Yondr Group Lancarkan Projek Pusat Data Hiperskala 200MW di Taman Teknologi Sedenak JCorp, Malaysia

MALAYSIA., — 28 Mac 2022 — Yondr Group, pemimpin global, pemaju, penyedia perkhidmatan dan pemilik yang mengendalikan pusat data, pada hari ini telah mengumumkan rancangannya untuk membuka sebuah kampus hiperskala 200MW. Pembukaan pusat data ini, yang sekali gus menandakan penceburan Kumpulan dalam pasaran Malaysia, akan dibangunkan di atas tanah seluas 72.8 ekar yang dibeli daripada TPM Technopark Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Johor Corporation. Kawasan ini terletak secara strategik di Taman Teknologi Sedenak (‘Sedenak Tech Park’), sebuah kompleks pusat data utama yang dibina di atas tanah seluas 700 ekar di Johor, Malaysia. 

Taman Teknologi Sedenak, yang sebelum ini dikenali sebagai Kulai Iskandar Data Exchange (KIDEX), terletak di dalam pembangunan lebih besar seluas 7,290 ekar yang digelar Lembah Teknologi Sedenak (‘Sedenak Technology Valley’), sebuah hab perindustrian dan teknologi utama yang menempatkan pembangunan berasaskan teknologi seperti elektrik dan elektronik (E&E) lanjutan, pengilangan peralatan perubatan, tenaga boleh diperbaharui, bioteknologi and teknologi makanan, serta kemudahan penyelidikan dan pembangunan. 

Kampus hiperskala Yondr akan dibangunkan mengikut fasa dan menjana kapasiti mencecah 200MW apabila siap sepenuhnya, dengan fasa pertama dijadualkan siap pada 2024. Dengan capaian kepada kapasiti sekurang-kurangnya 600MW, sambungan gentian gelap, utiliti dan infrastruktur yang boleh diskala, Taman Teknologi Sedenak menempatkan beberapa syarikat data dan awan terbesar di rantau Asia Tenggara. 

“Malaysia adalah sebahagian penting daripada rancangan perkembangan kami di Asia Tenggara. Keupayaan kami menduduki lokasi kritikal ini di Taman Teknologi Sedenak akan menyokong kemudahan sedia ada kami di Jakarta, Indonesia dan lantas mengukuhkan lagi kedudukan strategik kami di pasaran pertumbuhan tinggi serantau,” kata Dave Newitt, Ketua Pegawai Eksekutif Yondr Group. “Negeri Johor terletak berhampiran dengan kota pusat data penting lain, termasuk Singapura, yang menawarkan laluan saling hubungan yang penting. Kedudukannya membawa manfaat sebenar kepada pelanggan, terutamanya dari segi keupayaan memenuhi keperluan kuasa dan tanah yang semakin meningkat.” 

“Kami menghargai keputusan strategik Yondr untuk melabur di Taman Teknologi Sedenak, sebagai bukti keyakinan mereka terhadap lokasi dan tawaran kami sebagai hab data bertaraf dunia untuk rantau ini. Kami mengalu-alukan penyertaan Yondr, yang membawakan kepakaran teknikal dan keupayaan operasi pusat data skala penuh mereka ke Johor, Malaysia. Sambil permintaan global bagi pusat data terus berkembang secara eksponen disebabkan perkomputeran awan dan Internet mudah alih pengguna, penggunaan data yang semakin besar menjadikan pembangunan pusat data hiperskala satu peluang perniagaan serantau dan antarabangsa bagi pelabur dan juga pengendali pusat ini. Keupayaan memanfaatkan kerjasama kukuh Yondr dengan kemudahan hiperskala canggih yang terkemuka akan terus memacu pembangunan infrastruktur teknikal kami yang hakikatnya memenuhi keperluan ekonomi digital negara dan rantau ini yang pantas berkembang,” kata Datuk Sr Akmal Ahmad, Pengarah Divisyen Hartanah dan Infrastruktur, Johor Corporation dan Pengerusi TPM Technopark.

Rantau Asia Pasifik terus menjadi destinasi pusat data menarik memandangkan lokasi strategik, potensi pertumbuhan, peningkatan ketara dalam rangkaian dan platform teknologi meliputi pelbagai pasaran. Di peringkat Asia Tenggara, saiz pasaran pusat data Malaysia, dari segi hasil, dijangka mencecah lebih US$800 juta (RM3.24 bilion) menjelang 2025. Malah, negara ini sudah pun menikmati tempias pelaburan disebabkan kekurangan tanah di pasaran-pasaran sekitar. 

“Kemudahan di Taman Teknologi Sedenak ini akan memberi peluang kepada  pelanggan hiperskala untuk meluaskan kemudahan perkomputeran awan masing-masing dan memanfaatkan lokasi strategiknya berhampiran Singapura dan Indonesia,” kata Aksel Vansten, Pengarah Pemerolehan dan Pembangunan Rantau Asia Pasifik bagi Yondr Group.

Lokasi Johor serta keluasan tanah untuk membina, meluaskan dan membangunkan infrastruktur digital pada harga berpatutan merupakan sebahagian daripada daya tarikannya. Tambahan lagi, pertumbuhan sektor pusat data dinilai dari segi bekalan kuasa, bukan sahaja keluasan tanah. Dalam hal ini, Taman Teknologi Sedenak menyediakan kemudahan terbaik dari segi bekalan kuasa 600MW bagi kapasiti IT kritikal dan juga kawasan tanah luas yang boleh digunakan untuk pembangunan pusat data. 

“Sebagai sebahagian daripada usaha mencapai Agenda Digital Johor dan juga Rangka Tindakan Digital Malaysia dengan matlamat menjadi sebuah ekonomi mendahulukan digital, pembangunan pusat data ialah antara komponen pembangunan penting yang bukan sahaja menjadi penggalak bagi pendigitalan ekosistem, tetapi juga memenuhi aspirasi kami untuk menjadi hab inovasi digital serantau. Pembukaan pusat data hiperskala Yondr di Johor, Malaysia akan memainkan peranan menggiatkan transformasi digital, dan secara umumnya mewujudkan persekitaran perniagaan positif dan potensi pasaran lebih besar di Asia Tenggara dengan pertumbuhan ekonomi yang pesat. Sambil kami mengalu-alukan Yondr ke Johor, Malaysia, kami berharap untuk berganding bahu dengan mereka dan cabang pembangunan perindustrian kami dengan matlamat bukan sahaja untuk menyumbang kepada pertumbuhan serantau, tetapi juga penciptaan dan pengagihan kekayaan dalam ekonomi dan masyarakat kita,” kata Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim, Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation.

Previous ArticleNext Article

Powerwell Catat Rekod Untung Bersih Tertinggi RM24.1 Juta, Sasar Lonjakan Melalui Sektor Pusat Data

KUALA LUMPUR: Pakar pengedaran kuasa tempatan, Powerwell Holdings Berhad (“Powerwell”) berjaya menamatkan tahun kewangan 2026 (“FY26”) dengan prestasi luar biasa selepas mencatatkan keuntungan bersih tertinggi dalam sejarah syarikat berjumlah RM24.1 juta.

Pencapaian memberangsangkan ini menyaksikan keuntungan bersih kumpulan melepasi ambang RM20 juta buat kali pertama , melonjak daripada RM18.7 juta yang direkodkan pada tahun kewangan sebelumnya.

Prestasi Kewangan Sumbangan Pasaran Luar Negara

Bagi keseluruhan FY26, perolehan Powerwell melonjak 15.6% tahun-ke-tahun (YoY) kepada RM159.0 million berbanding RM137.5 juta pada tahun lalu. Pertumbuhan mampan ini dipacu terutamanya oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada operasi kumpulan di Bangladesh dan Indonesia.

Bagaimanapun, bagi suku keempat berakhir 31 Mac 2026 (4QFY26), perolehan kumpulan mencatatkan penurunan kepada RM41.4 juta berbanding RM47.7 juta sebelum ini disebabkan oleh penghantaran produk yang lebih rendah.

Meskipun begitu, margin keuntungan kasar bagi suku tersebut melonjak kepada 39.8% (daripada 35.1% pada suku sama tahun lepas) hasil daripada pemuktamadan akaun untuk sebuah projek pusat data (data centre) serta projek loji hidro. Keadaan ini, ditambah pula dengan pembalikan kemerosotan nilai penghutang perdagangan dan perbelanjaan pentadbiran yang lebih rendah, telah melonjakkan untung bersih 4QFY26 sebanyak 6.9% YoY kepada RM7.7 juta.

Sebagai ganjaran kepada para pemegang saham, Powerwell mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 1.0 sen sesaham bagi suku di bawah tinjauan. Ini menjadikan jumlah keseluruhan dividen bagi FY26 sebanyak 1.5 sen sesaham, yang mewakili nisbah pembayaran sebanyak 36.1% (anggaran RM8.7 juta).

Projek Mega & Pasaran Borneo

Tahun kewangan 2026 turut melakar sejarah tersendiri apabila Powerwell berjaya mengukuhkan kedudukannya dalam ekosistem teknologi tinggi selepas meraih projek pusat data tunggal terbesar bernilai RM68.5 juta.

Bagi meluaskan lagi empayar perniagaannya, kumpulan sedang aktif mengembangkan ruang pembuatan di Malaysia dan Indonesia. Di samping itu, Powerwell telah memuktamadkan pengambilalihan 49% kepentingan dalam Tenaga Kenari pada 1 April 2026. Langkah strategik ini memberikan akses segera bagi kumpulan untuk menembusi pasaran Sarawak dan Sabah (Timur Malaysia), sekali gus membuka peluang rantaian pelanggan baharu dalam industri semikonduktor, utiliti, dan tenaga boleh diperbaharui.

Prospek Cerah

Sehingga akhir Mac 2026, nilai tempahan (order book) Powerwell kekal sihat pada paras RM150.8 juta, sekali gus memberikan pendapatan yang stabil untuk tempoh akan datang.

Melihat ke hadapan, pihak pengurusan Powerwell optimis terhadap prospek perniagaan syarikat yang disokong oleh saluran tender (tender pipeline) yang sangat aktif. Kumpulan sedia merebut peluang luas dalam segmen-segmen pesat membangun termasuk pusat data, tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor, dan infrastruktur.

Walau bagaimanapun, memandangkan keadaan pasaran global yang dinamik, Powerwell menegaskan akan terus mengamalkan pendekatan berhati-hati dengan memantau rapat ketidaktentuan pasaran, perkembangan geopolitik, dan keadaan makroekonomi yang boleh memberi kesan kepada landskap perniagaan.