Pasca PRU-15: Tugas Berat Menanti Untuk Kekalkan Momentum Ekonomi

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) — Pentadbiran baharu Malaysia berdepan tugas berat untuk mengukuhkan pemulihan, mengekalkan momentum ekonomi dan persekitaran politik yang stabil di tengah-tengah keadaan luaran yang tidak menentu termasuk potensi kemelesetan global pada 2023 seperti yang diramalkan oleh pemerhati pasaran.

Rakan pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata Malaysia berada dalam situasi sukar dan perlu membuat keputusan yang betul dan seperti kebanyakan negara Asia lain, penggubal dasar menunggu pembukaan semula sepenuhnya China yang bakal memberi dorongan besar kepada ekonomi negara.  

Meskipun ketidaktentuan ekonomi global dan China, ekonomi Malaysia meraih manfaat daripada harga komoditi yang tinggi. 

“Jadi, kerajaan perlu memberi penekanan bahawa ekonomi Malaysia berada di kedudukan yang baik sebagai pengeksport komoditi, dan kesabaran diperlukan sehingga ekonomi China dibuka semula bagi perniagaan. 

“Akan ada aktiviti rancak di tanah besar yang akan memberi rangsangan kepada ekonomi Malaysia,” kata Innes kepada Bernama.

Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 14.2 peratus pada suku ketiga tahun ini. Pertumbuhan itu sebahagiannya didorong oleh kesan asas rendah berikutan langkah-langkah pembendungan ketat pada suku ketiga tahun lepas. 

Menurut Bank Negara Malaysia, susulan pertumbuhan kukuh dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, pertumbuhan tahun penuh 2022 dijangka melepasi paras tujuh peratus yang diunjurkan sebelum ini.

Bagaimanapun, melangkah ke 2023, pertumbuhan itu dijangka kembali normal berikutan persekitaran luaran yang lebih mencabar.  

Pada Oktober tahun ini, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang 4.4 peratus pada 2023, lebih rendah berbanding unjuran awalnya pada 4.7 peratus pada Julai susulan jangkaan pertumbuhan ekonomi rendah sebanyak 2.7 peratus dengan kemungkinan pertumbuhan ekonomi dunia jatuh di bawah paras 2.0 peratus. 

Ringgit, kadar faedah

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Firdaos Rosli berkata asas ekonomi Malaysia kekal kukuh dan pergerakan pertukaran asing ketika ini dipengaruhi terutamanya oleh pendirian dasar monetari  yang berbeza. 

“Walaupun dolar AS/ringgit terus melepasi paras baharu, kadar pertukaran efektif sebenar ringgit semakin bertambah baik sejak Mei 2022. Unit tempatan mencatatkan prestasi yang lebih baik berbanding mata wang utama lain seperti Won Korea, Euro dan Yen Jepun,” katanya.  

Beliau berkata Malaysia memiliki sumber semula jadi dan peningkatan harga komoditi memberikan negara penampan yang diperlukan bagi menampung tekanan penawaran menerusi intervensi fiskal dan kadar inflasi negara mungkin memuncak pada suku ketiga 2022 dan ini akan mengurangkan tekanan kepada kerajaan untuk mengambil langkah agresif.

“Lagipun, kadar faedah sebenar Malaysia jauh lebih tinggi berbanding ekonomi maju, jadi kita perlu melihat isu ini secara keseluruhan dan bukan hanya daripada satu perspektif sahaja,” katanya yang percaya kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) bertujuan untuk menghapuskan secara beransur-ansur akomodasi monetari dan bukannya untuk mengurangkan inflasi.

Beliau berkata kenaikan kadar faedah juga merupakan langkah pertahanan tidak langsung terhadap pengaliran keluar modal dan langkah membendung inflasi adalah lebih baik melalui langkah fiskal berbanding monetari. 

Pada 3 Nov selepas mesyuarat monetari yang terakhir bagi tahun ini, BNM mengumumkan OPR akan dinaikkan sebanyak 25 mata asas (bps) kepada 2.75 peratus, kenaikan keempat berturut-turut sejak Mei lepas.

MIDF Research menjangka BNM akan menaikkan OPR kepada paras sebelum pandemik pada 3.00 peratus pada Januari 2023.

Katanya pengumuman oleh BNM untuk menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas (bps) lagi daripada 2.50 peratus kepada 2.75 peratus pada Mesyuarat Dasar Monetarinya yang terakhir pada 2022 sejajar dengan jangkaan pasaran, tetapi kekal di bawah paras sebelum pandemik.

Dalam nota penyelidikan pada minggu lepas, firma penyelidikan itu berkata melangkah ke 2023, tumpuan penetapan dasar monetari BNM adalah untuk memastikan pemulihan ekonomi Malaysia yang mampan.

Kestabilan Politik?

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), disebut-sebut sebagai yang paling sukar untuk meramalkan gabungan mana yang akan menerajui kerajaan, terutamanya berikutan sejak empat tahun lepas, rakyat Malaysia mempunyai pengalaman ditadbir oleh tiga kerajaan daripada gabungan yang berbeza, semuanya dengan majoriti tipis dengan pencapaian masing-masing dilihat oleh majoriti rakyat sebagai jauh daripada memuaskan.

Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018 mungkin menjadi titik perubahan yang besar bagi negara berikutan perubahan rejim melalui peti undi buat kali pertama dalam sejarah Malaysia.

Innes berkata pilihan raya pada 2018 adalah mengenai kemarahan rakyat dan ahli politik mengetahui bahawa rakyat Malaysia mempunyai ingatan politik yang panjang dan perlu meredakan kegusaran itu.

“Kestabilan politik” telah menjadi bualan politik sejak akhir-akhir ini berikutan parti politik diharap dapat diberi mandat dengan jumlah undi yang lebih tinggi dan memastikan Malaysia sentiasa menjadi destinasi pilihan pelabur asing.

Pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia naik sebanyak RM24.1 bilion kepada RM836.2 bilion pada akhir suku kedua 2022 berbanding RM812.1 bilion pada suku pertama 2022, dengan sektor pembuatan kekal sebagai penerima terbesar, dengan nilai sebanyak RM360 bilion atau 43.1 peratus.

Ini diikuti aktiviti kewangan sebanyak 22.7 peratus (RM189.8 bilion) manakala perdagangan borong dan runcit meningkat 6.3 peratus (RM53 bilion).

Firdaos berkata takrifan kestabilan politik sering dibahaskan berikutan terdapat banyak cara untuk mentakrifkannya.

“Jika ditanya dari aspek perbahasan dasar dan pertentangan/percanggahan idea, saya fikir ia akan berterusan, jika tidak lebih tinggi lagi, berikutan pendemokrasian media.

“Tetapi jika ditanya dari aspek politiking oleh ahli politik dan orang ramai yang bercita-cita tinggi dan tidak berpuas hati, saya fikir ini dijangka akan berterusan selepas PRU15,” katanya kepada Bernama dalam temu bual melalui e-mel baru-baru ini.

Firdaos berkata negara akan menjalani satu lagi pusingan musim pilihan raya selewat-lewatnya pada suku ketiga 2023 memandangkan beberapa negeri mesti membubarkan Dewan Undangan Negeri masing-masing dalam tempoh enam bulan atau lebih.

Selain itu, keputusan PRU15 pastinya akan memberikan kesan besar ke atas situasi pilihan raya negeri tahun depan, katanya.

“Kita tidak boleh menghentikan kekecohan, keriuhan atau perbualan yang tidak bermakna atau yang mengganggu dasar dan politik,” katanya.

Beliau berkata justeru, keutamaan segera kerajaan yang akan datang adalah membentuk barisan Kabinet baharu dan membentangkan semula Bajet 2023 dengan serta-merta, sama ada dalam bentuk sekarang atau sebaliknya.

“Bukan langkah yang bijak untuk membaik pulih bajet itu kerana kekangan masa, jadi, saya menjangkakan ada penambahbaikan dengan sedikit pelarasan ke atasnya, jika ada,” katanya.

Sementara itu, Eksekutif Penyelidikan (Demokrasi dan Tadbir Urus), Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Halmie Azrie Abdul Halim berpandangan sekiranya sebuah gabungan parti politik hanya memiliki majoriti mudah, ia masih memerlukan kerjasama daripada gabungan yang lain untuk membentuk kerajaan yang benar-benar kukuh.

Ketika ini, semua gabungan hanya menumpu usaha untuk mencari satu formula bagi merealisasikan ‘angka ajaib’ 112 kerusi sebagai majoriti mudah. PRU15 melibatkan 222 kerusi Parlimen secara keseluruhannya.

Justeru, seandainya dua gabungan perlu bekerjasama untuk membentuk sebuah kerajaan, mereka perlu memastikan kestabilan politik demi kebaikan negara memandangkan banyak cabaran luaran di peringkat dunia dan Malaysia yang menanti pada 2023, katanya.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Kesihatan turut berpandangan bahawa sebuah gabungan perlu fleksibel dalam membentuk kerajaan akan datang.

“Terdapat kemungkinan Parlimen tergantung apabila tiada mana-mana gabungan yang akan dapat membentuk kerajaan daripada kalangan mereka sendiri. Jadi, kita mesti bersikap terbuka terhadap perbincangan.

“Sebuah perikatan atau campuran selepas pilihan raya nampaknya satu kemungkinan,” katanya dalam program ‘The Breakfast Grille’ terbitan stesen radio BFM pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika ditanya jika berlakunya keadaan Parlimen tergantung iaitu situasi apabila tidak ada mana-mana gabungan parti politik sedia ada yang mempunyai majoriti mutlak.

Setiap gabungan parti politik itu perlu ke hadapan dan membuktikan jumlah majoriti yang mereka peroleh, katanya.

“Bagaimanapun saya berpendapat, anda juga seharusnya mempertimbangkan aspirasi bersama. Ia bukan hanya sesuatu yang bersifat instrumen sahaja. Ia turut perlu menjadi sesuatu yang kita boleh hayati dari segi aspirasi dan nilai bersama serta sebagai platform dasar.

“Ya, kita mesti fleksibel kerana kita perlu membentuk sebuah kerajaan dan kestabilan adalah penting. Kita telah melakukannya dengan sangat baik, berusaha untuk keluar daripada pandemik, data suku ketiga yang memberangsangkan dari segi pertumbuhan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar). Oleh itu, kita mesti meneruskan momentum ini memandangkan anda tahu bahawa cabaran global tahun depan adalah amat, amat hebat,” katanya.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/pasca-pru-15-tugas-berat-menanti-untuk-kekalkan-momentum-ekonomi/

Previous ArticleNext Article

Ahli Ekonomi Kekalkan Unjuran Inflasi 2026 Pada 1.8-2.0 Peratus

KUALA LUMPUR: Inflasi Malaysia dijangka kekal terkawal pada 2026, dengan ahli ekonomi mengekalkan unjuran pada 1.8 hingga 2.0 peratus berikutan pelaksanaan subsidi bahan api bersasar, permintaan domestik yang stabil serta tekanan harga luaran yang terkawal, yang membantu mengekalkan inflasi.

Bank Negara Malaysia (BNM) juga dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus bagi tempoh yang masih berbaki tahun ini.

Ketua Ahli Ekonomi AmBank Group Firdaos Rosli mengekalkan unjuran inflasi bank itu bagi 2026 pada 2.0 peratus, dengan menjangka tekanan harga meningkat pada separuh kedua tahun ini dan mencapai kemuncak pada suku keempat.

Beliau berkata bacaan Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi Jun sebanyak 1.9 peratus, rendah sedikit  berbanding unjuran AmBank sebanyak 2.0 peratus.

Menurutnya ini sekali gus menguatkan jangkaan bahawa inflasi terus disokong oleh permintaan domestik yang kukuh, dan dibantu pelaksanaan program subsidi bahan api bersasar di bawah BUDI MADANI.

Bagaimanapun beliau berkata tahap penggunaan masih tidak mencukupi untuk mencetuskan inflasi yang didorong permintaan.

Beliau berkata bacaan inflasi yang lebih rendah pada Jun sebahagian besarnya berpunca daripada kadar kenaikan harga yang lebih perlahan dalam kumpulan pengangkutan, penjagaan diri, perlindungan sosial, pelbagai barangan dan perkhidmatan serta pendidikan.

Sementara itu, inflasi bagi kumpulan makanan dan minuman, yang mempunyai pemberat terbesar dalam bakul IHP kekal tidak berubah pada 1.4 peratus.

Melangkah ke hadapan, Firdaos menjangka inflasi meningkat pada separuh kedua 2026, didorong oleh kesan asas yang rendah berbanding tempoh yang sama tahun lepas, selain kesan tertangguh daripada kenaikan harga bahan mentah dan kos pengangkutan yang mula disalurkan kepada pengguna.

Beliau mengingatkan kemungkinan gangguan cuaca yang disebabkan oleh El Nino boleh memberi tekanan peningkatan harga makanan tahun ini.

Mengenai risiko luaran, Firdaos berkata konflik berpanjangan di Asia Barat kekal sebagai faktor utama yang boleh mencetuskan gangguan bekalan, walaupun kesannya terhadap harga pengguna berkemungkinan kekal terhad, disokong mekanisme subsidi bahan api bersasar BUDI MADANI.

“Tekanan inflasi berkemungkinan lebih dirasai oleh kalangan perniagaan berbanding pengguna susulan kenaikan Indeks Harga Pengeluar (IHPR) sejak Mac 2026,” katanya kepada Bernama.

Beliau turut menjangkakan BNM mengekalkan OPR pada 2.75 peratus untuk baki tempoh tahun ini, disokong keadaan ekonomi domestik yang berdaya tahan termasuk prospek pertumbuhan lebih kukuh, pasaran tenaga kerja yang stabil serta pertumbuhan pinjaman yang baik.

Mengenai inisiatif Bekerja Dari Rumah (BDR) oleh kerajaan, beliau berkata langkah itu mungkin memberi sedikit kesan namun dijangka tidak mengubah trajektori inflasi secara ketara.

“Saya berpandangan idea di sebalik inisiatif ini adalah untuk mengehadkan penggunaan bahan api, dan bukannya mengurus inflasi,” katanya.

Sementara itu, Bank Muamalat Malaysia Bhd mengekalkan unjuran IHP 2026 pada 1.8 peratus, menjangkakan subsidi bersasar dan langkah kawalan harga terus melindungi pengguna daripada tekanan harga luaran, terutama harga bahan api global yang lebih tinggi.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pelaksanaan subsidi bahan api bersasar yang berterusan, termasuk peluasan mekanisme pengagihan subsidi berdasarkan MyKad meliputi diesel, sewajarnya membantu membendung tekanan inflasi.

“Kami yakin dasar berkaitan subsidi dan kawalan harga akan kekal dilaksanakan sekali gus melindungi rakyat Malaysia daripada kesan harga bahan api yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata penurunan harga bahan api telah menyumbang kepada kadar inflasi yang lebih rendah pada Jun dengan subindeks pengangkutan menyederhana kepada 2.8 peratus daripada 3.8 peratus pada Mei.

Dari perspektif dasar monetari, Mohd Afzanizam berkata penetapan kadar faedah semasa kekal pada tahap yang cukup ketat, dengan kadar faedah sebenar yang diukur melalui OPR ditolak inflasi, berada pada paras 0.85 peratus iaitu di atas purata jangka panjang sebanyak 0.70 peratus.

“Oleh itu, kami menjangkakan BNM tidak mengubah OPR tahun ini. Jelas sekali, paras OPR semasa memberikan sokongan yang tepat kepada ekonomi dan pengurangan ‘insurans’ sebanyak 25 mata asas pada Julai tahun lepas mencapai matlamatnya,” katanya.

Sehubungan itu, Bank Muamalat turut mengunjurkan OPR kekal pada paras 2.75 peratus bagi baki tempoh 2026.

Mengenai inisiatif BDR, Mohd Afzanizam berkata langkah itu dapat mengurangkan tempoh perjalanan dan kos pengangkutan, dengan sokongan teknologi yang membolehkan sebahagian pekerja menjalankan tugas hampir tanpa gangguan melalui mesyuarat dalam talian selain boleh membuat keputusan segera.

Baru-baru ini, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata pelaksanaan inisiatif BDR melibatkan penjawat awam sejak pertengahan April lepas berjaya menjimatkan peruntukan subsidi petrol kerajaan sebanyak RM7.31 juta setakat Selasa lepas.

Inisiatif BDR yang dilaksanakan untuk penjawat awam sejak pertengahan April berjaya menjimatkan perbelanjaan subsidi petrol kerajaan sebanyak RM7.31 juta.

Inisiatif berkenaan juga mengurangkan penggunaan bahan api sebanyak 4.05 juta liter dalam tempoh tiga bulan sejak pelaksanaannya di seluruh negara sekali gus memberi manfaat kepada kira-kira 659,000 penjawat awam.

— BERNAMA