Terus Pacu Kejayaan: myTukar dan Genie Malaysia Mencapai Gabungan Pertumbuhan Pendapatan Tahun Ke Tahun Sebanyak 85%

  • Gabungan pertumbuhan pendapatan tahun ke tahun sebanyak 85 peratus dan pertumbuhan runcit melebihi 215 peratus pada suku sebelumnya
  • Menyasarkan gabungan EBITDA yang positif dalam tempoh enam bulan
  • Genie Malaysia catat keuntungan menerusi RM315 juta rekod pinjaman terkumpul  tanpa sebarang pinjaman tidak berbayar (NPL)
  • myTukar dan Genie Malaysia menyokong pertumbuhan ekonomi dan pekerjaan Malaysia dengan 1,300 peluang pekerjaan semasa pandemik

Kuala Lumpur, 16 November 2022 – Ekosistem digital kereta terpakai Malaysia yang paling pesat membangun, myTukar dan Genie Malaysia, telah mencatatkan pertumbuhan mampan yang sangat kukuh.

Meraikan ulang tahun kelimanya pada tahun ini, myTukar memula langkah yang sederhana dari sebuah pejabat kecil di Glenmarie pada 2018. Kini, ia berjaya menjadi penjual kereta terpakai dalam talian yang terkemuka dibawah sistem operasi yang kukuh buat semua 33 cawangannya di seluruh negara, dilengkapi dengan 2 pusat membaik pulih kereta dan 5 bengkel dengan keupayaan servis selepas jualan yang terkini – sebuah pencapaian unik dalam industri kereta terpakai. Pengembangan myTukar yang konsisten di seluruh negara adalah sebahagian daripada matlamat syarikat untuk menyediakan pengalaman digital yang boleh dipercayai, tanpa kerumitan, dan terbaik dalam membeli dan menjual, membiayai, insurans dan servis kereta terpakai. myTukar baru sahaja memulakan jualan runcit pada tahun lalu dan kini telah menjual hampir 6,000 kereta kepada pelanggan. Bersama dengan perniagaan pukalnya, lebih 100,000 kereta bernilai lebih RM3 bilion berjaya dijual melalui 2,600 rangkaian pengedar.

Pengerusi dan pengasas myTukar, Fong Hon Sum berkata, “Sepanjang berkecimpung dalam industri jualan kereta selama 20 tahun, saya telah melalui pelbagai rintangan. Semasa memulakan perniagaan ini, saya mempunyai impian yang cukup ringkas iaitu untuk mengubah dan merevolusikan industri kereta terpakai di Malaysia. Maka, tercetuslah nama “myTukar”, sebuah platform yang mengutamakan ketelusan, kelancaran dan kemudahan dalam industri yang kurang nilai kepercayaan, serta memanfaatkan teknologi dalam mendigitalkan sebuah industri yang lama, tiada ketelusan dan kualiti kawal selia yang rendah. Saya sangat berbangga dengan perubahan yang dilakukan oleh myTukarians dan perubahan mendatang yang akan terus dilaksanakan setiap hari dalam mengubah industri ini.”

Selain itu, myTukar dan syarikat seangkatan Genie Financial Services Malaysia juga bermatlamat menjadi penyumbang utama ekonomi dengan mewujudkan peluang pekerjaan di Malaysia. Semasa pandemik, kedudukan kewangan myTukar dan Genie Malaysia yang kukuh bukan sahaja membolehkan pengekalan jumlah pekerja mereka, malah berkembang secara menyeluruh daripada 175 ke 1300 pekerja tempatan, memberikan jaminan pekerjaan kepada rakyat Malaysia dalam industri yang terjejas teruk.

Ketua Pegawai Eksekutif myTukar, Derrick Eng berkata, “Saya memulakan perniagaan myTukar bersama Fong dengan komitmen untuk menyediakan akses yang lancar buat semua rakyat Malaysia, dan saya bangga melihat kita berjaya melangkah jauh serta menukarkan banyak krisis kepada kekuatan. Daripada tenaga kerja seramai 175 orang sebelum COVID-19 kepada kira-kira 1,300 pekerja pada hari ini, kami telah menggaji, melatih dan meningkatkan kepakaran pekerja secara strategik sepanjang pandemik. Kejayaan yang berjaya dikecapi ini merupakan hasil daripada usaha luar biasa, penuh semangat dan ketenangan oleh keluarga myTukar. Lebih penting lagi, kami komited dalam meletakkan asas sebuah syarikat teknologi Malaysia yang mampan, dibangunkan dan diterajui dengan penuh bangga oleh rakyat Malaysia untuk komuniti kereta terpakai tempatan yang kurang mendapat perhatian.”

Genie Malaysia juga berada di landasan yang tepat dalam menjadi penyedia teknologi kewangan untuk kereta terpakai yang paling pesat berkembang di negara ini, justeru itu mereka meraikan ulang tahun pertama operasinya pada tahun ini dengan rekod pinjaman terkumpul bernilai RM315 juta dan tanpa sebarang pinjaman tidak berbayar (NPL), serta pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang positif. Struktur kos yang berhemat membolehkan syarikat meraih keuntungan sejak dari hari pertama. Sehingga kini, Genie Malaysia telah memproses lebih 3,000 permohonan, hasil daripada tawaran pemarkahan kredit yang dilancarkan dengan teknologi AI dan pinjaman digital yang lancar kepada pengedar serta pengguna kereta terpakai. 

Ketua Pegawai Eksekutif Genie Malaysia, Simon Chan berkata, “Selepas 25 tahun dalam industri pembiayaan kenderaan, misi peribadi saya adalah untuk memacu rangkuman dan pemerkasaan kewangan. Membangunkan Genie Malaysia merupakan peluang untuk menangani segmen pembiayaan kereta terpakai yang besar tetapi kurang diberi perhatian di Malaysia. Kami berjaya memanfaatkan penggunaan teknologi, data dan teknologi AI  dalam menawarkan perkhidmatan kewangan yang efektif kepada peniaga dan pengguna yang tidak mempunyai perbankan. Kami menjadikan pemberian pinjaman lebih kelayakan kredit dan lebih mudah untuk mereka yang benar-benar perlu memiliki kereta. Genie Malaysia disokong oleh kemudahan pembiayaan daripada sekurang-kurangnya sebuah bank domestik terkemuka, sekaligus memberi keyakinan tinggi terhadap model perniagaan kami, dan kami terbuka untuk menjalin kerjasama dalam membantu pihak bank memberi perkhidmatan yang lebih baik dan selamat buat komuniti yang kurang kelayakan.”

myTukar dan Genie Malaysia telah berkembang menjadi antara penyumbang yang signifikan kepada masyarakat Malaysia serta ekonomi, disokong oleh barisan rakan kongsi dan pelabur tempatan yang stabil. Antaranya Sime Darby, DRB-Hicom dan kira-kira 100 rakan kongsi pemegang saham peniaga tempatan. Hasil usahasama ini berjaya mengukuhkan kedudukan myTukar dan Genie Malaysia bukan sahaja sebagai peneraju dalam ekosistem kereta terpakai di Malaysia, malah terussebagai jenama Malaysia yang membanggakan.

Bulan Oktober juga merupakan ulang tahun ketiga pelaburan Carro ke dalam myTukar dan di Malaysia. Mengulas mengenai perkara ini, Ketua Pegawai Kewangan Carro, Ernest Chew berkata, “Sebagai rakyat Malaysia, saya merasakan perasaan yang luar biasa apabila menyaksikan anak tempatan membina ekosistem digital kereta terpakai yang mampan di negara ini. Selain membantu orang ramai membeli dan menjual kereta, kami turut berhasrat menjadi ekosistem digital untuk perkhidmatan yang meningkatkan kebolehbiayaan dan menyokong keseluruhan proses pemilikan kereta. Saya amat berbesar hati dengan kejayaan membina perniagaan dengan pertumbuhan tinggi menerusi cara yang menjimatkan dengan mengelakkan kos pemasaran yang tinggi serta subsidi. Penting untuk kita mempunyai pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang positif memandangkan Carro telah mencatatkan EBITDA positif sebagai satu kumpulan dan EBITDA pulang modal di tiga negara ASEAN lain pada suku sebelumnya.”

Ernest juga menambah, “Kami berterima kasih kepada pelabur dan rakan kongsi di Malaysia yang mana pelaburan mereka telah menyokong perniagaan kami di negara ini, dan besar harapan kami untuk terus menyumbang kepada ekonomi serta masyarakat tempatan yang lebih luas.”

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai revolusi yang dilakukan oleh myTukar dalam landskap kereta terpakai di Malaysia, layari https://mytukar.com/. Pelanggan yang berminat untuk mendapatkan maklumat mengenai peluang pembiayaan kereta terpakai bersama Genie Malaysia, layari https://www.geniefinancing.com/.

Previous ArticleNext Article

Pengurusan Kesihatan Mental Untuk Usahawanita Moden

usahawanita moden
  • Rutin pengurusan kesihatan mental untuk usahawanita moden
  • Usahawan wanita yang mengurus perniagaan sambil memikul tanggungjawab peribadi
  • Kehidupan moden yang pantas dan kompetitif menyebabkan wanita mudah kemurungan
  • Kesihatan mental yang baik membantu wanita urus tekanan & kekalkan produktiviti kerja

Wanita hari ini bukan lagi sekadar berada di belakang tabir dalam dunia perniagaan. Mereka menjadi pengasas syarikat, pelabur, profesional, pemilik SME dan peneraju pelbagai industri.

Namun, kejayaan tersebut datang bersama tekanan yang mungkin tidak kelihatan.

Bagi sesetengah wanita, selepas tamat waktu pejabat, tanggungjawab belum selesai. Masih ada anak yang perlu diurus, pasangan, keluarga, rumah dan pelbagai keputusan yang perlu dibuat.

Sebab itu kesihatan mental wanita tidak boleh dilihat sebagai isu sampingan.

Baca : Wanita Malaysia Jana Lebih RM176 Juta Pada 2022 Sebagai Hos – Airbnb

Data Kementerian Kesihatan Malaysia melalui NHMS 2023 menunjukkan kira-kira satu daripada lapan rakyat Malaysia berusia 15 tahun ke atas mengalami kemurungan, dan prevalens kemurungan meningkat dua kali ganda berbanding 2019.

Lebih menarik untuk konteks usahawan, satu kajian terhadap rakyat Malaysia mendapati pemilik perniagaan menunjukkan simptom kemurungan yang lebih tinggi, manakala tekanan menjadi antara faktor penting yang berkait dengan simptom tersebut.

“Kajian terhadap 728 orang dewasa di Malaysia mendapati pemilik perniagaan menunjukkan tahap simptom kemurungan lebih tinggi, dengan tekanan & status sebagai pemilik perniagaan menjadi antara peramal signifikan simptom kemurungan.”National Library of Medicine

Baca : Pelaburan Bantu Wanita Boleh Wujud Kesan Beriak Bawa Pelbagai Manfaat

Ini bukan bermaksud menjadi usahawan menyebabkan kemurungan. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa tekanan keusahawanan dan kesihatan mental wajar diberi perhatian.

Jadi, apakah rutin yang boleh membantu usahawanita moden menjaga kesihatan mental mereka?

1. Rutin Bersenam

Senaman bukan hanya untuk menurunkan berat badan.

Bagi usahawanita yang menghabiskan sebahagian besar hari di hadapan komputer, dalam mesyuarat atau mengurus operasi perniagaan, aktiviti fizikal boleh menjadi ruang untuk keluar seketika daripada tekanan kerja.

rutin bersenam wanita

Tidak semestinya perlu melakukan senaman berat.

Berjalan kaki, berenang, berlari, berbasikal atau melakukan latihan kekuatan secara konsisten sudah boleh menjadi sebahagian daripada rutin.

Yang penting ialah konsistensi, bukan intensiti semata-mata.

Bahkan, menjadikan senaman sebagai rutin mingguan boleh memberikan satu bentuk struktur kepada kehidupan yang mungkin dipenuhi jadual kerja yang tidak menentu.

2. Rutin Penjagaan Diri

Ada satu perkara yang sering berlaku kepada wanita yang terlalu sibuk.

Mereka menjaga semua orang kecuali diri sendiri.

rutin penjagaan diri wanita

Bagi sebahagian wanita, rawatan kecantikan bukan sekadar mahu kelihatan lebih muda atau cantik. Ia juga boleh menjadi masa untuk berhenti seketika daripada rutin kerja.

Namun, penting untuk membezakan self-care daripada tekanan untuk sentiasa kelihatan sempurna.

Penjagaan diri sepatutnya membantu seseorang berasa lebih baik tentang dirinya, bukan menambahkan tekanan untuk memenuhi standard kecantikan tertentu.

3. Rutin Tidur Awal

Usahawan mungkin terkenal dengan bekerja sehingga lewat malam.

Laptop dibuka selepas anak tidur. Telefon masih berbunyi dengan WhatsApp pelanggan. E-mel masih masuk. Idea perniagaan pula datang ketika semua orang sudah tidur.

rutin tidur awal

Masalahnya, otak juga memerlukan masa untuk berehat.

Rutin tidur yang konsisten boleh menjadi salah satu bentuk pengurusan diri yang paling mudah tetapi sering diabaikan.

Sebelum tidur, usahakan untuk mengurangkan penggunaan skrin dan cahaya terang, khususnya apabila ia menyebabkan kita terus terangsang dengan kerja, media sosial atau notifikasi.

Kadangkala masalahnya bukan kita tidak mempunyai masa untuk tidur.

Kita tidak pernah benar-benar berhenti bekerja.

4. Rutin Travel dan Melihat Dunia

Travel juga boleh menjadi satu bentuk “reset” daripada rutin.

Bagi usahawanita yang sentiasa membuat keputusan untuk syarikat, pekerja dan keluarga, perjalanan seorang diri boleh memberikan ruang untuk membuat keputusan berdasarkan diri sendiri.

Tidak perlu sentiasa memilih destinasi popular.

rutin melancong wanita

Asia Tengah, misalnya, menawarkan pengalaman yang berbeza, Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan dan negara-negara lain mempunyai sejarah, budaya dan landskap yang jauh berbeza daripada destinasi pelancongan biasa.

Solo travel juga tidak semestinya bermaksud melarikan diri daripada kehidupan.

Kadangkala ia sekadar memberikan seseorang ruang untuk melihat kehidupan dari perspektif yang berbeza.

Namun, perjalanan perlu dirancang mengikut kemampuan kewangan, keselamatan dan keadaan diri. Travel yang menambahkan hutang atau tekanan bukanlah self-care.

5. Rutin Beribadah & Kebajikan

Bagi wanita Muslim, pengurusan kehidupan tidak semestinya berhenti pada aspek fizikal dan psikologi.

Ia juga mempunyai dimensi spiritual.

rutin beribadah wanita

Solat, membaca al-Quran, menghadiri kelas ilmu, melakukan amal jariah, menunaikan umrah atau haji boleh menjadi sebahagian daripada rutin kehidupan yang memberikan ruang untuk seseorang kembali mengingati tujuan hidup yang lebih besar daripada pekerjaan.

Ini juga memberikan perspektif kepada dunia keusahawanan.

Syarikat boleh berkembang. Duit boleh bertambah. Jawatan boleh berubah. Tetapi kehidupan tetap mempunyai dimensi yang lebih luas daripada keuntungan.

Baca : Perangai Wanita Malaysia Selepas Dapat Gaji

Bagi sesetengah usahawanita, amal jariah juga menjadi cara untuk menukar sebahagian daripada kejayaan material kepada sesuatu yang memberi manfaat kepada orang lain.

Alhasil

Menjadi usahawanita moden bukan sekadar tentang membina syarikat dan mencapai keuntungan.

Ia juga tentang kemampuan untuk terus berfungsi sebagai seorang individu, sebagai wanita, ibu, isteri, anak, pemimpin dan manusia yang mempunyai keperluan emosi serta fizikal sendiri.

Sebab itu rutin kecantikan, senaman, tidur, travel dan ibadah tidak sepatutnya dilihat sebagai aktiviti yang membuang masa daripada pekerjaan.

Sebaliknya, ia boleh menjadi sebahagian daripada cara seseorang membina kehidupan yang lebih seimbang.

Pada akhirnya, perniagaan yang berjaya memerlukan seorang pemimpin yang mampu bertahan dalam jangka panjang.

Baca : Kisah Emas Dan Wanita Kelantan

Usahawanita tidak perlu memilih antara kejayaan dan kesejahteraan diri. Yang lebih penting ialah belajar mengurus kedua-duanya.