Pandemik Tingkatkan Kesedaran Dan Kurangkan Kemampuan Untuk Perlindungan Di Kalangan Rakyat Malaysia

Kaji Selidik Impak Pandemik terhadap Perlindungan yang dijalankan oleh Zurich Malaysia mendapati bahawa wabak COVID-19 telah meningkatkan kesedaran tentang keperluan perlindungan insurans, menurut 84% responden di Malaysia. Bagaimanapun, peningkatan kesedaran tidak bermaksud bahawa seseorang itu memiliki perlindungan, di mana 38% rakyat Malaysia masih tidak mempunyai perlindungan untuk diri sendiri.

Ketidakmampuan adalah sebab utama tidak mempunyai perlindungan. Daripada 1,201 responden, 62% mengatakan bahawa wabak ini mempengaruhi kemampuan mereka untuk mendapatkan insurans atau takaful.

Lebih membimbangkan, kira-kira 23% atau hampir 1 daripada setiap 4 rakyat Malaysia tidak mampu mendapatkan perlindungan peribadi.

Kekurangan pemahaman dan maklumat, serta tanggapan negatif tentang industri insurans turut disebut sebagai antara sebab-sebab tidak mempunyai pelan insurans atau takaful.

Ketua Zurich Malaysia Junior Cho berkata, “Sebagai salah satu daripada dua pemain industri di Malaysia yang mempunyai keempat-empat lesen bagi insurans hayat, insurans am, takaful keluarga dan takaful am, kami ingin membantu memastikan rakyat Malaysia mendapat perlindungan yang mencukupi supaya mereka dapat meneruskan gaya hidup mereka. Tinjauan ini adalah satu usaha untuk memahami bagaimana rakyat Malaysia terkesan akibat wabak daripada segi perlindungan. Data yang diperolehi amat penting bagi industri untuk mereka penyelesaian yang sesuai bagi memenuhi keperluan pelanggan, agar kita boleh bersama-sama membina masa depan yang lebih cerah untuk rakyat Malaysia.”

Kaji selidik tersebut dijalankan pada September 2021 yang merangkumi rakyat Malaysia dari seluruh negara, dengan majoriti responden adalah dalam kumpulan umur 18 hingga 34 (64%) – lingkungan umur utama untuk mula merancang memiliki perlindungan agar mempunyai masa depan yang lebih cerah.

Penemuan utama Kaji Selidik Impak Pandemik terhadap Perlindungan Zurich Malaysia adalah
termasuk:

1. 84% mengatakan bahawa wabak COVID-19 telah membuatkan mereka bertambah peka
akan keperluan memiliki insurans atau takaful.

2. Hampir 3 bagi setiap 4 rakyat Malaysia (72%) ingin mengetepikan sehingga RM200 sebulan
untuk insurans atau takaful, jika mereka mampu.

Seiring dengan peningkatan kesedaran, penemuan ini positif kerana ia menunjukkan
rakyat Malaysia mahu mengambil sesuatu tindakan untuk melindungi masa depan
mereka.

3. Pandemik telah menjejaskan kemampuan memiliki perlindungan (62%).

4. Lebih satu pertiga daripada rakyat Malaysia (38%) masih tidak mempunyai sebarang
perlindungan peribadi.

Walaupun lebih mengetahui betapa pentingnya perlindungan, masih ramai yang
tidak mempunyai sebarang perlindungan untuk diri mereka sendiri. Daripada jumlah
ini, 60% tidak mampu mendapatkan perlindungan (atau 23% daripada jumlah asas
tinjauan sebanyak 1,201).

5. Kurang pemahaman tentang industri insurans dan takaful masih berleluasa di Malaysia.
Sejak kebelakangan ini, adanya usaha untuk menjadikan perlindungan lebih senang diakses
melalui alat digital dan pelan yang lebih mudah. Walau bagaimanapun, 29% responden tidak
mempunyai perlindungan insurans atau takaful kerana tidak mempunyai maklumat yang
mencukupi. Tanggapan bahawa mereka tidak memerlukan perlindungan (23%) dan
tanggapan negatif terhadap industri (10%) adalah antara alasan lain yang disebutkan.

6. Rakyat Malaysia bergantung kepada majikan mereka untuk memberi perlindungan kepada
mereka.

Terdapat rakyat Malaysia yang tidak memiliki perlindungan peribadi kerana majikan mereka
telah menyediakan perlindungan untuk mereka (12% daripada mereka yang tidak
mempunyai perlindungan peribadi). Ini membimbangkan kerana mereka mungkin tidak
mempunyai sebarang perlindungan di masa depan sekiranya mereka kehilangan pekerjaan
atau menukar kerjaya.

7. Sebab utama rakyat Malaysia memilih untuk mendapatkan perlindungan diri
adalah untuk persaraan atau kegunaan sendiri pada masa akan datang.

Daripada 62% yang mempunyai perlindungan insurans atau takaful, 62% adalah
untuk tujuan perancangan kewangan dan 54% menyediakan perlindungan untuk
keluarga mereka.

Previous ArticleNext Article

PTPTN salur RM285,500 Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI

TANJONG MALIM, 29 September 2026 — Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan Bantuan Lestari Siswa MADANI berjumlah RM285,500 kepada 571 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi meringankan beban kewangan mereka.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata setiap pelajar menerima bantuan RM500 secara sekali bayar (one-off) dan tidak perlu dibayar balik, dengan bayaran dikreditkan ke akaun pelajar mulai 2 Oktober ini.

Beliau berkata inisiatif itu merupakan antara usaha PTPTN membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan supaya dapat meneruskan pengajian tanpa terlalu dibebani masalah kewangan.

“PTPTN berbesar hati untuk menyampaikan Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI yang melibatkan jumlah keseluruhan RM285,500.

“Setiap pelajar akan menerima RM500, tak perlu bayar balik. Ini yang kita berikan secara percuma dan secara one-off,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI, semalam.

Ahmad Dasuki berkata PTPTN memperuntukkan RM120 juta bagi inisiatif berkenaan, dengan kira-kira 5,000 pelajar telah diluluskan setakat ini, namun hanya 1,500 pelajar menerima manfaat tersebut.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan pelajar yang memenuhi syarat, khususnya mereka yang merupakan anak penerima eKasih dan belum memohon pinjaman PTPTN, supaya mendapatkan maklumat lanjut dan memanfaatkan peluang berkenaan.

Beliau berkata PTPTN bukan sahaja berperanan menyediakan pinjaman pendidikan, malah turut memberi penekanan terhadap budaya menabung menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Beliau berharap Bantuan Lestari Siswa MADANI dapat menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik selain meningkatkan taraf hidup keluarga dan memberi sumbangan kepada masyarakat.

“PTPTN tetap komited untuk memastikan agenda pendidikan negara terus dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif yang sedang kita usahakan sekarang, selari dengan moto PTPTN, ‘Peluang Kejayaan Anda’,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata bantuan berkenaan amat bermakna kepada universiti memandangkan hampir 11,000 daripada kira-kira 30,578 pelajar UPSI merupakan golongan B40.

Beliau berkata perkara itu menggambarkan besarnya amanah dan tanggungjawab UPSI dalam memastikan kebajikan pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka sentiasa terpelihara.

“Agenda kebajikan mahasiswa bukan agenda sampingan. Ia merupakan satu agenda penting yang kita bawa untuk memastikan perjalanan pendidikan adik-adik menimba ilmu di Bumi Mualim ini sepanjang tiga, empat tahun terjaga,” katanya.

Hadir sama Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Perak, Andi Nurali Mohamed; Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed.

Gambar 1: Ahmad Dasuki (tiga dari kanan, atas) bergambar bersama para pelajar UPSI yang merupakan penerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 2: Ahmad Dasuki bergambar bersama para pelajar UPSI yang menerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 3: Ahmad Dasuki (empat dari kanan) ketika menyerahkan cek cura Bantuan Lestari Siswa Madani yang bernilai RM285,500 kepada Norkhalid (tiga dari kiri) pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT UPSI