Persidangan Tahunan Fintech Suruhanjaya Sekuriti Malaysia Kembali untuk Tahun Keenam

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menganjurkan edisi keenam Persidangan Fintech SCxSC untuk meningkatkan industri Fintech tempatan, yang baru-baru ini menyaksikan kemasukan pemain baharu berikutan langkah pengawal selia untuk memperluas peluang kepda segmen yang kurang diberi perkhidmatan seperti perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan generasi pelabur baharu untuk mengumpul modal atau mencapai matlamat kewangan mereka.

Sejak 2014, SCxSC telah bertindak sebagai satu platform bagi pembuat dasar, penginovasi, pelabur dan penyedia perkhidmatan kewangan bertemu dan mengembangkan lagi inovasi dalam kewangan menerusi penggunaan teknologi. Industri Fintech tempatan kini menjadi platform pembiayaan berasaskan pasaran alternatif seperti Pendanaan ekuiti ramai (ECF) dan pembiayaan Antara Rakan Setara (P2P) serta pelbagai peserta fintech termasuk pengurus pelaburan digital, bursa aset digital dan pengendali pendanaan ramai hartanah. Ketika ini terdapat 21 platform ECF dan P2P yang berdaftar dengan SC, yang secara kolektif telah mengumpulkan sebanyak RM587 juta bagi lebih 1,600 PMKS.

“Kami amat gembira difahamkan bahawa platform ini terus memberi perkhidmatan kepada sebilangan sektor PMKS termasuk teknologi tinggi, pendidikan, peruncitan, F B dan produk pengguna; serta telah menarik ramai pelabur baharu terutamanya pelabur muda berusia 35 tahun ke bawah,” menurut Datuk Syed Zaid Albar, Pengerusi SC.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan, di bawah Bajet 2020, telah memperuntukkan RM50 juta kepada Malaysia Co-Investment Fund (MyCIF) untuk membantu membiayai syarikat peringkat permulaan dan PKS dengan melabur bersama dalam jumlah yang berasaskan satu kepada empat dalam kempen niaga yang disenaraikan di platform ECF dan P2P. Sebanyak RM10 juta lagi telah diperuntukkan kepada MyCIF di bawah Bajet 2020 khusus untuk perusahaan sosial untuk mengumpul dana menerusi platform pembiayaan P2P.

“Kami menjangkakan suntikan dana ini akan meningkatkan lagi pertumbuhan industri ECF dan pembiayaan P2P, yang seterusnya akan memangkin pertumbuhan PMKS di Malaysia dengan menyediakan akses kepada sumber pembiayaan alternatif,” tambah Datuk Syed Zaid.

SCxSC 2019 tahun ini menarik lebih 800 peserta yang meraih manfaat daripada barisan pakar fintech global seperti Eli Broverman, pengasas bersama Betterment, penasihat robo pertama di dunia, dan Jeffrey Cruttenden, pengasas bersama Acorns, platform yang terkemuka bagi pelaburan mikro. Topik-topik lain yang dibincangkan dalam acara dua hari itu, yang berakhir esok, termasuk keusahawanan Fintech, pengesahan identiti digital, aset digital, Fintech Islam, dan Kecerdasan Buatan dalam
keselamatan siber.

Persidangan Fintech SCxSC 2019 disokong oleh Rakuten Trade, MDEC dan
Permodalan Nasional Bhd. Untuk maklumat lanjut dan program Persidangan SCxSC Fintech, orang ramai boleh layari scxsc.my untuk mengikuti siaran langsung dan video sesi tertentu.

Mengenai Suruhanjaya Sekuriti Malaysia:
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), sebuah badan berkanun yang melapor kepada Menteri Kewangan, ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. Ia merupakan agensi kawal selia tunggal bagi pengawalseliaan dan pembangunan pasaran modal. SC mempunyai tanggungjawab langsung untuk menyelia dan memantau aktiviti institusi
pasaran, termasuk bursa dan rumah penjelasan, dan mengawal selia semua individu yang dilesenkan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. Maklumat lanjut mengenai SC boleh didapati di laman sesawangnya di www.sc.com.my. Ikuti SC di twitter di @SecComMy untuk perkembangan terkini.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Powerwell Catat Rekod Untung Bersih Tertinggi RM24.1 Juta, Sasar Lonjakan Melalui Sektor Pusat Data

KUALA LUMPUR: Pakar pengedaran kuasa tempatan, Powerwell Holdings Berhad (“Powerwell”) berjaya menamatkan tahun kewangan 2026 (“FY26”) dengan prestasi luar biasa selepas mencatatkan keuntungan bersih tertinggi dalam sejarah syarikat berjumlah RM24.1 juta.

Pencapaian memberangsangkan ini menyaksikan keuntungan bersih kumpulan melepasi ambang RM20 juta buat kali pertama , melonjak daripada RM18.7 juta yang direkodkan pada tahun kewangan sebelumnya.

Prestasi Kewangan Sumbangan Pasaran Luar Negara

Bagi keseluruhan FY26, perolehan Powerwell melonjak 15.6% tahun-ke-tahun (YoY) kepada RM159.0 million berbanding RM137.5 juta pada tahun lalu. Pertumbuhan mampan ini dipacu terutamanya oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada operasi kumpulan di Bangladesh dan Indonesia.

Bagaimanapun, bagi suku keempat berakhir 31 Mac 2026 (4QFY26), perolehan kumpulan mencatatkan penurunan kepada RM41.4 juta berbanding RM47.7 juta sebelum ini disebabkan oleh penghantaran produk yang lebih rendah.

Meskipun begitu, margin keuntungan kasar bagi suku tersebut melonjak kepada 39.8% (daripada 35.1% pada suku sama tahun lepas) hasil daripada pemuktamadan akaun untuk sebuah projek pusat data (data centre) serta projek loji hidro. Keadaan ini, ditambah pula dengan pembalikan kemerosotan nilai penghutang perdagangan dan perbelanjaan pentadbiran yang lebih rendah, telah melonjakkan untung bersih 4QFY26 sebanyak 6.9% YoY kepada RM7.7 juta.

Sebagai ganjaran kepada para pemegang saham, Powerwell mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 1.0 sen sesaham bagi suku di bawah tinjauan. Ini menjadikan jumlah keseluruhan dividen bagi FY26 sebanyak 1.5 sen sesaham, yang mewakili nisbah pembayaran sebanyak 36.1% (anggaran RM8.7 juta).

Projek Mega & Pasaran Borneo

Tahun kewangan 2026 turut melakar sejarah tersendiri apabila Powerwell berjaya mengukuhkan kedudukannya dalam ekosistem teknologi tinggi selepas meraih projek pusat data tunggal terbesar bernilai RM68.5 juta.

Bagi meluaskan lagi empayar perniagaannya, kumpulan sedang aktif mengembangkan ruang pembuatan di Malaysia dan Indonesia. Di samping itu, Powerwell telah memuktamadkan pengambilalihan 49% kepentingan dalam Tenaga Kenari pada 1 April 2026. Langkah strategik ini memberikan akses segera bagi kumpulan untuk menembusi pasaran Sarawak dan Sabah (Timur Malaysia), sekali gus membuka peluang rantaian pelanggan baharu dalam industri semikonduktor, utiliti, dan tenaga boleh diperbaharui.

Prospek Cerah

Sehingga akhir Mac 2026, nilai tempahan (order book) Powerwell kekal sihat pada paras RM150.8 juta, sekali gus memberikan pendapatan yang stabil untuk tempoh akan datang.

Melihat ke hadapan, pihak pengurusan Powerwell optimis terhadap prospek perniagaan syarikat yang disokong oleh saluran tender (tender pipeline) yang sangat aktif. Kumpulan sedia merebut peluang luas dalam segmen-segmen pesat membangun termasuk pusat data, tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor, dan infrastruktur.

Walau bagaimanapun, memandangkan keadaan pasaran global yang dinamik, Powerwell menegaskan akan terus mengamalkan pendekatan berhati-hati dengan memantau rapat ketidaktentuan pasaran, perkembangan geopolitik, dan keadaan makroekonomi yang boleh memberi kesan kepada landskap perniagaan.