Senarai Harapan Belanjawan 2021 Malaysia: Merangsang Semula Pasaran Hartanah Untuk Manfaat Rakyat

Bagi pihak iProperty.com.my, portal hartanah Nombor 1 Malaysia, kami ingin berkongsi pendapat menjelang pengumuman Belanjawan 2021 yang akan datang. Senarai harapan iProperty.com.my untuk Belanjawan 2021 yang bakal dibentangkan pada November 2020 adalah seperti berikut:

1. Untuk merangsangkan lagi sektor hartanah tempatan, kami berharap kerajaan dapat mempertimbangkan pengurangan cukai duti setem untuk pembeli rumah kali pertama selepas  Kempen Pemilikan Rumah (HOC) berakhir pada 31 Mei 2021. Pengurangan duti setem adalah penting untuk membantu golongan muda Malaysia membeli hartanah. Kami juga berharap Pengurangan cukai duti setem akan diperluaskan ke pasaran sekunder untuk menambah peluang buat para pembeli mempertimbangkan pembelian rumah.

2. Kami berharap kerajaan akan mengkaji semula dasar dan memperkenalkan langkah-langkah tambahan untuk menggalakkan pemilikan rumah di kalangan golongan muda. Sebagai contoh, pelepasan cukai untuk faedah pinjaman rumah yang ditanggung oleh pembeli rumah kali pertama perlu diperkenalkan semula untuk menggalakkan lagi pemilikan rumah di kalangan golongan muda. Lebih awal mereka membeli hartanah, lebih banyak masa untuk golongan muda mendapat manfaat kenaikan modal dari pelaburan hartanah mereka.

3. Pengecualian penuh daripada Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) yang diumumkan di bawah pakej Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) amat dialu-alukan. Pada masa ini, pengecualian ini dihadkan kepada pelupusan tiga unit rumah kediaman bagi setiap individu. Kami berharap belanjawan baharu ini akan memperbaiki inisiatif CKHT yang sedia ada dengan menghapuskan atau melonggarkan had unit pelupusan setiap individu untuk meningkatkan keyakinan di kalangan penjual hartanah. Ini akan membantu merangsang lebih banyak transaksi dan mendorong penjual untuk memanfaatkan penjimatan daripada pengecualian ini untuk para pembeli.

4. Satu lagi faktor yang boleh merangsang pasaran hartanah tempatan adalah pelaburan daripada pembeli asing. Kami berharap Belanjawan 2021 akan menghidupkan semula program Malaysia Rumah Keduaku (Malaysia My Second Home (MM2H)) bagi menggalakkan pelaburan asing di pasaran hartanah tempatan. Di samping itu, proses permohonan MM2H boleh diselaraskan untuk menjadi lebih mesra pelabur bagi menggalakkan lebih ramai pembeli asing. Walaupun program MM2H hanya merangkumi sebahagian kecil daripada jumlah pembeli rumah di Malaysia, ia penting untuk memacu permintaan dari pembeli asing. Program ini juga dapat mengurangkan harta tanah tidak terjual dan pembekalan unit tidak terjual dalam pasaran sekunder.

5. Satu lagi inisiatif yang kami harapkan ialah insentif penyewaan. Ketidaktentuan akibat wabak COVID-19 mungkin mendorong lebih ramai orang untuk menyewa daripada membeli rumah. Lebih ramai juga yang bekerja dari rumah dan memberi lebih keutamaan kepada persekitaran hidup yang selesa dan kondusif. Menyewa boleh menjimatkan kos penginapan dalam jangka pendek. Sebagai contoh, kerajaan boleh memperkenalkan insentif kepada penyewa kali pertama dan berpengalaman. Pemilik rumah yang sukar untuk menjual hartanah mereka pada masa ini boleh mempertimbangkan penyewaan jika insentif yang menarik diperkenalkan untuk memanfaatkan penyewa. Sebagai contoh, pada awal tahun ini kerajaan mengumumkan potongan cukai kepada pemilik hartanah yang memberikan diskaun kepada kadar sewa.

Oleh Wong Siew Lai, Pengurus Besar – Malaysia dan Pengurus Besar – Pemasaran & Komunikasi, iProperty.com Malaysia Sdn Bhd

Mengenai REA Group & iProperty.com.my

REA Group di Asia mengendalikan laman web, pemasaran dan acara harta tanah digital yang menawarkan set perkhidmatan hartanah dan pemasaran projek paling komprehensif di Asia Tenggara termasuk di Malaysia (iProperty.com.my), Thailand (thinkofliving.com dan Prakard) serta seluruh wilayah China termasuk Tanah Besar China (myfun.com) dan Hong Kong (squarefoot.com.hk dan SMARTExpo).

Berpangkalan di Australia, REA Group merupakan sebuah firma pengiklanan digital multinasional yang mengkhusus kepada hartanah. Disenaraikan di Bursa Saham Australia (ASX:REA), kami mengendalikan laman web hartanah kediaman, komersil dan saham terkemuka di Australia iaitu realestate.com.au, realcommercial.com.au dan flatmates.com.au. REA Group juga merupakan rakan kongsi utama 99 Group yang mengendalikan perniagaan 99.co dan iProperty.com.sg di Singapura serta rumah123.com di Indonesia. REA Group juga memiliki pegangan saham besar dalam Move, Inc menerusi realtor.com di Amerika Utara dan Elara Technologies menerusi proptiger.com, maakan.com dan housing.com di India.

iProperty.com.my berpangkalan di Kuala Lumpur, Malaysia dengan bilangan pekerjanya melebihi 200 orang. Dengan lebih 3 juta lawatan setiap bulan, iProperty.com.my merupakan portal hartanah pendahulu pasaran yang menawarkan carian dalam dua bahasa iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia. iProperty.com.my juga menawarkan aplikasi penyelesaian kepada konsumer seperti LoanCare, penunjuk kelayakan pinjaman perumahan; saluran News & Lifestyle dengan pelbagai kandungan berkaitan hartanah yang bermanfaat kepada pengguna; acara-acara yang menghubungkan pembeli hartanah dengan ejen dan pemaju; dan banyak lagi.

Untuk berita berkaitan REA Group dan iProperty.com.my, layari www.iproperty.com.my/newsroom dan ketahui permintaan dan tren hartanah kediaman, perkembangan teknologi dan produk serta banyak lagi.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

PTPTN salur RM285,500 Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI

TANJONG MALIM, 29 September 2026 — Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan Bantuan Lestari Siswa MADANI berjumlah RM285,500 kepada 571 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi meringankan beban kewangan mereka.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata setiap pelajar menerima bantuan RM500 secara sekali bayar (one-off) dan tidak perlu dibayar balik, dengan bayaran dikreditkan ke akaun pelajar mulai 2 Oktober ini.

Beliau berkata inisiatif itu merupakan antara usaha PTPTN membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan supaya dapat meneruskan pengajian tanpa terlalu dibebani masalah kewangan.

“PTPTN berbesar hati untuk menyampaikan Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI yang melibatkan jumlah keseluruhan RM285,500.

“Setiap pelajar akan menerima RM500, tak perlu bayar balik. Ini yang kita berikan secara percuma dan secara one-off,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI, semalam.

Ahmad Dasuki berkata PTPTN memperuntukkan RM120 juta bagi inisiatif berkenaan, dengan kira-kira 5,000 pelajar telah diluluskan setakat ini, namun hanya 1,500 pelajar menerima manfaat tersebut.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan pelajar yang memenuhi syarat, khususnya mereka yang merupakan anak penerima eKasih dan belum memohon pinjaman PTPTN, supaya mendapatkan maklumat lanjut dan memanfaatkan peluang berkenaan.

Beliau berkata PTPTN bukan sahaja berperanan menyediakan pinjaman pendidikan, malah turut memberi penekanan terhadap budaya menabung menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Beliau berharap Bantuan Lestari Siswa MADANI dapat menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik selain meningkatkan taraf hidup keluarga dan memberi sumbangan kepada masyarakat.

“PTPTN tetap komited untuk memastikan agenda pendidikan negara terus dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif yang sedang kita usahakan sekarang, selari dengan moto PTPTN, ‘Peluang Kejayaan Anda’,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata bantuan berkenaan amat bermakna kepada universiti memandangkan hampir 11,000 daripada kira-kira 30,578 pelajar UPSI merupakan golongan B40.

Beliau berkata perkara itu menggambarkan besarnya amanah dan tanggungjawab UPSI dalam memastikan kebajikan pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka sentiasa terpelihara.

“Agenda kebajikan mahasiswa bukan agenda sampingan. Ia merupakan satu agenda penting yang kita bawa untuk memastikan perjalanan pendidikan adik-adik menimba ilmu di Bumi Mualim ini sepanjang tiga, empat tahun terjaga,” katanya.

Hadir sama Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Perak, Andi Nurali Mohamed; Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed.

Gambar 1: Ahmad Dasuki (tiga dari kanan, atas) bergambar bersama para pelajar UPSI yang merupakan penerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 2: Ahmad Dasuki bergambar bersama para pelajar UPSI yang menerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 3: Ahmad Dasuki (empat dari kanan) ketika menyerahkan cek cura Bantuan Lestari Siswa Madani yang bernilai RM285,500 kepada Norkhalid (tiga dari kiri) pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT UPSI