Pendapatan Guru Ini Meningkat Daripada USD5,000 Kepada USD28,000 Dengan Melabur

Pernahkah anda mengimpikan untuk berhenti dari pekerjaan hakiki anda dan memulakan pelaburan?

Atau anda sudah penat bekerja dan terdesak ingin mencari jalan untuk menjana pendapatan pasif?

Jika ya, jangan risau. Anda tidak keseorangan dalam merasai perasaan sedemikian.

Sebaliknya, hampir semua golongan kelas pekerja dan kelas pertengahan mengimpikan perkara yang sama.

Apa yang membezakan anda dengan orang lain adalah tindakan. Lebih cepat anda bertindak untuk melabur dan jana pendapatan pasif, lebih cepat anda akan mampu mencapai financial freedom.

Akan tetapi, perlu anda ketahui yang pendapatan pasif tidak berlaku secara tiba – tiba dan kebetulan.

Baca : 5 Strategi Berbeza Tetapi Matlamat Yang Sama Iaitu Financial Freedom

“Ada teknik, disiplin dan ilmu yang ketat untuk anda berjaya jana pendapatan pasif setiap bulan”

Tahukah anda, dalam kehidupan realiti memang ada insan yang berjaya jana pendapatan pasif dan akhirnya berhenti dari kerja hakikinya.

Kisah inspirasi tentang kewangan dan pelaburan kali ini adalah mengenai individu bernama Steve Chen.

Beliau merupakan seorang guru subjek Matematik sekolah awam di Los Angeles, California, Amerika Syarikat.

Baca : Apa Sebenarnya Kebebasan Kewangan (Financial Freedom)?

Pendapatan bulanan beliau sebanyak USD5,000 sebulan sebelum cukai sebenarnya tidaklah terlalu tinggi dan mewah dengan kos sara hidup di California.

Buat pengetahuan anda, California merupakan salah satu daripada 10 bandar termahal di dunia daripada segi kos sara hidup.

Hal ini kerana, California merupakan markas syarikat teknologi seperti Facebook, Twitter dan Google selain menjadi lubuk ribuan syarikat startup lain.

Steve Chen mula sedar kepentingan kewangan selepas melihat laporan dana persaraan rakyat US yang dirasakannya tidak mencukupi dengan anggaran kos sara hidup dan gaya hidup mendatang.

Apa yang bagusnya adalah, beliau mempunyai kesedaran awal tentang membuat simpanan kewangan.

Sumber Imej : Business Insider

Malangnya, beliau hanya mampu menyimpan  kira – kira USD500 – USD1,000 sebulan dan jumlah itu sangat tidak mencukupi untuk membenarkan beliau mencapai financial freedom.

Itu pun, selepas beliau mengikat perut dan hanya makan mee ramen setiap hari yang nyata memberi kesan buruk kepada kesihatannya dalam jangka masa panjang.

Semenjak itu, beliau sentiasa memikirkan solusi kewangan terbaik untuk bersara awal semenjak 6 tahun yang lalu.

Kini, beliau mempunyai 4 sumber pendapatan yang memberikannya USD28,000 sebulan.

Untuk memberi inspirasi, beliau telah mewujudkan website dan akaun TikTok dengan jumlah pengikut melebihi 730,000 orang untuk berkongsi ilmu kewangan.

Perjalanan beliau dalam kewangan, boleh anda baca di Call To Leap dan Tiktok Call To Leap.

Nak tahu teknik dan strategi Steve Chen sehingga berjaya mengubah pendapatannya daripada hanya USD5,000 kepada USD28,000 sebulan?

Baca artikel ini sampai habis untuk tahu rahsia beliau.

1. Buka Akaun Pelaburan & Labur Saham

Pada awalnya, Steve Chen mempunyai stigma yang sama seperti orang lain. Antaranya :-

  • Saham hanya untuk orang kaya
  • Saham hak eksklusif golongan elitis

Akan tetapi, beliau akhirnya sedar yang rata – rata individu yang mencapai financial freedom melaburkan 15% – 30% daripada pendapatan mereka setiap bulan untuk pelaburan jangka panjang.

Baca : Tutorial Buka Akaun CDS Secara Online Guna Aplikasi Bursa Anywhere

Beliau bermula dengan dana ETF dengan melabur ke saham Vanguard 500. Selepas 12 bulan, beliau melihat berlaku pertumbuhan 10% dalam portfolionya.

Sumber Imej : Investopedia

Steve Chen menasihatkan orang ramai untuk membaca banyak buku dan memahami minda seorang pelabur sebelum mula melabur saham.

2. Kurangkan Komitmen & Belanja Bulanan

Langkah kedua yang beliau lakukan adalah dengan mengurangkan komitmen dan belanja bulanan supaya beliau boleh menyimpan lebih banyak wang setiap bulan.

Caranya adalah dengan kurangkan makan di luar dan masak di rumah. Beliau akan memasak pada setiap hari Ahad untuk menu makanan seminggu.

Baca : Banyak Hutang Nak Kena Bayar? Guna Cara Ini Untuk Kurangkan Ansuran Bulanan

Dengan teknik ini, beliau berjaya berjimat sebanyak USD120 sebulan.

Selain itu, beliau menukar gaya hidup bersama kawan dengan meninggalkan aktiviti membeli barang dan berbelanja sesuka hati.

Caranya adalah dengan pergi mengembara, gimnasium dan bermain gameboard di rumah bersama kawan – kawannya. Dengan teknik ini, beliau berjaya jimat sebanyak USD400 sebulan.

Beliau turut menggunakan kad kredit sebaik mungkin dengan menggunakan kad yang paling banyak faedah dan mampu menjana tambahan USD50 – USD100 sebulan.

3. ‘Side Hustle’

Sebagai seorang guru, beliau menggunakan kemahirannya dengan mengajar tutor untuk menjana pendapatan tambahan.

Pada mulanya, beliau hanya menambah beberapa jam seminggu dan berjaya menjana USD1,000 – USD2,000 sebulan.

Baca : 24 Idea Bisnes Yang Berpotensi Bernilai Jutaan Ringgit

Apabila pelajar – pelajarnya mula mempromosikannya, beliau mendapat lebih banyak pelanggan.

Beliau sedar yang beliau boleh jana lebih banyak daripada itu. Sejak itu, beliau mengubah cara fikir daripada seorang guru tutor kepada usahawan.

Kesannya, beliau menjana tidak kurang daripada USD8,000 sebulan hasil daripada mengajar tutor dan menggunakan semua duit itu untuk melabur saham.

4. Hartanah

Photo by Nextvoyage from Pexels

Sepanjang kariernya selama 6 tahun sebagai seorang guru, beliau berjaya memiliki dua unit kediaman hasil daripada pelaburan saham dan side hustlenya.

Baca : Apa Itu Rental Yield Dalam Pelaburan Hartanah?

Rumah yang beliau miliki adalah teres setingkat dan disewakan untuk jana tambahan pendapatan.

Rental yield daripada hartanah itu mewakili sebahagian besar daripada pendapatan bulanannya.

5. Dana Kecemasan 6 Bulan

Dalam perjalanannya menuju financial freedom yang penuh dengan onak dan duri, Steve Chen sebenarnya bermula dengan mempunyai dana kecemasan sebanyak 6 bulan kos hidupnya.

Prinsipnya adalah sentiasa hidup di bawah kemampuan dan membina lebih banyak kekayaan dan kejayaan.

Anda tidak boleh secara tiba – tiba melaburkan semua duit yang ada dan mengharapkan pulangan lumayan dalam masa singkat tanpa ada dana kecemasan.

Dana kecemasan berfungsi sebagai perlindungan untuk anda sekiranya diberhentikan kerja, sakit dan apa sahaja situasi yang menyebabkan anda tidak mampu bekerja.

Steve Chen boleh dijadikan contoh yang ideal untuk anda yang sedang berusaha mencapai financial freedom.

Tips dan perkongsian beliau sebenarnya boleh diguna pakai oleh kita semua supaya kekal bersemangat dan fokus mengejar impian dalam kewangan.

Tak kira apa jua jalan yang anda pilih untuk jana pendapatan, samada menerusi pelaburan saham, hartanah mahupun perniagaan, anda wajib ada strategi dan game plan.

Dengan 6 bulan dana kecemasan, anda lebih yakin untuk melabur. Dengan gameplan dan strategi pelaburan, anda akan lebih fokus dan tahu apa yang anda inginkan.

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article

Kita Bajet Insurans, Tapi Lupa Bajet Check-up

Hampir setiap ketua keluarga mempunyai bajet yang cukup terperinci untuk perlindungan kesihatan samada menerusi insurans atau takaful.

Di Majalah Labur, kami percaya ramai pembaca setia kami rata-rata bersetuju yang sejumlah 5% – 15% dari gaji bulanan adalah amaun yang cukup sihat untuk perlindungan kesihatan.

Akan tetapi, ada satu perkara yang sering tidak mempunyai bajet khusus: pemeriksaan kesihatan berkala.

Kita lebih mudah menyediakan RM200 untuk membaiki sesuatu selepas rosak berbanding memperuntukkan sejumlah wang untuk memastikan masalah itu dapat dikenal pasti lebih awal.

Baca : 5 Perkara Medical Card Boleh Bantu Yang Tak Ramai Orang Tahu!

Dalam kewangan peribadi, cara berfikir seperti ini mungkin kelihatan kecil. Tetapi apabila melibatkan kesihatan, penangguhan boleh membawa kepada keadaan yang memerlukan lebih banyak masa, rawatan dan perbelanjaan.

Sebab itu preventive healthcare wajar dilihat sebagai sebahagian daripada perancangan kewangan keluarga, bukan sekadar perbelanjaan tambahan.

Ada bajet insurans. Bagaimana dengan bajet kesihatan?

Insurans atau takaful penting untuk melindungi kewangan apabila berlaku keadaan yang memerlukan rawatan atau kemasukan ke hospital.

Tetapi perlindungan kewangan tidak semestinya bermaksud kita tidak perlu menyediakan bajet untuk penjagaan kesihatan rutin.

Kementerian Kesihatan Malaysia sendiri menyediakan perkhidmatan saringan kesihatan untuk mengenal pasti faktor risiko, memberi nasihat pengurusan risiko dan membuat rujukan lanjut jika diperlukan.

pemeriksaan kesihatan

Pada asasnya, terdapat perbezaan antara:

“Saya mempunyai perlindungan jika sesuatu berlaku”

dengan

“Saya memperuntukkan wang untuk mengetahui keadaan kesihatan saya secara berkala.”

Kedua-duanya memainkan peranan yang berbeza dalam perancangan kewangan kesihatan.

Kesilapan ibu bapa : tunggu anak sakit baru bawa berjumpa doktor gigi

Perkara ini lebih mudah berlaku dalam kalangan ibu bapa. Anak tidak mengadu sakit, jadi pemeriksaan ditangguhkan. Gigi susu pula dianggap tidak begitu penting kerana akhirnya akan tanggal.

Apabila sakit mula berlaku, barulah ibu bapa mencari rawatan. Masalahnya, ketiadaan sakit tidak semestinya bermaksud tiada masalah.

Masalah ini yang cuba diketengahkan oleh Dr. A’tikah U’zed (Doktor Gigi di Klinik Pergigian Aesira) yang melihat ada keperluan untuk ibu bapa di Malaysia mengkhususkan wang untuk rawatan gigi anak mereka atau mereka sendiri!

pemeriksaan kesihatan gigi

Penegasan ini nampak ada intinya selepas kami melihat bahawa data National Oral Health Survey of Adults (NOHSA) 2020 menunjukkan ;

“Prevalens karies dalam kalangan rakyat Malaysia berumur 15 tahun ke atas ialah 85.1%, manakala dalam kumpulan umur 15–19 tahun pun prevalensnya masih 51.7%. Dalam kalangan orang dewasa yang mempunyai gigi, 40.7% mempunyai keperluan rawatan restoratif, 28.9% keperluan cabutan dan 4.5% keperluan rawatan endodontik.”

Masalah gusi juga tidak semestinya bermula dengan kesakitan.

NOHSA 2020 mendapati hanya 5.1% populasi bergigi mempunyai periodontium yang sihat, sementara 38.2% mempunyai periodontitis. KKM turut menerangkan bahawa penyakit periodontal boleh tidak disedari kerana pada peringkat awal ia boleh berlaku tanpa sakit.

Ini menjadikan pemeriksaan berkala satu perkara yang relevan bukan sahaja kepada kesihatan, tetapi juga kepada cara keluarga merancang perbelanjaan.

Kos rawatan gigi sebenarnya boleh dilihat sebagai kos tahunan

BilRawatanAnggaran kosKekerapan /Perspektif
1Konsultasi & pemeriksaan gigiRM30–RM1006–12 bulan / mengikut risikoKos asas untuk mengetahui keadaan gigi sebelum membuat keputusan rawatan
2X-ray gigi kecil (periapikal/bitewing)RM30–RM80Jika diperlukan doktorMembantu melihat masalah yang tidak jelas melalui pemeriksaan biasa
3X-ray panoramic (OPG)RM80–RM200Jika diperlukanBiasanya untuk penilaian keseluruhan rahang, gigi bongsu atau perancangan tertentu
4Scaling & polishingRM80–RM250Mengikut keadaan gigi/gusiPenjagaan berkala yang boleh dimasukkan dalam bajet pergigian tahunan
5Rawatan fluoridaRM50–RM120Berdasarkan risiko, terutama kanak-kanakPreventive care yang boleh dirancang lebih awal
6Fissure sealant±RM50–RM100/gigiTerutama gigi tertentu kanak-kanakPerbelanjaan pencegahan yang dibuat berdasarkan penilaian doktor
7Tampalan gigiRM80–RM300/gigiApabila terdapat kariesContoh kos rawatan yang mungkin timbul selepas pemeriksaan
8Cabutan gigi biasaRM80–RM300/gigiJika gigi tidak dapat dikekalkan / perlu dicabutKos meningkat berbanding penjagaan rutin apabila masalah memerlukan prosedur
9Rawatan saluran akar (root canal)±RM600–RM2,000/gigiUntuk gigi dengan masalah pulpa tertentuContoh bagaimana rawatan boleh menjadi lebih kompleks dan memerlukan bajet lebih besar
10Pembedahan gigi bongsu±RM800–RM2,500/gigiJika impaksi/kerumitan memerlukan pembedahanContoh kos prosedur yang lebih besar dan sukar dirancang sebagai perbelanjaan rutin

Semak : Senarai Harga Rawatan Gigi Terkini

Daripada melihat pergigian sebagai:

“Berapa saya perlu bayar apabila gigi sakit?”

lebih baik keluarga melihatnya sebagai:

“Berapa bajet saya perlu sediakan setiap tahun untuk penjagaan gigi?”

Ini tidak bermaksud seseorang perlu menjalani rawatan setiap tahun.

Sebaliknya, bajet tersebut boleh merangkumi pemeriksaan, penjagaan pencegahan dan rawatan yang diperlukan berdasarkan penilaian doktor gigi.

Kekerapan pemeriksaan pula bukan satu angka yang wajib sama untuk semua orang. Sesetengah individu mungkin memerlukan pemeriksaan lebih kerap berdasarkan risiko karies, keadaan gusi, sejarah rawatan dan faktor kesihatan lain.

Matlamatnya ialah tidak menunggu sehingga keadaan menjadi kecemasan sebelum mula merancang.

Contohnya, gigi jarang bukan semata-mata soal kosmetik

Ambil contoh diastema, atau gigi jarang.

Menurut Dr. A’tikah U’zied, diastema ialah ruang antara dua gigi yang paling kerap dilihat pada gigi hadapan atas.

Ia boleh berkait dengan saiz gigi berbanding rahang, faktor struktur semula jadi atau tabiat tertentu. Antara perkara yang boleh diperhatikan ialah ruang yang jelas antara gigi atau ruang yang semakin melebar.

Tidak semua diastema memerlukan rawatan.

Baca : Mencari Medical Card Terbaik? Tipu Semua Tu. Fahamkan 5 Perkara Ini

Tetapi apabila ibu bapa atau individu menyedari perubahan pada kedudukan atau jarak gigi, pemeriksaan memberikan peluang untuk menentukan sama ada ia sekadar variasi normal atau sesuatu yang memerlukan pemantauan atau rawatan.

Inilah konsep financial planning yang sering terlepas pandang.

Pemeriksaan bukan bermaksud kita sudah bersetuju untuk menjalani rawatan.

Pemeriksaan bermaksud kita mendapatkan maklumat terlebih dahulu.

Dengan maklumat itu, keluarga boleh membuat keputusan tentang apa yang perlu dilakukan, bila ia perlu dilakukan dan bagaimana perbelanjaannya boleh dirancang.

Jadi, enam bulan atau setahun sekali?

Jawapannya bergantung kepada individu.

Jadual pemeriksaan gigi sepatutnya mengambil kira keadaan gigi dan gusi, tahap risiko, umur, sejarah rawatan serta penilaian doktor gigi.

Bagi sesetengah orang, pemeriksaan enam bulan sekali mungkin sesuai. Bagi yang lain, doktor mungkin mencadangkan sela masa yang berbeza.

Yang penting ialah jangan menjadikan “tidak sakit” sebagai satu-satunya ukuran untuk menentukan sama ada pemeriksaan diperlukan.

Konsep yang sama digunakan dalam kesihatan secara umum. KKM menerangkan bahawa saringan kesihatan bertujuan membantu mengenal pasti faktor risiko dan penyakit lebih awal supaya pengurusan dapat dimulakan.

Bagaimana keluarga boleh masukkan kesihatan dalam financial planning?

Satu pendekatan mudah ialah membahagikan perancangan kepada beberapa lapisan:

Pertama, perlindungan.
Insurans atau takaful untuk risiko kesihatan yang besar, mengikut kemampuan dan keperluan keluarga.

Kedua, dana kecemasan.
Simpanan tunai untuk perbelanjaan kesihatan atau kecemasan yang tidak dirancang.

Ketiga, preventive healthcare.
Bajet tahunan untuk pemeriksaan dan saringan yang bersesuaian dengan umur serta faktor risiko.

Keempat, penjagaan rutin.
Termasuk pergigian dan keperluan kesihatan lain yang boleh dijangka.

Dengan cara ini, kesihatan tidak hanya muncul dalam bajet apabila sesuatu sudah berlaku.

Baca : Permintaan Sektor Penjagaan Kesihatan Diunjur Meningkat Bagi Jangka Panjang

Kesihatan juga perlukan bajet sebelum ia menjadi kecemasan

Financial planning yang baik bukan sekadar mempunyai wang apabila berlaku masalah.

Ia juga tentang mengetahui perbelanjaan yang boleh dijangka, menyediakan ruang untuk penjagaan berkala dan membuat keputusan berdasarkan maklumat sebelum keadaan menjadi mendesak.

pemeriksaan kesihatan

Pemeriksaan kesihatan tidak menjamin seseorang akan terlepas daripada penyakit atau rawatan mahal. Begitu juga pemeriksaan gigi tidak menjamin seseorang tidak akan memerlukan prosedur kompleks pada masa hadapan.

Namun, pemeriksaan memberikan sesuatu yang penting dalam perancangan kewangan:

maklumat lebih awal.

Dan maklumat lebih awal memberikan keluarga peluang untuk membuat keputusan dengan lebih tenang, sama ada perlu merawat sekarang, memantau dahulu atau menyediakan bajet untuk rawatan pada masa akan datang.

Jadi, apabila menyediakan bajet keluarga untuk tahun hadapan, jangan hanya tanya:

“Berapa saya perlu simpan kalau saya jatuh sakit?”

Tanya juga:

“Berapa yang saya sanggup peruntukkan untuk mengetahui keadaan kesihatan saya sebelum ia menjadi kecemasan?”

Kerana dalam pengurusan kewangan kesihatan, bil rawatan bukan satu-satunya kos yang perlu difikirkan.

Masa, ketidakselesaan, kehilangan produktiviti dan keputusan yang dibuat ketika keadaan sudah mendesak juga mempunyai nilai.

Preventive healthcare bukan tentang berbelanja sebanyak mungkin untuk kesihatan.

Ia tentang merancang supaya kesihatan tidak menjadi kejutan kewangan kepada keluarga.

Artikel ini bertujuan memberikan maklumat umum dan bukan pengganti nasihat doktor atau doktor gigi. Keperluan pemeriksaan, saringan dan rawatan berbeza mengikut keadaan individu.