Berdepan Dengan Hutang Lima Angka, Rachel Lim Pinjam Duit Ibunya Untuk Memulakan Bisnes Yang Kini Bernilai Jutaan Dolar

Kita semua sedia maklum, untuk memulakan sesuatu perniagaan tentu memerlukan modal bukan? Bayangkan, anda ingin memulakan perniagaan tetapi pada masa yang sama anda terpaksa menanggung beban hutang pendidikan sebanyak lima angka kerana berhenti belajar dari kolej.

Dan ketika itu umur pula baru menginjak 21 tahun. Pasti kepala agak pening untuk mencari sumber kewangan bukan?

Itulah yang berlaku kepada Rachel Lim, pengasas bersama dan juga pemilik kepada rangkaian fesyen Love, Bonito. Beliau yang berasal dari Singapura sepatutnya menamatkan pengajiannya di kolej dalam bidang pendidikan, tetapi kerana minat yang terlalu mendalam dalam dunia fesyen dan perniagaan; beliau telah mengambil keputusan untuk berhenti belajar.

Kisahnya bermula sewaktu zaman persekolahan menengahnya apabila beliau dan sahabat baiknya ketika itu merancang untuk menambah duit poket. Dan idea untuk menjual pakaian pre-loved milik mereka mula timbul.

Kemudian sebuah blog pun mula dibina untuk menjual pakaian milik mereka. Tanpa mereka sangka, bisnes ini mendapat sambutan yang menggalakkan.

Pelanggan mereka bukan saja dari Singapura tetapi juga dari negara serantau seperti Malaysia, Indonesia dan juga Hong Kong.

Rachel dan dua lagi rakannya sanggup mengeluarkan duit simpanan mereka sebanyak USD300 Dolar untuk ke luar negara bagi mendapatkan stok pakaian terpakai.

Ketika itu bisnes mereka bernama BonitoChico, dan mereka mula merasakan kekurangan kepada perniagaan pakaian terpakai ini.

Kebanyakan jenama antarabangsa menawarkan pakaian dengan potongan badan warga Amerika Syarikat dan Eropah yang kurang sesuai dengan bentuk tubuh wanita Asia yang lebih kecil.

Jadi, Rachel bersama dua lagi rakan kongsinya Viola dan Velda memutuskan untuk membuat jenama pakaian mereka sendiri iaitu Love, Bonito.

Kredit Gambar: Love, Bonito

Bagi Rachel, beliau harus memilih di antara sama ada untuk habiskan belajar atau berniaga; dan beliau memilih dunia perniagaan. Padahal, beliau cuma ada baki 8 bulan saja lagi untuk menamatkan pengajiannya itu.

Pasti ada di kalangan kita yang menganggap ini tindakan yang bodohkan? Tidak bagi Rachel.

Tindakan ini menyebabkan beliau terpaksa membayar bon bernilai lima angka kerana berhenti belajar. Tanpa simpanan, Rachel terpaksa meminjam daripada ibunya untuk merealisasikan impian perniagaan ini.

Walaupun begitu, ibunya ragu-ragu dengan keputusan yang diambil Rachel kerana pada waktu itu, perniagaan secara atas talian masih belum meluas lagi di Asia. Setelah dipujuk, ibu Rachel mengeluarkan sejumlah simpanan peribadinya untuk Rachel.

Kalau anda nak tahu, Rachel bukanlah berasal daripada keluarga yang berada. Ibunya sendiri terpaksa melakukan dua jenis pekerjaan untuk menampung hidup mereka sekeluarga selepas krisis kewangan Asia 1997.

Inilah yang memotivasikan Rachel. Bagi beliau, tiada patah balik lagi. Walau apa pun yang berlaku, beliau kena berjaya.

Kredit Gambar: Love, Bonito

Jenama Love, Bonito mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Pada tahun 2016, nama Rachel telah disenaraikan di dalam ‘Forbes’ 30 under 30s in Asia’.

Beliau telah berjaya menjadi jutawan di usia muda dan membayar kembali wang yang telah dipinjam daripada ibunya.

Kisah Rachel mengajar kita supaya tidak takut untuk mengejar impian. Apa yang paling penting kita perlulah mengerahkan seluruh tenaga dan usaha untuk mencapai cita-cita tersebut.

Sumber Rujukan: CNBC

Sesiapa yang rasa nak mulakan perubahan tetapi masih rasa kurang keyakinan diri. Rasa lemah semangat untuk bertindak. Rasa macam semua benda dia buat, tak menjadi. Penat buat kerja. Pernah rasa nak GIVE UP! Hampir BURN OUT!

Dapatkan buku “Percaya Sebelum Berjaya” Edisi Terkini. Apa bestnya buku ni?

InsyaAllah, Buku PSB ni telah terbukti membantu beribu pembacanya untuk:

🔥 Lebih bermotivasi untuk mengejar impian dan cita-cita

🔥 Lebih keyakinan untuk berhadapan dan mengatasi masalah yang menghalang impian tercapai

🔥 Lebih jelas bagaimana untuk mengatasi mental block yang menyebabkan usaha anda terbantut

🔥 Lebih konsisten dengan usaha dan tindakan agar pantas mencapai kejayaan.

🔥 Mencapai ketenangan yang luar biasa kerana mampu berdamai dengan kekecewaan demi kekecewaan

Dapatkannya sekarang di -> www.PercayaBerjaya.com

Previous ArticleNext Article

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.