misi untuk menambah baik sistem kewangan dunia. Berpangkalan di London dengan hab-hab serantau di Malaysia, Singapura dan Cape Town, Luno kini mempunyai pasukan lebih daripada 500 kakitangan.

Dengan lebih lapan juta pelanggan (dompet) di lebih daripada 40 negara, produk dan perkhidmatan Luno menjadikannya mudah dan selamat untuk membeli, menyimpan dan belajar mengenai mata wang kripto seperti Bitcoin dan Ethereum. Luno baru-baru ini telah diambil alih oleh DCG, pelabur blockchain terbesar dunia.
www.luno.com

Laman sesawang: www.luno.com

Media sosial: Facebook

Aplikasi mudah alih: Android dan iOS


[1] Semua angka, melainkan dinyatakan sebaliknya, adalah daripada YouGov Plc. Jumlah saiz sampel ialah 1,015 rakyat dewasa Malaysia. Kaji selidik dijalankan 27 hingga 31 Ogos 2021 secara dalam talian. Angka-angka tersebut telah ditimbang dan mewakili semua rakyat dewasa Malaysia berusia 18 tahun ke atas.

Previous ArticleNext Article

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.