Pedagang Saham Baharu Yakin dan Cekal, Manakala Pedagang Berpengalaman Terokai Manfaat Pelaburan Dalam Talian

Memandangkan teknologi pengurusan kewangan dan pembinaan kekayaan semakin popular dalam kalangan pelabur kebelakangan ini, tidak menghairankan jika kemudahan pelaburan digital telah dimanfaatkan sepenuhnya sepanjang tempoh sekatan pergerakan akibat Covid-19 yang mendorong pelaksanaan teknologi digital tanpa sentuhan dengan lebih pantas.

Tinjau selidik yang dikendalikan oleh Rakuten Insight Malaysia (Rakuten Insight) pada bulan Disember 2020 mendedahkan bahawa golongan milenial yang berusia antara 26 hingga 40 tahun merangkumi 68% daripada mereka yang menggunakan platform pelaburan dalam talian tahun lepas. Syarikat penyelidikan tersebut juga mendapati bahawa dalam kalangan pelabur runcit digital yang menjual beli ekuiti, jumlah dagangan tertinggi dicatatkan oleh kumpulan pelabur yang berusia antara 26 hingga 30 tahun.

Rakuten Insight, sebuah hab penyelidikan pasaran digital sepenuhnya yang berkhidmat kepada pelanggan di serata Asia Tenggara, telah menjalankan satu tinjau selidik perintis seluruh negara dalam kalangan pelabur digital, dengan penekanan terhadap pusat-pusat bandar, iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor. 

Pengarah Negara Rakuten Insight, En. Collin Leow berkata, “Suasana ekonomi pandemik mencetus perubahan dalam amalan pelaburan dan simpanan dengan memanfaatkan capaian kepada teknologi untuk menangani kesan wabak. Walaupun tinjau selidik ini bertujuan mendapatkan maklumat lanjut tentang kemunculan pelabur digital lebih muda dalam norma baharu, satu penemuan yang tidak diduga ialah pelaburan digital bukan hanya diceburi oleh golongan milenial, malah 32% daripada pelabur terdiri daripada kumpulan yang berusia antara 40 dan 50 tahun. Kami juga mendapati bahawa peluang pelaburan yang mampu menjana pertumbuhan jangka panjang (45%) dan pulangan jangka pendek (18%) lebih popular dalam kalangan pelabur. Hasil tinjauan ini, kami mengandaikan bahawa golongan milenial menganggap pelaburan, dan bukan simpanan semata-mata, sebagai cara untuk membina kestabilan kewangan dalam tempoh yang mencabar ini.” Di samping itu, terdapat peningkatan 47% dalam kalangan pelabur yang memilih pelaburan saham, manakala mereka yang memilih dana unit amanah dan dana bersama bertambah sebanyak 29.28%.  

Ketua Pegawai Eksekutif Rakuten Trade Sdn Bhd, En. Kazumasa Mise, mengulas, “Tidak dinafikan bahawa pandemik menyaksikan pertambahan bilangan pelabur runcit digital di pasaran di seluruh dunia, termasuk di Malaysia. Penemuan ini mencerminkan apa yang kami lihat di platform digital penuh Rakuten Trade pada 2020, dengan kegiatan jual beli yang ketara dilakukan oleh mereka yang berusia antara 26 hingga 30 tahun. Para pedagang baharu ini tidak pernah menjual beli saham sebelum tahun lepas dan trend pelaburan tersebut berterusan pada 2021 walaupun dengan sekatan pergerakan telah dilonggarkan.”

Mise menambah, “Walaupun pedagang boleh memanfaatkan alat dan maklumat pelaburan digital dengan, keperluan untuk meningkatkan ilmu kewangan amat penting. Rakuten Trade yakin bahawa idea dagangan, maklumat dan hasil kajian daripada pakar-pakar bertauliah menjadi kunci kejayaan dan kami menggalakkan para pedagang untuk memanfaatkan semua ini.”

Rakuten Insight juga melaporkan pola peningkatan aktiviti dagangan talian dalam kalangan pedagang sedia ada dengan lebih 44% pelabur runcit meningkatkan aktiviti dagangan sepanjang tempoh sekatan pergerakan.  Hampir 34% daripada pelabur runcit digital berkata mereka akan terus melabur menggunakan platform dagangan dalam talian sedia ada mereka manakala hampir 29% akan menambah pelaburan pada masa depan. Golongan milenial yang celik teknologi adalah antara yang paling terjejas akibat pandemik, tetapi merekalah merupakan antara kumpulan pelabur runcit digital paling besar yang memilih untuk melabur dalam talian bagi mengukuhkan kedudukan kewangan masing-masing. Tinjau selidik ini juga mendapati bahawa kebanyakan pedagang (73.83%) ingin melabur dengan lebih bijak pada masa depan.

Previous ArticleNext Article

ANTA kini pemegang saham terbesar PUMA

HONG KONG, 8 Oktober 2026 — ANTA Sports Products Limited, kumpulan pakaian sukan pelbagai jenama terkemuka dunia (“ANTA Sports”, kod saham: 2020 (kaunter HKD) dan 82020 (kaunter RMB), serta anak-anak syarikatnya secara kolektif disebut sebagai “ANTA Group” atau “Kumpulan”), hari ini mengumumkan penyelesaian pemerolehan 29.06% kepentingan dalam PUMA SE daripada Artémis SAS, syarikat pelaburan keluarga Pinault, dengan bayaran tunai sebanyak EUR 1,505.5 juta. Susulan penerimaan semua kelulusan kawal selia yang berkaitan dan pemenuhan syarat penutupan lazim, ANTA Sports kini merupakan pemegang saham terbesar PUMA.

Bagi ANTA Sports, pelaburan ini menandakan pencapaian penting dalam pelaksanaan strategi “fokus tunggal, pelbagai jenama, globalisasi” dan memperkukuh profil antarabangsa, jangkauan serta daya saing Kumpulan dalam pasaran barangan sukan global. ANTA Sports akan membawa kepada PUMA kepakaran yang telah dibangunkan Kumpulan merentasi pelbagai jenama selama bertahun-tahun, termasuk keupayaan dalam pengurusan, peruncitan dan integrasi sumber global.

Ding Shizhong, Pengerusi Lembaga ANTA Sports, berkata: “Kami amat berbesar hati untuk menjadi pemegang saham terbesar PUMA dan rakan strategik jangka panjang. Pasaran barangan sukan global terus menawarkan peluang pertumbuhan yang besar apabila semakin ramai orang mengamalkan gaya hidup aktif dan meningkatkan penyertaan mereka dalam sukan. ANTA Sports telah membina kejayaannya berasaskan strategi pelbagai jenama. Kami percaya nilai sebuah kumpulan pelbagai jenama terletak pada keupayaannya membantu setiap jenama merealisasikan potensi sepenuhnya dengan memanfaatkan keupayaan dan sumber kumpulan yang lebih luas. PUMA mempunyai warisan yang kaya dan nilai asas jenama yang kukuh. Kami yakin terhadap pasukan pengurusannya dan menyokong transformasi strategik yang sedang dilaksanakan. Sebagai pemegang saham jangka panjang, kami berharap dapat berkongsi pengalaman dan keupayaan kami, khususnya dalam bidang peruncitan dan operasi, sambil menghormati kebebasan serta identiti jenama PUMA. Aspirasi kami adalah untuk menyokong PUMA dalam merealisasikan potensi sepenuhnya dan mewujudkan nilai berkekalan untuk pengguna di seluruh dunia.”

“PUMA telah membina salah satu jenama sukan paling dikenali di dunia, dengan warisan yang kaya, kredibiliti sukan yang kukuh, jejak global, inovasi terkemuka dan rakan kongsi yang kukuh. Kami mengalu-alukan ANTA Sports sebagai pemegang saham terbesar PUMA dan melihat komitmen jangka panjangnya sebagai undi keyakinan yang kukuh terhadap strategi, pasukan pengurusan dan masa hadapan kami,” kata Arthur Hoeld, Ketua Pegawai Eksekutif PUMA SE. “Kami berharap dapat membina hubungan yang membuahkan hasil dan meneroka bidang yang membolehkan kekuatan masing-masing mewujudkan nilai mampan untuk PUMA dan para pemegang sahamnya dalam perjalanan kami untuk menjadi antara 3 jenama sukan global teratas.”

ANTA Sports menghormati sepenuhnya warisan sukan PUMA, identiti jenama dan budaya korporatnya yang tersendiri, serta tadbir urus bebas dan autonomi jenamanya. Seperti yang diumumkan sebelum ini, Kumpulan akan mendapatkan perwakilan yang sewajarnya dalam Lembaga Penyeliaan PUMA. Kumpulan pada masa ini tidak mempunyai rancangan untuk membuat tawaran pengambilalihan bagi PUMA.