Shopee Umumkan Pakej Bantuan Peniaga RM15 Juta untuk 70,000 PKS Malaysia

Kira-kira 70,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini dijangka menerima manfaat daripada Pakej Bantuan Peniaga Shopee bernilai RM15 juta. Platform e-dagang tersebut hari ini mengumumkan pakej bantuannya untuk membantu PKS dan perniagaan yang terjejas dengan ketara oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pakej ini membantu menangani masalah yang dihadapi oleh perniagaan berikutan pendekatan antara Shopee dan persatuan runcit, dewan perniagaan serta pemilik perniagaan. Dua cabaran yang telah dikenal pasti adalah:

  • PKS sedang mencari saluran jualan baharu seperti e-dagang, tetapi tidak biasa dengan cara melakukannya. PKS ini mahukan rakan kongsi yang dapat memberi mereka panduan langkah demi langkah yang jelas, untuk memastikan mereka berjaya dalam perjalanan penjualan atas talian mereka.
  • Sejumlah besar peniaga atas talian sedia ada sedang berdepan dengan peningkatan kos dan penurunan hasil yang signifikan akibat jumlah jualan yang rendah.

Pakej Bantuan Peniaga Shopee ini akan membantu PKS dan perniagaan tempatan dalam pelbagai sektor termasuk peruncitan, hasil segar, makanan & minuman dan banyak lagi dengan memacu pendigitalan perniagaan tradisional dan membawa perniagaan tersebut atas talian. Pakej ini juga bertujuan menyokong semua peniaganya dengan mewujudkan peluang jualan dan pertumbuhan, mengurangkan kos operasi dan memudahkan pembangunan mampan melalui pembiayaan, subsidi dan pendidikan.

Pakej Bantuan Peniaga Shopee ini dibuka untuk permohonan bermula hari ini 13 April 2020, hingga 31 Mei 2020. Ia akan menampilkan manfaat berikut untuk peniaga tempatan:

1. Subsidi Yuran Peniaga

  • Shopee akan memberi diskaun hingga 45% untuk yuran bagi peniaga dalam program RM19 Penghantaran Percuma dan Coins Cashback kami;
  • Ini akan membantu mengurangkan perbelanjaan operasi dan meningkatkan pulangan kepada pemilik perniagaan.

2. Sokongan Jualan Peniaga

  • Bagi membantu peniaga memacu jualan dalam tempoh Ramadan dan Hari Raya, Shopee memperuntukkan RM6 juta dalam bentuk baucar dan kredit pengiklanan berbayar percuma;
  • Semua peniaga berpeluang mendapat manfaat daripada baucar kempen khas setiap minggu yang bernilai RM100,000;
  • Semua peniaga juga akan menerima hingga RM400 setiap seorang dalam kredit pengiklanan berbayar percuma bagi meningkatkan pendedahan untuk produk dan kedai mereka.

3. Pakej Digitalisasi

  • Shopee juga berikrar untuk memberi sokongan tambahan khas untuk peniaga baharu untuk memulakan perjalanan penjualan atas talian mereka;
  • Semua peniaga baharu akan menerima baucar Shopee bernilai RM400, RM200 dalam kredit pengiklanan berbayar percuma dan penyertaan percuma dalam program RM19 Penghantaran Percuma selama 2 minggu;
  • Langkah-langkah ini adalah penting bagi memulakan perjalanan bagi peniaga baharu untuk bukan sahaja memudahkan peralihan mereka atas talian tetapi juga demi menghasilkan jumlah pesanan yang tinggi.

4. Semua Manfaat Peniaga Sedia Ada

  • Setiap peniaga Shopee akan terus menikmati semua manfaat Shopee termasuk kadar yuran sifar bagi pendaftaran, komisen 0% untuk peniaga di pasaran dan yuran penyenaraian 0%;
  • Shopee juga akan terus menanggung kos penghantaran dengan program penghantaran percuma yang diberi subsidi di seluruh platform.

5. Pendidikan

  • Shopee juga akan mempertingkatkan kursus percuma Shopee University dalam tempoh ini dengan menambah bilangan kelas dan keluasan topik;
  • Dijalankan atas talian dan dalam Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Bahasa Cina, kelas istimewa ini disediakan untuk peniaga baharu bagi membimbing mereka dalam pelbagai perkara daripada pembukaan kedai kepada penjualan, pemasaran dan operasi;
  • Selama ini, Shopee University telah berjaya melahirkan lebih daripada 10,000 usahawan dan perniagaan di seluruh negara dari peringkat awal, malah dari pekan luar bandar juga, untuk menjadi salah satu peniaga atas talian terbesar di negara ini.

“Semua usaha kami, sama ada yang baru mahupun yang lama, memaparkan komitmen kami sejak hari pertama dalam memajukan usahawan tempatan dan ekonomi digital Malaysia. Pakej Bantuan Peniaga Shopee bertujuan mewujudkan impak jangka panjang yang positif, walaupun selepas PKP. Kami memahami bahawa negara ini sedang melalui masa yang sukar sekarang dan kami berharap usaha ini dapat membantu PKS tempatan mengatasi kerugian dalam hasil luar talian, memperbaiki aliran tunai dan yang paling penting, mengekalkan perniagaan mereka. Utama sekali, harapan seikhlas hati kami adalah agar Pakej ini dapat memberi rakyat Malaysia jaminan bahawa kita mengharungi perkara ini bersama-sama, terutama mereka yang tidak lama lagi akan meraikan Hari Raya,” kata Ian Ho, Pengarah Urusan Serantau Shopee.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Pakej Bantuan Peniaga Shopee, layari  http://shopee.com.my/supportpackage

Mengenai Shopee

Shopee ialah platform e-dagang terkemuka di Asia Tenggara dan Taiwan. Shopee dilancarkan di 7 pasaran pada tahun 2015 untuk menghubungkan pengguna, penjual, dan perniagaan di rantau ini.

Shopee menawarkan pengalaman yang mudah, selamat, dan menarik yang dinikmati oleh berjuta-juta pengguna setiap hari. Ia menawarkan pilihan produk yang luas, disokong oleh pembayaran dan logistik bersepadu, serta ciri-ciri hiburan popular yang disesuaikan untuk setiap pasaran. Shopee juga merupakan penyumbang utama kepada ekonomi digital di rantau ini dengan komitmen teguh untuk membantu jenama dan usahawan berjaya dalam e-dagang.

Shopee adalah sebahagian daripada Sea Limited (NYSE:SE), sebuah syarikat internet pengguna global terkemuka. Selain daripada Shopee, perniagaan teras Sea termasuk bahagian hiburan digital, Garena, dan bahagian perkhidmatan kewangan digital, SeaMoney. Misi Sea adalah untuk menaiktaraf kualiti kehidupan pengguna dan perniagaan kecil menerusi penggunaan teknologi.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.