SC Lantik Pengarah Eksekutif Baharu Bahagian Penguatkuasaan

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Manoj Kurup sebagai Pengarah Eksekutif, Penguatkuasaan, berkuat kuasa 8 April 2026.

Beliau menggantikan Budiman Lutfi Mohamed yang telah dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Malaya pada 1 April 2026.

Manoj memulakan kerjaya perundangan beliau pada tahun 1990 dan membawa pengalaman lebih tiga dekad merangkumi bidang kehakiman serta pendakwaan awam.

Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Bahagian Pendakwaan di Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum bersara pada tahun 2024. Sebelum itu, beliau memegang beberapa jawatan di AGC termasuk sebagai Ketua Bahagian Rayuan.

Beliau juga merupakan ahli pasukan pendakwaan Malaysia dalam siasatan bersama tragedi Malaysia Airlines MH17 serta pernah menjadi ahli lembaga Lembaga Lebuhraya Malaysia.

Manoj memiliki Ijazah Sarjana Undang-Undang (Pendakwaan) dari University of Wollongong, Australia, serta Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Polytechnic of Wales (kini dikenali sebagai University of Glamorgan).

Beliau juga merupakan Barrister-at-Law dari Gray’s Inn, London, dan memiliki Diploma dalam Mediasi dari Asian International Arbitration Centre.

Mengalu-alukan pelantikan tersebut, Pengerusi SC, Dato’ Mohammad Faiz Azmi berkata, “Manoj membawa kepakaran perundangan yang mendalam serta kepimpinan ke dalam SC. Pengalaman luas beliau akan terus mengukuhkan usaha penguatkuasaan kami dalam memastikan integriti pasaran serta melindungi pelabur.”

“Kami juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Budiman atas khidmat dan sumbangan beliau kepada SC sejak Julai 2022,” katanya.

Previous ArticleNext Article

SC Umum Majlis Penasihat Syariah Baharu

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengumumkan barisan Majlis Penasihat Syariah (MPS) baharunya untuk tempoh tiga tahun bermula 1 Julai 2026 hingga 30 Jun 2029.

Barisan baharu terdiri daripada ahli berikut:

  1. Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar – Senator, Dewan Negara (Lantikan Baharu)
  2. Profesor Dr Engku Rabiah Adawiah Engku Ali – Profesor Kehormat, Institut Perbankan dan Kewangan Islam UIAM (IIiBF), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Pelantikan Semula)
  3. Dato’ Dr Ashraf Md Hashim – Perunding Syariah (Kewangan Islam) (Pelantikan Semula)
  4. Sahibus Samahah Profesor Dato’ Dr Asmadi Mohamed Naim – Mufti Pahang (Pelantikan Semula)
  5. Sahibus Samahah Dato’ Setia Dr Haji Anhar Haji Opir – Mufti Selangor (Pelantikan Semula)
  6. Dr Marjan Muhammad – Timbalan Presiden Penyelidikan, Institut ISRA, Universiti INCEIF (Pelantikan Semula)
  7. Encik Burhanuddin Lukman – Bekas Penyelidik, Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa untuk Kewangan Islam (ISRA) (Pelantikan Semula)

Ditubuhkan pada 16 Mei 1996 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia 1993, MPS merupakan pihak berkuasa untuk menentukan aplikasi prinsip Syariah untuk perniagaan atau transaksi pasaran modal Islam (ICM).

Di samping itu, MPS menyokong pertumbuhan pasaran melalui resolusi dan panduan dasar, di samping mengekalkan integriti Syariah.

MPS terdiri daripada cendekiawan Syariah, ahli akademik dan pengamal pasaran terkemuka dengan kepakaran dan pengalaman yang luas dalam bidang Syariah, kewangan Islam, pasaran modal dan undang-undang.

Pengerusi SC, Dato’ Mohammad Faiz Azmi berkata MPS memainkan peranan penting dalam memastikan ICM Malaysia kekal responsif terhadap perkembangan pasaran yang sentiasa berubah, sambil menegakkan prinsip Syariah yang berlandaskan Maqasid alShariah. “Panduan yang diberikan oleh MPS terus menyokong inovasi, kemampanan dan pertumbuhan jangka panjang ekosistem ICM.”

“Komposisi baharu MPS, dengan kepakaran dan pengalaman kolektif ahlinya, berada pada kedudukan yang baik untuk menyediakan panduan yang mantap dan berpandangan jauh mengenai hal ehwal Syariah. Dengan kepimpinan Islam yang dipandu oleh Maqasid al-Syariah sebagai pembeza utama, MPS akan memacu pertumbuhan dan kepimpinan global ICM Malaysia,” katanya.

Bagi pihak SC, Dato’ Faiz merakamkan penghargaan kepada ahli-ahli MPS yang akan bersara atas sumbangan mereka yang tidak ternilai dan perkhidmatan berdedikasi kepada industri ICM. “Pandangan dan kepimpinan mereka telah menyumbang ke arah memajukan ICM Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.”

Untuk maklumat lanjut mengenai MPS, sila lawati https://www.sc.com.my/development/icm/shariah/members-of-the-shariah-advisorycouncil