SC Mohon Bantuan Awam Untuk Mengesan Uzir Abdul Samad

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memohon maklumat daripada orang ramai untuk mengesan Uzir Abdul Samad (Uzir), juga dikenali sebagai Haji Uzir, yang merupakan suspek dalam siasatan SC berhubung aktiviti nasihat pelaburan tanpa lesen.

Uzir, 49, kini masih bebas dan telah disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki oleh SC berhubung kesalahan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA). Kali terakhir beliau bekerja sebagai Penasihat Richlist Club Boutique bagi Richlist Club Malaysia (PPM-019-14-14042017).

SC telah mengambil beberapa langkah, termasuk, meletakkan iklan dan bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan untuk mengesan Uzir. Pada 2016, SC memperoleh waran tangkap terhadap Uzir atas kesalahan di bawah seksyen 58 dan 362(3) CMSA, kerana menjalankan aktiviti yang dikawal selia tanpa lesen, dan menipu pelabur dengan menyamar sebagai ahli Persatuan Perancangan Kewangan Malaysia (FPAM) dan pemegang Lesen Wakil Perkhidmatan Pasaran Modal (CMSRL). Sekiranya sabit kesalahan, Uzir boleh didenda tidak melebihi RM10 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun, atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai di mana dia berada atau aktiviti Uzir diminta melaporkan kepada SC dengan menghubungi talian 012-3812497 atau e-mel kepada [email protected].

Butiran lebih lanjut mengenai Uzir adalah seperti berikut:

  • Nama: Uzir bin Abdul Samad (IC: 720824-01-5543)
  • Alamat pekerjaan dahulu:  UAS Bistari Management Sdn Bhd, No. 11A, Jalan Kebudayaan 1A, Taman Universiti, 81300 Skudai Johor.
  • Alamat kediaman terakhir:
    – Alamat 1: No. 14, Jalan SS 17 / 2A, 47500 Subang Jaya, Selangor
    – Alamat 2: No. 62, Jalan SS 17 / 2G, 47500 Subang Jaya, Selangor

Menyediakan khidmat nasihat pelaburan merupakan aktiviti yang dikawal selia di bawah CMSA. Orang ramai diingatkan agar berwaspada dan membuat pengesahan lesen atau pendaftaran mana-mana individu, syarikat dan platform yang menawarkan perkhidmatan atau produk pasaran modal, sebelum membuat apa-apa keputusan pelaburan. Ini termasuk pemberian nasihat pelaburan. Semakan boleh dibuat melalui laman web SC iaitu di Daftar Awam Pemegang Lesen (Public Register of Licence Holders) www.sc.com.my/licensed-registered-persons dan Senarai Berdaftar Recognized Market Operators, www.sc.com.my/rmo.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web SC di pautan, www.sc.com.my/regulation/enforcement/have-you-seen-these-people

Mengenai Suruhanjaya Sekuriti Malaysia:

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), sebuah badan berkanun yang melapor kepada Menteri Kewangan, ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. Ia merupakan agensi kawal selia tunggal bagi pengawalseliaan dan pembangunan pasaran modal. SC mempunyai tanggungjawab langsung untuk menyelia dan memantau aktiviti institusi pasaran, termasuk bursa dan rumah penjelasan, dan mengawal selia semua individu yang dilesenkan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. Maklumat lanjut mengenai SC boleh didapati di laman sesawangnya di www.sc.com.my. Ikuti SC di twitter di @SecComMy untuk perkembangan terkini.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

PTPTN salur RM285,500 Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI

TANJONG MALIM, 29 September 2026 — Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan Bantuan Lestari Siswa MADANI berjumlah RM285,500 kepada 571 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi meringankan beban kewangan mereka.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata setiap pelajar menerima bantuan RM500 secara sekali bayar (one-off) dan tidak perlu dibayar balik, dengan bayaran dikreditkan ke akaun pelajar mulai 2 Oktober ini.

Beliau berkata inisiatif itu merupakan antara usaha PTPTN membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan supaya dapat meneruskan pengajian tanpa terlalu dibebani masalah kewangan.

“PTPTN berbesar hati untuk menyampaikan Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI yang melibatkan jumlah keseluruhan RM285,500.

“Setiap pelajar akan menerima RM500, tak perlu bayar balik. Ini yang kita berikan secara percuma dan secara one-off,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI, semalam.

Ahmad Dasuki berkata PTPTN memperuntukkan RM120 juta bagi inisiatif berkenaan, dengan kira-kira 5,000 pelajar telah diluluskan setakat ini, namun hanya 1,500 pelajar menerima manfaat tersebut.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan pelajar yang memenuhi syarat, khususnya mereka yang merupakan anak penerima eKasih dan belum memohon pinjaman PTPTN, supaya mendapatkan maklumat lanjut dan memanfaatkan peluang berkenaan.

Beliau berkata PTPTN bukan sahaja berperanan menyediakan pinjaman pendidikan, malah turut memberi penekanan terhadap budaya menabung menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Beliau berharap Bantuan Lestari Siswa MADANI dapat menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik selain meningkatkan taraf hidup keluarga dan memberi sumbangan kepada masyarakat.

“PTPTN tetap komited untuk memastikan agenda pendidikan negara terus dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif yang sedang kita usahakan sekarang, selari dengan moto PTPTN, ‘Peluang Kejayaan Anda’,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata bantuan berkenaan amat bermakna kepada universiti memandangkan hampir 11,000 daripada kira-kira 30,578 pelajar UPSI merupakan golongan B40.

Beliau berkata perkara itu menggambarkan besarnya amanah dan tanggungjawab UPSI dalam memastikan kebajikan pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka sentiasa terpelihara.

“Agenda kebajikan mahasiswa bukan agenda sampingan. Ia merupakan satu agenda penting yang kita bawa untuk memastikan perjalanan pendidikan adik-adik menimba ilmu di Bumi Mualim ini sepanjang tiga, empat tahun terjaga,” katanya.

Hadir sama Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Perak, Andi Nurali Mohamed; Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed.

Gambar 1: Ahmad Dasuki (tiga dari kanan, atas) bergambar bersama para pelajar UPSI yang merupakan penerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 2: Ahmad Dasuki bergambar bersama para pelajar UPSI yang menerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 3: Ahmad Dasuki (empat dari kanan) ketika menyerahkan cek cura Bantuan Lestari Siswa Madani yang bernilai RM285,500 kepada Norkhalid (tiga dari kiri) pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT UPSI