Thunder Match Technology Memaparkan Kisah Di Sebalik Peta Hala Tuju Digital Syarikat Pada Super Brand Day

KUALA LUMPUR, 14 FEBRUARI 2019 – Semakin banyak jenama kini berusaha untuk menceburi e-dagang untuk menjana pertumbuhan dan menarik pelanggan baharu. Satu daripada jenama tersebut berkongsi kisah berliku mereka untuk sampai ke tahap ini.

Thunder Match Technology Sdn Bhd (TMT) telah melancarkan kedai rasminya di Shopee pada 2018 sebagai sebahagian daripada pelan transformasi digital dan strategi jangka panjang untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai Peruncit Rantaian IT dan Mudah Alih terbesar di Malaysia di dalam dan luar talian. Pada bulan September, mereka melancarkan kempen dalam talian terbesar dan paling agresif sempena Shopee 9.9 Super Shopping Day (Hari Beli-Belah Hebat Shopee 9.9), yang sekali gus menggandakan angka jualan e-dagangnya sebanyak 10 kali ganda, dengan menjana hasil lebih RM1 juta dalam masa seminggu. Sesungguhnya, lonjakan jualan ini telah menyedarkan mereka bahawa jualan dalam talian bukan setakat menyenaraikan produk, memberikan diskaun dan berdagang.

Usaha merombak syarikat berusia 22 tahun ini menjadi sebuah syarikat digital sambil mencipta dan mengekalkan nilai pasaran di dalam dan luar talian bukannya sesuatu yang mudah, seperti yang dikongsi oleh Pengasas & Pengarah Urusan TMT, Adrian Yu.  Beliau berkata, “Daripada menjadi Peruncit Rangkaian IT dan Mudah Alih perintis di Malaysia yang perniagaannya dibina berasaskan operasi fizikal kepada Peruncit Berjenama kedai dalam kedai (SIS) pertama di Shopee Mall, saya perlu tekankan bahawa perjalanan kami bukannya mudah. Cabaran yang dihadapi memang besar. Kami pada mulanya hampa melihat kepesatan perkembangan dunia perniagaan dalam talian, namun kami tidak tahu bagaimana untuk melibatkan diri. Halangan pertama yang perlu diatasi ialah mengkaji semula warisan kita sepanjang dua dekad dan sedar bahawa ketetapan minda kita perlu diubah sebelum kami boleh merombak operasi perniagaan dengan cekap demi memberikan nilai dan perkhidmatan lebih baik kepada para pelanggan kami.”

Menangkis tanggapan umum

Satu daripada tanda tanya paling besar ialah bagaimana peruncit boleh mengekalkan kelebihan daya saing dengan ledakan e-dagang. Pelanggan lazimnya akan mengunjungi kedai fizikal, membandingkan harga dan seterusnya membeli dalam talian. Malah ada juga pelanggan yang menuntut harga dalam talian di kedai, sehingga ada yang menunjukkan harga produk yang disenaraikan di Shopee. Isu ini menimbulkan tanggapan yang salah bahawa kedai dalam talian dan fizikal bersaing antara satu sama lain.

Menganggap cabaran ini sebagai satu peluang, TMT melaksanakan pendekatan berbilang saluran bagi penjenamaan, pemasaran dan penetapan harga. Berbangga kerana sentiasa mengutamakan pengalaman dan kepuasan pelanggan, TMT telah berjaya mencipta ekosistem lancar yang menggabungkan gedung fizikal dan gedung dalam talian. “Kami sedang meneroka model Dalam Talian ke Luar Talian (O2O) yang turut disepadukan dalam inisiatif pemasaran kami. Sebagai contoh, kami kini sedang meneroka model klik dan kumpul di mana pelanggan boleh memesan barangan dalam talian dan mengumpul belian mereka daripada kedai runcit kami. Perkhidmatan tersebut dapat mewujudkan pengalaman pelanggan yang lebih baik dengan meliputi pelbagai titik sentuhan,” tambah Adrian. 

Membuat persediaan menerusi rombakan operasi

Peningkatan populariti e-dagang memerlukan penambahbaikan operasi dalam cara peruncit tradisional menjalankan semua aspek perniagaan masing-masing. Satu contoh yang baik ialah TMT yang mempunyai sembilan pusat penunaian pesanan di seluruh negara tidak mempunyai sumber dan ruang yang diperlukan untuk memenuhi keperluan jualan dalam talian. Kelemahan ini ketara semasa Shopee 9.9 Super Shopping Day. Pusat mereka ternyata menghadapi kesukaran dan walaupun sebahagian besar pesanan telah dihantar kepada pelanggan, TMT terpaksa membuat penghantaran lewat dan dalam kes tertentu, menerima pembatalan pesanan.

Mereka tidak berputus asa dan sebaliknya telah mengkaji semula semua sistem dan proses yang sedia ada dari segi keupayaan penggudangan dan pelaksanaan sebelum menaik taraf sistem dan proses penggudangan dengan teknologi terkini.

Meyakini pakar

TMT kemudiannya mengurangkan sembilan pusat penunaian kepada tiga dan melengkapkannya dengan sumber terkhusus, termasuk pasukan 10 orang dengan kepakaran e-dagang teknikal yang mendalam. Mereka melakukan semua ini dengan bantuan firma perunding berbilang disiplin Malaysia, CAP yang menyediakan penyelesaian transformasi perniagaan kepada peruncit seperti TMT yang ingin berkembang maju dalam dunia digital hari ini.

Adrian berkata bahawa “Shopee 9.9 Super Shopping Day tahun lepas memberikan pengajaran penting kepada kami. Keputusan sebenar jauh mengatasi perancangan dan jangkaan kami. Dari segi jualan, kempen mencatatkan kejayaan besar tetapi sesungguhnya kami sedar bahawa bukan sekadar ketetapan minda yang perlu diubah untuk menang dalam dunia e-dagang. Mengimbas kembali pengalaman tersebut, kami berbangga dengan keputusan kami menceburi dunia digital, yang bukan sahaja membawa manfaat kepada kami dari segi keuntungan, tetapi juga mengoptimumkan perniagaan kami.”

Sebagai mengiktiraf kejayaannya, TMT akan menggegar Shopee pada 20 Februari sempena Super Brand Day. Sebagai sebahagian daripada Super Brand Day TMT, Shopee akan memperkenalkan cabutan bertuah buat julung kalinya. Cabutan yang diadakan dari 17 hingga 20 Februari ini menawarkan tiket cabutan yang dijual pada harga hanya RM1 setiap tiket, dan pembeli berpeluang memenangi hadiah bernilai sehingga RM30,000 seperti Playstation 4 PRO, iPhone XS Max, peranti permainan oleh HyperX dan Razer dan banyak lagi. Tiket cabutan juga merupakan baucar beli-belah Shopee bernilai RM18 untuk digunakan di kedai rasmi TMT.

TMT juga akan memberi jaminan harga paling rendah bagi lebih 1,000 komputer riba, telefon mudah alih dan produk elektronik lain selain daripada baucar berjumlah RM300,000 yang akan diagihkan. Tambahan lagi, mereka yang biasa dengan Shocking Sale (Jualan Kilat Shopee) pasti teruja untuk mendapatkan maklumat terkini tentang Shopee Super Shocking Sale (Jualan Kilat Hebat Shopee) yang melibatkan penurunan harga tambahan selain daripada harga Shocking Sale. Kuantiti barangan yang ditawarkan adalah terhad.

Mengenai TMT

TMT (Thunder Match Technology) merupakan peruncit terbesar bagi produk pengguna berasaskan teknologi informasi dan komunikasi dengan 80 cawangan di seluruh negara yang menawarkan pelbagai pilihan komputer, gajet, produk elektronik dan aksesori.

Dalam bulan Julai 2018, Thunder Match Techonology telah dijenamakan semula sebagai TMT sejajar dengan perubahan hala tuju perniagaan dan jenama syarikat tersebut secara keseluruhan. Dengan TMT, syarikat tersebut mensasarkan untuk menjadi pemimpin pasaran yang mendahului transformasi digital dalam pasaran dan menawarkan lebih daripada sekadar komputer kepada pengguna generasi akan datang yang semakin moden dan bijak.

Untuk itu, syarikat tersebut telah menjalani perubahan demi perubahan untuk menawarkan pengguna pelbagai produk gaya hidup berasaskan digital dan dalam masa yang sama, meluaskan rangkaian mereka menerusi usahasama dengan pasaran sosial dalam talian terkemuka untuk menembusi pasaran di dalam dan luar talian.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.